Hisamiko dan Shiro sedang berdiri di atas tebing tinggi yang menempatkan kubur Ryouji dan Hisamine.
Shiro banyak termenung. Yoshihisa. Lelaki tua itu. Aku seperti pernah melihatnya. Apakah dia lelaki itu? Yang pernah datang ke sini dahulu bersama rombonganku? Dan kemudian dia lari dengan rakit yang telah dibina ahli rombongan lain? Wajahnya sungguh berlainan kini. Penampilannya pun. Pakaian tentera aneh yang langsung tidak menyerupai pakaian Jepun.
Mata Hisamiko meliar menyelar segenap pesisir. Dari kapal di tengah laut itu turun beberapa buah bot-bot yang membawa tentera yang masih berbaki. Hisamiko menggetap bibir. Wajahnya merah membakar.
“Mereka tak serik-serik lagi nampaknya. Yoshihisa, aku membiarkan engkau hidup kerana engkau pernah berbaik dengan kami. Malah engkau pernah menyelamatkan kami dari Yato. Namun jika engkau masih berkeras ke sini, aku tiada pilihan.”
Hisamiko mengeluarkan pedangnya, dia menggosok-gosok pedang itu pada batu besar bagi menajamkannya.
**
Lengang. Di mana bot-bot itu?
Hisamiko memerhati sekeliling. Bot-bot itu membelok menuju ke muara yang dilindungi hutan belantara. Maka pergerakannya kini terlindung dari Hisamiko dan Shiro.
Apakah mereka terus menuju ke lombong emas? Ah, aku sudah tidak peduli. Sama ada mereka hanya datang ke sini untuk melombong atau atas tujuan apa sekalipun, aku tetap akan menghapuskan mereka. Jika mereka datang untuk melombong, mereka pasti akan datang sekali lagi dan sekali lagi. Aku sudah muak. Aku tidak mahu melihat sesiapapun di sini lagi.
Shiro dan Hisamiko turun ke pantai dan menyusur sepanjangnya sehingga tiba di belukar berhampiran muara.
Menggunakan deria istimewanya, Hisamiko mengesan besi seperti pistol pada pinggang, namun tatkala dia mengesan dan mendaratkan tetakan pedangnya mengenai leher seorang tentera, picagari pada tangan tentera itu sudah tertanam pada punggung Shiro di sebelah sedang isinya sudah ditolak habis.
“Haiwan ini akan mati jika ia bergerak.” Begitulah kata-kata tentera itu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, kepada Hisamiko. Tentera itu sempat tersenyum sinis. “Hidup Maharaja, banzai!” Kepalanya terlentok kaku sejurus itu.
Shiro mulai kaget. Hisamiko turut menegahnya daripada bergerak tatkala dia mengingat kembali racun sama yang membunuh abangnya itu. Jaring dilepaskan tiba-tiba dan Hisamiko bersama Shiro diikat dan diangkut keluar dari hutan.
Bot khas yang lebih besar sudah tiba di muara.
“Hisamiko...” Yoshihisa datang dan menatap Hisamiko dari balik jaring. “Maafkan aku, namun Maharaja mahu engkau pulang. Engkau harus berterima kasih aku masih menahan diri dari membunuhmu Hisamiko. Kerana kenangan kita di sini masih aku hargai. Meski engkau telah membunuh orang-orangku tanpa belas!”
Hisamiko meludah, matanya tajam menikam Yoshihisa. “Aku akan bunuh engkau jika aku berjaya melepaskan diri.”
Shiro masih terpinga-pinga di dalam jaring. Dalam hati Shiro berbisik, “Benarlah dia ini Yoshihisa! Aku kenal suara itu. Meski wajahnya jauh lebih tua, suaranya dan lenggoknya tidak pernah berubah!”
Yoshihisa tidak mengendahkan ugutan Hisamiko, dan mengisyaratkan tenteranya mengangkut mereka ke dalam bot.
Syaitan! Namun mengapa masih aku setuju menyelamatkannya? Mengapa hatiku masih berbolak-balik? Apakah ia salahku Hisamiko menjadi begini syaitan?
Namun wajah Hisamiko kembali bermain di fikirannya. Wajah penuh kebencian itu. Apa yang telah engkau lalui Hisamiko sepanjang berada di sini? Di mana wajah gadis yang baik yang aku temui dahulu? Mengapa engkau begitu membenciku? Terlalu banyak perkara yang ingin aku bicarakan. Engkau mungkin telah menyalahanggap aku membelotmu dan abangmu. Sedangkan aku langsung tidak berniat begitu.
Hisamiko tidak dapat menggerakkan pedangnya kerana jaring itu diketatkan. Jika dia punya pisau pasti lebih mudah kerana pisau lebih kecil dan tidak memerlukan pergerakan yang besar untuk memotong. Akalnya ligat berfikir ketika mereka dikandar puluhan tentera masuk ke dalam bot besar. Bot itu ditarik beberapa buat bot lain menuju ke kapal di luar pesisir. Jaring itu diangkat takal besar masuk ke dalam sangkar besi yang besar dan dibawa turun ke dek bawah, dikeluarkan dari sangkar besi itu. Bergelaplah mereka berdua di dalamnya sehingga masa menentukan.
Hisamiko membiarkan dahulu mereka berkurung. Dia punya perancangan. Shiro harus dibiarkan dahulu. Racun itu akan hilang kesannya dalam dua hari. Selepas dua hari, dia akan melepaskan dirinya dan Shiro dengan memotong jaring menggunakan pedang dan Shiro akan terbang membawanya merentas samudera kembali ke pulau. Atau, sekembali ke Jepun, dia akan terbang bersama Shiro kembali ke pulau. Dia tidak akan tinggal di Jepun. Dia sudah berjanji dengan abangnya. Dia tidak lagi percayakan Maharaja. Maharaja mungkin merancang mahu membunuhnya.
Gelapnya. Ada bau arang di sini. Juga bau sake. Shiro hanya mendiamkan diri. Di tempat begini apa yang boleh kautuliskan? Lagi pula dengan tangan berikat. Hanya bunyi dengkuran, dengusan dan gerutu yang tidak Hisamiko fahami kedengaran.
Hisamiko cuba meregangkan sedikit jaring agar boleh dia menggerakkan pedang bagi memotongnya.
Tidak semena-mena, pintu dikuak. Seorang lelaki masuk dan membawa pelita menerangi kurungan itu. Dia datang ke arah Hisamiko dan menerangi wajahnya.
“Hei gadis. Yoshihisa mengarahkan aku mengambil pedangmu.”
Hisamiko memegangnya kejap namun lelaki itu menumbuk tangannya menyebabkan dia mengerang. Selepas berdarah-darah tangannya ditumbuk berkali-kali barulah Hisamiko mengalah dan lelaki itu menarik keluar pedangnya dari jaring. Hisamiko hanya mampu menangis melihatkan harapan terakhirnya berkecai.
“Oh, inilah rahsiamu. Pedang Saishi-tou yang telah menumpaskan ramai pemberontak. Juga tentera kami. Aku akan membuangnya ke laut.”
“YAMEROU!!” Erang Hisamiko. Lelaki itu tidak mengendahkannya seraya naik ke dek atas.
Plup! Pedang dicampak langsung ke dalam laut, diperhatikan Yoshihisa.
Shiro mendengus, dia amat marah. Engkau amat licik seperti dahulu lagi, Yoshihisa!
“Bertenang Shiro bertenang. Jika kau gusar lagi cepat racun itu meresap. Engkau harus menunggu dua hari sebelum kesannya hilang atau engkau akan mati seperti abangku.” Hisamiko cuba menenangkan Shiro, meskipun hatinya turut bergolak. Ketenangan Shiro paling diutamakan saat ini. Jika Shiro bergerak, maka habislah rancangannya. Shiro akan mati, dan perancangannya kembali ke pulau akan turut termati. Bagaimana mungkin dia berenang sejauh-jauh demi kembali ke sana?
Hisamiko memerah otak. Bagaimana mungkin dia merancang sedang semua di sini gelap gelita?
**
Emas-emas sudah pun diangkut. Bendera Empayar Jepun sudah pun dipacak di merata titik utama pulau, sebagai amaran dan pemberitahuan kepada mana-mana penceroboh termasuk dari Amerika dan Rusia, bahawa pulau ini sudah berada di bawah penaklukan Maharaja. Para tentera sudah pun kembali sepenuhnya ke dalam kapal hitam, kecuali yang diarahkan berkawal di pulau.
Ya, Maharaja telah mengarahkan beberapa orang tentera ditinggalkan di pulau itu lengkap dengan senjata api dan makanan. Pulau itu akan dikunjungi lagi sebulan kemudian. Disebabkan kawasan sekitar lombong emas sudah diteroka, lebih mudah untuk mereka meneruskan hidup di situ. Mereka juga telah diperingatkan Yoshihisa agar berhati-hati dengan binatang berwarna hitam yang memakan manusia. Dengan senjata moden, mereka kurang gentar. Namun jauh sekali mereka maklum bahawa haiwan hitam itu sudah pun mati.
Yoshihisa mengarahkan sauh dilepaskan, dan pelayaran pulang yang panjang ke Jepun bermula.