Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 28

Dengan berpandukan tunjuk ajar Hisamine, mereka berdua berjaya menyiapkan pengipas. Pengipas itu dipusingkan dengan kaki, sepertimana mesin jahit digerakkan oleh jongkang-jongket di bawah kaki.

 

“Wah...”

 

“Inspirasi dari mesin jahit, Miko-chan. Kakakku gemar menjahit. Bapa menghadiahinya mesin jahit dari Barat. Namun aku lebih gemar memahami sistem mekanikalnya.”

 

Pengipas itu menyalur angin kepada satu salur daripada tanah liat berbentuk cengkerang siput atau mungkin rumah salji orang Inuit yang berlubang besar di satu hujung dan berlubang kecil di satu lagi hujung. Atau seperti sangkakala perang. Pengipas akan mendorong angin masuk melalui lubang besar ‘cengkerang’ siput itu, dan angin akan bergerak ke muncung kecilnya yang terhubung kepada pintu masuk di bawah cerobong silinder tanah liat yang dibina Hisamine sebelumnya.

 

Pengipas itu boleh digerakkan bersama-sama. Maka Hisamiko duduk di atas batu di satu sisi dan mengayuh, diikuti Hisamine duduk di atas batu di satu lagi sisi.

 

“Seronok bukan?” Hisamine memandang Miko sambil tersenyum.

 

Hisamiko membalas senyum. Bahagia.

 

Beberapa hari kemudian, keseluruhan struktur tanah liat itu mulai kering dan mengeras. Hisamine fikir sudah tiba masanya untuk dia memulakan proses mengeluarkan besi tulen dari bijihnya.

 

Hisamine menuangkan pasir bijih besi yang diangkut dari kaki bukit hitam ke dalam silinder tanah liat, dan kemudian arang kayu. Dia memasukkan dua ramuan utama itu bergilir-gilir sehingga penuh silinder itu. Kemudian dia menuangkan sedikit sahaja minyak dari pelita yang ditemui di pantai (yang digunakan Hisamiko melawat kubur abangnya tempoh hari) dan menyalakan api. Selepas pengipas dikayuh beberapa kali, api kian marak.

 

Shiro hanya memerhati sedang mulut asyik mengunyah isi kelapa. Ternyata ia lebih menggemari kelapa berbanding buah merah kuning yang tumbuh banyak di lembah itu.

 

Beberapa kali mereka gagal. Hisamine tidak berputus asa. Dia tidak memecahkan keseluruhan tanah liat itu, sebaliknya hanya bahagian silinder. Setiap kali dia gagal mendapatkan besi tulen, dia akan membina kembali silinder baru dari tanah liat dan mengulang proses yang sama. Hisamine meskipun dia tidak setajam dan memiliki ingatan fotografik seperti Hisamiko, dia punya kesungguhan, satu sikap yang amat diperlukan oleh seorang penyelidik atau sesiapa sahaja yang ingin menjadi penyelidik.

 

Hisamiko mengamati perlakuan Hisamine sehari-hari. Gigih Hisamine terlalu gigih sehingga merisaukan Hisamiko kerana dia melangkau waktu makannya. Hisamiko menghulur buah merah kuning kepada Hisamine. Hisamine memandang sejenak sedang dia sibuk bekerja, kemudian matanya beralih kepada kerja-kerjanya sedang mulutnya berkata, “Hisamiko suapkan aku boleh? Tanganku kotor.”

 

Hisamiko tidak bertingkah, selamba mencubit buah lembut manis masam berair itu ke mulut Hisamine, sedang tangan Hisamine sibuk menempek-nempek tanah liat. Hisamine hanya tersenyum nakal selepas Hisamiko menyuapnya.

 

“Mengapa engkau senyum?”

 

“Tiada apa-apa.” Hisamine cuba menahan dari terus senyum, bimbang mengecilkan hati Hisamiko.

 

Tatkala Hisamiko beredar memetik buah merah kuning seterusnya, Hisamine ketawa kecil. Engkau memang budak-budak masih, Hisamiko!

 

Hisamiko tatkala memetik buah, hatinya bermonolog. Aku melihat Hisamine begitu gigih. Jika dia letih dia hanya akan berbaring sebentar dan kemudian terus sambung bekerja. Aku lihat dari sinar matanya seperti sesuatu yang besar sedang dikejarnya. Apa yang telah engkau lalui sebelum ke sini Hisamine? Apa yang mendorongmu sehingga engkau tidak putus-putus bekerja? Engkau tidak pernah memberitahuku selain daripada engkau pernah bekerja di atas kapal sebagai pelacur.

 

Kadangkala aku lihat matamu tajam merenung langit seolah-olah engkau sedang menyembunyikan amarah yang besar. Apakah engkau masih memarahi lelaki yang menyerangmu itu? Yang membaling pisau ke kakimu itu? Tidak, aku yakin bukan itu. Mata itu cukup tajam, cukup bisa dan cukup membunuh. Marahnya marah yang dihamburkan dari mata kepada seribu ekor syaitan yang sedang berhimpun di hadapannya dari neraka. Renungannya seperti renungan seekor ular. Renungannya seolah-olah mampu merobek segala isi langit. Sesiapa yang direnung begitu tidak layak dipanggil manusia. Ia renungan seribu satu kebencian yang terpendam sekian lama. Kadangkala aku gentar melihatmu. Andai engkau pernah menjadi lawanku, mungkin aku sudah tertewas hanya dengan renunganmu itu. Hatta kaminari pun tidak ampuh olehnya.

 

Suatu malam, aku baring di sisi Hisamine. Aku sedar dia belum tidur, aku dengar sedu-sedan. Aku miring mengadap tubuhnya yang membelakangiku. Aku peluk dan usap ubun-ubunnya.

 

“Mengapa engkau menangis, Hisamine?”

 

Hisamine cuba melepaskan diri kerana tidak menyangka aku belum lena. Aku mengetatkan pelukan.

 

“Hisamine, aku tidak memaksa. Aku hanya ingin memelukmu. Engkau menangislah sehingga puas. Aku memelukmu, boleh kan?”

 

Dia memegang tanganku. Mungkin dia malu kerana umurnya jauh lebih tua dariku. Namun siapa aku untuk menghakimi. Mungkin hari-hari neraka yang dilaluinya dahulu jauh lebih perit dari apa yang aku lalui. Aku tidak tahu Mine, aku langsung tidak tahu. Namun aku mahu bersamamu. Aku mahu meleburkan nestapa yang membelenggu jiwamu. Andai suatu hari nanti engkau bersedia meluahkan, maka kisahkanlah. Aku tidak memaksa.

 

**

 

Akhirnya, ketulan-ketulan besi tulen pertama terhasil. Penah lelahnya berbayar. Ketika itu sudah enam bulan dia mendiami lembah tersebut bersama Hisamiko dan Shiro. Musim sejuk yang tidak terlalu dingin di sini membolehkan dia menghabiskan masa di luar mencubajaya pelbagai kaedah dan binaan tanah liat demi mengekstrak besi.

 

“Huah.” Hisamine mengesat peluh. “Ia besi, Miko. Ia besi!” Dengan tangan yang masih kotor kesan jelaga dan sanga dia memegang kedua-dua tangan Hisamiko sambil meloncat kegirangan. Tidak semena-mena air matanya mengalir.

 

Hisamiko hanya memandang dalam keanehan. Mine, gembiranya engkau. Aku tidak pernah melihat engkau seriang ini sejak tibamu di sini. Namun aku bimbang. Aku faham niat murnimu mahu mempertahankan tempat berdiam kita ini dari pencerobohan. Namun aku tidak mahu berperang. Perang terlalu menyakitkan. Kami dihambat tentera Maharaja sehingga terpaksa melarikan diri ke pulau ini pun kerana penglibatan kami dalam perang. Aku kehilangan Tsuneki kerana pertikaian, kerana kami berperang dengan Hamada. Aku kehilangan abangku kerana pertikaian dengan pelombong emas itu. Aku hilang tanah air kerana Maharaja memerangi kami. Aku hilang bapaku kerana sengketa dengan bekas daimyo-nya. Aku tidak mahu kehilanganmu Mine. Aku tidak mahu kehilangan sesiapapun lagi, hatta Shiro sekalipun.

 

**

 

Tomokazu berbaring di atas lapisan yang dibentuk batu-batu kecil yang licin dan tidak berbaju, hanya bersarung hakama. Baju dijemur pada pokok. Tangan membantal kepala, mata memandang langit. Kuro sedang tidur di sebelah enak berjemur di bawah sinar mentari yang redup. Angin laut berpuput menghantar sejenak kedinginan dan menghasilkan bunyi menyeramkan tatkala masuk ke pintu gua di belakang mereka.

 

Lama benar mereka tidak keluar dari lubang itu, bisik Tomokazu dalam hati. Mulutnya mengunggis batang kemuncup, dan sekali-sekala batang kemuncup itu berpusingan. Sudah enam bulan kukira, maka masih ada lagi enam bulan sebelum Nozomi datang bertemuku menuntut hutang. Aku telah menjamin akan menyelesaikannya dalam masa kurang dari setahun, namun melihatkan keadaan sekarang, apakah aku masih punya banyak masa? Aku masih enggan memasuki lubang itu atau aku akan dikambus entah siapa pula. Itu fobia yang sukar aku ceraikan dari benak. Bagaimana gadis berdua itu boleh keluar masuk dengan selamat? Apakah aku harus mencuba?

 

Tidak, jika aku gagal kali ini, Nozomi akan membunuhku. Dia akan mencari jalan lain, mungkin mereka yang akan terdampar di pulau ini sebagai kambing hitam seterusnya.

 

Apakah aku harus memasuki lubang itu? Tidak, tidak. Binatang putih itu masih di dalamnya. Jika aku mahu mengharapkan Kuro, aku hanya mampu bermimpi. Kuro degil dan enggan memasukinya. Semua kini berada di bahuku. Ah, celaka engkau Kaisenjyo!

 

Gadis berdua itu pasti akan keluar, pasti. Aku hanya perlu menunggu, menunggu dan berharap. 

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov