Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 38

 

Kuro memerhati Hisamiko dan Shiro dari balik pokok hutan gelap.

 

Tidak syak lagi, gadis itulah yang menolak Nozomi ke dalam laut! Gerutunya dalam hati.

 

Setibanya aku di tebing tinggi, aku nampak mayat Nozomi terbaring di atas kapal itu. Dia menolaknya selamba bersama mayat-mayat lain. Aku bingkas terbang menjunam ke dalam laut dan menarik keluar mayat Nozomi. Mujur aku sempat. Jika tidak mereputlah ia di dalam.

 

Jelas gadis ini yang membunuh Nozomi. Mengapa, apa salahnya? Apa salahnya?

 

Nozomi bangunlah... Kuro menggoncang-goncang tubuh kaku beryukata putih itu.

 

Mengapa Nozomi tidak lagi berbau buah momo? Bahkan...

 

Kuro memerhati mayat Nozomi yang dibiarkan di lantai hutan berhampiran tempat dia berdiri. Rambut Nozomi kembali hitam seperti dahulu, seperti lima ratus tahun dahulu. Taringnya sudah hilang. Baunya bau daging yang menyelerakan, namun dilapisi bau busuk mayat tatkala ia mulai mereput. Ulat-ulat sudah mula mengerumuni dan berkenduri di sekeliling tubuh dan menyelinap memasuki rongga-rongga tubuh.

 

Bahkan aku mengesan bau momo itu dari tubuh gadis itu pula. Bau yang sekian lama datang dan dihidu dari tubuh Nozomi, kini datang dari tubuh gadis yang sedang duduk menangis di hadapan kubur-kubur itu.

 

Mengapa aku begitu bodoh. Nozomi-ku telah mati lama dahulu. Dia telah mati lima ratus tahun dahulu! Aku telah diperbodohkan oleh Kaisenjyo, penunggu pulau ini, nampaknya. Nozomi telah mati selepas dia terjun dari tebing itu! Dia telah mati sejak kala itu lagi!

 

Kuro menekup muka pada tanah. Dia menderam geram. Tatkala reda sedikit gundah-gulana, dia ansur mengorek tanah di sebelah jasad Nozomi.

 

Kuro menolak perlahan-lahan mayat Nozomi dengan kaki hadapan dan mulutnya, dan mengambus jasad itu. Sebuah pengebumian yang sepatutnya telah dilakukan lima ratus tahun dahulu, namun tertangguh sehingga ke saat ini barulah dilangsaikan.

 

Kuro berbaring di sisi kubur Nozomi.

 

Nozomi maafkan aku. Maafkan aku, selepas lima ratus tahun engkau pergi baru sekarang engkau bersemadi dengan aman di dalam perut bumi. Kerana mementingkan diri aku membiarkan engkau dipergunakan Kaisenjyo selama lima ratus tahun. Aku membiarkan jasadmu terseksa dipergunakan roh jahat itu semata-mata agar engkau sentiasa berada di sisiku. Sungguh aku pentingkan diri! Sungguh aku tidak menghormati pemergianmu!

 

Tiada nyawa kedua di dunia ini. Hanya rasukan. Hanya semangat yang merasuk, semangat pulau ini yang bernama Kaisenjyo itu. Nozomi mati kerana sumpahannya. Nozomi mati kerana sumpahannya telah meragut aku dari hidupnya. Aku akan membunuh Kaisenjyo. Aku tahu di mana semangat itu berada. Bau momo-nya.

 

Aku tahu Kaisenjyo sedang menempati gadis itu separa. Dia sedang bertarung merebut jasad gadis itu dengan rohnya.

 

Kaisenjyo di mana engkau? Keluarlah. Jika engkau di dalam tubuh gadis itu sekarang, keluarlah. Aku akan tamatkan riwayatmu. Atau aku terpaksa korbankan gadis itu. Tidak jika aku korbannya, Kaisenjyo akan menempati tubuhnya penuh. Bagaimana aku harus menghapuskannya?

 

**

 

“Oh, di sini engkau Kuro?” Kedengaran suara Tomokazu menegur dari belakang. Kuro sedang berbaring di atas tebing tinggi mengadap laut, di tempat Tomokazu tinggal.

 

Kuro memberitahu dengan menulis pada tanah. “Gadis bertaring dalam yukata putih itu sudah tiada.”

 

Sou?” Riak wajah Tomokazu kehairanan. Ada kegembiraan juga terselit kerana selepas ini tiada lagi kelibat itu yang sekali-sekala muncul mengugutnya.

 

Sou. Ia hanya jasad seseorang yang digerakkan seolah boneka oleh penunggu pulau ini. Sekarang penunggu itu di dalam tubuh jasad lain.”

 

“Jasad lain?”

 

“Salah seorang gadis yang kitaperhati selama ini.”

 

“Oh begitukah?”

 

“Aku akan membunuh gadis itu Tomokazu.”

 

He? Engkau pasti penunggu itu akan turut terhapus?”

 

Kuro terhenti menulis pada tanah.

 

Hisamiko muncul di hadapan mereka.

 

“Oh Tomokazu, Kuro. Sekarang kalian telah mengetahui rahsiaku nampaknya.”

 

Kuro menggerutu. Taringnya terserlah, rahangnya sedikit terangkat. Dia bangkit dari perbaringan. Amarah menggelora, Kaisenjyo di hadapannya selama ini telah berdusta dan memperguna jasad Nozomi demi memperdayanya.

 

“Kuro, engkau marah denganku?” Kaisenjyo menyoal sinis dengan suara Hisamiko yang sedang bermata putih. “Engkau mahu membunuhku sekarang? Cubalah. Jasad ini telah dijanjikan Amaguri buatku. Aku tidak akan terkalahkan. Bahkan jika engkau membunuhnya, aku dapat menempatinya penuh!”

 

Mata hitam Hisamiko kembali memusat dan dia terkesima melihat haiwan hitam dan seorang lelaki yang tidak pernah dilihatnya, di atas tebing tinggi berlainan dari yang selalu dilawati, yang ada kubur abangnya itu. “Eh, di mana aku? Kalian? Siapa kalian?” Soal Hisamiko.

 

“Engkau duduk diam Hisamiko!” Kaisenjyo kembali menengking dengan suara Hisamiko. Mata Hisamiko kembali memutih. Kaisenjyo kembali menguasai jasadnya.

 

Tomokazu memerhati dalam keanehan. Dia faham kini. Dia tabib dan pernah menghadapi situasi sama. Ia rasukan. Hisamiko sedang dirasuk.

 

“Kaisenjyo sedang merasuk jasad gadis itu.” Ujar Tomokazu kepada Kuro. “Aku akan cuba mengeluarkannya. Selepas itu aku akan tamatkan riwayatnya sendiri.”

 

Kuro menyoal dengan menulis pada tanah, “Engkau yakin boleh melakukannya?”

 

“Aku cuba. Sekarang dengar perancanganku. Umpan dia sehingga ke tepi lubang itu. Di tempat di mana banyak pokok yang berbuah lebat dengan buah seperti momo tumbuh berkelompok. Engkau bawakan budak perempuan ini ke sana, aku akan menunggu kalian di sana.” Hanya di sana sahaja aku dapat menerobos ke dalam benak Hisamiko dan mencungkil Kaisenjyo keluar. Jika sebelum ini Kaisenjyo bebas bergerak dalam jasad Nozomi, maka sekarang tidak lagi tatkala Hisamiko koma dan Kaisenjyo bertarung dengan rohnya. Aku boleh melakukannya di bawah pokok momo. Seperti rahsia Amaguri yang kubaca di dalam kitab tinggalannya itu, di sinilah sihir Kaisenjyo akan dipatahkan.

 

Kuro mengangguk.

 

Pokok yang berbuah seperti momo? Di tepi lubang itu? Ia seperti pernah kulawati di sini. Oh ya, aku teringat, getus Kuro. Ia kisah lama dahulu, terlalu lampau, terlalu dalam di dalam gaung memori. Aku hampir melupakannya kisah lima abad lalu. Di situlah, di situlah aku pernah memetik buah-buah untuk Nozomi, getus Kuro. Dan di lubang itulah aku telah terjatuh dan disumpah sehingga menjadi haiwan ini.

 

Kuro melompat dan cuba menerkam Hisamiko yang sedang dirasuk Kaisenjyo. Hisamiko mengelak sepantas kaminari jurus empat. Ternyata Kaisenjyo arif memanfaatkan tubuh Hisamiko beserta kemahiran bertarungnya.

 

Namun Kuro lebih pantas dan tubuh besarnya mudah memerangkap tubuh kecil Hisamiko. Kaisenjyo yang masih membiasakan diri dengan tubuh baru itu tersilap satu dua langkah. Sebaik kesempatan tiba, Kuro menerkam dan memeluk Hisamiko. Gadis yang masih dirasuk itu meronta-ronta namun sebaik Kuro menekup mulutnya beberapa ketika dia pengsan. Kuro kemudian terbang membawa Hisamiko ke tempat yang dinyatakan Tomokazu, iaitu kawasan di mana pokok berbuah tumbuh berkelompok di dalam hutan gelap itu.

 

Shiro tiba-tiba datang melompat dari atas dan merempuh Kuro. Kuro terbaring sedang Hisamiko masih kejap dalam pelukannya.

 

Kuro terkesima. Dia memandang haiwan putih itu yang sedang menayang taring dan bersedia bertempur, di hadapannya. Matanya berkilau disinar mentari kelam dari celah kanopi rapat. Bulunya putih bersih. Ada sayap di belakang badannya yang sedang cuba disorokkan selepas digunakan bagi memperlahankan impak terjunan. Haiwan putih ini serupa benar dengan dirinya. Pertama kali Kuro bertemu haiwan serupa di pulau ini, meski warna berlainan.

 

Shiro bersedia bertempur bila-bila masa. Dalam berdiri dia mengamati haiwan hitam di hadapannya yang belum pernah ditemukan itu. Ia serupa dengan dirinya, meski warna berbeza. Mengapa Hisamiko berada bersamanya?

 

“Serahkan gadis itu kepadaku.” Dengus Shiro, namun ia difahami Kuro.

 

“Siapa engkau?” Soal Kuro, juga berbunyi dengusan seperti serigala namun difahami Shiro.

 

“Aku rakannya.”

 

“Oh rakannya? Dengar sini, anjing –”

 

“–Aku bukan anjing. Namaku Shiro. Dan aku pasti engkau punya nama juga bukan? Siapa namamu?”

 

“Kuro.”

 

“Kuro-san, serahkan gadis itu kepadaku sekarang.”

 

“Serahkan kepadamu? Dan engkau mengaku engkau rakannya? Apa buktimu?”

 

Grrr... gerutu Shiro.

 

“Baiklah, baiklah Shiro.” Kuro beralah, enggan memanjangkan pertelingkahan. “Rakanmu ini sedang dirasuk. Aku mahu membawanya untuk dirawat.” Kuro mencipta alasan. Dia mahu ke pokok itu secepat mungkin demi mengeluarkan Kaisenjyo dari jasad Hisamiko dan membalas dendam untuk Nozomi.

 

“Di mana?”

 

“Ikutku.”

 

“Mengikutmu? Mengapa aku perlu mempercayaimu?”

 

“Shiro-san, ikutku sahaja. Aku tidak akan mengapa-apakan gadis ini.” Kuro menegaskan dengan bersungguh-sungguh.

 

Shiro memaksa diri mempercayai haiwan hitam seperti dirinya itu. Berbagai persoalan bermain di benak. Apakah haiwan hitam itu? Mengapa fizikalnya benar-benar serupa dengan dirinya? Mengapa ia boleh bertutur bahasa sama dengannya dan ia dapat memahaminya? Bahkan haiwan hitam itu satu-satunya makhluk yang dapat bertutur langsung dan memahami pertuturannya sejak ia disumpah menjadi anjing putih berbulu lebat ini.

 

“Dari mana asalmu, Kuro-san?” Soal Shiro.

 

“Aku terdampar di sini lama dahulu.”

 

“Bila?”

 

“Era Ashikawa.” Kuro menceritakan kisahnya yang dibuang ke laut bersama Nozomi sehingga kisah mereka terdampar di pulau ini.

 

“Aku terjatuh ke dalam lubang itu dan aku dikambus entah siapa.” Kuro menuding dengan kaki hadapan ke arah lubang tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Mereka sudah tiba berhampiran kawasan yang ditumbuhi pokok-pokok berbuahkan buah serupa momo.

 

“Maka engkau berusia sekurangnya lima ratus tahun?”

 

“Benar.”

 

Melopong Shiro. Ini bererti sumpahan itu bakal memanjangkan umurnya. Dia pasti dia turut disumpah seperti Kuro. Kejadian yang dialami puluhan tahun lampau amat serupa seperti kisah Kuro.

 

**

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov