Home Novel Cinta Cinta Sang Pilot
Bab 20

Aku cepat-cepat bangun dan bersiap untuk mandi apabila tersedar dari tidurku pada petang ini. Patutkah aku tidur di sisi lelaki ini! Lelaki di sisiku ini bukannya menyuruh aku mandi sebaliknya dia sendiri pun sudah tertidur. Dengan hati-hati aku bangun dan mengambil beg pakaianku yang sudah diletakkannya di dalam biliknya ini. Entah bila dia mengangkat begku yang berada di luar tadi, aku pun tidak sedar.

Sejak tiba di sini, jantungku bagaikan tidak mahu bekerjasama denganku. Dadaku asyik berdetap-detup. Tubuhku asyik berpeluh-peluh. Keresahan atau ketakutan dengan tindakan lelaki yang keterlaluan beraninya. Walhal kalau dikira dengan tangan, baru dua kali kami bertemu. Pertama, sejak pernikahan kami. Kedua, kali ini; di rumahku seketika sahaja, di keretanya dan di rumahnya ini.

Sepatutnya dia masih malu kepadaku atau sepatutnya dia membenci aku seperti mana semasa kami menikah dahulu. Dia memarahi aku kerana dia terpaksa menikah denganku. Hendak menitik juga air mataku pada ketika itu. namun aku sabarkan hatiku kerana orang ramai yang hadir semasa pernikahan kami itu. kalau ikutkan hati mahu sahaja aku meraung di situ juga! Lelaki ini selalu sahaja membuat onar dalam hidupku.

“Sayang nak mandi?” bukan tidak terkejutnya aku dengan tindakannya yang sudah berdiri dan memegang tanganku yang sedang lincah mencari tuala dan pakaian untuk dipakai pada malam ini. Aku memandang wajah kacak itu, sedang tersenyum manis memandangku. Kenapa dia baik sangat kepadaku? Kalau boleh aku tidak mahu dia terlalu baik kepadaku. Biarlah dia berkasar denganku, aku lebih rela. Tetapi jika dia terlalu baik denganku, apa yang terjadi kepada hatiku ini? Resah dan asyik terkenangkan dia. Aduhai!

“Eh, boleh tak awak tak kacau saya? Bersayang-sayang pula tu! Rimas tau!” soalku serba-salah. Tangannya kejap memegang pergelangan tanganku. Hendak dibuatnya apa aku ni? Tanganku dikucupnya. Eh, kenapa anak mak long ni macam ni? Aku suka kalau dia mengekalkan sikapnya yang tidak suka kepadaku. Kenapa dia sekarang terlalu suka mendekati aku. Kalau dia tahu aku tidak mengandung lagilah naya! Sakitnya hatiku.

“Saya bukan kacau tapi saya rindu!” katanya yang sudah tersengih menghadapku. Aku menyengih juga. Bukan gembira tetapi aku tidak mahu mengukir kenangan manis dengannya. Kalau kami sudah berpisah kelak dan dia tahu aku belum memberitahu kisah sebenar mengenai kandunganku, apa yang akan terjadi kepada kami? Aku pasti dia akan menuduh aku berbohong dan cuba memprdayakannya. Ah, takutnya aku apabila saat itu berlaku nanti. Ya Allah tahanlah masa, aku takut.... doaku dalam hati.

“Buat apa nak rindu saya ni! Saya ni bukan kekasih awak!” kataku perlahan dan terasa sayu. Kami bukan sesiapa dalam hubungan ini. Kami hanya sepupu walaupun kami suami isteri yang sah.

“Hmm, kan saya sudah cakap banyak kali. Kalau antara kita berdua, jangan sebut hal orang lain. Saya nak buat apa kalau awak cakap lagi sekali benda yang sama?” dia sudah tersenyum gatal memandang aku. Aku pula menundukkan wajahku ke lantai biliknya ini.

“Saya nak ingatkan awak aje.” Kataku. Aku tidak mahu berpura-pura. Kenyataan yang kami kahwin hanya di atas sebuah perjanjian tetap kenyataan yang harus kami terima. Kenapa dia hendak menghadirkan kemanisan dalam hubungan kami yang tidak lama ini?

“Ha! Tak perlu ingatkan saya. Saya tahu.” Katanya. Aku jadi serba-salah. Kalau dia tahu kenapa dia nak teruskan begitu.

“Hmmm, kalau awak buat lagi macam tu, bibir awak yang merah macam buah jambu itu akan jadi galang gantinya!” aku memegang dan menutup bibirku dengan tanganku. Ya Allah bibirku ini sudah tidak ada aslinya. Lelaki ini sudah mencerobohinya. Kalau aku diceraikannya suatu hari nanti, ah, sulit aku terima. Aku malu dan sedih akhirnya.

“Takut?” soalnya macam orang bodoh. Aku tidak menjawab. Jawapanku akan menjadikan lebih suka menyakat aku. Aku benci tiba-tiba kerana dia tiba-tiba sudah pandai melanggar perjanjian kami. Lelaki apakah di depanku ini?

“Izinkan saya mandi. Badan saya ni macam dah melekit semuanya.” Kataku memberikan alasanku yang tersendiri. Dia melepaskan tanganku. Aku menggosok-gosok tanganku yang sakit akibat dipegang dengan kuat tadi. Geramnya aku, kenapa sikapnya semesra ini. Kalau dia biarkan aku dengan duniaku, alangkah baiknya!

“Tasya mandi dulu. Saya nak turun ke dapur kejap.” Katanya yang masih memandang aku. Aku keluarkan tuala, peralatan mandi dan pakaianku lalu aku cepat-cepat masuk ke dalam kamar mandinya itu.

‘Mak ai... kamar mandinya macam besar bilik aku di kampung! Besarnya bilik. Bersih pula tu! Macam boleh kalau aku nak tidur di sini malam ni!’ Kataku dalam hati.

Aku membelai tubuhku dengan wangian mandian. Sebenarnya aku tidak tahu bagaimana hendak berterus-terang dengan lelaki ini. Aku sudah terlanjur memberitahu dia yang aku mengandung. Kalau aku berterus-terang, mahukah dia mempercayai aku? Tetapi apa yang aku kurang senang ialah sikapnya yang menggoda aku. Aku takut sesuatu yang tidak diingini berlaku. Aku tidak mahu ia berlaku sebenarnya. Kalau boleh biarlah kami sama seperti selepas nikah di rumahku hari itu. tetapi sekarang sikapnya sudah berubah kepadaku.

Dia seperti hendak menyampaikan kerinduan-kerinduannya kepadaku. Aku pun rindukan dia juga tetapi aku belum sanggup memberitahu kerinduanku kepadanya. Cukuplah kalau kami berjumpa dan dia membawa aku ke rumah keluarganya sahaja. Emak aku sudah menunggu di situ. Aku tahu. Tetapi aku tidak dapat menelefon emak. Aku lupa pula membawa charger bateriku. Akhirnya, beginilah telefonku. Aku letakkan sahaja di dalam beg tanganku.

“Sayang, dah siap mandi?” satu suara memanggil aku dari luar. Lagi satu,aku tidak suka kalau dia memanggil aku sayang. Aku bukan sayang dia. Aku bukan kekasih dia. Aku diam.

“Sayang pengsan di dalam ni?” soalnya lagi.

“Tak, kejap, kejap!” kataku perlahan. Aku cepat-cepat menghabiskan mandiku. Aku mengambil tuala dan mengelap tubuhku. Aku jadi kelam kabut pula. tidak elok pula sudah bersuami ni, nak mandi pun tak dapat aku nak berlama-lama dan melayan perasaan sendiri. Kataku dalam hati. Aku geram sebenarnya. Geram dengan sikapnya yang terlalu tidak sabar.

“Kalau tak, saya nak gunakan kunci lain buka bilik mandi ni,” dia sudah mengugut aku. Aku benci dengan sikapnya. Aku ni sudah lah tidak biasa dengan keadaan rumahnya ini. Aduhai!

“Awak boleh sabar tak?” soalku dari dalam. Dia sudah ketawa kecil. Aku cepat-cepat mengenakan pakaianku.

“Sabar ada hadnya!” jawabnya pula. Bertambah aku kelam kabut dengan sikapnya. Setelah selesai aku membuka pintu. Tetapi, ah, tudungku. Aku terpaksa mengikat rambutku dengan tualaku. Dia sudah tersenyum manis di depan pintu. Siapa yang tidak geram dengan sikapnya ini?

“Cantiknya anak mak ngah!” pujinya. Aku malu. Mukaku menjadi merah lagi. Apa yang cantiknya? Soalku. Mukaku tembam, biasalah, memang aku si tembamnya. Hidungku pesek tak mancung, tak juga tidak mancung. Tengah-tengah. Tubuhku agak kurus. Kata Shamira aku makan hati.

“Inilah si tembam!” kataku mengenakannya.

“Ya si tembam saya! Hmm, wanginya si tembam!” aku terus menghamburkan semua pakaianku yang telah kupakai tadi kepadanya. Dia cepat-cepat masuk ke dalam kamar mandi dan menutup pintu.

“Padan muka!” kataku perlahan. Aku cepat-cepat mengambil tudungku di dalam begku dan mengenakan di kepalaku. Kemudian, aku hendak mengambil telekung sembahyang. Di mana nak sembahyang ni? Soalku. Bilik utama ini agak besar. Mungkin empat kali ganda dengan bilikku di kampung. Mungkin kami akan solat maghrib di bilik ini. Biasanya aku solat sendiri sahaja. Tidak perlu aku berimam segala. Kecuali hari Khamis malam Jumaat. Kami akan bersolat berjemaah dengan Shamira. Shamira jadi imam dan kami akan membaca surah Yasin bersama-sama.

“Sayang, boleh tolong abang tak?” soalnya yang sudah membuka pintu. Aduhai, aku ternampak dia hanya mengenakan seluar pendek tanpa pakaian. Rambutnya basah! Malunya aku! Aku cepat-cepat membelakangkannya.

“Kenapa?” soalnya melihat mukaku yang sudah pucat lesi.

“Tolong ambilkan tuala boleh?” pintanya.

“Kat mana?” aku tidak melihat tuala di mana-mana.

“Kat balkoni.” Aku ternampak pintu menuju ke balkoni. Aku cepat-cepat membuka pintu itu dan ternampak tuala berwarna hijau. Aku terus mendapatkannya di situ.

“Nah!” aku mengunjuk tuala itu kepadanya.

“Terima kasih sayang!” tanganku terus ditangkapnya. Aku berusaha menarik tanganku. Licin pula tangannya kerana masih bersabun.

“Kenapa pula ni?” soalku. Aku menutup mata.

“Tak de, tak sengaja pula!” katanya melepaskan tanganku. Air wudhukku sudah terbatal dengan sendirinya. Aduhai! Terpaksa aku mengangkat wudhuk lagi selepas dia mandi. Nukman Faris!

“Sayang,” panggilnya lagi. Aku diam sesaat. Menikmati saat yang syahdu antara kami berdua itu.

“Apa sayang-sayang?” soalku marah-marah. Dia sudah ketawa. Aku tahu mungkin dia sungguh bosan kerana sudah lama dia tidak bertemu dengan kekasihnya. Kalau aku sebut kekasihnya nanti dia marah pula. alahai!

“Tak ada apa-apa sayang.” Katanya. Aku tersengih. Aku tahu dia sengaja hendak mempermainkan aku.

“Cepatlah Nukman, maghrib dah masuk ni.” Kataku mengingatkannya.

“Baik, jangan risau.” Katanya. Dia terus menuju ke almarinya dan mengambil baju Melayunya berwarna kuning cair. Selepas itu dia terus menjadi imam bagi sembahyang maghrib kami. Selepas solat maghrib, aku terus menyalami tangannya dan dia mengucup dahiku sekali lagi. Hening waktu ini. Kami berpelukan seketika. Aku pula membalas pelukannya. Ya lah mana tahu inilah kali terakhir kami bersama, tidak lah aku kempunan pula nanti. Nakal sungguh suara hatiku!

“Awak, janganlah nak peluk-peluk macam ni! Saya tak suka!”kataku memujuk lelaki yang suka memeluk aku ini. Macamlah aku ini bantal peluknya!

“His, takkan nak peluk sepupu pun salah! Dahlah sepupu, isteri pula tu!” katanya yang sudah tersenyum manis memandang aku. Mataku sudah membulat. Terkejut dengan kenyataannya. Sepupu dijadikannya tiket untuk memegang tanganku.

Eh, geramnya!

“Apa ni?” soalku yang sudah gementar dengan tingkahnya. Kalau ditariknya aku ke dalam bilik air itu, takkan naya aku!

“Takut?” soalnya yang sudah melepaskan tanganku. Mataku memandangnya tidak berkedip. Nafas! Nafas! Kataku memohon dalam hati. Jiwaku sebu, jantungku usah dikata, degupnya mengalahkan pukulan gong!

“Sudahlah awak!” kataku yang sudah menjauhinya. Aku terus duduk di sofa dan memegang dadaku. Degupan keras masih terasa. Ah, Nukman Faris memang menyakitkan hati!


Teruskan bacaan di http:putrimanasuha.blogspot.com

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha