BAB
3JOHAN merebahkan
tubuh di bangku kayu. Dada berombaknya disentuh seketika. Cuba mengurangkan
kepenatan yang dirasai. Dia hanya mengangkat tangan tatkala Nazrin mencuit
bahu. Tanda tidak lagi berminat meneruskan larian. Dua jam mengelilingi padang luas
itu membuatkan dia tidak berdaya mengangkat kaki pun.
Nun
di kejauhan, bangunan Sekolah Seri Putra tersergam indah disimbah cahaya
matahari petang. Bangunan tempat Johan dan teman-teman lain menuntut ilmu sejak
hampir lima tahun lalu. Selain mengutip pengalaman berjauhan daripada keluarga.
Dan tahun ini merupakan tahun terakhirnya di situ.
Tidak
jauh dari situ, kelihatan bangunan-bangunan Sekolah Seri Putri dan Sekolah Suria
Melati yang menjadi tempat pelajar-pelajar perempuan menimba ilmu. Selain
beberapa buah sekolah rendah dan menengah lain.
Mata
Johan terpasak di tengah-tengah padang berdepannya. Tidak peduli dengan
kehadiran hingar-bingar pelajar-pelajar lain yang memenuhi kawasan padang,
matanya tertancap pada sekumpulan pelajar perempuan. Giat mereka mengadakan
latihan bola tampar petang itu.
Namun
bukan semua gerakan ahli pasukan itu yang menarik perhatian Johan
tetapi seseorang yang turut bersama mereka. Kelincahan gadis itu mempamer aksi
permainan yang memukau mencetuskan kekaguman pada Johan yang jarang-jarang
ketinggalan memerhati aksinya setiap kali pasukan itu mengadakan latihan di
situ.
Lama
mata Johan melekat di tubuh itu sebelum pandangannya dibawa ke arah lain. Rasa
malu mengepung hati mudanya. Malu mengenang tingkah laku sendiri yang
jarang-jarang dapat mengawal pengerakan mata agar tidak selalu merenung wajah
itu. Bukan sekali bahkan hampir saban hari dia berkeadaan serupa. Di bangku dan
di bawah pohon sama sebaik dia selesai berjoging bersama kelima-lima
sahabatnya. Tidak lekang matanya memerhati gelagat gadis yang diam-diam telah
mencuri hatinya. Lalu memperkenalkannya pada cinta.
Johan
sendiri hakikatnya tidak pasti sejak bila rasa itu membenih di hati. Bercambah
dari sehari ke sehari tanpa dia sendiri sedar. Dan kini dia yakin. Hatinya
benar-benar telah hilang dari dirinya sendiri. Diragut gadis itu yang kini
kembali menjadi habuan pandangannya.
Begitu
pun Johan juga tidak pernah membiarkan rasa cinta itu terus-terusan membelit
diri. Dia masih sedar. Dia terlalu hijau untuk berada di alam indah lagi
mengkhayalkan itu. Di usia remaja begini, dia tidak layak memikirkan semua itu.
Masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukannya.
Ketika
ini Johan lebih selesa menyelam lautan ilmu yang bakal menyediakan anugerah
tidak ternilai di masa depan. Mencari dan mengaut ilmu dari mereka yang tidak
jemu mencurah dan menunjuk ajar. Kerana itu dibiarkan saja rasa cinta itu
terapung-apung di jiwa tanpa ada keinginan untuk menggapai. Dia yakin. Akan
tiba waktu dia mengutipnya suatu masa nanti. Dan dia berharap ketika itu dia
telah bersedia sepenuhnya untuk merasai semua itu.
Perhatian
Johan terganggu apabila bahunya ditepuk lembut seseorang. Dia tersentak
lalu menoleh. Senyumannya terukir buat Nisda yang entah bila berdiri di sisi.
“Dari
mana Nis?” soal Johan lembut.
Segera
dia menganjak sedikit apabila Nisda selamba melabuhkan punggung di sisi.
“Dari
sekolah. Nampak awak kat sini, saya singgahlah sekejap.”
Mata
Nisda turut terlekap pada kumpulan pelajar yang masih leka menjalani latihan
sukan.
“Dia
memang seorang pemain yang baik bukan?” tanya Nisda tiba-tiba.
“Siapa?”
soal Johan sambil berkerut dahi.
Raut
tenang itu dipandang sejenak.
“Dia
yang sejak tadi awak pandang sampai tak berkelip mata tulah.”
Johan
terkedu. Dia tidak menyahut. Matanya kembali ke padang. Membiarkan sepi
menyelubungi suasana seketika.
“EH Farah,
tu bukan Johan ke yang duduk kat tepi padang tu? Dia buat apa dengan Nisda kat
situ?” tanya Laila sambil mengelap peluh di wajahnya.
“Entah,
mana aku tahu,” sahut Farah sambil menjongket bahu.
Dia
turut mengelap peluh setelah selesai menjalani latihan. Matanya melirik ke arah
Johan dan Nisda. Kedua-duanya kelihatan mesra berbual-bual bersama. Lalu
mencuit keluar satu rasa di hati. Entah atas sebab apa rasa itu muncul Farah
tidak tahu. Tetapi rasa itu menyakitkan hatinya.
Tidak
mahu melayan rasa itu, Farah mencapai botol minuman sebelum diteguk beberapa
kali. Menghilangkan dahaga setelah hampir dua jam menjalani latihan.
“Aku
tengok bukan main rapat lagi dia orang berdua tu. Selalu aje duduk bersama kat
hujung padang tu. Bukan selalulah, boleh kata hari-hari. Dia orang tu ada
apa-apa hubungan istimewa ke Farah?” soal Haiza pula.
“Entah,
mana aku tahu. Dia orang bercinta ke, apa ke, tak ada kena mengena dengan aku,”
rengus Farah.
Tidak
senang dengan pertanyaan itu.
“Eh,
tak baik kau cakap macam tu. Johan tu kan sepupu kau. Nak tak nak, kau kena
ambil tahu jugak pasal dia. Esok-esok kalau jadi apa-apa kat dia, kau jugak
yang dicari orang nanti tau,” sanggah Laila cepat-cepat.
“Alah,
biarlah dia nak buat apa pun. Dia kan dah besar panjang. Tahulah dia apa yang
baik, apa yang buruk. Lagipun masih ramai manusia atas muka bumi ni yang akan
tolong kalau jadi apa-apa kat dia nanti,” sahut Farah lalu meneguk air botolnya
lagi.
“Amboi,
mentang-mentanglah kau bergelar pendebat terbaik antara sekolah, ada aje
jawapan bernas yang kau bagi aku ya,” usik Laila sambil mengenyit mata pada
Haiza.
Serentak
kedua-duanya tertawa.
Farah
hanya mencebik bibir melihat tingkah laku kawan-kawannya.
“Aku
bukan apa Farah. Bagi akulah, berbanding kau dengan Nisda, rasanya kau lebih
layak couple dengan Johan. Nampak sepadan betul,” ujar Laila.
“Betul,
betul. Aku sokong dua ratus peratus,” sampuk Haiza, menyokong sambil
mengangguk-angguk.
“Lagi
padan kalau kau orang duduk bersanding atas pelamin,” tambah Haiza lalu
terkekeh ketawa bersama Laila.
“Huh,
suka hati kau orang aje nak suruh aku kahwin dengan Johan! Macamlah aku ada
suruh kau orang carikan jodoh untuk aku. Dahlah, malas aku nak layan cakap
merapu kau orang tu. Buat sakit telinga aje!” marah Farah.
Dia
terus bangun meninggalkan Haiza dan Laila yang masih galak ketawa lalu
mendapatkan Faizam di pinggir padang. Sambil menyandar di batang pokok,
Faizam nampak ralit dalam dunia sendiri. Sesekali kedengaran suara garaunya
mengalun irama lagu ciptaannya. Mengiringi rentak jari-jemarinya yang tidak
jemu memetik tali-tali gitar sejak tadi.
“Woi
Zam, kau buat apa ni?” soal Farah sambil menepuk bahu anak muda itu.
Tersentak
Faizam. Dia mengerling Farah yang telah melabuhkan punggung. Duduk bersila
mengadapnya.
“Makan
nasi!” rengus Faizam.
“Apa
kau tak nampak ke aku tengah buat apa sekarang?” ujar Faizam semula sambil
menjeling wajah putih bersih gadis itu.
“Aku
tengok kau buat bodoh aje dari tadi,” balas Farah selamba.
Lalu
menopang dagu melayan nyanyian anak muda itu walaupun dia tidak menggemari
lagu-lagu ciptaan Faizam. Berentak perlahan dan berunsur jiwang. Tidak sepadan
dengan sikap tegas dan kasar anak muda itu walaupun tidak selalu
ditonjolkannya.
“Aku
rindu dia Farah,” luah Faizam tanpa sedar.
Tersentak
Farah yang terleka melihat tingkah laku lelaki itu ketika ini.
“Kau
rindu dia? Siapa?”
Terpinga-pinga
Farah memandang Faizam.
“Gadis
yang aku cerita pada kau tulah.”
Farah
mengeluh kecil.
“Aku
rasalah Zam, kau dah disampuk penyakit angau tak bertempat. Baru sekali kau
jumpa dia, tu pun tak sampai lima minit. Kat simpang traffic light pulak
tu. Macam mana kau boleh kata yang kau dah jatuh cinta kat dia hah? Hei... tak
faham betullah aku dengan kau ni,” bebel Farah sambil menggeleng-geleng.
“Inilah
yang dinamakan cinta pandang pertama Farah. Cinta yang wujud dalam waktu yang
begitu singkat,” balas Faizam selamba.
“Huh,
cinta pandang pertama konon,” ejek Farah.
“Dahlah
Zam, tak payahlah nak cipta dialog drama pulak. Macamlah aku tak tahu perangai
kau. Entah perempuan mana jadi mangsa mata miang kau hari tu pun tak tahulah
sampai kau kata dah jatuh cinta kat dia,” sambung Farah.
Dia
menjeling Faizam sekilas.
“Ya
ALLAH Farah, sumpah aku cakap. Aku betul-betul dah jatuh cinta kat dia. Aku tak
boleh lupakan dia. Rasa cinta aku ni tak sama seperti aku rasa sebelum
ni.”
“Zam,
kau dengar cakap aku ni baik-baik. Kau lupakan aje perempuan yang entah macam
mana rupanya tu. Kau kena ingat, tahun ni kita nak ambil SPM. Jadi tak ada
masanya kau nak fikir benda-benda lain. Apatah lagi cinta monyet kau tu. SPM tu
lebih penting dari segala benda tahu,” tegas Farah memberi peringatan.
Cuba
menyedarkan anak muda itu tentang hakikat yang dihadapi mereka ketika
ini.
“Tu
aku tahu Farah tapi entahlah. Aku tak fikir aku boleh lupakan dia macam tu
aje,” keluh Faizam perlahan.
“Aku
tak fahamlah Zam. Kenapa kau beria-ia sangat nak kejar cinta kau yang entah
apa-apa tu? Jangan kata kenal, nama dia pun kau tak tahu. Entah-entah dia tu
tunang orang ke, isteri orang ke. Kalau kau bercinta dengan dia pun, belum
tentu dia jadi isteri kau. Berlambak-lambak lagi perempuan dalam dunia ni yang
boleh kau pilih, bukannya dia seorang aje perempuan yang hidup di muka bumi ni
Faizam Fakhruddin oii...”
“Entahlah
Farah. Aku tak kisah dengan apa yang kau kata. Aku tak peduli dan aku tak mahu
ambil pusing pun semua tu. Yang aku tahu, aku dah jatuh cinta dengan dia dan
aku betul-betul rindukan dia sekarang,” luah Faizam penuh perasaan.
“Huh,
lantak kaulah Zam nak jadi apa pun. Malas aku nak layan cakap jiwang kau tu
lagi.” Farah menepuk dahi sebelum menggeleng beberapa kali.
Faizam
sekadar tersenyum kecil. Dia mahu berpaling apabila matanya menangkap sesuatu
di hujung padang. Sesuatu yang menarik dia untuk terus memandang. Dipicing anak
mata. Mengamati sesuatu.
“Farah,
siapa perempuan kat sebelah Johan tu?” tanya Faizam.
Panjang
leher Faizam memerhati tingkah laku kedua-duanya. Sesekali dia terperasan mata
Johan teralih ke arahnya dan Farah.
“Perempuan
mana pulak ni Zam?” soal Farah, hairan.
“Perempuan
yang duduk sebelah Johan kat hujung padang tulah, perempuan mana lagi,” ujar
Faizam sambil memuncung bibir ke arah itu.
Farah
turut mengalihkan perhatian. Hanya seketika. Dia merengus.
“Oh.
Tu Nisda. Takkan kau tak kenal budak Nisda tu?” balas Farah acuh tak acuh.
“Nisda?
Macam pernah dengar aje nama tu. Rasanya dia bukan budak sekolah kau kan?”
Berkerut-kerut
dahi Faizam. Berfikir.
“Bukan.
Dia budak Sekolah Suria Melati, satu sekolah dengan Surina tulah.”
Laju
saja Farah menjawab sebelum dia tersedar sesuatu. Segera bibir bawahnya diketap
lembut. Rasa bersalah mula menghimpit hati.
“Sorry Zam,
aku tak sengaja sebut nama dia.”
Lambat-lambat
Farah bersuara. Bimbang sahabat baiknya itu terasa dengan kata-katanya sebentar
tadi.
“Eleh,
aku tak kisah pun. Tak payahlah kau minta maaf,” balas Faizam.
Dia
segera menepis rasa sayu yang terus menerpa tatkala mendengar nama itu.
Tangannya kembali laju memetik tali gitar sebelum suaranya berkumandang lagi.
Menyanyi mengikut rentak irama gitar tanpa peduli keadaan sekeliling.
Farah
pula hanya menarik nafas panjang. Rasa kesal masih menggigit hati.
MATA Johan
masih tertancap di tempat sama. Sejak tadi matanya mengikut gerak-geri gadis
itu yang seakan-akan tidak peduli kehadirannya di situ. Ruang telinganya masih
terus ditusuk kata-kata Nisda biarpun semuanya hanya berlalu ditiup angin. Dia
lebih senang mentafsir penglihatannya ketika ini. Memerhati tingkah laku sepasang
kekasih yang dirasakan sepadan apabila bersama.
Cemburu
Johan melihatkan kemesraan mereka walaupun dia tidak pernah pasti makna sebenar
hubungan teruna dan dara itu. Seakan-akan bercinta tetapi nampak tidak begitu.
Masih terjaga batas pergaulan antara kedua-duanya. Andai dikata sebaliknya
seakan-akan mustahil pula memandangkan hubungan mereka begitu erat dan mesra.
Membuatkan Johan terus-terusan dilanda bingung memikirkan keadaan itu.
“Han,
awak dengar tak apa yang saya cakap ni?”
Pertanyaan
Nisda menghambat lamunan Johan. Dia tersentak kecil.
“Apa
Nisda?” soal Johan cepat-cepat.
“Jauh
benar awak pergi ya sampai tak dengar apa yang saya cakap,” ujar Nisda,
pura-pura merajuk.
Sedar,
anak muda itu tidak memberi perhatian khusus buatnya. Hati gadisnya diterpa
cemburu dan marah walaupun tidak terpamer di wajah.
“Maaflah
Nis, leka saya tengok dia orang main sampai tak dengar apa awak cakap,” ujar
Johan memberi alasan sambil tersengih.
Tidak
tahu telah berbakul sumpah seranah dihambur Nisda dalam hati. Geram dengan
perlakuan anak muda itu. Seakan-akan acuh tak acuh saja melayannya.
“Sepadan
dia orang kan? Betul-betul macam pasangan kekasih,” ujar Nisda lagi.
Melihat
kemesraan Farah dan Faizam, hati Nisda berbunga riang.
“Siapa?”
soal Johan walaupun telah dapat mengagak sebenarnya.
“Siapa
lagi kalau bukan Farah dan Faizam tulah. Bukan ke dari dari kecil lagi dia
orang dah kenal? Kecil-kecil dulu bolehlah berkawan aje. Dah besar-besar macam
ni tak mustahil mereka bercinta pulak. Maklumlah, dah kenal hati budi masing-masing.
Ya tak Johan?” ujar Nisda, sengaja menimbulkan rasa sakit di hati Johan.
Tidak
peduli anak muda itu sudah terkedu dengan kata-kata bersahajanya.
“Kalau
saya jadi Faizam, dah lama saya masuk minta Farah. Yalah, apa pulak kata orang
kalau tengok dia orang mesra macam tu. Sekurang-kurangnya kalau dah ada ikatan,
orang lain tak boleh nak kata apa walaupun sekadar ikatan pertunangan,” ujar
Nisda lagi.
Begitu
lembut kata-kata itu namun luka di hati Johan semakin melebar.
“Awak
tak suruh Faizam masuk minta Farah ke Johan? Farah tu kan sepupu awak. Nanti
kalau jadi apa-apa, awak jugak yang tanggung malu nanti,” sambung Nisda.
Nyata
dia masih ingin menyimbah api. Tahu ada rasa kecewa di hati anak muda itu
ketika ini walaupun rasa itu tidak terlihat di wajah tenang Johan.
“Tu
antara mereka Nis. Walaupun Farah tu sepupu saya tapi saya tak mahu dan takkan
masuk campur dalam hal dia. Suka hati dialah nak buat apa pun,” rengus Johan
lalu mengerling jam tangannya.
“Okeylah
Nis, saya minta diri dulu. Dah nak masuk Maghrib ni. Saya balik asrama dulu,”
pamit Johan lalu meninggalkan Nisda yang menyambut salamnya dalam
nada puas.
Nisda
yakin hati Johan terluka dengan kata-katanya. Memang itu yang diharapkannya
selama ini. Hampir lima tahun mengenali Johan menjadikan dia cukup memahami
hati Johan. Lelaki itu mencintai Farah dalam diam namun Johan tidak sedar.
Nisda
sendiri turut menyimpan perasaan terhadap Johan. Kerana itu Nisda mahu cinta
Johan buat Farah punah tanpa sempat bercambah. Dia perlu mencantasnya sebelum
cinta itu tumbuh mekar. Bagi dia hanya rasa terkilan dan kecewa perlu ada di
hati Johan. Terkilan gadis impian hak orang lain. Kecewa kerana impian hati
berkecai.
Nisda
mahu kedua-dua rasa itu sentiasa menyala di hati Johan sampai bila-bila
terhadap Farah. Membakar terang seperti menyalanya api dendamnya buat gadis
itu. Dendam yang tidak mampu dibuang sejak beberapa tahun lalu. Malah api itu
semakin marak kini. Api dendam yang padanya tidak mungkin dapat dipadam hingga
ke akhir hayat. Tidak sesekali!
http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-3-ketika-hati-bercinta.html