Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 9

“Aku tidak pernah tahu berkenaan racun ini.” Ulas Katamori sebaik dicerahkan.

 

“Yoshimura yang mencadangkan kepadaku.” Jelas Yato.

 

“Aku masih tidak faham. Aku tahu engkau mahu menangkap mereka demi memanfaatkan kemahiran mereka. Namun kau yakin mereka akan berkhidmat kepadamu?” Duga Katamori.

 

“Katamori. Engkau fikir mengapa mereka yang merupakan pahlawan ulung, memilih ke sini menyertai kita?”

 

Katamori mengangkat kening menagih penerangan lanjut.

 

Yato menyambung, “Kerana mereka telah dihalau Maharaja. Budak perempuan Hisamiko itu adalah petarung yang telah diramalkan bakal menjadi pemusnah dinasti Yamato. Ryouji terlalu menyayanginya dan negara yang telah dibina Maharaja dan Kogen. Maka dia merancang melarikan diri sambil membawa adiknya ke sini. Namun aku punya perancangan lain. Andai kita boleh menggunakan Hisamiko dan menggulingkan Maharaja, bukankah aku akan menjadi manusia paling berkuasa di Jepun? Bukankah aku akan menjadi Maharaja Jepun yang baru?”

 

Dan memperisterikan Hisamiko yang putih mulus dan cantik jelitawan itu? Oh, sungguh aku bakal menguasai Jepun seperti raja tiada tolok banding. Dengan gadis pemusnah Yamato itu aku peristerikan, aku mengawalnya di hujung jari-jemariku sahaja.

 

Menganga mulut Katamori mendengar cita-cita besar Yato. Yoshimura pula tidak menunjukkan reaksi, seolah-olah dia sudah mengetahuinya awal-awal.

 

“Yato, aku tak faham apa yang membuatkan engkau begitu yakin dengan rancangan gilamu itu.” Luah Katamori, ada keluhan di hujung ayat kedengaran. Katamori kian goyah.

 

“Aku lebih gila dari yang kausangkakan.” Angkuh nadanya. “Sudahlah. Baik kita beredar sebelum kita pula dibaham haiwan entah apa itu.”

 

Katamori mengeluh. Ia bukan gila cerdik, tapi gila bodoh. Gila cerdik ialah rancangan luar biasa dengan sasaran luar biasa. Gila bodoh ialah rancangan biasa untuk mencapai sasaran luar biasa. Aku fikir Yato gila bodoh. Aku fikir, dia tidak akan berjaya.

 

Sementara itu di lubang persembunyian dalam hutan gelap...

 

Ketika mereka berada di dalam lubang itu, mereka masih dapat melihat kelibat pelombong-pelombong tersebut yang sedang mundar-mandir di dalam hutan mencari mereka. Ada lima semuanya. Yato dan lain-lain entah mana hilangnya.

 

Namun, tidak semena-mena, mereka dibunuh satu persatu oleh satu kelibat berbulu yang besar dan bergerak amat pantas seperti angin kencang yang menderu. Bunyi kelibat tersebut seperti harimau tetapi bunyinya lebih menggetarkan rasa dan derapan kakinya lebih kencang, menggoncang bumi yang membumbungi lubang yang didiami mereka bertiga dan menjatuhkan debu-debu yang memedihkan mata.

 

“Binatang apakah itu?” Soal Hisamiko sedang tangan menutup telinga. Mata dipejam sedikit menghindar dari habuk tanah, namun masih dalam kekaburan menanggap pemandangan depan mata. Yoshihisa duduk diam di dalam lubang sambil menggigil kesejukan, menutup mata. Barangkali cuba menyambung lelap.

 

Ryouji nampak di celah-celah kegelapan hutan itu, berbalam-balam di celahan pepohon rimba yang padat, bahawa kelibat itu memiliki sayap dan matanya merah, bentuk kepalanya seperti serigala.

 

Seusai membunuh kesemua pelombong-pelombong yang berkeliaran di dalam hutan itu, kelibat besar itu mengangkut kesemua lima mayat dan mengibas-ngibaskan sayapnya yang besar, seraya terbang pantas meninggalkan mereka bertiga yang kaget, terpaku masih di dalam lubang itu.

 

Ryouji berbisik sendirian seolah mengulang soalan Hisamiko, binatang apakah itu. Warna bulunya tidak jelas dek kegelapan hutan. Mungkin hitam.

 

“Aku fikir kita berdiam sahaja di sini sehingga esok.”

 

Kedengaran bunyi dengkuran. Ryouji menoleh, mendapati Yoshihisa sedang tidur. Hisamiko dan Ryouji turut terlelap kepenatan tidak lama kemudian, sehingga pagi menjelma.

 

Ryouji terbangun dari tidur pabila cahaya yang terang menerjah matanya. Ryouji mengamati terdapat dua punca cahaya, satu dari lubang yang dimasukinya dinihari tadi dan satu lagi dari satu hujung terowong bawah tanah itu. Ryouji kemudiannya mulai bergerak menuju ke arah punca cahaya yang lagi satu itu.

 

“Ryouji, aku fikir lubang sana adalah lubang kita masuk malam tadi.” Yoshihisa mengutarakan pendapatnya sambil menuding ke arah lubang menghala ke hutan gelap.

 

“Aku tahu, namun aku fikir aku mahu ke lubang lagi satu sebentar. Aku ingin lihat juga terowong ini menghala ke arah mana dari hutan gelap itu. Sebentar. Apakah kautahu ini sebuah terowong?”

 

“Hmm. Seingatku ini hanyalah lubang sewaktu aku bersembunyi di sini dahulu.”

 

Ryouji meneruskan merangkak menuju ke lubang terowong. Sebaik dia hampir, seekor makhluk entah apa yang berbulu lebat duduk di muka terowong itu dengan punggungnya menghala ke arah mereka, menghalang cahaya dari memasuki terowong. Sekeliling mereka memalap dan mengharapkan sisa cahaya dari lubang di hutan gelap sahaja. Namun cahaya itu pula dilindungi Hisamiko dan Yoshihisa yang berada di belakang.

 

“Binatang apakah ini? Adakah ia binatang malam tadi?”

 

Onii-san, aku fikir baik kita berundur.” Hisamiko menarik-narik yukata Ryouji.

 

“Hmm.” Ryouji setuju dan tatkala mereka pusing belakang, kelibat Yoshihisa sudah lesap.

 

“Di mana orang tua itu?”

 

Ryouji meluru dengan merangkak ke muka terowong yang menghala ke lantai hutan gelap dan dituruti Hisamiko. Dia menarik Hisamiko keluar.

 

“Hisamiko, kaudengar apa-apa?”

 

“Bunyi dengkuran. Seperti harimau sedang tidur, dari gua itu.” Hisamiko menuding ke arah sebuah gua dengan lubang masuk yang kecil pada tebing tinggi. Hisamiko juga dapat mendengar gelombang bunyi berfrekuensi rendah seperti dengkuran, selain gelombang elektromagnet yang dipantulkan peralatan logam.

 

“Mungkin binatang hitam malam tadi. Kita keluar cepat sahajalah dari hutan ini.” Balas Ryouji. Perjalanan meredah hutan gelap tidak terlalu sukar kerana cahaya matahari menerobos dari celah-celah kanopi dan juga dari lautan lepas di pinggir hutan itu.

 

Sementara itu Yoshihisa yang sudah di luar hutan berbisik sendirian.

 

Maafkan aku kalian. Bersembunyilah di dalam lubang itu. Aku mahu pulang. Aku telah selamatkan kalian. Biar aku yang uruskan Yato dan orang-orangnya. Kalian tidak perlu terlibat. Kalian hiduplah di sini aman sentiasa, bukankah itu tujuan kalian? Bukankah kalian ke sini demi melarikan diri dari Maharaja? Jagalah diri dari binatang aneh itu, pandai-pandailah, kalian pun tahu bertarung. Jika kalian bersembunyi dalam lubang itu dan berhati-hati, kalian akan selamat.

 

Oii, Yoshihisa!” Nama orang tua itu ditegur. Yato dan dua orang kanannya bersama Daisuke dan Kensho, dua pengikut Katamori dan Yoshimura yang masih muda dan menyamar menyertai pasukan pelombong, tiba dan mengepung Yoshihisa.

 

“Yoshihisa! Yoshihisa!” Laung Ryouji.

 

Tidak lama kemudian Ryouji tiba di sempadan hutan.

 

Oi, futari no omaera (Hei, kalian berdua).” Yato berdiri dengan Yoshihisa dipegang dua orang kanannya Katamori dan Yoshimura.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov