“Lombong emas? Di sini?”
“Hmm.”
“Hisamiko, bawakan aku ke sana!”
“Bukan aku tak mahu, tapi engkau tangkap bukan cerita aku tadi?”
“Hmm.”
“Aku bilang mereka masih di sana, menjaga lombong itu. Aku bimbang nasib yang menimpa abangku akan berulang pada kita.”
Hisamine menguis-nguis pasir dengan kakinya yang tidak bercapal itu.
“Di mana kubur abangmu?” Hisamine mahukan kepastian akan kisah Hisamiko. Maka dia membelok kepada soalan lain.
“Di sana, di balik batu besar itu.”
“Aku mahu melihatnya. Boleh kan? Maafkan aku Hisamiko.”
“Ikut aku.”
Hisamiko membawa rakannya itu ke kubur Ryouji.
Hisamine masih tidak berpuas hati. Ia tidak kelihatan seperti kubur. Tiada tanda yang mengesahkan itu kubur abang Miko, seperti batu nesan.
“Selagi mana dia berada di sini, aku tidak mahu meninggalkan pulau ini.” Tutur Hisamiko perlahan, nadanya sayu. Dari riak Hisamiko, jelas dia tidak menipu. Nesan yang mengabadi bukanlah nisan yang nyata, tapi sebuah binaan berbentuk ukiran wajah nestapa mereka yang ditinggalkan. Pada wajah-wajah yang sedih dan menangisi kematian seseoranglah, seseorang yang pergi itu dinesankan, dihidupkan dan diabadikan.
“Maka aku terpaksa pulang seorang dirilah...”
“Mine, aku pun tak pasti sama ada kakakmu di Honshu. Paling akhir kami bertemu di Kobe, katanya dia mahu ke Joseon mencarimu. Aku tidak pasti di mana dia sekarang.”
“Miko...”
“Aku hanya menyatakan realiti. Apa kata engkau lupakan saja Jepun? Kita tinggal di sini...”
“Miko!”
“Ah, gomennasai...” Hisamiko seolah-olah baru sedar dari rasukan, baru tersedar dia keterlaluan dalam mengharap sehingga terzahir pada kata-kata.
Hisamine melarikan diri jauh ke hujung pantai membawa rajuk. Hisamiko mengekorinya, dia sempat meraba Saishi-tou di pinggang. Kawasan selain hutan gelap dan tebing tinggi adalah had keselamatan mereka. Pada hemat Hisamiko, kawasan di luar hutan gelap iaitu pantai, dan lombong emas, kurang selamat dan orang-orang Yato mungkin masih hidup dan berkeliaran. Juga rakan kepada lelaki yang mengejar Hisamine tempoh hari. Maka dia harus sentiasa bersedia.
“Maafkan aku Mine.” Tegur Miko.
“Aku mahu melihat lombong emas.” Pinta Hisamine tanpa menoleh.
“Mine...”
Hisamine menoleh.
“Jika aku dapat melihatnya, aku tidak akan pulang ke Jepun.” Hisamine memandang Hisamiko dengan mata penuh mengharap. Angin laut menerbangkan rambutnya, sedikit menutup dahi sekali-sekala. Cantik, getus Hisamiko.
Hisamiko serba salah. Apakah Hisamine sedang mengujiku?
“Apakah kau benar-benar maksudkannya?” Soal Hisamiko.
“Hontou da.”
“Hontou ka (sungguhkah)?”
“Hontou da (sungguh)!” Tegas Mine.
Hisamiko diam serba salah. Dia bersuara akhirnya, “Baiklah.”
Hisamine tersenyum.
Hisamiko berjalan dahulu diikuti Hisamine.
Mereka tiba di lombong emas selepas menyusur tebing sebatang anak sungai yang airnya jernih kehijauan.
Hisamiko dan Hisamine bersembunyi di balik belukar, berwaspada. Hisamiko di hadapan Hisamine. Matanya meliar memerhati sebarang petanda kehadiran manusia di sekitar lombong.
Mereka melangkah perlahan-lahan menuju bongkah-bongkah emas yang besar-besar belaka, berkilau disinar mentari yang menerobos celah-celah kanopi pokok-pokok hutan yang tinggi merimbun.
“Dengan bongkah sebesar penumbuk aku yang kecil ini sahaja, engkau boleh bertahan sehingga ke hari tua. Engkau boleh membeli makanan selama tujuh puluh tahun. Bayangkan nilainya.” Jelas Hisamiko.
Hisamine tidak berkedip mata membulat memandang bongkah-bongkah besar yang berbaris di hadapan mereka. Mulutnya menuturkan perlahan namun jelas di telinga Hisamiko, “Namun tiada gunanya emas ini selagimana kita terperangkap di sini. Nilainya hanya terzahir pabila ia dijual di luar.”
Tatkala mereka berjalan pulang di sepanjang pesisir pantai, Hisamine menyuarakan buah fikirnya.
“Aneh bukan Hisamiko? Bagaimana nilai sesuatu itu nampak pabila ia jauh dari mata kita?”
“Maksudmu?”
“Kita yang terperangkap di pulau ini tidak akan memandang emas itu bernilai. Pada kita, makanan dan nyawalah yang lebih bernilai di sini. Namun di mata mereka yang jauh dari sini, mereka amat menghargai emas-emas itu. Dari emas inilah mereka membeli persaraan mereka, rumah dan tanah, dan segala macam kehendak dalam benak.”
“Hmm. Engkau tahu berfalsafah juga ya. Aku ingat engkau hanya tahu mengkaji.” Seloroh Miko.
Hisamine seolah-olah tidak mendengar Miko, sebaliknya terus berbicara, “Aku tidak pernah sebegini rindu pada kakak sehinggalah aku terpisah darinya. Rindu pada saat dia ada di sisi langsung tak sebanding dengan apa yang aku rasai sekarang.”
Hisamine menyambung selepas berhenti sejenak, “Miko, apa gunanya emas-emas itu jika tidak dapat mempertemukan aku dengan kakakku?”
Hisamiko mengulang ayat Hisamine dalam hati dan disuaipadan dengan dirinya – Apa gunanya emas ini jika tidak dapat menghidupkan kembali abangku?
Namun engkau jua yang berkata jika aku membawamu ke sini, engkau tidak akan meninggalkan pulau ini? Hisamine, apa maksudmu?
“Jadi, Mine-chan. Apakah engkau masih mahu pulang?”
“Erm. Tidaklah. Usah risaulah Miko!” Hisamine menampar lembut belakang Hisamiko dan tersengih memandangnya.
“Sakitlah!”
Hisamine menjelir lidah. Hisamiko mengejarnya sepanjang pantai. Mereka menghabiskan masa di tepi pantai sebelum pulang ke lembah. Mentari dan laut menjadi saksi persahabatan yang kian bertaut.
**
Di dalam hutan gelap ada pintu masuk ke sebuah gua, gua lain dari yang berhampiran dengan kubur Ryouji. Laluan gua itu membawa pengembara ke satu puncak. Cahaya matahari masuk melalui lubang gua di puncak itu, dan memalap ke pedalaman gua, sehingga lenyap sepenuhnya di pintu masuk satu lagi di hutan gelap.
Kedengaran bunyi dengkuran kuat seperti seekor kucing besar yang sedang tidur lena, diselang-seli dengan bunyi kelawar mencicit dan air dari bumbung gua menitik ke dalam takungan di bawah.
Angin menderu di pintu gua menghasilkan bunyi yang menyeramkan seperti jeritan dan lolongan puaka, seolah-olah himpunan bunyi ratapan dan seksaan roh-roh mereka yang terkorban di pulau ini. Setiap mereka datang dengan harapan besar mahu memulakan hidup baru dengan emas yang dilombong. Ada yang berjaya pulang, dan ada yang mati di sini atas pelbagai sebab. Ramai dari mereka tidak mati dengan tenang, kerana hajat mereka belum dicapai. Nyawa mereka direnggut mudah oleh mereka yang tamak dan menggunakan kekerasan. Tatkala jasad membusuk dan mereput dan dimamah ulat-ulat, harapan mereka masih menerawang langit dan mengitar alam, tergantung sepi tanpa penyudah yang menenangkan.