Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
142,694
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

1

RUANG berhawa dingin yang pengap itu bingit dengan bunyi muzik serta aroma rokok. Di suatu sudut, Eizhan tersandar lesu di atas sofa empuk tenggelam punggung dengan kepala yang sudah pening-pening lalat. Jantungnya berdegup laju akibat paras alkohol yang tinggi mula menguasai sistem tubuhnya. Badannya pula terasa panas berbahang. Mukanya mula memerah. Hakikatnya dia kini separuh mabuk menelan air kencing syaitan yang kuning berbuih mewah.

Pada suatu ketika, dia terasa seolah-olah hendak memuntahkan sahaja segala isi yang sudah memenuhi perutnya tetapi bagi dia yang sudah biasa meneguk minuman keras, masih mampu menahan keinginan tersebut. Apapun dia mahu tenggelam dalam kemabukan yang tidak bertepi. Kerana dengan itu sahajalah dia mampu melupakan segala masalah yang sedang membelit dirinya.

Dia mencapai gelas minuman bermuncung lebar berkaki tirus yang setia menemaninya sejak tadi lalu dibawanya hampir ke muka. Dengan penglihatannya yang berbalam-balam, direnungnya minuman beralkohol yang kekuningan itu. Tinggal sedikit sahaja lagi, tidak sampai pun dua inci ketinggiannya.

Dia mendongakkan muka lalu digogoknya air kencing syaitan itu dengan rakus hingga habis kesemuanya. Seolah-olah tidak puas hati, ditepuk-tepuknya pula buntut gelas lutsinar. Ditunggang sekali lagi muncung gelas itu ke mulutnya. Dijelirkan panjang-panjang lidahnya. Namun, tiada setitik pun air yang jatuh ke lidah.

Kemudian, dengan tidak semena-mena dia tergelak. Kuat! Seolah-olah mentertawakan kebodohan dirinya sendiri. Sekuat manapun dia terbahak dan sebodoh manapun perlakuannya di ruang yang kelam itu, tiada siapapun yang mengendahkannya. Panorama sebegitu sudah dianggap biasa. Malah, terlalu biasa! Sehingga tiada apapun yang boleh dianggap luar biasa lagi.

Itulah perlakuan orang yang otaknya sudah dikuasai oleh pengaruh alkohol, dadah ataupun pil-pil khayal. Mereka tidak dapat berfikir dengan waras. Mereka seolah-olah tenggelam dalam kegilaan yang sementara. Namun, mereka senang begitu. Rela membiarkan diri mereka terbenam seketika dalam kegilaan semata-mata untuk lari daripada kemelut yang membadai emosi.

Baby, teruknya you ni mabuk!”

Dia diterjah satu suara. Eizhan mengangkat kepalanya. Mata semerah saganya merenung perempuan yang bersuara. Pandangannya berpinar-pinar. Wajah perempuan yang berdiri di depannya kelihatan tidak jelas, berbalam-balam sahaja. Itulah bahananya meneguk alkohol dengan kadar terlampau.

“Hey, kau siapa, hah?”

Baby... sedihnya hati I. Takkan you tak kenal girlfriend you sendiri? I ni... baby... your lover! Tulah baby, banyak sangat minum sampai girlfriend sendiri pun dah tak cam.” Perempuan berblaus tanpa lengan dan berskirt pendek rona hitam itu merengek-rengek di depannya.

Teman wanita? Kekasih?

Dia memicingkan matanya. Perlahan-lahan raut wajah itu mula kelihatan jelas di retina matanya.

“Kau? Zi... Ziha!”

Dia segera menghulurkan tangan kanannya. Dia mahu gadis di depannya itu segera mencapai tangannya yang terhulur. Kerana dia tidak mahu kehilangan gadis itu lagi. Never... never ever leave me again, my girl! Don’t you dare leave me like this,Nur Naziha...

Tiba-tiba dia teringatkan lagu kegemarannya juga Nur Naziha, Boulevard, dendangan Dan Byrd. Dia bingkas dari sofa tenggelam punggung. Dicapainya tangan kanan gadis di depannya lalu mula menyanyi dengan alunan suara yang sumbang.

I don’t know why,

You said goodbye

Just let me know

You didn’t go forever my love...

Please tell me why

You make me cry

I beg you please I’m on my knees if thats

What you want me to...

Baby, dahlah tu... kawan-kawan I semuanya sedang tengok kita tu!” Protes perempuan berskirt hitam sambil tertoleh-toleh ke arah beberapa orang teman rapatnya yang sibuk memandang telatah mereka berdua.

Never! Aku tak akan lepaskan dia pergi. Never... never... never! Ziha sukakan lagu ni. Kalau dengan menyanyikannya aku mampu menghalang dia daripada melangkah pergi, ya kenapa tidak!

Never knew that it would go so far

When you left me on that boulevard

Come again you would release my pain

And we could

Be lovers again...

“Eiz, kawal diri you sikit!” Perempuan berskirt pendek yang mungkin sudah mual dengan tingkah laku lelaki mabuk di depannya mula membentak. Ditolaknya kuat tubuh Eizhan sehingga lelaki yang ‘mamai’ itu jatuh terduduk di sofa.

Mata merahnya membuntang. Dia nampak bagaimana perempuan itu hendak melangkah meninggalkannya. Dia cuba bangkit untuk mengejarnya, menahannya daripada pergi. Tiba-tiba kakinya disadung oleh seorang lelaki hingga dia tersungkur jatuh. Tersembam mencium lantai.

“Ziha, please... jangan tinggalkan Eiz, Ziha!!!”

Nama yang baru sahaja diseru oleh mulut Eizhan itu membuatkan langkah Jasmina terhenti. Dia menoleh ke belakang, ke arah lelaki mabuk yang sudah tergolek di atas lantai dewan dansa itu. Dia meluru ke arah lelaki itu lalu mencangkung di depannya. Dia tidak peduli kalau lelaki itu nampak seluar dalam merah di sebalik skirt pendek yang dipakainya.

“Ziha, please... darling. Jangan tinggalkan Eiz. Eiz sepi tanpa Ziha. Eiz menyesal, menyesal!” Eizhan meracau-racau.

Perempuan yang dipanggil ‘Ziha’ walaupun dia sebenarnya bukanlah ‘Ziha’ mula menggelegak hatinya.

“Siapa Ziha? Siapa?”

“Ziha, Eiz sayangkan Ziha! Eiz cintakan Ziha. Only you... Ziha! My love, my lover... my darling, please!

“Sial! Kau ada perempuan lain? Sial! Sial!!!” Tidak cukup dengan tangan, Jasmina menghempukkan kemarahannya dengan menghayunkan handbagnya ke muka Eizhan.

Lelaki yang sudah lemah tidak bermaya itu hanya membiarkan libasan-libasan perit menimpa mukanya. Dia bagaikan sudah kehilangan rasa. Di saat-saat begitu, dia cuma mahukan Nur Nazihanya. Dia tidak sanggup ditinggalkan Nur Naziha.

“Jas! Cukup tu, Jas!!!”

Tempikan satu suara garau di belakangnya membuatkan Jasmina berhenti memukul dan melibas wajah Eizhan. Matanya membuntang merenung lelaki yang baru sahaja menyuruhnya berhenti seketika tadi. Dia segera berdiri lalu berundur beberapa langkah ke belakang.

“Err...Jeff? You ada kat sini? Hmm... biar I jelaskan pada you apa sebenarnya yang dah jadi.”

Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Pergi ajelah! You tak payah nak explain apa-apa pada I!”

“Tapi Jeff, Eiz...”

“Pergi... pergi!!! I nak tak dengar sepatah perkataan pun dari you.”

“Tapi Eiz sebut nama perempuan lain. I tak boleh terima, tak boleh!” Jasmina menjerit, meluahkan isi hatinya.

“You tengok keadaan dia, Jas. Dia dah tak ingat apa-apa pun. Dia dah tenggelam dalam kemabukannya. Sanggup you pukul boyfriend you sendiri macam tu?” Pemuda itu menghentak persoalan.

“Baik you balik ajelah, Jas. Sebelum you pun hilang kawalan diri macam dia. Bilalah kau orang berdua ni nak insaf?”

Jasmina mendengus. Kuat. Namun dia yang tidak berani bersuara lagi terus berundur meninggalkan Eizhan. Dari jauh dia melihat sahaja Jeffri memapah Eizhan keluar dari disko yang bingit itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.