Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 30

“Tapi, ia.... engkau pun tahu bukan?”

 

“Ya, aku tahu.” Aku tahu sukar manusia lain menerima kewujudannya kelak. Seekor binatang seakan anjing gergasi berbulu lebat dan berwajah serigala. Pasti kerajaan Maharaja bakal menghalau Shiro atau mungkin membunuhnya.

 

“Dan bukankah ia sudah lama di sini? Aku yakin ia boleh bertahan di sini tanpamu Miko.”

 

“Bukan itu maksudku. Ia bukan binatang biasa, Hisamine. Ia seperti manusia, ia tahu berbicara dan menulis.”

 

“Itu aku tahu. Apa maksudmu sebenarnya?”

 

“Aku fikir ia punya perasaan. Ia sunyi dan mahu aku terus tinggal di sini. Sekurang-kurangnya aku dapat merasakannya sepanjang tinggal di lembah ini. Mine, aku harap engkau memahamiku.” Hisamiko merayu.

 

Selepas diam beberapa ketika merenung wajah Hisamiko, Mine memutus sesuatu.

 

“Begini, kita boleh merancang bersama bagaimana membawa Shiro.”

 

“Shiro tidak boleh dibawa keluar.” Hisamiko melepaskan apa yang cuba dirahsiakan. Dia perlu berterus-terang atau Mine akan berterusan mendesaknya lagi.

 

“Apa maksudmu Miko?”

 

“Shiro...setiap kali ia terbang keluar, ada angin yang akan menolaknya kembali ke pulau. Itu yang aku dapati tatkala terbang dengannya.”

 

“Angin?”

 

“Aku tidak tahu dari mana datangnya. Seolah-olah Shiro dihalang dari keluar meninggalkan pulau ini. Itu yang dia beritahu kepadaku.”

 

Hisamine tunduk sambil menekup muka dengan sebelah tangan. Kemudian dia berlari ke hujung pantai, mungkin merajuk.

 

Hisamiko mengejarnya.

 

“Mine, maafkan aku.”

 

Lama Hisamine berdiam merenung laut lepas sehingga ke ufuk. Hari masih panjang dan matahari belum pun mencecah dada langit.

 

“Miko, maafkan aku juga berbolak-balik. Aku tidak tahu mengapa, selepas aku melihat kapal itu aku teringin benar pulang ke Jepun. Bagaimana Hisamiko, bagaimana jika engkau di tempatku, bagaimana akan engkau singkirkan rasa rindu yang bergejolak ini, Miko? Miko!” Hisamine menggoncang-goncang tubuh rakannya yang kecil itu.

 

Hisamiko memeluk erat Mine. Jelas esakan Mine kedengaran di telinganya perlahan. Ada getaran keletihan dari esakan itu, Mine sudah terlalu lama bersedih. Entah masih ada air mata yang mampu keluar, entah tidak.

 

Dari kejauhan di atas satu tebing tinggi yang mengunjur ke laut, sebatang tubuh bersarung yukata serba putih dengan bentuk badan menggiurkan seorang wanita berdiri sambil memeluk tubuhnya, rambut uban yang panjang melambai-lambai ditiup bayu. Wajahnya menyeringai menampakkan taring yang keluar sedikit dari bibir atas. Telinga panjang menikam udara keluar dari celah uban.

 

“Bagus. Teruskan mengikat hubungan kalian. Tatkala hubungan kalian menguat di kemuncaknya, aku akan pastikan gadis yang tinggi sedikit itu dibunuh manusia upahanku. Dan engkau Hisamiko, akan menjadi milikku kala jiwamu lemah. Engkau tidak perlu membunuh dirimu Miko. Kala engkau lemah, aku masih boleh berkongsi jasad dengan rohmu.”

 

“Tomokazu, apa lagi yang kautunggu, bersedia dengan panahmu.”

 

“Baik, Kaisenjyo.”

 

**

 

“Akhirnya, bilah yang sekian lama aku tempa.... sekian lama kutempa...” Mata Hisamine berseri-seri melihat pedang yang sudah disiapkan.

 

“Wah. Bukankah aku lihat engkau tidak berhenti mengetuk ketulan-ketukan itu?”

 

“Ya. Itu besi tulen yang belum ditempa. Selepas mengetuknya berhari-hari dengan batu-batu sungai itu, aku meleperkannya sehingga berkilat. Ini pedang pertama ciptaanku Miko.”

 

Hisamine mengambil batang buluh yang sudah dibentuk sempurna sebagai sarung pedang, dan menyarung bilah itu sebaik pemegangnya dipasang.

 

“Apakah aku kelihatan seperti samurai?”

 

“Ya. Samurai Goryuuin!”

 

Mereka ketawa.

 

“Ayuh Hisamiko, ikut aku.”

 

“Engkau mahu ke mana Hisamine?”

 

“Ikut sahaja.”

 

Hisamiko mengikut sahaja. Mereka melalui hutan gelap dan menuruni tebing tinggi sehingga ke kawasan lombong emas.

 

“Mengapa ke sini Mine-chan?”

 

“Aku mahu masuk mencuri barangan mereka. Kita kurang pakaian.”

 

“Ha? Hisamine, usah cari penyakit.”

 

Hisamine tidak mengendahkan saranan Hisamiko. Kala mereka mengintai dari balik belukar, Hisamine menjegil.

 

“Mengapa Mine?”

 

“Mereka pedagang yang bersamaku dahulu. Aku tak sangka mereka terselamat! Miko, ayuh!”

 

“Untuk apa?”

 

“Jurus kedua. Kita akan tebarkan mereka jauh ke laut.”

 

“Aku tak mahu, mereka tak mengapa-apakan kita pun.”

 

“Jika kau enggan tak mengapa, Miko. Aku akan melakukannya sendiri.”

 

“Mine, tunggu!” Miko cuba menegah, namun Mine sudah jauh kerana berlari pada jurus pertama kaminari.

 

Hisamine berlari dengan pedangnya.

 

Di pandangan mata Hisamiko, Mine berlari jauh ke arah lain. Apa yang cuba dilakukan? Sedangkan markas para pelayar itu di hadapan mata mereka.

 

Tidak lama kemudian, Hisamiko mendengar di balik belukar bunyi dentingan pedang dan raungan demi raungan. Ia berlaku sungguh pantas dan sejenak. Beberapa orang ahli rombongan kapal itu rebah dengan kesan kelaran dan tetakan. Darah membanjiri sekitar tapak markas mereka.

 

Hisamiko perlahan-lahan keluar dari belukar, dan berjalan mendekati kawasan tempat pelayar itu berkhemah. Dia menutup mulut tatkala pemandangan ngeri di hadapan jelas terhidang di hadapan mata.

 

Hisamine keluar dari sebuah khemah dengan pedangnya dibasahi darah, masih menitik. Tubuhnya tiada kesan cedera langsung.

 

“Aku telah bunuh mereka semuanya. Puas hati aku. Dendam Himawari, Yuri dan Kanako, sudah terbalas!”

 

“Mine!” Miko meluru dan menampar rakannya. “Mereka tidak menyerang kita langsung! Apa yang dah kaubuat Mine? Bukan ini yang mahu aku lihat selepas mengajarmu kaminari!”

 

Hisamine menyeringai. Di balik rambut yang sedikit terlerai dari ikatan dan menutup mata, ada mata setajam renungan ular. Merah, penuh bara dendam yang sekian lama terpendam dan sekarang membakar marak. Wajahnya merah. Hisamine tidak seperti yang biasa dikenalinya. Ia kemarahan terpendam yang membara sekian lama di sudut terpencil hati. Ia luka lama yang meruah kembali. Dan mata itu. Ia kembali menyala membara seperti yang pernah Hisamiko lihat.

 

“Engkau tidak akan faham Miko! Engkau tidak pernah hidup dilacurkan sepertiku sejak kecil! Dan aku, aku akan tinggalkan pulau ini juga!”

 

“Pergilah!” Miko menengking dalam derau amarah.

 

“Baiklah, tapi Miko...” Mine memegang pipi putih gebu Hisamiko, kesan darah dari tangan Mine mengotori wajahnya. “Engkau tetap satu-satu sahabatku. Dan aku tetap menyayangimu. Jika engkau berubah fikiran mahu mengikutku, datanglah ke kapal mereka ini. Aku menunggumu di sana. Bawa Shiro sekali, itupun jika sumpahannya terlerai. Sayounara.” Kemudian Hisamine perlahan-lahan melepaskannya.

 

Hisamiko melihat Hisamine perlahan-lahan meninggalkannya, melenyap ditelan ufuk pantai. Jelas Hisamine sedang menangis tatkala lengannya diangkat menenyeh mata.

 

Air mata Hisamiko mengalir deras tanpa dia sedari. Hisamine, berat. Sungguh berat hati ini menerima perbuatanmu. Bukan perang yang kumahukan. Bukan onar ini yang kumahukan! Tidak pernah terlintas di hatiku melatihmu kaminari dan engkau menggunakannya untuk dendammu. Hisamine.... Hisamine... Hisamine...

 

Hisamiko mengulang-ulang menyebut nama rakannya sedang matanya merenung pasir, dia terlutut. Kedua-dua tangannya memagut dada yang sesak dan perit. Sendunya masih berlagu berselang-seli dengan bunyian unggas dan cengkerik hutan. Matahari mulai turun dari dada langit.

 

Sejarah telah berulang kembali. Manusia yang melakukan kesilapan jelas tidak belajar dari sejarah. Bagaimana Ryouji dahulu telah melatih seorang pembunuh yang membunuh penjaga mereka.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov