Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 52
Bab 52 (Epilog)


 

Keadaan kembali sunyi. Mayat-mayat tentera rentung hitam hanya mengeluarkan sisa asap. Hingar dari air terjun panas memenuhi suasana. Hari kian petang. Asap dari bukit berasap masih kekal pada ketebalan biasa. Tiada tanda ia akan meletus hari ini. Angin laut berhembus membawa bau belerang dan hangit dan hanyir darah keluar dari lembah ini.

 

Hisamiko mengangkat tangannya memegang pipi Shiro yang berbulu-bulu itu. Tangannya kian sejuk dan membiru. Taring dari mulut Shiro gugur tidak semena-mena. Hidung dan rahangnya mengecut. Bulu-bulu putih di muka dan tubuh turut gugur sedikit demi sedikit. Telinga yang meruncing mengecut dan mengambil bentuk telinga manusia. Wajah Shiro berubah beransur-ansur membentuk wajah seorang lelaki yang berusia sekitar empat puluhan, tubuhnya lengkap beryukata lusuh seorang ronin berwarna kelabu. Air mata mengalir menuruni pipinya tatkala dia memandang Hisamiko yang sudah nyawa-nyawa ikan.

 

“Engkau... siapa?” Soal Hisamiko dalam lemah.

 

“Genjirou. Arigatou Hisamiko. Kasihmu telah meleraikan sumpahan pulau ini terhadapku.”

 

“Sumpahan...apa...?”

 

“Satu-satu sumpahan yang tidak terhapus meski Kaisenjyo sudah tiada. Ia hanya terhapus dengan kasih. Aku tiada kasih sehingga aku bertemumu. Arigatou Hisamiko.”

 

Maka Shiro ialah lelaki ini? Kesialan apakah ini? Jadi, aku selama ini dipeluk digomol seorang lelaki?

 

Kejijikan membayangkan kembali selama ini dia dipeluk seorang lelaki asing menjalar merayap ke segenap tubuh. Namun apa gunanya semua itu lagi. Dia di hujung nyawa kini. Mahu muntah sekalipun tiada upaya.

 

Hisamiko hanya senyum tawar mengenangkan kata-kata Genjirou sebentar tadi. Kasih? Dalam hati dia menyoal dirinya apakah dia benar-benar kasihkan Shiro? Lagi pula Shiro kini ialah seorang lelaki asing. Juga dia seorang manusia lelaki. Mungkin dia mengambil kesempatan ke atas diriku dalam hari-hari aku dipeluknya itu. Kasih? Hanya jijik yang kurasa. Jijik memikirkan yang dia mungkin mengambil kesempatan ke atasku. Aku benci manusia. Seperti aku katakan dahulu, jika aku berupaya akan aku bunuh semua manusia sehingga yang tinggal hanya aku dan Shiro.

 

Apa gunanya lagi semua ini. Shiro telah tiada. Shiro hanyalah sebuah sumpahan, sebuah fantasi, angan-angan dan mimpi yang panjang. Lelaki ini adalah realitinya. Dan aku pula akan mati tidak lama lagi.

 

Dia mengerut dahi menahan perit di kepala dan kakinya. Seluruh dalamannya bagai dicucuk pedang. Dia dapat merasakan hayatnya bakal berakhir sedikit masa lagi.

 

Dia mengenang kembali hidupnya. Apakah masih ada suka dalam ceritera panjang yang melankoli ini? Dia menggeledah kotak memori, cuba mencari sisa-sisa gembira jika boleh dia sandarkan makna pada hidup penuh ranjau dan onak duri ini. Wajah onii-san yang telah lama pergi cukup memedihkan. Onii-san aku rindukan engkau. Aku akan bertemumu onii-san sebentar lagi. Tsuneki. Aku rindukan engkau. Pemergianmu terlalu pedih sehingga saat ini aku masih merasakannya.

 

Hisamine. Hisamine. Hisamine. Apakah ini yang kaurasakan saat akhir hayatmu? Apakah engkau masih ada saat gembira yang boleh kaujadikan makna? Apakah aku yang terlibat dalam saat gembiramu itu? Atau ada insan lain yang lebih bertakhta di hatimu?

 

Hisamiko memandang sekeliling panorama lembah. Dia telah memandangnya sebelum lelap keletihan hari ini. Dia mengulang pandang, dan tatkala bayu laut berhembus menghantar kelopak sakura dan bunga pokok buah aneh merah-kuning melintas wajahnya, harumnya menusuk rongga hidung dan nyamannya angin meredakan keperitan jiwa dan jasad. Menikmati keindahan ini saat akhir hayat dirasakan amat berlainan sekali. Ia lebih dihargai, lebih didalami setiap butir-butir, setiap perinci warna dan bau dan rasa dan suhunya. Apakah ada syurga yang lebih indah dari tempat ini?

 

Aku gembira. Aku gembira kerana bertemu tempat ini. Aku gembira bertemumu Hisamine, aku gembira bertemumu Shiro. Meskipun engkau Shiro telah berubah kepada insan lain. Aku gembira kerana meskipun engkau telah tiada, kasihku terbukti. Aku mampu membahagiakan insan lain. Aku mampu meleraikan sumpahan itu. Aku telah melangsaikan hutang kasihku. Sesungguhnya hidupku tidak sia-sia.

 

Yume mitainda (seperti mimpi).” Hisamiko mengulang-ulang patah itu sambil mata tidak lekang dari menatap panorama lembah. Dia menamatkan imbasannya pada wajah Genjirou.

 

Arigatou, Genjirou kerana menemaniku hingga saat ini. Sayounara.” Hisamiko memejamkan mata dan menghembus nafas terakhirnya. Butir-butir air mata gugur dari wajah itu meresap ke dalam bumi. Senyum terukir di bibirnya. Derita yang ditanggung sepanjang umurnya lebur oleh bahagia yang dilakar di sini. Putik sakura berguguran menutupi bibir dan matanya. Genjirou tidak dapat menahan sebak, meraung sambil memangku mayat Hisamiko.

 

Genjirou, seorang lelaki yang merupakan pembunuh puluhan tahun lampau, yang membunuh kesemua rakannya kerana tamakkan emas di pulau itu. Kerana cinta kepada seorang wanita, dia berubah kembali menjadi dirinya dan sumpahan pulau itu ke atasnya kini berakhir.

 

**

 

Tentera Maharaja yang masih berbaki tiba di lembah rahsia, namun mayat Hisamiko sudah tiada. Genjirou sudah membawanya pergi.

 

Namun tentera Maharaja sudah terlambat. Gempa tidak semena-mena mengucarkacirkan tentera-tentera itu. Ia disusuli letusan gunung berapi memuntahkan lahar dengan ganasnya. Seluruh pulau itu lenyap sekelip mata.

 

Genjirou yang sedang bersembunyi, sebaik menyedari semua tentera yang berkawal di pesisir sedang bergegas ke lembah rahsia itu, telah mengambil salah sebuah bot dan melarikan diri bersama mayat Hisamiko. Nyawanya masih panjang. Di belakangnya hujan abu dan asap semakin menyelubung sekitar.

 

**

 

Yoshihisa tergamam setelah mendapat berita kemusnahan pulau Yumejima bersama pekerja-pekerja syarikat dan para tentera Maharaja yang dihantar di bawahnya dan ditinggalkan di pulau itu.

 

Dia menaiki kapal udara yang dibeli dari pedagang Barat untuk ke Yumejima bersama beberapa orang pekerjanya. Di udara, dia ternampak seseorang sedang berpaut pada sebatang kayu. Yoshihisa menyedari orang itu Genjirou lantas melaungkan namanya. Genjirou mengalami lecuran yang teruk di kakinya, dan diselamatkan. Mayat Hisamiko dituntut Yoshihisa dan dikebumikan di sebuah perkuburan yang dirahsiakan di Kyushu.

 

Genjirou terhutang budi dengan Yoshihisa maka dia tidak merancang untuk membalas dendam. Genjirou tidak pernah memberitahu bahawa dialah anjing putih itu. Genjirou bercadang mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sebuah kampung di pedalaman Jooryoku. Yoshihisa menyedekahkan tanah yang dimilikinya di Jooryoku untuk Genjirou. Genjirou akhirnya mati akibat jangkitan kuman pada kesan lecuran di kakinya selepas setahun setengah menderita.

 

**

 

Seorang lelaki tua, berpakaian seperti aristokrat Prussia, melempar renungan sejauh-jauhnya ke luar jendela. Kerusi kayu eboni besar dan berbaldu menghampar punggung. Curut di tangan melukis asap putih berkepul-kepul memenuhi segenap bilik kayu berukiran ala rumah bangsawan Barat yang agam ini. Muncung curut disedut, mata terpejam kenikmatan, lantas dihembus asap sisa ke luar jendela. Tatkala asap menebar jauh ke udara hilang ditelan angin yang bertandang, panorama di hadapan kembali jelas. Kala itu juga, memori dua dekad lepas kian jelas dan kembali menggoncang raga.

 

Memori itu datang dan pergi. Namun belakangan ini, ia kembali mengganggu benak kerap pula. Kala bisnesnya sudah mendatar, dan kian stabil, dan dia kini menyerahkan kian banyak tugas-tugas dalaman syarikat kepada pegawai bawahan, dia kian lapang namun masih kekal memiliki pegangan. Hidupnya kenyang. Hidupnya stabil. Lebih banyak masa senggang, lebih ruang untuk bernafas. Juga lebih ruang untuk benak memutar kembali kisah-kisah lalu yang membelenggu, kian jelas dan kian merengsakan.

 

Dan kemudian, apa lagi yang ingin kaugapai, Yoshihisa? Engkau telah memiliki segala-galanya, getus dirinya.

 

Segala-galanya? Tidak. Aku masih terbelenggu oleh masa silam. Aku cemburu. Aku melihat wajah gadis itu yang dibawa pulang mayatnya. Mengapa dia senyum? Seolah-olah dia menyindirku.

 

Engkau menyedihkan, orang tua. Begitulah seolahnya wajah itu bersuara.

 

Yoshihisa memandang fotograf hitam putih keluarganya, iaitu isteri dan anaknya yang pernah ditinggalkan di Kyoto dahulu, terpampang di atas meja eboni. Dalam foto itu mereka lengkap berpakaian tradisional dengan dia duduk terkangkang di atas kerusi memakai kimono ber-haori dan seluar hakama dan menongkat kedua-dua tangan dengan sebilah pedang samurai bersarung, sedang isteri dan anaknya berdiri di kiri dan kanan.

 

Hatinya sudah kering. Dia sudah lama melepaskan mereka berdua dari kepala. Baginya tiada cinta yang mengisi perkahwinan itu. Dia dinikahkan oleh kedua orang tuanya dan menerima gadis itu. Namun dia mulai merasakan gadis itu beban. Lebih malang, dia mengatakan gadis itulah punca kemurungannya tatkala dia muflis, benar-benar ke wajah gadis itu, sehingga berderai air matanya. Dia menceraikan gadis itu dan anak mereka dan lari ke Hidagawa, sebelum dikejar sehingga ke Kyushu oleh para pemiutang.

 

Namun memori dengan anak-anak Okuhida itu sungguh berbekas. Aku tidak pernah melihat keikhlasan. Terutama gadis itu yang mula mendekatiku di atas kapal. Wajah mereka sungguh murni. Mereka insan teraniaya. Mereka hanya mahu meneruskan hidup, dan membawa bersama mereka kehidupan yang menjadi taruhan di tangan tentera baginda, ke sebuah pulau terpencil.

 

Benci yang lahir dalam sanubari gadis itu bukanlah mutlak. Bukan intrinsik, bukan terbit sejak lahir. Dia terlalu murni untuk dituduh begitu. Ia benci yang lahir dari tangan-tangan manusia sekelilingnya. Termasuk aku.

 

Usianya terlalu lanjut kini. Dengan usia hampir mencecah seabad ini, di mana ia usia purata untuk bangsa Yamato, mungkin sebuah ensiklopedia panjang lewah wajar dikarang bagi merakam segala apa yang pernah dilalui. Agar generasi kemudian yang membaca dapat mengambil iktibar.

 

Apakah aku memang selalu begini? Secara mutlak atau intrinsiknya sejak lahir begini? Begini mementingkan diri?

 

Dia telusuri kembali kisahnya dari mula. Sepanjang hidupnya dia bersikap oportunis, mengambil kesempatan dalam setiap peristiwa, mengutamakan survival sendiri atas orang lain. Dari mula, dia melarikan diri dari Yumejima, kemudian melarikan diri dari isteri dan keluarganya di Kyoto, kemudian melarikan diri dari pemiutang ketika perniagaannya lingkup dan melarikan diri dari Hisamiko dan abangnya demi mengejar wang dan harta.

 

Dia akhirnya hidup mewah, tetapi berseorangan. Matanya kabur, pedih. Wajah Hisamiko yang tersenyum kaku berulang bermain-main di mata.

 

Masih dibuai rasa bersalah kepada Hisamiko dan abangnya, dia mencapai sebilah pedang samurai, lalu merobek perutnya.

 

 

***TAMAT***

Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov