Aku
merenung bulan yang mengambang terang dan bersinar cantik di angkasa sana. Aku duduk
di balkoni selepas berbincang dengan ahli keluarga tadi. Perbincangan yang
menyesakkan dadaku. Aku tidak sangka keputusan mama begitu menduga imanku
sekali. Alangkah ngerinya kehidupanku pada musim cuti sekolah ini. Entah apa
lagi yang mereka hendak buat kepada kami selepas ini, aku pun tidak tahu.
“Kenapa duduk di luar malam-malam
macam ni? Tak elok tau untuk kesihatan!” soal Nukman Faris membisik di
telingaku. Aku geleng. Aku mahu menangis di hadapannya agar dia faham yang aku
tidak setuju dengan cadangan ibu bapa kami. Namun, mahukah Nukman Faris
menyatakan ketidaksetujuannya kepada ibu bapanya? Sedangkan tadi dia sudah
setuju dengan sebulat hatinya? Benarkah dia setuju dengan sebulat hatinya?
“Saya tak setujulah Nukman,” kataku
perlahan. Aku menarik nafas payah. Aku dengar nafas Nukman Faris juga. Agak
sukar hendak membantah cadangan mereka.
“Ayuh kita masuk. Sejuk ni, tak elok
untuk kesihatan anak dalam kandungan Tasya,” katanya yang sudah menarik
tanganku. Dia sudah mendudukkan aku di birai katil yang berhias cantik itu. Siap
dengan hiasan katil pengantin. Mama, Datin Zahara sentiasa inginkan
kesempurnaan kepada anaknya ini. Aku hanya tumpang sekaki melihat keindahan di
dalam bilik Nukman Faris yang berhias cantik ini.
Aku
terpaksa ikut juga kata-katanya. Namun aku masih tetap tidak puas hati dengan
persetujuannya sebentar tadi. Boleh-boleh dia setuju hendak pergi berbulan madu
denganku. Aku memang berasakan yang ia agak mustahil namun aku tidak mampu
menolak. Ibu bapa kami seolah-olah mengenakan kami berdua.
“Kita ikut ajelah apa yang mereka
mahu tu Tasya, saya rasa kita tak rugi juga. Sebab kita pun sepupu. Ia dapat
mengeratkan silaturrahim antara kita. Selama ni kita lama tak jumpa dan lama
saya tak usik Tasya kan.” Kata Nukman Faris. Aku membulatkan mataku
memandangnya. Apakah aku tidak salah dengar?
“Mengeratkan silaturahim? Apakah
dengan cara begini?” kataku agak terkejut dengan kenyataannya. Alasan yang
karut dan tidak masuk di akalku. Mungkin akal dia aku tak tahu. Aku takut ada
sesuatu berlaku kepada hatiku sendiri dan aku tidak dapat menolaknya. Dia pula
tidak apa, dia sudah ada kekasih. Sedangkan diriku ini bagaimana kalau selalu
dekat dengannya dan akhirnya jatuh cinta kepada sepupuku sendiri? Apa yang akan
aku buat? Kenapa lelaki ini tidak mahu fikir panjang?
“Jadi, bagaimana lagi? Apa yang saya
boleh buat untuk menolak cadangan mereka Tasya? Apakah kita membantah kata-kata
mereka dan kita masing-masing bermasam muka dengan ibu bapa kita sendiri? Macam
tu?” soal Nukman Faris. Aku termangu. Banyak sekali aku termenung panjang sejak
tiba di kediaman rasmi Datuk Norman ini. Ini kerana sejak masuk ke rumah banglo
dua tingkat ini banyak sungguh kejutan yang terjadi kepadaku. Kalau ada lagi
kejutan selepas ini mungkin aku akan pengsan! Jantungku sudah tidak mampu
mengepam oksigen!
“Bukan macam tu,” kataku dengan muka
masam. Nukman Faris menunggu jawapanku dengan resah.
“Jadi, apa sebenarnya sayang?”
soalnya memerlukan jawapanku. Aku memang tidak setuju dengan cadangan ibu bapa
kami. Namun aku tidak tahu bagaimana hendak membuat bantahan. Pasti Nukman
Faris tidak akan setuju.
“Saya pun bingung Nukman.” Mukaku
masam. Aku harap dia akan pertimbangkan kemahuanku.
“Bingung kenapa ni?” soal Nukman
prihatin. Wajahku dipandangnya tegang. Mungkin dia juga tidak mahu kalau kami
berlama-lama tinggal serumah. Mungkin dia pun rimas macam aku. Apatah lagi jika
kekasihnya datang ke rumah ini. Aku sepatutnya melarang dia sebagai suamiku
ketika ini, melarang dia membawa kekasihnya ke rumahnya. Dia mengheret aku ke
dalam dosanya sama. Ah, sukar sungguh keadaanku ketika ini. Mahu sahaja aku
menjerit menyatakan ketidak puasan hatiku.
“Saya
sebenarnya nak tinggal aje di rumah sewa saya tu dengan Shamira. Banyak asignment yang kami kena bincangkan
bersama, tapi kalau dah mereka masuk campur saya tak boleh nak kata apa lagi!
Saya takut pula sekarang ni! Banyak benda yang saya takutkan!” kataku kepada
Nukman Faris. Nukman Faris memandang wajahku seperti singa yang tidak pernah
menerkam mangsa sekian lama. Sakit hatiku. Mahu sahaja aku cucuk matanya itu
macam Kassim Selamat mencucuk matanya sendiri. Namun, aku masih ada rasa belas
kasihan kepada suamiku di atas kertas itu.
“Senang aje, lepas kuliah tu pergi
lah ke rumah sewa dan buat perbincangan dengan Shamira. Kat mana-mana pun boleh
buat perbincangan. Jangan risau, takkan ada masalah punya! Trust me, sayang! Saya akan sentiasa temankan ke mana saja sayang
nak pergi!” aku angkat kening. Kenapa dia hendak temankan aku ke mana-mana
pula? Aku bukannya kekasihnya. Aku hanya isteri sementaranya. Kenapa lelaki ini
terlalu baik pula kepadaku? Tidak pernah aku memikirkan Nukman Faris yang
dulunya garang dan suka melihat aku menangis sekarang di hadapanku sudah
menjadi seorang lelaki yang sangat romantik dan menyenangkan hatiku. Apakah aku
tidak bermimpi ni!
“Awak ni kenapa nak buat baik sangat
kat saya? Hairan sungguh saya tau!” soalku kehairanan. Dia pegang tanganku. Dia
mula lagi dengan tingkah yang disukainya iaitu memegang tanganku dan
mengucupnya perlahan-lahan. Apa yang aku tidak suka, dia seperti tidak segan
silu mengucup tanganku dan memanggilku sayang di depan orang tua kami. Aku
sebenarnya hendak menarik tanganku tetapi dia seperti sudah mengunci tanganku
agar aku tidak dapat melepaskan diri.
“Baik?” soalnya. Aku angguk. Aku
benci dia selalu mengembalikan soalanku dengan soalan juga. Ah, aku rimas
sekarang ini!
“Ya awak kenapa baik sangat kat
saya? Lebih baik awak teruskan berbuat jahat kepada saya dan jangan layan saya
baik-baik, saya lebih rela dan ia akan menjadi lebih mudah apabila perjanjian
kita sampai ke hari yang terakhirnya.” kataku kepadanya. Dia sudah ketawa. Kulihat
wajahnya kusut. Senyumannya itu tidak bermaya. Matanya tidak bersinar. Apakah
itu ketawa yang dibuat-buat? Apakah dia tertekan sama sepertiku?
“Tasya sayang, awak kan sepupu saya.
Tak elok saya nak layan awak jahat-jahat macam dulu. Saya dah boleh terima awak
sebagai sepupu saya. Awak sepatutnya bersyukur. Tiga bulan terpisah telah
menginsafkan saya. Sepatutnya sebagai sepupu kita berbaik-baik. Bukannya ramai
sepupu saya,” katanya. Aku mula resah dengan jawapannya. Memang kami bersepupu
tidak ramai. Namun, ah, entahlah! Aku menjadi resah pula.
Hanya
kerana aku sepupunya maka dia melayan aku dengan baik-baik? Jawapan itu
sebenarnya lebih menyakitkan aku kemudian hari. Kenapa tidak dia buang sahaja
aku sekarang? Tidaklah aku terjatuh perasan suatu hari nanti!
“Oh,
kerana kita sepupu? Pegang-pegang macam ni sepupu dibolehkan lah ye?” soalku
yang masih keliru dengan jawapannya. Dia angguk dan ketawa. Berseri-seri wajah
lelaki kacak itu. Apakah itu seri pengantin? Seri pengantin apa kalau sudah
nikah lebih tiga bulan?
“Taklah
macam tu. Kita kan sudah halal, kenapa tak boleh bersentuhan?” soalnya pula. Aku
kesal. Dia seperti mengambil kesempatan ke atasku kerana pernikahan kilat kami
ini. Alangkah sedihnya aku.
“Sepatutnya
awak mengharamkan diri awak menyentuh kulit saya, sebab kalau kita dah cerai
nanti, tak siapa yang nakkan saya ni dah! Sebab saya ni dah diganggu!” dia
ketawa mendengar jawapanku. Aku lupa yang aku hampir dapat disentuh oleh Amri.
Nasib baik Shamira menyelamatkan aku. Kalau tidak, aku tidak tahu apa yang aku
katakan. Aku sungguh kesal sekali. Ada juga manusia yang bertopengkan keagamaan
untuk membuat kejahatan. Bencinya aku dengan Amri.
“Awak
ni kelakar lah Tasya. Tapi suka hati saya lah nak sentuh atau tidak kat awak,
awak kan isteri saya!” katanya pula. membulat mataku. Dadaku bagaikan dipalu. Kali
ini dia menggunakan tiket isteri pula untuk menyentuh aku. Tadi dia menggunakan
tiket sepupu kerana bermesra dan tinggal serumah denganku. Eh, aku bingunglah
dengan keadaanku ini.
“Awak
yang kelakar! Apa sahaja arahan mama awak, awak nak terima! Awak ni peliklah
Nukman!” kataku yang hampir sahaja memarahi dia. Dia ketawa lagi. Apakah benar
aku berlawak di depannya? Aku sebenarnya bersungguh-sungguh mahu menolak
cadangan mamanya tetapi dia cakap aku lawak pula. memang sakit lelaki di
depanku ini.
“Kita
ikut ajelah apa yang mama dan mak kita nak. Kita cari jalan macam mana nanti.
Janganlah nak sedih-sedih dan nak memberontak pula. mereka ibu bapa kita yang
melahirkan kita ke dunia ini. Mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Jangan
nak membantah-bantah pula. Apa pula cakap kita ni kalau nanti kita jadi ibu
bapa? Jadi, sementara mereka masih sihat dan bernafas ini, kita ikutlah cakap
ibu bapa kita, jangan ada kesalan di hati!” kata Nukman Faris seperti seorang
ustaz yang memberikan tazkirah kepada anak didiknya. Aku angguk perlahan-lahan.
“Awak
disuruh pegi honeymoon pun awak nak! Apa ni Nukman? Saya tak nak pergi
honeymoon!” kataku sudah membantah semula. Aku bagaikan anak kecil yang tidak
mahu dipujuk lagi.
“Apa
yang susahnya? Kalau kita diberikan tiket honeymoon kita pegi ajelah. Apa yang
susah! Kita jalan-jalan tenangkan fikiran! Saya pun sudah lama tidak
berjalan-jalan dengan isteri!” katanya. Aku pula seperti hendak berteriak
mendengar jawapannya yang selamba itu. Ya Allah bila masa dia beristeri? Dia
rindu nak jalan-jalan dengan isteri? Huhu! Memang sudah mengusik aku dia ni!
“Saya
tak nak macam tu! Kalau ada tiket tu, senang aje, awak tukar nama saya kepada
Rozaila, tak perlu saya nak susah-susah kan!” Nukman Faris sudah geleng kepala.
“Saya
tak nak buat hal sayang. Kalau kat tiket tu nama sayang, sayang dan abang lah
kena pergi. Bukan orang lain. Mungkin dengan Rozaila nantilah. Bukan masanya
sekarang!” jawabnya. Dadaku berdebar-debar. Agak sakit hati pula apabila nama
gadis lain disebut di depanku. Sakitnya macam isi yang terhiris pisau.
Sakitkan?
Memang
benar Nukman Faris masih menyimpan harapan nak kahwin dengan kekasihnya. Aku
menjadi sedih pula. aku hanya menjadi sandaran sementaranya sahaja pada masa
ini.
“Ah,
awak ni asyik nak ikut cakap orang tua awak! Saya tak naklah!” kataku macam nak
merajuk. Nukman Faris sudah ketawa. Dia kelihatan riang dan ceria aje malam
ini.
“Jangan
bimbang, mungkin lama-lama mereka dah lupa nak belikan tiket untuk pergi
honeymoon tu sayang!” katanya. Aku geleng. Aku tidak percaya kedua-dua ibu
bapanya akan lupa akan hal itu.
“Tak
mungkin mereka lupa Nukman! Saya ni kenal sangat mama awak tu! Kalau tak mama
awak, papa awak tu! Mereka tu sayang sungguh kat awak!” kataku
bersungguh-sungguh. Ketawa lagi lelaki sekacak senyuman Lee Min Ho ini. Muka
dia tidak lah sebiji macam Lee Min Ho. Ah, aku ni memang peminat Lee Min Ho,
memang lah terbawa-bawa suami sendiri ke dalam kehidupanku seharian. Nyerinya
kan!
“Mungkin
ya. Kita pegi aje. Nanti kita shopping dan jalan-jalan! Sayang belilah apa yang
sayang suka nanti!” kata Nukman Faris lagi. Aku cebik bibir. Aku bukan mata
duitan. Aku tidak mahu menggadai maruahku hanya kerana ruang bulan madu ini.
Ohoh! Tolong aku! Aku tidak mungkin berlama-lama dengan lelaki ini. Aku takut
aku akan parah kerana bahang aku terjatuh cinta kepadanya!
“Saya
tak sampai hati nak hancurkan hati kekasih awak Nukman, kalau emak saya, saya
takut Rozaila datang lagi ke rumah awak. Saya tahu awak dan Rozaila dah hidup
macam suami isteri kan?” kataku yang masih mengingati kekasihnya Rozaila. Dia
pegang tanganku lagi dan mengucupnya seperti biasa. Sepatutnya dia memarahiku
kerana aku sudah cuba menyakiti hatinya. Aku hanya memerhatikannya.
“Jangan
buruk sangka sayang. Buruk-buruk saya ni belum pernah lagi nak ganggu anak dara
orang lain,” katanya. Aku cebik bibir. Memang aku tidak percaya.
“Kenapa
bibir tu, nak minta kena sentuh lagi?” soalnya menakutkan aku. Aku tutup
bibirku. Aku tahu bibirku ini sudah hilang sucinya. Dia sudah ketawa
terbahak-bahak. Kenapa dia suka mengganggu aku dengan usikan berbau seks itu?
Sakitnya hatiku!
“Gila!
Awak ni gila! Gila gatal!” kataku lagi. Dia sudah ketawa senang hati.
“Saya
cakap yang benar, kasihan Rozaila!” kataku. Aku sengaja menyebut nama
kekasihnya biar dia ingat yang dia akan bernikah dengan kekasihanya itu. Dia
geleng-geleng kepalanya. Tanganku masih dipegang.
“Jangan
sebut nama orang lain kalau kita berdua sayang, sudah berapa kali saya
ingatkan! Sayang tak faham?” aku buntangkan mata. Mungkinkah aku terlupa atau
apa? Cemburu? Ah, siapa yang tidak cemburu kalau suami sendiri ada kekasih hati.
Oh tidak, aku tidak boleh hendak cemburu. Kerana kami dinikahkan kerana hendak
menutup fitnah orang kampung yang asyik memperkatakan hal aku yang kononnya
tidak tahu menjaga maruah diri ini. Sakit kan hati di atas segala-gala yang
telah berlaku ini!
“Kenapa
pula macam tu?” dia tersenyum manis kepadaku. Sekarang aku rasa hanya dialah
kekasihku. Namun hakikatnya tidak. Aku hanya dianggapnya sebagai sepupu dan
bukannya isterinya. Bertambah sakitnya hatiku seperti kain yang dicarik-carik!
“Sebab,
momen-momen manis antara kita ini akan kekal di dalam ingatan kita nanti,” aku
terpaku menghadapinya. Apakah aku tidak salah dengar? Kenapa pula dia hendak
mencipta momen-momen manis denganku? Aduhai, aku tidak faham dengan kerenah
suamiku ini.
“Nukman,
saya rasa sudah tiba masanya kita hentikan keadaan begini. Saya takut terjadi
sesuatu antara kita!” Kataku. Dia masih tersengih.
“Sayang,
jangan risau. Selepas ini kita akan berjauhan dan sukar bertemu. Kalau awak
rindu, jangan lupa kenang momen-momen indah yang sudah kita lakarkan,” katanya
bermadah-madah pula. aku mahu menangis mendengarnya. Sebenarnya bagi diriku,
kenangan sepanjang bersamanya adalah kenangan yang manis-manis sahaja bagiku.
Ini kerana, cintaku kepada lelaki ini kembali mekar setelah pernikahan ini.
Pesan emak, apabila sudah sah sesebuah pernikahan, harap seorang perempuan
mencintai lelaki lain selain suaminya sendiri. Aku dengar kata emak. Walau
apapun yang berlaku selepas ini, aku reda. Tetapi selagi aku masih menjadi
isteri kepada lelaki ini, rasanya aku hanya mencintai dia sahaja. Ah, aku
kerumitan memikirkan perhubungan kami yang agak aneh ini. Aneh!
Aku
tidak sangka lelaki ini romantik orangnya. Untunglah Rozaila mendapat kekasih
yang romantik dan penyayang macam sepupuku ini.
“Saya
tak nak ingat-ingat awak dah! Nanti saya jatuh cinta susah pula! Siapa nak
cintakan saya pula kalau awak dah kahwin dengan kekasih awak?” soalku. Dia
memandang aku penuh belas kasihan. Dia masih mengusap-usap tanganku, jemariku
dengan lembut dan aku mahu sahaja menangis.
“Itu
kita kena buat cerita lain nanti. Apa yang kita lalui sekarang adalah sebuah
perjalanan hidup kita. Kita hadapi dengan gembira. Kalau suatu hari ada sesuatu
berlaku kepada kita, kita harus berani hadapinya sayang,” kata Nukman Faris
seperti mahu memujuk aku lagi. Dia sudah banyak kali memujuk aku.
“Eh,
apa sebenarnya maksud awak macam tu?” soalku tidak puas hati. Aku tidak mahu
berlaku apa-apa terhadapku. Dia lelaki, tidak apalah. Tetapi aku? Aku ni masih
gadis lagi. Kalau apa-apa berlaku kepada kami, aku yang akan menanggung
semuanya. Aku yang akan parah. Dia tetap sahaja pergi kepada kekasihnya seperti
seorang lelaki teruna yang belum pernah bernikah. Aku ni? Aku akan jadi janda
berhias! Mak ai!
“Maksudnya,
kalau sayang dah jatuh cinta kat saya dan sayapun jatuh cinta kata sayang, kita
teruskan pernikahan ini walaupun abang dah kahwin dengan Rozy!” aku rasa hendak
tercabut nyawaku. Dia sekarang ada hati pula hendak memadukan aku dengan
kekasihnya. Aku menggeleng. Kelu rasa lidahku seperti kena biusan orang yang
hendak dicabut giginya. Apakah maksud lelaki ini? Kenapa dia masih hendak
memadukan aku sedangkan sekarang ni aku sudah reda dan relakan kalau dia mahu
ceraikan aku. Sakit hati atau sebak dengan kata-katanya?
“Awak
nak madukan saya pula? oh tidak! Rasanya lebih baik kita teruskan saja
perancangan kita iaitu bercerai daripada awak nak beristeri dua,” dia
tersengih. Dia pula menggeleng. Kenapa ya? Benarkah aku tidak bertepuk sebelah
tangan? Benarkah dia sudah mula menyukai aku? Atas dasar apa dia menyukai aku?
Kalau banding aku dan kekasihnya bagai bumi dengan langit. Sangat jauh
perbezaannya.
“Kenapa
awak cemburu dan tak mahu kasih sayang saya dibelah-belahkan? Awak sudah pandai
cemburu ya?” Mahu sahaja aku pengsan di depannya ketika ini apabila dia menuduh
aku sudah pandai cemburu. Soalan apakah ini? Kenapa dia bercakap seperti seorng
lelaki yang sasau dan tidak ingat akan kekasihnya sendiri?
Kenapa
lelaki ini? Kenapa dia hendak memadukan aku pula? Siapa yang tidak cemburu jika
suaminya kahwin dua? Sekalipun tidak ada cinta antara kami tetapi aku memang
tidak rela. Bagiku hidup sendirian lebih baik dan tidak mengganggu perasaan
sesiapa. Buat apa aku mengaku hendak hidup bermadu dengan kekasihnya jika itu
akan membuatkan aku mati dan sentiasa berperang dengan perasaanku sendiri. Ada
baiknya jika dia ceraikan aku sekarang! Sekarang!
Ya
Allah tolonglah aku! Aku perlukan nafas untuk menyambung nyawaku!
Ohoh!
Tidak! Tidak! Sakit hatiku! Aku bagaikan nak mati!
“Oh
awak berniat hendak memadukan saya dengan kekasih awak?” soalku. Dia ketawa
senang hati. Aku perhati. Tidak ada anggukan. Mata kuyu itu memandang aku
dengan pandangan tajam bagaikan pisau berkilat mengenai silaunya di hatiku.
Kenapakah lelaki ini?
“Tak
nak jatuh cinta dengan saya yang kacak ni?” soalnya. Aku semakin galak
membuntangkan mata. Hairan dengan kenyataannya.
“Saya
tak mahu awak jadi biawak hidup menanggung hidup saya Nukman! Cukuplah awak dah
selamatkan saya dari fitnah orang kampung! Jangan nak harap kita saling jatuh
cinta pula!” kataku memulangkan paku buah keras pula. Dia tutup mulutku dengan
tangan lebarnya. Aku sukar bernafas.
“Jangan
cakap macam tu Tasya. Maafkan saya. Mungkin saya dah buat silap. Jangan lah
cakap macam tu lagi! Mungkin hari tu saya terlalu ikut perasaan saya!” dia cuba
angkat daguku agar aku memandang wajahnya. Aku keraskan mukaku. Aku sudah
sebak. Dadaku sebu dengan rasa sedih. Kenapalah aku ditakdirkan hidup begini.
Alangkah
baik kalau aku teruskan sahaja hidup dalam fitnah orang kampung dahulu. Janganlah
aku kahwin dengan lelaki ini. Kami tidak mencipta apa-apa perasaan. Redah
sahajalah fitnah itu. Lama-lama mulut orang kampung akan berhenti bercakap
kalau mereka tahu aku tidak mengandung. Ah, menyesalnya aku.
“Sudahlah
Nukman! Hari ni jangan halang saya! Saya nak tidur kat sofa aje. Awak tidur kat
katil tu!” kataku yang sudah menangis. Nukman Faris memandang aku dengan wajah
sayunya. Dia menyapu-nyapu mukanya. Mungkin dia juga berasa serba-salah dengan
apa yang berlaku kepada kami.
“Sayangku
Tasya, maafkan saya. Permintaan orang tua kita nampaknya merumitkan keadaan
kita. Kita bertahan dululah. Jangan lah berfikiran apa-apa dulu. Biarkan sahaja
waktu mengalir bagaikan air sungai mengalir tenang. Kita ikut aje permintaan
mereka. Tak pe malam ni saya tidur kat bawah ni, kalau Tasya tak sudi nak tidur
sekatil dengan saya.” Aku buntangkan mata. Bukan maksudku begitu.
“Tak!
Tak! Jangan salah sangka! Awak tidur atas katil, saya kat bawah!” kataku. Sebenarnya
aku sudah marah kepadanya. Perbincangan kami bukannya menjadi perbincangan
lagi. Ia sudah menjadi pergaduhan yang menamatkan hubungan kami. Sakitnya
hatiku!
“Tak
pelah kalau awak tak sudi.” Katanya merajuk. Dia sudah berdiri dan mengambil
bantalnya. Aku pula yang kelam-kabut dan berasa cemas. Cemas dengan sikapnya
yang suka mengenakan aku.
“Saya
sudi, ok, tak pe kita tidur sekatil,” dia sudah tersenyum manis. Air mataku
dikesatnya dengan tangannya. Dia sudah tersenyum manis dan memandang aku penuh
berseri-seri. Di dalam senyuman itu bagaikan terpandangkan wajah Lee Min Ho
yang menjadi kegemaranku itu. Aduhai, sayangnya aku kepada wajah suamiku itu.
mahu sahaja aku kucup tangannya seperti mana dia selalu mengucup tanganku di
depan orang tua kami. Bencinya!
“Terima
kasih sayang. Jangan menangis lagi. Malam ini sepatutnya kita bahagia seperti
mana kata orang tua kita. Jangan nak sedih-sedih, saya pun rasa serba salah
kalau sayang selalu bersedih macam ni!” katanya sudah mendekati aku dan
mengucup dahiku. Suasana terasa syahdu. Aku menutup mataku. Aku berharap
kebahagiaan antara kami ini akan berpanjangan hingga ke tarikan nafas yang
terakhir kami. Aku sudah tersenyum di dalam pelukan lelaki ini. Wangian
perfumenya bagaikan membakar cintaku kepadanya, namun aku tahan. Aku seharusnya
bertahan dan mendiamkan diri sahaja walaupun sebenarnya aku mahu memberitahu
dia betapa aku cintakannya dan tidak akan ada dua atau tiga isterinya selagi
aku masih hidup! Namun aku mendiamkan sahaja di dalam pelukannya.
Patutlah
Rozaila begitu mencintai Nukman Faris ini, dia memag lelaki yang prihatin dan
penyayang.
“Ya
lah, saya nak ke buang air kejap, maafkan saya.” Kataku yang tidak tahan dengan
pelukan Nukman Faris itu. Desahan
nafasnya bagaikan masih terasa menampar-nampar pipiku. Kata-katanya bagaikan
air menenangkan aku. Ah, aku tdak harus berlama-lama dengan lelaki ini. Aku
kelak yang akan kecewa dengan cadangan ibu bapa kami yang tidak masuk akal ini.
Ah, entahlah!
“Pergilah
sayang, lepas ni kita tidur ya. Esok kita ada aktiviti lain lagi!” kata Nukman
Faris pula. Aku mengangguk. Sebenarnya wajahku sudah panas seperti terbakar
dipanah terik matahari. Jadinya, aku harus cepat-cepat hentikan perasaan halus
yang menjalar indah di hatiku ini. Kalau perasaan Nukman aku tak tahulah!
Ah,
manisnya cinta!