Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 12

Sebaik tubuh Hisamiko mencecah air, Ryouji memeluk dan berenang membawanya ke pesisir.

 

Mereka tiba di tempat batu-batu bertimbun di tebing tinggi mengadap lautan. Ryouji memanjat dahulu sedang Hisamiko dikendong di belakang.

 

Ryouji menarik tangan Hisamiko ke atas tebing dan duduk bersembunyi di situ di celah batu.

 

Onii-san engkau bergerak seolah tiada apa-apa berlaku. Aku bimbang racun itu akan membahayakanmu.”

 

Ryouji sedikit terkejut namun dipendamkan. Itulah sebahagian perancangannya. Ryouji tiba-tiba memagut dada, wajahnya berkerut.

 

“Hisamiko, aku rasa racun itu melemahkanku. Dadaku ada rasa pedih.” Ryouji bersandar pada batu. “Bagaimana dengan engkau?”

 

“Sedikit lemah berbanding sewaktu di atas dek.”

 

“Tak guna. Racun apakah itu? Ia racun yang seolah dicipta untuk kita, pengguna kaminari. Agar gerakan pantas kita membunuh diri sendiri.”

 

Ryouji mengamati wajah Hisamiko, jelas dia lebih risaukan Hisamiko berbanding dirinya sendiri.

 

**

 

“Yoshimura!” Yato menempik.

 

“Ya, Yato.”

 

“Siapa yang membuat racun itu? Siapa!” Bentak Yato.

 

Tak pernah pula dia ambil tahu begini rinci. Mengapa pula dengan Yato, soal Yoshimura dalam hati.

 

“Kenalanku, dia turut membekalkan kepada Hamada Yoshinobu. Juga kepada Maharaja.”

 

Yato tidak mempedulikan siapa kenalan Yoshimura itu. Kenalan talam dua muka yang tidak memihak kepada sesiapa, Hamada Yoshinobu itu jelas musuh kepada Maharaja namun keduanya sama dibekalkan racun itu. Nampaknya Hamada juga mahu meracun Ayame sedang Ayame itu sekutunya. Ayame mati sebelum racun itu sempat digunakan.

 

“Apakah ia tiada penawarnya?”

 

“Tiada. Kerana ia racun yang terhapus sendiri jika mangsanya tidak bergerak.”

 

“Apa gejala keracunan?”

 

“Tekak engkau akan luka, diikuti organ dalaman. Darah akan keluar dari kelenjar liur di bawah mulut dan dari tekak daripada organ dalaman. Kemudian lidah engkau akan kejur sebelum darah turut keluar dari lidah. Engkau tidak boleh berkata-kata dan mati akibat sesak nafas.”

 

Yato menepuk dahi, menyedari kebodohannya menyuntik Hisamiko. Dia terlutut dan sasau. Yoshimura memaut bahunya dan membawa Yato yang sudah lembik seperti sawi layu ke biliknya di dalam dek bawah kapal.

 

**

 

Ryouji terbatuk-batuk. Dia menekup mulut. Ada darah keluar pada telapak tangannya. Ia petanda, gerakan renang yang lebih perlahan itu ternyata memberi kesan sama. Racun ini sungguh ampuh. Nampaknya, ia racun ‘insurans’ yang berkesan bagi menahan tebusan.

 

Hisamiko pula terbersin dan menekup hidungnya. Juga ada darah pekat keluar dari hidung dan memenuhi tangannya, sedikit melimpah ke lantai batu.

 

Ryouji senyum dalam hati. Perancangannya berjaya. Dia mengenang memori lalu, peristiwa selepas Hisamiko disuntik aotsuyu ketika misi Saikawa. Bagaimana dia sembuh dari racun itu selepas darah dari hidungnya dikeluarkan. Juga ia pernah berlaku kepada Ayame ketika misi berhampiran Gunung Fuji, di Suruga.

 

Ryouji tersenyum jua namun gesit disembunyikan dari Hisamiko. Dia tahu Hisamiko bakal selamat. Ada sinar kelegaan menerangi hatinya. Asalkan Hisamiko hidup, dia sanggup bergadai apa sahaja. Asalkan Hisamiko hidup, mati sekalipun memberi makna kepadanya.

 

“Apa yang berlaku pada kita onii-san... Aku takut...”

 

“Miko...” Ryouji memandang tepat wajah adiknya itu, air matanya mengalir. Dia memegang pipi Hisamiko seraya berkata, “ Jika apa-apa terjadi padaku, engkau harus hidup di sini dan tetap tinggal di sini. Mengerti? Jangan sekali-kali kembali ke Jepun.”

 

Onii-san, mengapa engkau...”

 

“Maafkan abang, Miko. Abang mungkin tak akan dapat menemanimu lagi – ” Pantas kata-katanya dipotong oleh batuk yang tidak henti-henti. Darah semakin banyak keluar ke telapak tangan. “Miko, abang tetap menyayangimu. Abang bahagia engkau sebagai adikku – ” Dia batuk lagi.

 

Onii-san!”

 

Sementara itu Yato yang sasau di biliknya...

 

Hisamiko di mana engkau? Bukankah telah kuingatkan jangan engkau lari? Habislah, habislah. Bodoh, aku memang bodoh! Mengapa aku turut menyuntikmu? Mengapa engkau degil sungguh? Getus Yato dalam hati sambil menyekeh kepalanya berkali-kali.

 

Oh cinta hatiku bakal pergi. Habislah rancangan aku mahu menakluk Jepun. Habislah bidadari hatiku pergi akibat kebodohan ini. Bodoh!

 

Di tebing tinggi berbatu...

 

“WAHAI ANAKKU.” Kedengaran suara seorang wanita dewasa di telinga Hisamiko. Hisamiko terdiam. Mata melilau cuba mengesan dari mana puncanya.

 

“WAHAI ANAKKU.” Suara itu bergema lagi. Ryouji yang sedang nyawa-nyawa ikan mengesan reaksi Hisamiko namun tidak berdaya bertanya.

 

Onii-san aku mendengar suara.”

 

Aku tidak mendengarnya. Ryouji menggunakan isyarat tangan.

 

“Aku mendengarnya!”

 

“ARIGATOU....ARIGATOU HISAMIKO.” Suara itu bergema lagi.

 

“Sebentar. Ia datang sekali lagi.” Hisamiko menumpu pada suara itu dengan mencorongkan telinganya.

 

“ARIGATOU...KERANA TIDAK MENINGGALKAN PULAU INI.”

 

Hisamiko menjegil mata dan tangan kecilnya menutup telinga. Namun bisikan itu masih bergema.

 

ARIGATOU...ARIGATOU...ARIGATOU...

 

Ia beransur-ansur hilang.

 

Onii-san aku takut.”

 

Sementara itu, orang-orang Yato kebingungan, hilang jejak. Mereka berundur kembali ke kapal.

 

Hisamiko terpana dan terlupakan Ryouji sejenak, minda menerawang mencari punca suara bisikan. Mulut Ryouji bergerak-gerak tanpa bunyi, seolah membentuk nama panggilan Hisamiko.

 

Hisamiko seolah-olah baru tersedar dari rasukan, memandang abangnya. Ada air mata menanti untuk melimpah. Matanya masih menjegil ketakutan.

 

Dia merangkul abangnya.

 

Ryouji bingung melihat Hisamiko, sedang diri sibuk menanggung perit sakarat. Suara apakah yang didengar Hisamiko?

 

“i..o... (Miko)” tangannya memegang pipi Hisamiko. Kepalanya diriba.

 

Onii-san jangan tinggalkan aku. Onii-san!”

 

“i...o...”

 

Tangan Ryouji perlahan-lahan terkulai di pangkuan Hisamiko. Deru angin laut bertiup kencang tiba-tiba menenggelamkan raungan dan tangisan Hisamiko, dan seolah-olah sama meratapi kematian Ryouji.

 

**

 

Seorang gadis dengan rambut putih panjang mengurai dan beryukata serba putih, lusuh dengan kedutan dan kesan tanah, berdiri di muka sebuah gua di dalam hutan gelap. Ada siung terkeluar dari bibir atasnya. Dari dalam gelap gua merekahlah wajah seorang lelaki berusia sekitar empat puluhan dalam yukata warna kelabu dan sudah koyak sana-sini. Ada uban menyerlah disinar mentari, pada jambang dan rambutnya.

 

“Kaisenjyo.” Tegur lelaki itu.

 

“Dia ada, bersama abangnya. Namun abangnya baru sahaja mati.” Tutur lembut gadis itu.

 

Gadis itu meneruskan, “Setelah lima ratus tahun. Setelah lima ratus tahun aku terpenjara di dalam jasad ini. Akhirnya ramalan Amaguri nee-chan menjadi kenyataan. Calon jasad baru untukku telah tiba. Aku akan menempati jasad baru. Jasad lama ini akan mereput. Aku sudah tidak tahan menempati jasad penuh penyakit dan lemah ini. Aku mahu jasad baru. Aku mahu gadis itu sekarang.”

 

“Sabar Nozomi, e to Kaisenjyo. Engkau tidak boleh menempati jasadnya sehinggalah dia berputus asa dengan hidup dan manusia. Engkau tidak ingat?”

 

“Jadi apa yang harus aku lakukan?”

 

“Biarkan dia sengsara selama mungkin di sini. Tunggu sehingga dia membunuh dirinya. Bukankah itu yang pernah kaukatakan padaku dahulu?”

 

“Apakah engkau pasti dia akan membunuh dirinya?”

 

“Ya.”

 

Kaisenjyo ketawa mengilai. “Ne, Tomokazu. Aku tidak mahu kebarangkalian. Aku mahu kepastian. Apakah dia benar-benar akan membunuh dirinya?”

 

“Pasti.”

 

“Apa yang buat engkau terlalu pasti?”

 

“Jawapannya pada Nozomi, jasad yang kautempati itu. Bukankah kau sendiri yang kisahkan padaku kisah Nozomi?”

 

Sebaik nama Nozomi disebut, kedengaran bunyi gerutu seperti singa atau harimau dari dalam gua di belakangnya.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov