Ranting patah dipijak kedengaran. Kedua-dua ekor binatang berbulu pantas menoleh ke arah belukar seperti pekanya kucing.
Tomokazu berhenti di hadapan mereka, wajahnya jelas diterangi cahaya matahari yang berjaya menerobos celah kanopi hutan gelap. Dia terbelalak melihat seekor lagi binatang serupa Kuro namun berwarna putih.
Shiro yang pertama kali bertemu mata dengan Tomokazu turut terkejut. Tomokazu, bisiknya. Engkau hidup lagi rupanya! Aku bilang engkau sudah mati diterkam bayang hitam besar itu. Sebentar, bayang hitam besar?
Shiro mengingat kembali imbasan beberapa puluh tahun lepas. Binatang besar hitam yang amat pantas menyambar Tomokazu. Binatang itu tidak jelas di mataku namun aku yakin tiada makhluk sebesar dan sepantas ia di pulau ini. Ia seperti Kuro.
Shiro menoleh memandang Kuro di sebelah.
Kuro perasan Shiro memandangnya lama, dia bertanya. “Mengapa Shiro?”
Ya, getusnya. Aku dapat mengingatnya jelas sekarang! Lembaga hitam dan pantas itu sememangnya Kuro! Tomokazu telah diculik Kuro pada ketika itu! Mengapa selepas berpuluh tahun baru aku temuinya kembali? Oh ya, aku berdiam di lembah itu lama sehinggalah rombongan Hisamiko tiba. Aku tidak tahu-menahu ehwal dunia di luar lembah itu. Tidak, aku sekali-sekala akan keluar mencari kelapa dan bersiar-siar, itupun selepas Hisamiko tiba di sini. Mengapa mereka masih tidak kelihatan? Apakah mereka bersembunyi dan memerhatiku dari jauh?
“Tiada apa-apa Kuro.” Balas Shiro selepas beberapa ketika tertangguh. Kuro hanya mendengus perlahan.
Kuro mengujar, “Apakah kau mengenalinya?”
“Tidak.” Balas Shiro acuh tak acuh.
Tomokazu pula cuba memulakan pertanyaan namun terhalang oleh suara Hisamiko.
Hisamiko yang sedang dibaringkan di bawah pokok berbuah seakan momo itu tiba-tiba bersuara dengan mata putih sedang kekal berbaring, “Aku yang mengambus kalian berdua. Kuro, aku mengambusmu agar Nozomi kehilanganmu dan membunuh diri dan aku dapat menempati penuh jasadnya. Tak sangka perancangan aku berjaya, lemah benar gadis itu.”
Kuro menampakkan taringnya tatkala Kaisenjyo mempersenda kekasihnya itu. Shiro yang memerhati Kuro bersedia sekiranya Kuro cuba menyerang jasad Hisamiko yang sedang dirasuk itu.
Sambung Kaisenjyo, “Shiro, aku mengambusmu agar engkau tidak lagi keluar dari lembah itu. Kedua-dua kalian aku kambus kerana aku tidak mahu melihat kalian berada di mana-mana lagi. Namun kalian tetap keluar jua dari lubang itu.”
“Kaisenjyo.” Seru Tomokazu. “Keluarlah engkau dari jasad itu.”
Sememangnya lelaki ini Tomokazu, tabib kami, getus Shiro. Dia tabib sekapal kami sebelum kami semua terdampar di sini puluhan tahun lalu. Dia tahu bagaimana mengeluarkan seseorang dari rasukan. Aku mahu Hisamiko dirawat. Aku perlukan Tomokazu sekarang.
“Tomokazu. Engkau lupakah aku telah membantumu saat itu? Engkau lupakah dengan kuasaku, engkau terselamat dari dibaham Kuro sekelip mata?” Kaisenjyo memberi amaran dari mulut Hisamiko. Kuro agak tersentak diungkit perkara itu. Dia maklum Kaisenjyo mengawalnya agar tidak membaham Tomokazu meskipun telah menangkapnya pada waktu itu. Keinginannya dikekang Kaisenjyo. Tomokazu kekal tidak menambat seleranya sehingga kini.
“Kaisenjyo. Tempat engkau di dalam lubang itu. Kembalilah engkau ke situ. Engkau tidak layak menempati tubuh gadis ini.” Ujar Tomokazu.
**
Hisamiko sedang berdiri di tempat aneh. Di hadapannya ada pokok berjuntaian dengan buah-buahan bercahaya. Tanah seperti pulau di tengah-tengah kegelapan menghampar pokok dan dirinya.
Di mana aku?
Hisamiko mengamati buah-buah yang berbentuk bulat seperti momo dan mengeluarkan cahaya merah jambu di atasnya. Setiap buah itu bertuliskan kanji nama-nama kenalan dan ahli keluarganya. Nama bapanya, ibunya, abangnya, rakan-rakannya, dan kekasihnya.
Dia memandang buah yang bertuliskan nama ibunya Okuhida Ritsuko. Cahaya dari buah itu beransur malap dan akhirnya terpadam. Di dahan sebelah menyala buah bertuliskan nama bapanya pula Okuhida Mitsuo. Ia turut sama memalap dan termati. Suasana di atas pulau tanah itu beransur suram.
Kemudian cahaya-cahaya dari buah bertuliskan nama Takasaki dan Mariko turut sama terpadam, diikuti buah yang bertuliskan nama Ogasawara Chisato, Chiho dan Chinami. Lebih kelam suasana bertukar, lebih hitam dan menyulitkan pandangan. Hisamiko tercari-cari dalam kelam itu buah lain yang masih memancar cahaya. Ia buah bertuliskan nama Shinji, namun ia turut terpadam. Di sebelah Shinji menyala buah bernama Tsuneki. Dan yang paling terang di sebelahnya buah bernama Ryouji.
Hisamiko berfikiran buah-buah yang terpadam itu mewakili mereka yang hilang dari hidupnya seorang demi seorang. Ada yang mati, ada yang berada di haluan lain hidup, menjadi pengikut Maharaja dan Kogen. Mereka semua orang-orang yang rapat dengannya.
Kini yang tinggal hanya dua biji buah yang memancar cahaya. Buah bernama Tsuneki memalap dan terpadam akhirnya, dan diikuti buah bernama Ryouji. Segala-galanya jadi gelap-gelita seperti malam tanpa bintang dan tanpa purnama. Hisamiko menangis. Dalam gelita itu berputik sebiji buah baru di atas pohon. Mula cahayanya sekecil kekunang, namun tatkala ia membesar cahayanya semakin terang dan menyerlah. Hisamiko memandang buah itu dan mendapati ia ada dua biji; setiap satu bertuliskan nama Hisamine dan Shiro.
Buah Hisamine memadam jua dan yang tinggal hanya buah Shiro yang bernyala tunggal, menerangi segenap penjuru pulau tanah itu.
“Hisamiko, usah kau gentar.” Kedengaran suara menyeru. Suara seorang wanita. Hisamiko mengenalinya. Ia suara wanita yang menggelar dirinya Kaisenjyo itulah.
“Mahukah engkau jika aku beritahumu bagaimana cahaya-cahaya lain yang sudah mati ini bernyala semula?”
“Jika kau mahu, engkau perlu lupakan hidupmu di dunia luar. Berjanji untuk hidup kekal di sini.”
“Hisamiko abaikan suara itu!” Kedengaran suara seorang lelaki pula.
Hisamiko menerawang sekeliling mencari punca suara itu.
“Aku Tomokazu.” Suara lelaki itu memperkenalkan diri. “Engkau mungkin tidak mengenaliku. Namun aku telah tinggal di pulau ini berpuluh tahun lama dan sering memerhatimu dengan rakanmu. Aku dari rombongan kapal Yoshihisa. Engkau kenal bukan Yoshihisa si tua itu?”
Ah, Yoshihisa. Si tua yang mengkhianati kami itu, getus Hisamiko.
“Aku tabib di dalam rombongannya yang mendahului rombonganmu puluhan tahun lampau. Kapal kami terdampar di sini dahulu, dan hanya aku yang masih tertinggal di pulau ini. Hisamiko, abaikan suara wanita itu dan kembalilah ke dunia sebenar.”
Namun bagaimana mungkin aku mempercayai Tomokazu? Aku tidak mengenalinya. Dia mungkin sama penipu seperti Yoshihisa.
“Abaikan dia Hisamiko!” Tegah Kaisenjyo. “Dia memerhati kalian kerana dia merancang untuk membunuh kalian!”
“Heh. Bukankah engkau yang mengarahkanku, Kaisenjyo?” Bidas Tomokazu.
Siapa, siapa yang boleh kupercayai sekarang? Mereka seperti sekutu nampaknya.
“Hisamiko, aku telah diugut Kaisenjyo. Kaisenjyo telah menyelamatkan aku dari satu musibah dan dia meminta balasan dariku. Jika aku membunuhmu, dia akan berpeluang menempati jasadmu. Namun perancangan kami gagal.”
Aku yang menggagalkannya kerana aku tahu Kaisenjyo akan membunuhku jua. Dia adalah ancaman utamaku, sedang aku mahu terus hidup. Satu-satu cara yang tinggal demi meneruskan hidupku ialah menghapuskannya di alam mimpi Hisamiko, getus Tomokazu.
Aku memilih saat dan tempat ini untuk membunuh Kaisenjyo. Hanya di alam ini dia akan bertempat. Di dunia nyata, dia berada di atas di udara di mana-mana dan sukar mengesannya.
Sambung Tomokazu, “Sekarang dia mahu menghasutmu agar meninggalkan jasadmu di dunia. Usah turuti kemahuannya Hisamiko. Ingat janji dengan abangmu?”
Bagaimana Tomokazu mengetahui tentang abangku?
“Aku mendengarnya melalui Kuro. Abangmu ketika di tebing tinggi itu sebelum dia mati, dia meminta engkau agar teruskan hidupmu. Apakah engkau telah lupa Hisamiko?”