Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 41

 

Kisah Genjirou (sambungan)

 

Aku korek dan terus mengorek tanpa sedikitpun mengalah dan aku menumpu mengorek hanya pada satu arah. Aku tidak pasti arah ini membawaku ke mana, namun aku harus menumpu usahaku hanya kepada satu tempat. Aku pasti saat ini, Tuhan sedang menghukumku lagi. Tuhan, akan aku tunjukkan bahawa aku tidak sekali-kali mengalah dengan hukuman-Mu. Aku akan gali sehingga aku bertemu cahaya. Ya, aku berdosa kerana membunuh rakan-rakanku. Kesunyian selama berbulan-bulan itu sudah mampu menampakkan betapa seksaan-Mu terzahir. Aku akan pastikan aku tetap berjaya mengatasi hukuman-hukuman-Mu Tuhan.

 

Aku terus menggali dan menggali. Debu gugur memasuki mata. Aku pejam celik pejam celik membersihkan. Aku tidak boleh menggelengkan kepala atau lebih banyak debu gugur. Dalam buta gelita aku tetap menggali.

 

Aku amat lapar. Aku merentap cacing dan memakannya. Aku genggam lipan dan aku putuskan sengatnya dengan kuku dan aku kunyah isinya bersekali kulit keras seperti kulit udang itu. Enak juga rasanya, ada pahit-pahit lemak. Aku minum air dari dinding tanah lembap aquifer yang kutekan-tekan sehingga meleleh dan kutadah airnya. Semua kulakukan dalam gelita yang buta. Aku bertahan selama seminggu, dua minggu dan sebulan di dalam lubang. Suhu semakin lama semakin panas. Aku tidak tahu apa yang menggelegak di bawah kakiku. Aku harus bergegas.

 

Entah mengapa aku masih mampu hidup sehingga saat ini. Entah mengapa aku begitu kuat bertahan sehingga ke saat ini. Apakah ini neraka? Neraka di mana aku dibenarkan hidup untuk terus diseksa. Aku kuatkan semangat. Aku tahu aku pasti akan bertemu jalan keluar. Aku korek menuju arah haba yang membahang di kaki.

 

Semakin lama, haba itu semakin menyengat. Aku menggali lebih pantas. Aku tahu pasti ada sesuatu di punca haba itu. Musim sejuk rasanya sudah berada di kemuncak. Aku perlu mencari tempat panas seperti punca haba ini.

 

Akhirnya sinar cahaya menerobos dari lubang kecil yang terbit di hujung penggalian yang panjang dan menyeksakan. Aku pejam buka mata, tatkala cahaya menerjah masuk terang menyilaukan. Aku tumbuk tanah-tanah degil dan membesarkan lubang keluar. Udara segar menerobos kerongkong yang sekian lama menahan hapak dan busuk tanah. Aku memicing mata, dan perlahan-lahan membukanya dan memandang lenganku. Aku rasa seperti baru keluar dari rahim ibu, seperti dilahirkan semula. Aku menyedari ada bulu-bulu putih mulai tumbuh pada lenganku. Mataku masih terpejam sedikit, namun aku perlahan-lahan mengangkat kelopak mata dan segenap panorama kian jelas tergambar di hadapanku. Sebuah panorama yang sungguh indah. Apakah aku telah diampunkan-Nya? Apakah ini syurga?

 

Aku menoleh kiri dan kanan, hujung ke hujung, atas ke bawah. Ia sebuah lembah yang rendah di bawah paras laut dan dikelilingi bukit bukau gunung berapi yang tinggi. Dalam barisan bukit bukau itu aku dapat kenalpasti bukit hitam legam itu. Aku pernah ke puncaknya namun mengapa aku tidak dapat mengesan lembah itu dari puncak bukit hitam itu? Seingatku aku ada memandang ke bawah tatkala di puncak bukit hitam, namun aku hanya melihat pusaran warna-warni seperti warna pelangi berpusaran di permukaan buih. Ia aneh namun sejurus itu juga aku tergelincir dan terjatuh. Baru aku teringatkannya. Mungkin pengsanku telah menyekat memori itu buat sementara.

 

Lembah ini terlindung dari dikesan manusia di atas, oleh pusaran warna-warni itu. Di tengah lembah ini ada kolam air panas. Barangkali inilah punca haba yang memanaskan kakiku ketika di dalam lubang. Onsen di tengah-tengah pulau terpencil! Aku tidak perlukan lagi lombong emas itu. Aku mahu mandi. Aku tidak mahu keluar dari sini. Aku mahu lupakan emas itu, dunia luar, dan tempat lahirku. Di sinilah syurgaku.

 

Aku menanggalkan semua pakaianku seraya terjun ke dalam onsen. Ia tidak terlalu panas. Aku merenung pantulan wajahku pada permukaan air. Alangkah terkejutnya tatkala aku mendapati taring di gigiku. Mataku tenggelam dalam soket. Hidungku terdongak seperti hidung anjing. Mukaku ditumbuhi bulu putih yang lebat. Wajahku berubah menjadi wajah campuran anjing dengan serigala. Aku melihat tanganku ditumbuhi kuku tajam. Tubuhku ditumbuhi bulu-bulu putih lebat juga. Aku meraba belakang punggung dan menyedari aku ditumbuhi ekor, aku gesit meraung. Apa telah berlaku? Pelbagai soalan bertalu-talu menghunjam benak. Aku baru sahaja bebas dari lubang tanah itu dan kini aku disumpah begini hodoh.

 

Aku keluar dari onsen dan duduk bersedih. Apa telah berlaku, Tuhan? Apakah masih belum cukup seksaan-seksaan-Mu untuk menebus segala dosa-dosaku? Selama dan seteruk manakah lagi seksaan yang perlu aku lalui demi menebus dosa-dosaku, Tuhan? Mengapa engkau masih memberikan tempat sebegini indah ini namun menarik rupa parasku?

 

Aku berbaring di atas belakangku, seperti dahulu, merenung langit biru cerah. Jika dilihat dari lembah ini, pusaran warna-warni tidak kelihatan. Hanya langit seluas mata memandang. Sekosongnya. Bunga-bunga pelbagai warna menghiasi sekeliling onsenOnsen ini menerima air terjun panas dari celah bukit sana dan mengalir keluar sebagai cabang-cabang sungai kecil ke paya nun jauh di pinggir barisan bukit.

 

Tatkala aku berbaring, aku perasan sesuatu melapisi belakang badanku. Aku bangun dan membelek-belek. Ia seperti satu sendi baru, selain ekor. Ia seperti...

 

SAYAP! Sepasang sayap. Aku dikurniakan sepasang sayap?

 

Aku mengepal segala tenaga dan menumpu pada organ baru itu, perlahan-lahan mengembangkannya. Ia tertebar kiri dan kanan, sungguh lebar. Sayap seperti sayap kelawar namun ditumbuhi bulu-bulu putih.

 

Aku mengembangkan dan berlari di atas empat kaki. Semakin lama semakin pantas sehingga aku terangkat sedikit dari hamparan rumput. Aku tolak sayap ke bawah dan menujah ke atas. Aku terbang.

 

Aku terbang!

 

Semakin tinggi aku ke udara, semakin pantas aku mengibas sayapku. Aku semakin arif. Aku belajar pula membelok. Mudah. Menyusur angin, dan mengikut burung-burung. Seolah-olah aku telah tahu menggunakan sayap itu lama dahulu. Ia begitu mudah diterima benakku. Di bawah jelas di mataku bukit-bukau dan kawah gunung berapi dalam salah satu bukit yang tidak henti-henti mengeluarkan asap putih.

 

Aku terbang merentas laut. Aku fikir sekaranglah peluang keemasan untuk melarikan diri dari pulau ini. Sebentar, bagaimana mungkin aku boleh hidup seperti dahulu, dengan rupa hodoh raksasa begini? Manusia pasti akan mengeji dan menghalauku jauh-jauh. Aku longlai, namun tidak aku peduli. Aku kibas sayap sehingga sejauh-jauhnya, sehingga pulau itu mengecil. Namun tidak semena-mena angin kencang meniup aku kembali ke arah pulau.

 

Aku mengulang terbang di kali lain, pada arah yang lain. Masih, aku ditolak angin yang datang tiba-tiba. Seolah-olah aku sememangnya dihalang dari meninggalkan pulau itu.

 

Aku marah, dan kecewa. Aku berdiam lama di lembah itu. Dalam berbaring kekecewaan, aku mulai memikirkan mengapa aku masih mahu melarikan diri dari sini? Sedangkan tempat ini terlalu indah? Dan segalanya ada di sini?

 

Ketika itu aku menyedari, aku berseorangan dan mungkin, akan sentiasa berseorangan di sini. Tempat ini benar indah, seperti syurga. Bahkan aku tidak pernah lapar di sini, dengan tumbuhan enak dan ikan-ikan segar berenang menjadi santapan sehari-hari. Pokok-pokok di sini mengeluarkan buah yang manis segar tidak pernah kurasa sewaktu di Jepun. Ia terlalu indah, bahkan aku tidak lagi menghiraukan emas-emas itu. Namun aku memerlukan seseorang di sini, jika tidak, apa ertinya hidup di sini. Sekurang-kurangnya lawan berbicara.

 

Aku sedar, hanya itu sahaja yang mendorongku melarikan diri. Andai aku temui insan itu, akan aku tahannya di sini buat selama-lamanya.

 

Ketika itulah aku mula menangis. Ketika seksaan-seksaan Tuhan yang lain mampu aku depani, aku temui satu seksaan yang tidak mampu aku depani. Seksaan yang satu inilah, di mana aku dihalang dari meninggalkan pulau ini. Tuhan, aku mengaku kalah, di hadapan-Mu. Di hadapan-Mu kala ini aku bersujud, memohon keampunan di atas keegoanku dan dosa-dosaku yang lalu. Kurniakanlah aku seseorang di sini. Begitulah bunyinya doaku kepada Tuhan Jesuit yang aku fikir aku harus percayai.

 

Dan doaku dimakbulkan, akhirnya.

 

Beberapa tahun kemudian, hingar manusia kembali mewarnai pulau itu. Aku terbangun dari lena dan sunyi yang panjang. Suara-suara manusia yang dirindui berkumandang memecah hening bertahun lamanya. Bahasa mereka kedengaran seperti bahasaku, bahasa Jepun. Rombongan baru, pastinya. Pastinya mereka dipukul badai. Ah, aku tidak peduli. Aku sudah tidak berminat untuk keluar dari sini. Tempat ini terlalu selesa. Aku tidak pernah lapar di sini. Namun ingin sekali aku keluar bertemu mereka, bertanya khabar dan berbicara, mendapatkan berita dari luar, apa yang telah terjadi pada negaraku. Sudah lama benar aku tidak berbicara dengan manusia lain dan mendengar berita dari luar. Meski jasadku sudah binatang, memori manusiaku masih mengitar dalam benak.

 

Namun tatkala bising itu semakin menggila, aku semakin teruja. Aku keluar dan mengintai. Aku perhati seorang demi seorang tumpas, mereka saling berbunuhan. Sejarahku dengan lombong emas itu berulang kembali. Dalam banyak-banyak wajah yang kutemui, aku bertemu seorang gadis yang agak muda, aku fikir belum mencecah dua puluhan. Dia sering bersama seorang lelaki yang kufikir sekitar tiga puluhan, yang dipanggil abang.

 

Aku perhati raut gadis itu. Dia gadis tercantik pernah kutemui. Namun jelas di raut wajahnya derita yang tidak tergambarkan. Seolah-olah ada seribu satu tragedi telah menghunjam jasad dan jiwanya sebelum tiba ke sini. Aku jatuh kasihan tiba-tiba. Ada sebak menikam-nikam sanubari tatkala aku mendengar dia meraung selepas kematian abangnya. Aku rasa benar-benar bersalah kerana tidak dapat melindungi abangnya. Dia dibunuh terlalu pantas.

 

Pada waktu itu, pada waktu dia asyik menggali kubur abangnya, aku nekad. Aku akan melindunginya. Aku yakin, gadis inilah yang dianugerahkan-Nya kepadaku, atas doa bertahun. Aku mahu membawanya ke lembahku. Aku tidak akan sekali-kali mengabaikannya. Akan aku curahkan segala kasih sayang kepadanya. Akan aku lindunginya.

 

Selepas itu, aku bermimpi bertemu abangnya. Abangnya memintaku agar melindunginya. Aku yakin saat itu, aku benar. Ryouji, aku akan melindungi adikmu. Usah kau risau. Damailah engkau di alam sana.

 

Tamat imbas kembali kisah Genjirou/ Shiro.

 

*

 

**

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov