“Aku dua puluh lima.” Hisamine memberitahu, nadanya lebih berani berbanding di awal pertemuan mereka. Matanya ada sinar kemesraan. Ada watak sebenar yang cuba ditonjolkan malu-malu kerana masih di awal pertemuan.
Namun inilah wataknya sejak dahulu, sejak sebelum dia diangkut dan dipaksa menjadi pelayan nafsu buas para pelayar di atas kapal itu selepas dijual oleh satu sindiket pemerdagangan gadis. Watak itu tenggelam dalam jerih perih menanggung noda dan lendir hitam dosa yang menghiris rohani cebis demi cebis dan menumbuhkan gelora dendam. Kadangkala ia membuatkan engkau mahu membunuh dirimu, kadangkala ia membuatkan engkau mahu membunuh semua manusia di sekelilingmu, ia rasa hitam yang berkincahan namun kesannya sama deritanya sama. Begitulah yang dirasakan sepanjang berada di dalam kapal itu. Lebih teruk, ia rasa yang terbit lama dahulu sebelum berkapalan, ketika dia dipaksa melacur di Joseon lagi.
Dan tatkala kapal itu dipukul badai dan terdampar di pulau ini, dia berjaya melepaskan diri. Pertama kali sejak diculik dahulu di sebuah pasar di utara Jepun berhampiran Aomori, dia kembali merasa bebas. Bahkan bertemu dengan tempat yang sungguh indah ini.
Lain benar kulihat perwatakan Hisamiko, getus Hisamine. Dia sungguh lemah-lembut, sopan bicara dan comel orangnya, dengan pipi lewah dan gebu putih, dengan bibir merah jambu seulas, wajah bujur, mata ruyup ke sisi dua kelopak dan sepet sedikit, hidung kecil dan dahi kecil. Namun di hutan tadi, dia bertarung seperti seorang petarung handalan, wajahnya keras membeku dingin tanpa darah dan kepantasannya luar biasa, lagaknya seperti tentera pembunuh upahan Maharaja yang diperkatakan ramai itu, yang berjaya menewaskan Shirasaka Ayame sang penderhaka.
Bahkan Kazumasa ketakutan. Aku tidak pernah melihat lelaki yang begitu bengis dan melayan kami para gundik kapal seperti binatang, begitu ketakutan. Sungguh memalukan pastinya. Sudahlah ditewaskan begitu oleh seorang gadis. Pastinya lebih memalukan jika rakan-rakan sekapal melihatnya begitu.
Hisamine tersenyum sendirian mengenangkan lelaki yang mengejarnya itu yang bernama Kazumasa. Rasakan engkau, Kazumasa! Aku bilang perit yang kaurasakan kerana jari telunjuk yang dipotong Hisamiko itu hanyalah permulaan. Aku akan membalas dendam untuk Kanako, untuk Himawari, untuk Yuri... .
Air mata Hisamine mengalir tanpa disedari. Tatkala dia menyeka, ada sisa sendu yang dikesan Hisamiko.
“Engkau menangiskah, Mine-chan? Maa, ii kara. Engkau menangislah di sini. Tak perlu malu. Shiro jauh di sana, ne?” Tangan kecil dan lembut Hisamiko menepuk bahu rakan barunya itu.
“Malunya. Engkau patut memanggilku kakak, namun engkau pula yang memujukku.”
“Usah fikirkan hal umur, di sini kita sebaya. Aku akan memanggilmu Mine-chan saja.”
Hisamine tambah tersentuh mendengarnya, baru hari ini sahaja dia bertemu Hisamiko, dia yakin inilah sahabat sejatinya. Dia terhinggut-hinggut, diikuti erangan kuat, lama, kemudian terhinggut-hinggut kembali dan berakhir dengan diam yang lama sehingga dia tertidur keletihan di dalam onsen itu. Hisamiko menarik Hisamine keluar dari onsen dan membalut tubuhnya dengan lapisan dalam yukata yang berwarna putih. Dia meminta Shiro membawa Hisamine ke bawah pokok yang rimbun dan rendang di pinggir onsen. Hisamine dibaringkan di atas daun-daun kering dan daun pisang yang dilapik menghampar di bawah pokok.
Shiro hanya menuruti arahan Hisamiko. Aneh, fikir Hisamiko. Setiap kali aku menggelarnya Shiro, dia menerimanya dan memandangku, seolah-olah nama itu sudah lama diterimanya.
Sekarang sudah musim luruh, 1878. Sudah setahun berlalu selepas pemergian Ryouji. Sudah setahun juga dia terperangkap di pulau ini. Dalam tempoh itu, Hisamiko tidak pernah membina rumah di sini. Jika hujan dan salji gugur, dia hanya berteduh di bawah pokok ini. Suhu di sini tidak terlalu panas dan terlalu sejuk, meski di musim sejuk, kerana haba dari onsen dan sungai air panas menyeimbang dingin cuaca, juga haba dari tindakan seismik di bawah permukaan tanah. Kadangkala ada satu dua hari di mana cuaca menjadi terlalu sejuk membeku, dan Hisamiko menggigil. Shiro akan datang dan memeluknya memberi kehangatan seperti diselimuti futon yang tebal, sehingga dia terlena.
“Aku fikir aku perlukan rumah untuk Hisamine, Shiro.” Beritahu Hisamiko kepada Shiro. Dia tahu Shiro tidak akan menyahutnya. Namun Shiro seperti memahaminya, seperti selalu. Hisamiko menyambung, “Tak lama lagi musim sejuk. Aku fikir lebih selesa berdiam di dalam rumah dengannya. Kami manusia, tak sepertimu.”
Shiro naik menerusi terowong menuju ke hutan gelap. Lama. Hisamiko berbaring di sebelah Hisamine. Pada fikirnya, mungkin Shiro mahu memungut buah hutan seperti selalunya. Seperti kelapa. Kelapa tidak tumbuh di lembah ini. Hanya buah-buah manis dan masam yang aneh dan tidak pernah ditemukan di Jepun. Buah-buah ini lembut dan kaya dengan air, seperti peach atau momo. Pabila digigit, isinya lembut dan berair manis bercampur masam. Pisang juga tidak tumbuh di sini, namun masih tumbuh di luar lembah.
Shiro kembali dengan kayu-kayu papan, ditarik pada mulut menggunakan pukat entah dari mana. Hisamiko mengamati. Ia seperti kayu dari kapal. Shiro kembali mengulang mengambil kayu-kayu sehingga cukup banyak.
“Guri ro rugurimago...” Makhluk itu menggerutu demikian, seperti suara dalam besar dan garau seekor raksasa yang tidak punya gigi cukup untuk memperhalusi sebutan. Atau bentuk dan susunan gigi dan lidahnya tidak dicipta untuk tujuan tersebut.
Hisamiko membulat mata memandang Shiro, tidak memahami butir bicaranya. Ia seperti berkata-kata sesuatu!
“Guri...”
“Gugi...”
Apa?
Shiro mengambil ranting dan menulis di atas tanah dengan tangannya memegang ranting itu kekok, kerana tangannya tidak dicipta untuk tujuan menulis. Hisamiko bertambah terkejut. Makhluk ini tahu menulis!
Tulisannya berbunyi begini: Uchi wo tsukurimasho (mari bina sebuah rumah).
Hisamiko berbisik pada diri, makhluk ini faham pertuturanku, dan mampu menulis! Cuma masalahnya satu, rahang dan lidahnya tidak dicipta untuk menuturkan bahasa manusia dengan sempurna. Apakah binatang ini sebenarnya?
Hisamiko memandang Shiro penuh rasa aneh bercampur teruja. Dia memeluk Shiro tiba-tiba.
Shiro hanya membiarkan. Tangannya yang besar dan berbulu itu memegang kepala Hisamiko. Matanya kuyu sebentar.
“Nani shite no (apa kalian sedang lakukan)?” Kedengaran suara Hisamine. Dia sedang duduk di bawah pokok rendang, bersarungkan yukatanya yang sudah bersih dicuci. Kakinya yang cedera masih berbalut.
“Oh, Mine-chan. Kami mahu membina rumah. Shiro akan membantu kita.”
“Sou? Boku mo tetsudatte ageru? (boleh aku tawar turut sama bantu kalian?)”
“Mochiron yo (sudah pasti)! Namun, bagaimana kakimu?”
Hisamine berjengket-jengket berjalan menuju ke arah mereka.
“Engkau rehatlah dahulu. Tunggu kakimu sembuh.”
“Aku boleh membantumu sambil duduk. Bukankah kayu-kayu itu perlu dipotong dan dicantumkan dahulu?”
Hisamine menunjukkan bakat terpendamnya memotong kayu mengikut ukuran yang sesuai dan membuat takik bagi mencantum-cantumkan agar membentuk tulang kerangka untuk dinding. Hisamiko membantu mencucuk tiang seri berempat bersama Shiro. Kayu-kayu yang dicantum diikat menggunakan tali pokok dan dijadikan dinding. Shiro membawa batang-batang bambu yang dipungut dari satu rimbun buluh di luar hutan gelap. Batang-batang bambu menampung kekurangan batang kayu. Shiro turut membawa pelepah-pelepah kelapa untuk dijadikan bumbung.
Maka siaplah sebuah rumah ringkas untuk Hisamiko dan Hisamine, di tepi onsen. Meski nampak hodoh dan usang, ia cukup untuk didiami beberapa hari sebelum ditambahbaik kelak.