BAB
24“MACAM nilah
Fahmi, mak rasa lebih baik kalau mak bawa Farah balik ke kampung aje. Tak guna
dia terus tinggal kat sini pun,” ujar Hajah Aminah sambil menatap anak
lelakinya.
Datuk
Fahmi hanya menunduk bisu.
“Betul
kata mak kamu tu. Tak ada gunanya kamu terus menjaga Farah kalau macam ni
keadaannya,” sampuk Haji Rahman yang turut memandang wajah suram itu.
“Tapi
ayah, Farahlah satu-satunya anak perempuan yang kami ada. Takkanlah mak dan
ayah tergamak nak pisahkan kami dengan dia,” ujar Datin Farina sambil
teresak-esak menangis.
Anak
di pangkuannya dicium lagi. Sepenuh hati.
“Macam
mana kamu nak jaga dia kalau nak menyusukan dia pun kamu tak mampu? Dah dua
hari budak Farah ni lahir. Setitik air susu kamu pun dia tak boleh minum lagi.
Daripada biar dia minum susu formula tu, lebih baik kalau mak dan ayah bawa dia
balik ke kampung. Sekurang-kurangnya dia boleh menyusu badan dengan sesiapa kat
sana nanti,” sanggah Hajah Aminah cepat-cepat.
Bulat
matanya memandang menantu yang terbaring lemah di katil hospital.
“Tapi
saya tak sanggup berpisah dengan Farah. Dia satu-satunya anak perempuan kami.
Tolonglah mak, jangan ambil Farah dari saya,” rayu Datin Farina, memohon belas
kasihan mentuanya.
“Habis
tu, kamu sanggup tengok anak kamu tu mati kering begitu aje? Hei Farina, dari
dulu mak dah kata. Mak tak suka cucu-cucu mak diberi minum susu formula tu.
Bukannya baik pun untuk otak dia orang. Mak tak mahu Farah dibesarkan dengan
susu buatan manusia tu. Mak tak izinkan,” marah Hajah Aminah.
“Tapi
betul kata Farina tu mak. Farah tu satu-satunya anak perempuan yang kami ada.
Dah lama kami nakkan anak perempuan. Takkanlah hanya kerana Farina tak boleh
menyusukan dia, mak nak bawa balik anak kami tu ke kampung,” sampuk Datuk
Fahmi, lemah.
Luluh
hatinya melihatkan sikap tidak mahu beralah emaknya.
“Mak
tak peduli. Sama ada kamu suka atau tak, mak tetap akan bawa dia balik bersama
mak nanti,” tegas Hajah Aminah dengan keputusannya.
“Macam
nilah Fahmi, Farina. Ayah dan mak bawa balik Farah ke kampung untuk setahun dua
ni. Esok-esok bila dia dah besar, dah nak masuk sekolah, kamu ambillah dia
balik. Sekarang ni biar kami yang jaga dia. Lagipun kamu masih ada tiga orang
anak lagi yang tinggal dengan kamu. Kami ni hanya berdua aje.
Sekurang-kurangnya bila ada Farah, taklah sunyi sangat rumah kami tu nanti,”
celah Haji Rahman pula.
Kedua-dua
anak menantunya terdiam sementara waktu. Saling membalas pandangan sebelum
perlahan-lahan mengangguk lemah. Mengalah jua.
“Jauhnya
Rina pergi.”
Usapan
lembut di bahu membuatkan Datin Farina tersentak. Lalu perlahan-lahan dia
tersenyum pada Datuk Fahmi. Entah bila lelaki itu berdiri di sisi dia sendiri
tidak pasti.
“Awal
abang sampai ke butik Rina hari ni,” ujar Datin Farina lalu mengucup lembut
tangan suaminya.
“Abang
awal ke atau Rina yang tak perasan abang sampai?”
Datuk
Fahmi melabuhkan punggung di sofa ruang butik itu.
“Rina
fikirkan apa tadi?” soal Datuk Fahmi lagi.
“Tak
ada apa bang,” jawab Datin Farina perlahan.
Dia
membuka bekalan makanan yang dimasaknya pagi tadi. Menjadi tabiatnya
menyediakan makanan tengah hari buatnya dan suami setiap hari sebelum mereka
berangkat ke tempat kerja masing-masing. Dan menjadi kebiasaan kedua-duanya
juga untuk makan tengah hari bersama di butik Datin Farina saban hari walaupun
sibuk dengan tugasan masing-masing.
“Iya
ke tak ada apa-apa? Abang tengok jauh aje Rina mengelamun. Rina ingat siapa?
Bekas boyfriend Rina ya?” usik Datuk Farid sambil menyambut pinggan
nasi daripada isterinya.
“Hisy
abang ni, tu pulak yang difikirnya. Dah tua-tua macam ni buat apalah Rina nak
fikir semua tu. Buang masa Rina aje,” sangkal Datin Farina cepat-cepat.
“Oo...
kiranya kalau Rina masih muda, Rina nak fikirlah pasal semua tu?”
Datuk
Fahmi masih mahu mengusik isterinya. Wanita bergaya itu menjeling marah.
“Abang
ni, mulalah nak merepek. Dah, makanlah cepat. Nanti lambat pulak abang balik ke
pejabat.”
Datin
Farina menyenduk lauk buat suaminya.
“Rina
tak makan sekali?” tanya Datuk Fahmi apabila dilihat isterinya hanya menghidang
makanan buatnya.
Datin
Farina hanya menggeleng perlahan.
“Abang
makanlah. Rina tak lapar lagi.”
Datin
Farina menyandarkan tubuhnya di sofa. Menatap suaminya mengisi perut setelah
sepotong doa dibaca.
“Dah
lama Farah tak balik ke rumah kita kan bang.”
Suapan
Datuk Fahmi terhenti. Segera kepalanya diangkat. Menatap isterinya yang sudah
bermain jari-jemari sendiri.
“Kenapa
Rina cakap macam tu?” soal Datuk Farid lembut.
“Entahlah
bang. Rina rindu sangat pada Farah tapi apa yang boleh Rina buat. Rina tak
mampu nak lihat dia pun,” balas Datin Farina, sebak.
Segera
dia menyapu air mata yang telah berderai ke pipi.
“Jadi
tadi tu Rina fikirkan Farahlah ya?”
Pertanyaan
Datuk Fahmi hanya dibalas dengan anggukan lemah isterinya.
“Rina
rindu anak kita bang tapi Rina tak tahu kenapa Farah benci kita sangat. Dah
selalu kita balik ke kampung tapi jarang kita dapat jumpa dia. Ada aje alasan
mak dan ayah nak jauhkan dia dari kita. Dan sekarang dia dah masuk universiti
tapi kita masih tak dapat jumpa dia. Jauh sekali berbual dengan dia.”
Tangisan
Datin Farina pecah juga. Terhinggut-hinggut bahu dia jadinya.
“Abang
faham perasaan Rina tapi apa boleh buat. Abang sendiri rindukan dia. Sebagai
mak ayah, kita dah jalankan tanggungjawab kita sebaiknya. Sama ada Farah tahu
atau tak, tu bukan lagi persoalannya. Yang penting Rina mesti ingat. Walau sejauh
mana dia pergi, dia tetap anak kita. Dunia dan akhirat,” pujuk Datuk Fahmi.
Sekaligus
mematikan seleranya untuk terus mengisi perut.
“Rina
tahu tu tapi Rina tak tahu kenapa Farah bencikan kita. Jangan kata nak jumpa,
bercakap dengan kita pun jarang- jarang benar. Kalau kita telefon pun mak
atau ayah aje yang menjawab. Sampai bila kita harus berkeadaan macam ni dengan
dia bang?” keluh Datin Farina.
Terus
Datuk Fahmi mendakap kejap tubuh isteri kesayangannya.
“Dahlah
Rina, jangan menangis lagi. Abang yakin, suatu hari nanti Farah pasti balik ke
pangkuan kita. Antara cepat dan lambat aje. Insya-ALLAH,” pujuk Datuk Fahmi
lagi penuh yakin.
Lebih
kepada memujuk hati sendiri yang turut diterkam duka. Sedikit sebanyak
kata-katanya berjaya menenangkan hati isterinya yang sering kali pilu apabila
perkara itu dibangkitkan.
http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-24-ketika-hati-bercinta.html