Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 27
BAB 27

SETELAH seminggu di Petaling Jaya, Julia ke Pulau Pinang. Bertemu Farah yang telah dua hari pulang ke universiti bersama Faizam.

“Farah!”

Julia terjerit sebaik terpandang kelibat Farah di muka pintu restoran. Farah terus mendapatkannya.

Faizam yang menghantar Farah pagi itu segera meminta diri. Sempat dia menjeling sekilas Julia yang hanya memandang sepi kehadirannya.

“Kenapa awak tak beritahu nak datang? Terkejut saya bila awak beritahu dah ada kat sini tadi,” ujar Farah.

Mereka berpeluk seketika.

“Alah, saja nak buat kejutan kat awak. Awak sihat?” soal Julia lalu duduk semula.

“Alhamdulillah, sihat macam biasa. Awak pulak macam mana?”

Farah turut melabuhkan punggung. Mengadap gadis itu.

“Samalah kita,” jawab Julia.

Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan datang mengambil pesanan.

“Awak datang dengan apa? Naik flight ya?” soal Farah sebaik pelayan berlalu.

“Haah tapi saya dah sewa kereta. Saya nak ajak awak ronda-ronda Penang.”

“Boleh. Saya pun tak ada kelas hari ni,” balas Farah sambil memandang pelayan yang kembali bersama pesanan mereka.

“Dah lama rasanya saya tak datang ke sini,” ujar Julia.

Dia menarik nafas sambil menghalakan pandangan ke sekitar. Tidak ramai pengunjung restoran itu ketika ini.

“Awak selalu datang ke Pulau Pinang ke?” soal Farah.

“Selalulah jugak tapi dululah. Masa sepupu saya belajar kat sini.”

“Oh ya ke? Sepupu awak belajar kat mana dulu?” soal Farah.

Wajah Julia dipandang lagi. Meneliti gadis seksi itu yang hanya berbaju merah terang tanpa lengan dipadankan dengan seluar jean hitam. Ringkas namun tampak bergaya.

Cantik! Hati Farah memuji.

“Dulu dia belajar kat Sekolah Seri Putra kat Penang ni tapi sekarang dia dah sambung pengajiannya kat Universiti Malaya,” terang Julia ringkas.

“Sekolah Seri Putra? Sekolah Faizam tu,” ujar Farah ceria.

“Really? Maknanya awak tahulah pasal sekolah tu?” soal Julia, teruja.

Farah mengangguk laju.

“Apa nama sepupu awak tu? Nanti saya tanya Faizam. Mana tahu dia kenal.”

“Namanya Johan. Johan Johairi bin Jamaluddin.”

Suapan Farah terhenti serta-merta. Wajah ceria Julia dipandang semula.

“Awak sepupu Johan?” soal Farah, tidak percaya.

Bulat mata Farah menatap Julia mengangguk. Agak kaget dengan jawapan itu.

“Awak kenal ke dengan sepupu saya tu?” soal Julia pula.

Giliran Farah mengangguk. Lambat-lambat.

“Dia pun sepupu saya,” jawab Farah tenang.

“What?”

Mata Julia telah terbuntang luas.

“Maksudnya kita berdua ni sama-sama sepupu Johanlah ya? Wow, bestnya!”

Tanpa sedar Julia terjerit girang.

“Tapi kenapa Johan tak pernah beritahu dia ada sepupu secantik awak ya? Hmm... mungkin dia lupa nak beritahu kut,” ulas Julia, membuat andaian sendiri.

“Betul kata orang, dunia ni kecil aje. Saya selalu jugak balik ke Malaysia tapi tak pernah nampak pun awak kat rumah Mak Ngah saya tu,” ujar Julia lagi.

Perlahan-lahan Farah mengukir senyuman tawar.

“Saya tak tinggal dengan mak ayah tapi tinggal dengan atuk dan nenek saya kat Pahang,” balas Farah sayu.

Entah mengapa hatinya sebak setiap kali berbicara tentang perkara itu.

Tanpa menyedari perubahan riak di wajah gadis itu Julia mengangguk faham.

“Oh macam tu. Patutlah Johan tak pernah cakap pasal awak kat saya. Dia pun agaknya jarang berjumpa dengan awak. Iya tak Farah?” soal Julia.

Farah mengangguk lagi.

“Oh ya Julie. Lama lagi ke awak kat Malaysia ni?” soal Farah, mengubah arah bicara.

Tidak mahu kisah dirinya diungkit keluar lagi.

“Lama jugaklah kut. Mungkin dalam seminggu dua lagi. Kenapa Farah?”

“Oh, tak adalah. Minggu depan saya akan bercuti semester seminggu. Jadi saya terfikir nak ajak awak balik ke kampung atuk dan nenek saya kat Pahang tu. Itu pun kalau awak sudilah,” pelawa Farah mesra.

“Hmm... macam seronok aje bunyinya. Tengoklah macam mana. Kalau saya nak pergi, saya beritahu awak ya.”

“HAI sayang.”

Ikhwan yang baru selesai bermain tenis segera menoleh. Tersenyum dia pada Surina yang mendapatkannya. Tubuh langsing gadis itu segera dipeluk erat. Kemudian diusap pipi gebu itu.

“You dari mana ni?” soal Ikhwan sambil melabuhkan punggung di bangku.

Surina membantu lelaki itu mengelap tubuhnya yang kebasahan setelah hampir dua jam memerah tenaga di gelanggang.

“I dari rumahlah. Saja datang nak jumpa you. Rindulah,” rengek Surina sambil merenung manja wajah lelaki itu.

“I pun rindu jugak dengan you,” balas Ikhwan lembut walaupun di hati tiada sebarang rasa buat gadis itu.

Malah bayangan gadis itu juga semakin jarang berada di mindanya sejak kebelakangan ini.

“Iya ke you rindu? Habis tu kenapa tak call I?” soal Surina sambil mencebik.

“I baru terfikir nak call you tadi tapi you dah muncul. Jadi buat apa lagi I nak callkan,” bohong Ikhwan.

Dia tersenyum manis pada Surina yang tersenyum lebar tanpa tahu apa yang tertulis di hatinya ketika ini.

“Jadi, you free tak malam ni? Kita keluar ya nanti? Dah lama kita tak keluar bersama. Boleh ya sayang?” rengek Surina manja.

“Sorrylah sayang.I ada hal malam ni. Lain kali aje kita keluar ya,” tolak Ikhwan lembut.

Diusap pipi Surina yang senang dengan perlakuan itu.

“You ni, selalu macam tu tau.”

Surina membentak lembut lalu menarik panjang muncung. Pura-pura merajuk.

“Sorrylah sayang.I betul-betul ada hal malam ni. I kan sibuk dengan business yang I lakukan sekarang. You pun tahu tentang tu,” pujuk Ikhwan.

Dalam mindanya telah terbayang wajah Lily yang sedia melayan kehendaknya malam nanti.

“Okey. I janji lepas selesai aje kerja I malam nanti, I call you ya sayang. Please, janganlah marah I. Senyumlah sikit sayang,” pujuk Ikhwan lagi lalu mencuit dagu Surina.

Surina mengangguk lalu kembali tersenyum. Senang dengan pujukan itu.

“I minta diri dulu ya. Jangan lupa tau call I malam nanti,” pamit Surina lalu bangun.

Dia mencubit pipi anak muda itu sebelum berlalu pergi.

Ikhwan tersenyum mengangguk. Senang dengan sikap Surina yang jarang membantah kata-katanya. Sama seperti gadis-gadis lain yang sering didampinginya. Namun dia teringatkan seseorang yang kini masih menjadi buruannya. Seseorang yang telah bertahun-tahun dikejar namun masih tiada tanda dia akan dapat memilikinya. Farah!

Sehingga kini dia masih mengejar gadis itu. Walaupun mereka jarang-jarang bersua seperti zaman persekolahan dulu namun setiap pergerakan Farah berada dalam pengetahuannya. Kedudukan kolejnya yang terletak tidak jauh dari tempat Farah berada kini memudahkannya mengetahui segala perkara berkenaan gadis itu.

Separuh kekayaan keluarga yang telah berpindah ke tangannya membuatkan Ikhwan tidak punya masalah mengupah sesiapa saja untuk mengikut telunjuknya. Apatah lagi dia kini terlibat dengan perniagaan yang menjanjikan keuntungan lumayan. Begitu lumayan hingga mampu memberikannya keuntungan berganda dalam sekelip mata. Membuatkan Ikhwan kembali melebarkan senyuman puas.

FAIZAM tersandar lemah di dinding bangunan. Longlai segala sendinya. Terasa nyawanya melayang seketika walaupun dia masih bernafas ketika ini. Terketar-ketar tangannya mencapai kepala bangku tidak jauh darinya sebelum tubuhnya disandar di bangku kayu itu. Cuba menenangkan kembali hati yang dipagut kesakitan amat sangat sebentar tadi. Ditarik nafasnya beberapa kali.

Sebaik dia meninggalkan Farah bersama Julia beberapa jam lalu, dia merayau-rayau dalam bangunan KOMTAR. Sekadar untuk mengisi masa lapang. Dia baru melangkah keluar dari kedai buku tatkala terpandang wajah itu. Wajah igauannya saban malam. Wajah yang sehingga kini masih bersikap dingin dan kaku dengannya walaupun dia tidak pernah putus asa dengan keadaan itu.

Gembira dengan pertemuan tidak disangka itu, dia segera melangkah. Mendapatkan Balkis yang duduk membelakanginya. Sambil itu ligat mindanya menyusun ayat-ayat yang bakal diluah buat gadis itu. Namun langkah Faizam terhenti tatkala seorang lelaki tiba-tiba muncul di situ lalu memeluk erat tubuh Balkis yang membalas kejap. Mereka berbual-bual seketika sebelum sama-sama berlalu dari situ.

Faizam terkaku. Berkali-kali kelopak mata digenyeh. Memastikan gadis itu benar-benar Balkis dan bukan orang lain. Hatinya begitu yakin, gadis itu adalah gadis impiannya. Gadis yang menjadi pujaannya sejak sekian lama.

Segala rasa bercampur aduk dihatinya. Marah, geram, pilu, sebak, semuanya bergaul rata. Menjadikan Faizam berkeadaan sebu saat ini. Sebu mengenangkan cinta yang tidak kesampaian. Cinta yang selama ini ditatang umpama minyak penuh. Tidak setitik pun dibenarkan tumpah. Dan kini semua itu tidak berguna lagi setelah orang disayangi dimiliki orang lain. Hatinya merintih.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-27-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh