Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 46

 

Mata baginda membulat, mulut melopong sedikit mendengarkan khabar dari Seiji itu.

 

“Mengapa Yoshihisa tidak memberitahu beta hal mereka... memang beta menghantar tentera mengejar mereka namun beta juga menghantar orang agar memastikan mereka tidak dibunuh namun dipenjarakan di tempat tersembunyi, tersembunyi dari kazoku.

 

“Ya. Orang yang Heika hantar itu, Koisou, iaitu salah seorang pelombong, dibunuh oleh mereka yang mengkhianati syarikat, ketika berlaku perang kecil antara kumpulan Yato dengan para pelombong yang tidak sebulu dengannya.”

 

“Malang nasibnya. Dia tahu kaminari, namun entah apa silapnya dia boleh terleka.”

 

“Sarumichi melaporkan Koisou dijaring seseorang ketika menyelinap dalam dek kapal tatkala sedang mengejar lawannya, dan disuntik racun anti-kaminari, racun sama yang membunuh Ryouji. Dia sempat memotong jaring itu dan teruskan bertarung dalam dek yang sempit dan gelap, kemudian rebah dan mati tiba-tiba.”

 

“Seiji, abadikan nama Koisou di makam pahlawan kita. Kurniakan pampasan sewajarnya kepada waris-warisnya.”

 

“Perintah dijunjung Heika.”

 

“Namun bagaimana dengan Sarumichi?” Soal baginda.

 

“Sarumichi ditangkap orang-orang Yato. Yoshihisa mengarahkan orang-orang Yato tidak membunuhnya. Sarumichi memberitahuku, Yoshihisa mencurigainya. Dia merasakan orang tua itu mahu memerhati dan mungkin memanfaatkannya.”

 

“Mungkin Yoshihisa mengesyaki Sarumichi adalah mata-mataku.”

 

“Barangkali. Orang tua itu licik.”

 

“Tentang beradik Okuhida, mereka telah berjasa kepada beta dan negara ini. Beta hanya mahu menahan mereka dan melindungi dari orang-orang kazoku, hanya itu tujuan beta menghantar mereka keluar dari Jepun.”

 

“Akan tetapi Tuanku harus beringat ahli kazoku telah bersepakat dan Heika telahpun bersetuju agar mereka dibunuh. Jika kazoku mengetahui semua perancangan Heika ini, habis Heika. Habis pembaharuan Heika selama ini. Semua ini tinggi risikonya terhadap takhta Heika.”

 

“Benar Seiji. Disebabkan itu beta harus lebih berhati-hati dan menaruh sepenuh kepercayaan beta pada engkau Seiji. Beta faham betapa kazoku mahu mempertahankan takhta beta namun jangan dilupakan jasa beradik Okuhida menumpaskan penderhaka Ayame itu. Beradik Okuhida tidak menderhakai beta seperti Saisho, perjuangan mereka ikhlas. Selepas perang mereka terus berada di sisi beta setia melindungi. Beta hanya menggerakkan tentera mengejar mereka demi menjaga hati ahli kazoku yang mempercayai ramalan Amaguri bahawa gadis Okuhida itu akan memusnahkan takhta beta.”

 

“Oh.” Maharaja menekup wajahnya sambil bertelekan dialas meja. Rasa bersalah terhadap Hisamiko menyelubung baginda. Malang gadis itu ditinggalkan seorang di pulau sedang abangnya dibunuh. Malang. Apakah dia masih hidup? Sedang gadis itulah yang menyelamatkan nyawa baginda berkali-kali dari para pemberontak yang cuba mencuri peluang membunuh baginda. Apakah dia sedang diapa-apakan binatang yang dikatakan Yoshihisa? Atau diapa-apakan pembunuh yang dikatakan Yoshihisa itu?

 

Baginda memagut dada seolah dicucuk jantungnya. Perit menikam-nikam urat pembuluh. Ada rasa sakit yang berakar dari sanubari menjalar mencucuk urat dan daging.

 

“Heika!” Seiji meluru seraya memaut tubuh Maharaja yang hampir terlungkup ke arah meja di hadapan.

 

“Oh, beta tak apa-apa.” Baginda memegang birai meja dengan kedua-dua belah tangan dan menolak tubuhnya kembali bersandar pada kerusi, dibantu Seiji. “Hanya sakit sedikit di dada.”

 

“Tuanku berehatlah dahulu, kita boleh sambung berbincang kemudian.”

 

Baginda mengangkat tangan meminta Seiji mendengar permintaannya.

 

“Ya, Heika.”  

 

“Beta mahu Yoshihisa membawa pulang gadis Okuhida itu hidup-hidup. Pastikan ahli kazoku tidak mengetahui perkara ini.”

 

Entah apalah nasib gadis itu, getus baginda. Dia dibiarkan berseorangan sedangkan pembunuh yang dikatakan Yoshihisa itu masih berkeliaran.

 

“Jadi, apakah Tuanku bersetuju dengan cadangan Yoshihisa agar menakluk pulau itu?”

 

“Oh ya. Sebelum itu beta mahu bertanyakan sesuatu. Apakah bekalan senjata dan tentera kita masih mencukupi?”

 

“Ya. Semakin ramai petani dan bekas samurai menyertai sekolah tentera Tuanku di sini. Mungkin kerana yurannya lebih murah. Namun begitu, patik fikir jika Tuanku berkenan menakluk Yumejima, ada baiknya perancangan menakluk Joseon ditangguh dahulu seperti Tuanku telah bertitah berkenan tadi.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Patik mendengar Amerika dan Rusia juga merancang menakluk pulau itu, dari rakan pedagang patik. Bala tentera simpanan diperlukan jika mereka mendahului kita. Senjata mereka masih jauh mengatasi senjata kita juga. Namun usah Tuanku risau, mereka masih dalam proses perbincangan dan belum memutus menghantar tentera. Kita punya masa dan jarak kita dari pulau itu lebih dekat berbanding mereka. Tentera kita sudahpun bersedia, mujur juga kerana pemberontakan beberapa tahun lepas mendorong kita membangunkan mereka.”

 

“Baiklah Seiji. Beta akan tetapkan keputusan persetujuan beta untuk menakluk Yumejima dalam masa dua hari. Namun beta perlukan lebih maklumat. Usahakan kumpulkan sebanyak mungkin dalam masa dua hari ini, Seiji.”

 

“Perintah dijunjung, Heika.” Seiji mengundur diri.

 

“Seiji.”

 

“Ya Heika.”

 

“Beta sendiri akan khabarkan kepada Yoshihisa dua hari dari sekarang keputusan beta.”

 

“Perintah dijunjung Tuanku.”

 

Dua hari kemudian, selepas meneliti maklumat-maklumat tambahan dari para pengintipnya beserta Seiji, baginda memutus memperkenan penaklukan Yumejima. Yoshihisa dipanggil dan diarah melakukan persiapan dalam masa setahun. Baginda juga menganugerahkan beberapa projek landasan keretapi kepada Yoshihisa. Yoshihisa berjaya mempercepat dan mengikat perjanjian dengan beberapa pembekal besi sebelum projek landasan itu dimulakan tidak sampai enam bulan dari tarikh penganugerahannya.

 

Menjelang 1878, tentera dan segala kelengkapan senjata dan kapal sudah dipersiapkan. Dalam musim bunga, mereka akan memulakan pelayaran. Mereka merancang menakluk Yumejima sebelum musim sejuk tahun itu tiba.

 

**

 

Di Yumejima terdapat sebuah bukit magnet, iaitu bukit hitam dalam jajaran bukit-bukau yang mengelilingi lembah rahsia. Medan magnet yang dikeluarkan oleh bukit ini amat kuat sehingga boleh menarik jarum kompas pelayar ke arahnya. Namun sebahagian dari permukaan bukit ini diselaputi sejenis batuan persis ferit, yang berperanan memesongkan medan magnet itu ke arah pusat bukit menyebabkan bahagian yang diselaputinya tidak memberi kesan kepada kompas pelayar dari luar.

 

Gempa yang kuat tempoh hari telah meruntuhkan selaput ferit di permukaan bukit itu. Medan magnet dari bukit itu mula terbebas sepenuhnya dan mempengaruhi jarum kompas pelayar-pelayar dari semua arah.

 

Asap yang semakin tebal dari gunung berapi di pulau itu tambah memudahkan pelayar menjejakinya, bersekali dengan pemesongan jarum kompas. Jika rombongan pedagang yang dibunuh Hisamine dahulu mengesan pulau ini dengan jarum kompas, maka rombongan lain barangkali akan mengesan dengan asap tebal dari gunung berapi pula.

 

Hisamiko semakin kerap berlatih kemahiran pedangnya sejak kematian Hisamine. Dia semakin takut dan semakin bersedia terhadap sebarang pencerobohan. Dia nekad, bersama Shiro, akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba mendekati pulau itu. Meski pesan abangnya masih terngiang di benak, dia cuba mengabaikan. Dia telah menumpahkan darah. Hatinya semakin keras.

 

Onii-san tidak akan memarahiku. Aku sedang melindungi diri bukan? Bukankah onii-san membenarkan aku menumpahkan darah demi melindungi diri? Begitulah fikir Hisamiko.

 

Setiap kali dia menghayun pedang di lembah rahsia, dia menyedari daya yang tidak kelihatan senantiasa menarik-narik pedangnya.

 

Dia menyedari daya itu datang dari bukit hitam. Hisamine pernah meletakkan pisau di atas batu dan menunjukkan pisau itu berpusing agar mata logamnya sentiasa menghala ke arah bukit hitam. Daya halimunan yang memusingkan pisau itu ialah medan magnet yang terbebas dari bukit magnet namun mereka tidak mengetahuinya meski memahaminya. Hisamine pernah menunjukkan fenomena ini kepada Hisamiko dahulu.

 

Hisamiko mula menggunakan daya tersebut sebagai alat berlatih; dengan cara memotong dan melawannya dengan menguatkan hayunan pedang. Setiap kali pedangnya memotong daya itu, kelihatan bunga api memercik keluar (tenaga elektrik) dan pedangnya menjadi panas.

 

Jika dia meletakkan pedangnya pada kayu dan dedaun kering, ia terbakar. Hisamiko tidak memahami semua fenomena ini secara saintifik, namun dia tahu akan kewujudan sejenis batu yang dikenali sebagai magnet dari Hisamine dan batu itu digunakan oleh pelayar dari empayar Qing di tanah besar untuk membuat kompas. Dia tahu salah satu bahan di dalam pedangnya ialah besi iaitu bahan yang terkesan dengan medan magnet.

 

Tatkala dia menggabungkan kepantasan kaminari dengan medan magnet, kuasa elektrik yang lebih besar terhasil pada pedangnya. Segala apa yang disentuh bilah itu akan terbakar serta-merta.

 

Dia cuba mendekatkan bilah yang telah ‘dicas’ itu dengan Shiro, namun bulu putihnya mengerbang tiba-tiba. Shiro kebingungan seraya bertanya dengan menulis di atas tanah seperti biasa, “Apa yang kau dah lakukan Hisamiko?”

 

Hisamiko hanya menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. “Ia kuasa dari bukit hitam itu mungkin.”

 

“Kuasa bukit?”

 

“Aku tidak pasti. Akan tetapi setiap kali aku melibas pedang menentang daya penarik besinya, pedang ini seolah mengaut kuasa itu. Jika aku mendekatkannya pada kayu kering, ia keluar sebagai api. Jika aku mendekatkan dengan bulumu, ia menariknya.”

 

“Shiro.”

 

Shiro menggerutu menyahut.

 

“Kita akan bunuh sesiapa sahaja yang akan mendekati pulau ini. Apakah engkau masih bersetuju dengannya bersamaku?”

 

Shiro menulis pada batu menggunakan sisa kayu api yang sudah berarang, “Ya. Aku bersetuju.”

 

Hisamiko menguntum senyum. Namun matanya sungguh kosong dan kelam. Anak matanya hitam dan besar. Wajahnya meski putih namun serinya sudah sama sekali hilang, putih dan pucat seperti mayat atau patung gangsa di kuil Buddha. Tiada cahaya lagi terzahir pada mata itu. Ia renungan penuh kebencian, penuh keputusasaan. Shiro mengamatinya. Dia pernah merasa berputus asa satu ketika dahulu. Dia juga pernah membenci manusia, tatkala ibunya dibunuh samurai yang memiliki tanah padi mereka. Namun dia telah membunuh samurai itu, dan bencinya termati saat itu dan hanya kepada manusia jenis itu. Hanya manusia yang membencinya kini, kerana tamak haloba. Rakan-rakan sekapal itulah.

 

Namun dia tidak pernah merasai kebencian seperti yang terpancar pada raut Hisamiko. Ia bercampur-aduk dengan keputusasaan. Benci itu tidak melayakkan Hisamiko kembali ke mana-mana tamadun dan benci itu tunggal mewajarkannya agar terus terkurung, dikurung dan terasing dari semua manusia. Seperti ramalan itu. Ramalan Amaguri yang dicanang-canang sekian lama di tanah Yamato. Bahawa Kaisenjyo harus dikurung di pulau terasing. Kaisenjyo? Bukankah Kaisenjyo telah mati? Mengapa Hisamiko begitu padan benar dengan Kaisenjyo yang telah diramalkan Amaguri itu? Apakah Hisamiko adalah sebenar-benar Kaisenjyo yang dimaksudkan Amaguri?

 

Namun dengan Hisamiko di sini, aku tidak peduli kebencian manusia terhadapku dan kebencian Hisamiko terhadap manusia. Aku dan dia sama. Aku perlu disisihkan dan Hisamiko perlu disisihkan. Dengan kayu persamaan ini kami berpaut agar terapung di samudera kehidupan yang bergelora. Dengan persamaan ini aku harap aku berpeluang meraih cinta Hisamiko dan Hisamiko hanya akan memandangku.

 

Demi Hisamiko akan aku turutkan kebenciannya, kemahuannya. Demi Hisamiko.

 

**

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov