“Aku
kat mana ni?” soalku sendiri setelah aku tersedar. Aku terus duduk di atas
katil empuk itu. Setahuku, tadi aku di dalam kereta. Sekarang aku di mana?
Soalku sendirian. Kenapa aku sudah di atas katil? Di rumah siapa ni? Rumah
sewaku? Eh, mana ada rumah sewaku berwarna hijau polos begini! Dalaman rumah sewaku
berwarna pink. Katil aku berbunga merah hati dan krim. Kenapa suasana lain
macam aje ni?
Aku ketuk dahi. Aku terlupa rupanya.
Aku berada di rumah lelaki yang menjadi suamiku ini. Jadi, takkan aku terbang
hingga sampai ke sini? Jangan... jangan...
“Hai, sayang sudah bangun? Cepatnya!”
aku membuntangkan mataku memandangnya yang tersengih-sengih. Nasib baik dia
tidak membuka tudungku. Pakaianku masih lengkap. Dia pula sudah duduk di
sisiku. Aku menjauhkan sedikit jarak kami. Dia selalu membuatku takut.
“Kenapa saya di sini?” soalku kehairanan.
Mataku terpisat-pisat. Dia pula sudah berdiri di depanku dengan wajah tersenyum
tampan. Aduhai, ini yang aku tidak tahan dengan senyuman manisnya. Menambahkan
lagi kekacakannya.
“Laa, tadi kan awak tidur mati. Jadi
saya angkatlah awak hingga ke sini. Tu yang awak dah tidur di atas katil ni!
Takkan jin yang angkat!” katanya. Aku masih terkejut. Jantungku bagaikan kena
gantung di atas pokok. Rasa terkejut masih belum hilang lagi. Apatah lagi dia
bagaikan bergurau denganku. Eh, lelaki ini kenapa nak bergurau pula dengan aku?
Aku tak sukalah!
‘Nukman
Faris angkat aku? Aduhai, malunya aku! Kenapa aku tak sedar tadi?’
“Kenapa
awak tak kejutkan saya? Badan saya ni bukannya ringan awak nak angkat!” kataku
separuh malu. Dia masih tersengih.
“Ringan
aje macam kapas! Saya angkat guna ibu jari je!” katanya. Aku memasamkan muka.
Dia sudah mempermainkan aku. Mahu sahaja aku menangis jika benar dia yang
mengangkat dari kereta ke biliknya ini tadi. yang lebih naya, kenapa aku tak
sedar? Tidur mati sangat! Kataku. Ah, baru aku ingat. Aku tidur pukul 2.30 pagi
semalam. Memang aku mengantuk betul rupanya.
“Pandailah
awak!” kataku yang sudah memerhati kawasan sekeliling. Di dalam biliknya ini
terdapat sebuah sofa kulit berwarna hitam. Ia kelihatan kemas dan elegen. Malah
ada dua biji bantal kecil di situ. Aku? Aku akan tidur di situ. Aku tidak akan
betah menempatkan diriku tidur di atas katil ini. Aduhai!
“Nak
ke mana?” dia menarik lenganku. Aku pandang wajah tampan yang sudah mengenakan
seluar pendek dan baju t-shirt itu.
“Err,
saya nak ke tandas kejap.” Kataku. Sebelum aku tidur aku akan ke tandas dan
membersihkan wajahku.
“Ok.”
Aku terus memasuki tandas. Selepas itu apa yang aku akan buat? Soalku sendiri.
Oh,
aku lega apabila sampai di kamar mandi! Oh aku lupa lagi. Aku belum solat
Isyak. Takkan aku tidur tanpa bersolat dulu. Ya, aku kena solat dulu kemudian
baru aku akan tidur. Aku akan mencari kain sarungku dan tidur di sofa. Selepas
itu, aku tidak ingat apa-apa dah!
“Tasya,
kita solat Isyak berjemaah!” itu arahan mandatori agaknya. Dia sudah duduk di
atas sejadahnya dan sudah menghamparkan sejadah buatku pula. Ajaibnya lelaki
ini. Setahuku sebelum kami menikah, dia seorang lelaki yang gemar bersosial. Dia
selalu melawat kelab malam kalau tidak ada aktiviti di rumahnya. Emak saudaraku
yang lain memberitahu aku mengenai lelaki yang sudah duduk dengan tenang
menunggu aku. Aku yang baru keluar dari kamar mandi bagaikan terkena renjatan
elektrik. Tegak berdiri di situ dengan mata terkejut agaknya.
“Ya
lah. Kejap saya nak pakai telekung dulu!” kataku.
“Cepat
sikit. Saya pun dah mengantuk ni!” aku kehairanan. Kalau mengantuk solatlah
sendirian, buat apa nak solat berjemaah. Kataku dalam hati.
“Sayang
mengumpat saya kan?” mataku bagaikan mahu terkeluar mendengar suaranya.
“Taklah.”
Mukaku sedikit masam.
“Pandailah!
Macam lah saya tak tahu!” katanya.
“Mana
ada! Saya pun mengantuklah!” kataku.
“Cepat
sikit!” katanya.
“Saya
dah sedia.” Kataku. Dia terus berdiri dan iqamat. Terasa syahdu pula kudengar
suaranya. Betapa bahagianya seorang isteri yang mendapat seorang suami sebaik
dan sewarak Nukman Faris. Benarkah dia warak? Di mana dia belajar dulu? Mungkin
mamanya yang agak tegas itu menghantar dia mengaji d mana-mana. Siapa yang mahu
anaknya masuk neraka kan?
Akhirnya
kami selesai solat Isyak dengan jayanya. Dia membaca doa dan aku
mengaminkannya. Kami bersalaman dan sekali lagi dia mengucup dahiku. Aku terasa
betapa syahdunya malam ini. Mungkin inilah sahaja yang akan kukenang apabila
dia sudah tidak pernah mengenang aku kemudian hari. Aku terus bangun setelah melipat sejadah dan
telekungku. Pergelangan tanganku cepat-cepat dicapainya. Bergetar dadaku.
Sudahlah syahdu sungguh kuterasa, terasa betapa bahagianya mempunyai seorang
suami.
Eh,
Natasya Umaira cepat-cepat sedar diri, boleh tak? Dia hanya suami sementara
sahaja. Dia akan hadir kelak dengan menghantar sepucuk surat cerai. Aduhai!
Bergegar perasaanku. Mahu gugur jantungku apabila menyedari hakikat yang paling
kubenci ini. Betapa aku berasa sungguh sayu dengan penipuan yang kami lakukan
ini. Ah, aku tidak mahu berlakon-lakon lama begini. Kalau boleh aku mahu
cepat-cepat berpisah dengan lelaki ini, jangan sampai cintaku kepadanya semakin
mendalam dan ah, usah diterangkan lagi. Ia terlalu menyakitkan hatiku.
“Sayang
nak ke mana ni?” aku terasa suaranya agak romantik pula malam ini. Meremang
bulu romaku. Ini kerana dia memerhatikan aku mengambil bantal di atas katil.
Dia pula sedang duduk di birai katil melihat aksiku. Aku tidak suka berasa
dalam keadaan yang tidak selesa begini. Kalaulah dia tahu perasaanku yang tidak
selesa ini, alangkah!
“Err,
saya nak tidur kat sana tu.” Aku terkenang malam pertama kami. Aku tidur di
atas sofa. Aku tahu dia tidak sudi
menikah denganku. Jadi, aku memberi peluang kepada dia untuk tidur di atas
katil pengantin kami. Bilikku tidak seluas bilik ini. Di bilik ini aku boleh
memilih mana-mana ruang untuk tidur. Hendak berpindah tempat lima kali pun
tidak ada masalah. Haha!
“No...no...
you don’t sayang Tasya. You sleep here!” katanya dengan pandangan matanya
melekat untukku. Sedari dulu aku sedari mata lelaki ini begitu menggetarkan
jiwaku kalau dia memandang aku tetapi aku menolaknya dengan kebencian kerana
dia selalu mengejek aku. Aku sering menangis dengan ulahnya. Aku tegak berdiri
tanpa memandangnya. Sebenarnya aku sudah naik segan. Apalah yang hendak
dilakukan lelaki ini.
“Tak
pe, saya biasa aje tidur di sofa tu.” Kataku perlahan. Sebenarnya aku tidak
biasa. Walaupun kami bukan orang yang agak berada tetapi di rumahku atau di
rumah sewaku, aku tetap mempunyai katil. Ayahku tetap melengkapi kehidupan kami
walaupun dengan cara yang paling sederhana.
“Tak
boleh, sofa bukan tempat tidur sayang sepupuku. Sofa tempat duduk, tempat rehat
selepas balik kerja atau tempat berbincang bukan tempat tidur.” Katanya. Wajahku
kelat. Aku tidak ada pilihan. Aku hamparkan kain sarung pemberian emak di tepi
katilnya dan aku terus membaringkan tubuhku yang terasa agak penat itu ke situ.
Aku sudah tidak banyak pilihan sebenarnya. Jika hendak tidur di atas katil, aku
takut dia membuat sesuatu yang aku tidak suka pula kepadaku. Jadi, aku harus
buat pilihan sekarang.
“Kenapa
sayang tak sudi nak tidur dengan saya?” soalnya kedengaran agak kesal. Aku
pura-pura sudah menutup mataku. Tanpa kusedari dia sudah bangun dan mengangkat
tubuhku dan dibaringkannya semula di atas katil. Aku meronta-ronta namun tidak
dipedulikannya. Tubuhku dipeluknya sekuat hati agar aku tidak jatuh dari
pegangannya.
“Sayang
tidur di sini. Kalau sayang tak selesa saya tidur di atas katil, tak apa, saya
akan tidur di bawah ni.” Katanya. Aku membuka mataku. Terasa ada air yang
bergenang di tubir mataku. Kenapa dia terlalu baik untukku pada pertemuan kami
yang kedua ini? Apakah dia mahu menunjukkan perasaannya atau dia mahu
meninggalkan kenangan buatku sebelum dia melafazkan cerai! Ah, susah betul aku
hendak menerima apa yang dilakukannya kepadaku.
“Tak...
tak... bukan begitu Nukman! Saya ni bukan apa, saya takut Nukman yang tak
selesa kalau saya tidur di katil ni dengan Nukman. Saya faham kedudukan saya.”
Kataku perlahan. Aku tahu dan sedar diri aku bukan isteri pilihannya. Jadi
sebelum dia halau aku turun dari katilnya aku sepatutnya sedar akan diriku
sendiri.
“Tak
pe, awak tidur di situ. Saya akan tidur kat bawah ni kalau awak tak selesa.”
Aku menggeleng. Kenapa dia begitu baik kali ini? Apakah dia sudah tahu akan
hukum-hakam dalam berumahtangga?
“Jangan,
awak tidur di sini saya tidur di bawah.” Kataku yang sudah bangun semula. Aku
sudah bersedia hendak tidur di bawah ini.
“Sayang,
jangan bergerak dari situ. Sayang tidur di atas katil tu!” katanya bertegas
denganku. Apa pula mimpi-mimpinya sebelum ini dengan memanggil aku sayang?
Mimpi baik atau mimpi buruk?
“Baiklah.
Tapi dengan syarat.” Kataku pula memberikan dia syarat. Nukman Faris menjongketkan
keningnya. Aku tersengih.
“Apa
syaratnya?” soalnya. Aku pula tersenyum.
“Awak
pun tidur di atas katil ni.” Kataku. Dia ketawa. Aku pula macm tidak tahu malu.
Mempelawa dia tidur di atas katil bersamaku. Kalau dia hilang kawalan, apa yang
harus aku katakan? Menyesal? Ah, menyesal pun sudah tidak berguna!
“Awak
tak takut? Saya ni tidur macam gorila!” katanya berseloroh.
“Apa
tu tidur macam tu?” soalku kehairanan. Dia mengenyitkan matanya. aku pantang
sekali melihat kenyitan matanya. Dadaku berdegup kencang. Bukan apa, aku takut
aku terjatuh ke dalam gaung perasan sendiri!
“Tidur
macam gorila, ke sana ke sini!”katanya. Aku ketawa. Aku yakin dia tidak tahu
pun bagaimana tabiat gorila tidur. Aku tahu dia hanya sengaja-sengaja hendak
mengenakan aku.
“Tidur
gorila awak tahu macam mana?” soalnya. Dia mengangkat keningnya macam Ziana
Zain. Nampak macho lah konon.
“Tak
tahu! Macam mana gorila tidur?” soalku melayani kerenahnya. Dia terus
mendekatiku. Aku bersedia hendak berdiri.
“Begini!”
dia telah memegang pinggangku dan meletakkan kakinya yang berat macam batu itu
di atas kakiku. Aduhai sakitnya!
“Tak
apalah, kalau awak tidur macam tu kalau saya tak tahan saya akan turun ke
bawah!” kataku yang cuba memindahkan kakinya yang sangat berat itu. Mengada-ada
betul. Aku sudah duduk dan mencubit kakinya.
“Aduh
sakitlah! Macam ketam pula kuku awak tu!” katanya berteriak. Aku ketawa.
“Padan
dengan muka! Jadilah gorila lagi!” kataku yang geram dengan sikapnya. Dia
ketawa.
“Baik.
Kita tidur.” Katanya yang sudah bangun dan mematikan lampu. Dia hanya
menghidupkan lampu tidur. Aku yang kepenatan terus sahaja tidur tanpa sedar
diri. Pada waktu tengah malam aku tersedar suasana sangat gelap sekali. Aku
seperti ternampak wajah Amri memandang aku dengan ketawa dan mengejek aku. Dia
seperti cuba mengganggu aku macam yang pernah dia lakukan.
“Tolong
aku Am! Jangan ganggu aku Amri! Tolong jangan buat macam tu! Aku tak mahu!
Tolooooong!” aku terjerit dengan kuat. Mukaku berpeluh-peluh. Aku tidak mahu
membayangkan atau bermimpikan Amri lagi. Bagiku, dia adalah masa silamku yang
pahit dan menyakitkan.
“Sayang...
sayang... bangun sayang.... kenapa ni?” soal satu suaraku. Aku yang memerlukan
perlindungan masa itu terus sahaja memeluk tubuh agak besar di sisiku itu.
“Saya
takut. Tolong saya! Tolong! Jangan apa-apakan saya Am!” kataku seperti
berbisik. Aku sudah membenamkan mukaku ke dada bidang itu. aku menangis
sepuas-puasnya.
“Sayang
sudah selamat, jangan takut sayang.” Bahuku dielus-elus perlahan. Dia meredakan
aku agar tidak terus berada di dalam timbunan ketakutan.
“Ya,”
aku terus memeluknya dengan erat dan terus tertidur semula. Aku rasa selamat
dan terlindung di dalam pelukannya. Aku tidak ternampak lagi wajah ngeri Amri yang
sengaja mahu mengganggu aku. Ah, kenapa lagi aku harus mengingati dia. Kenapa
harus lagi dia datang dalam mimpiku? Kenapa dia perlu mengambil berat tentang
diriku lagi. Menurut emaknya tempoh hari sewaktu mereka memutuskan pertunangan,
Amri sudah ada kenalan yang lebih baik daripada aku.
Ada
kukisah?
***
Pagi
itu aku tersedar. Aku membesarkan mata. Aku terus melarikan diriku daripada
pelukan lelaki tak ada lesen itu.
“Eh, suka-suka hati awak nak
menggatal memeluk saya segala ya! Awak ni memang tak siuman tahu! Bukankah kita
ada perjanjian, yang awak akan ceraikan bila sampai waktunya! Kenapa pula awak
nak menggatal dengan saya ni? Eh, awak ni tak boleh diharaplah! Benci betul
tau!” kataku memarahinya yang sedang tidur. Dia memisat-misat matanya apabila
dia terdengar aku bising-bising memarahinya.
“Hai, hairan! Awak tuduh saya
menggatal pula? Bukankah semalam awak mengigau takut sesuatu. Awak
menyebut-nyebut nama bekas tunang awak! Saya mana tahan dengar suara awak yang
kuat! Saya tak boleh nak tidur! Saya peluklah awak! Lepas peluk baru awak diam
dan tidur!” katanya tidak mahu kalah.
Aku
pula terus terdiam. Mulutku bagaikan digam! Tanpa membuang masa terus aku ke
kamar mandi. Aduhai malunya!
“Eh,
nak ke mana ni?” soalnya yang sudah pantas menarik tanganku. Aku memarakkan
mataku.
“Maaflah
ya, saya tidak sengaja!” kataku yang sudah tersengih malu.
“Oh
pandai nak tuduh saya aaa! Nah, ini hadiah kerana suka menuduh saya.” Katanya
mengucup tanganku. Inilah yang aku tidak suka. Lelaki ini terus sahaja menarik
tanganku.
“Err,
saya tak sengaja! Kenapa ni tak percaya?” kataku dengan suara agak tinggi. Aku
benci dalam suasana begini. Mahu sahaja aku memarahinya. Bolehkah aku marahi
dia sekali lagi?
“Bukan
tak percaya tapi geram dengan sikap sayang marah-marah saya pagi-pagi ni!”
katanya yang terus mengucup tanganku sekali lagi. Aku berhabisan hendak menarik
tanganku. Dia pula menarik tanganku sekuat hatinya. Pergelangan tanganku sudah
sakit tetapi dia masih memegang tanganku.
“Eh,
awak boleh tak lepaskan tangan saya! Saya tak suka awak! Saya tak suka awak!
Awak gila!” kataku sudah berteriak dengan gayanya. Dia sudah menekup mulutku
dengan tangannya.
“Boleh
diam tak? Saya tak suka awak buat macam ni. Teriak-teriak macam ni buat apa?
Nanti apa kata jiran-jiran kita!” aku sudah terketar di dalam pelukannya.
“Eh,
kenapa ni? Takkan nak peluk pun tak boleh? Tasya marahkan saya?” soalnya
seolah-olah dia tidak ada dosa terhadapku. Aku geram sangat dengan sikapnya.
Dia sudah melepaskan tangannya di mulutku. Nasib baik aku tidak menggigit
tangannya. Jika aku meradang, memang aku gigit tangannya sekuat hatiku.
“Tak
marah!” kataku dengan rasa geram. Dia sudah ketawa. Dia memang suka ketawa jika
keseronokan mengusikku.
“Sayang
memang baik sangat!”
“Pandailah
awak! Saya tak suka awak tahu!” kataku meradang dengan sikapnya. Dia ketawa
lagi. Ceria sungguh dia hari ini. Kalau dia tahu masalahku yang sebenar apakah
dia akan terus ceria? Sempat aku menyoal dalam hati.
“Tak
apalah, orang tak suka tak apalah!” katanya seperti merajuk. Dia sudah berdiri
dan memandang cermin. Dia sangka dia sudah tampan dan segak pada pagi ini,
ketika matahari hampir menjengulkan matanya.
“Baguslah!”
kataku selamba.
“Cepat
mandi, sayang. Abang pun nak mandi!” katanya.
“Awak
tak solat lagi!” kataku pula. Dia sudah pukul kepalanya. Aku tahu dia suka ditegur
dulu baru hendak buat. Fikirku sendiri.
“Hampir
saya terlupa memandang wajah manis sayang!” katanya mahu mengusik aku lagi.
“Wajah
manis si tembam kan?” kataku pula seperti mahu menyindir dia atau mengembalikan
kami berdua ke dunia kanak-kanak kami yang menyakitkan. Dia bukannya hendak
diharap menjadi pelindungku, sebenarnya dia paling jahat kerana suka mengejek
aku! Dia ketawa pula. Mungkin mentertawakan dirinya sendiri!
“Tak,
bukan si tembam! Si manis!” katanya
menukar kenyataannya.
“Dulu,
awak pula si cicak kobeng! Kurus kering macam lidi!” kataku tidak mahu kalah
dengan ejekannya. Biar dia sakit hati, ada aku kisah?
“Oh,
pandai nak ejek saya sebagai cicak kobeng ya! Awak memang nak kena sayang!” dia
sudah mengejar aku. Dulu, Nukman Faris memang kurus macam cicak kobeng. Tetapi
sekarang, tubuhnya tegap dan tinggi. Aku tidak menyamakan dia dengan sesiapa.
Aku
pula ketakutan dan aku terus berlari masuk ke dalam bilik airnya yang agak
besar itu. sebelum aku masuk ke bilik air itu, dia sudah dapat menangkap
tanganku. Aku yang sudah kepenatan
berlari hanya memandangnya dengan pandangan ketakutan.
“Eh,
apa awak nak buat ni?” aku sudah menutup mataku. Aku hendak menutup bilik air
tetapi aku tidak berjaya menutupnya. Nanti tidak pasal-pasal tanganku pula yang
tersepit di celah pintu bilik air, eh!
“Sekarang...”
aku bulatkan mata. Apa yang dia hendak buat sekarang? Tanganku sudah
dielus-elusnya lembut.
“Apa
sekarang?” soalku cepat-cepat. Aku hendak mandi pun dia ganggu.
“Mandi
dengan saya,” permintaannya itu membuatkan aku hampir pitam. Ada hati pula dia hendak mandi dengan aku.
Aduhai! Kacau-kacau! Jiwa kacau! Aku menggeleng.
“Tak
nak!” kataku sungguh-sungguh. Aku menarik tanganku. Silap hari bulan tanganku
yang kalus mulus ini pula yang akan patah.
“Kalau
tak nak, awak kena nak juga!” aku jeling dia. macamlah aku terhegeh-hegeh
hendakkan dia. bisikku dalam hati.
“Sayang
mengumpat saya kan?” aku bulat mata lagi. Terkejut dengan soalannya. Tanganku
masih dipegangnya dengan kuat.
“Lepaslah!
Sakit tahu!” kataku cuba menarik tanganku lagi. Masih kuat seperti tadi. dan,
tangannya sudah menolak daun pintu. Aku ternganga dan tidak mampu berbuat
apa-apa. Dia sudah menceroboh masuk ke dalam bilik air. Mahu tak mahu aku
terpaksa memulakan pergaduhan lagi di bilik air lagi. Aku akan siram dia dengan
gayung yang ada di bilik air ini. Namun belum sempat aku menyiram dia, dia
sudah menarik aku ke bahagian tempat mandi dan aduh, dia membawa aku sama-sama
menikmati mandi hujan dan tubuhnya yang berketul-ketul itu tidak dapat aku
bayangkan. Sepanjang mandi aku mahu menutup mataku. Apatah lagi dia sudah
menyabun tubuhku!
Ya
Allah!
“Sayang,
pernah tak mandi dengan sesiapa begini?” dalam menutup mata aku sudah
membiarkan dia menyabun tubuhku sambil aku menggeleng mendengar bisikannya.
“Sayang
tambah cantik sekarang,” bisiknya lagi.
Dia
sudah agak berubah berbanding sepuluh tahun yang lalu. Dadaku berdegup kencang
kerana dipuji begitu.