Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 5
BAB 5

“SO Farah, macam mana dengan persiapan kau untuk pertandingan pidato tu? Aku harap kau dah bersedia untuk menghadapi lawan kau nanti,” ujar Marya, gadis berambut pendek dan bersikap seperti lelaki.

Walaupun hanya memakai track bottom dan t-shirt berlengan pendek namun gadis itu nampak kemas dan menarik dalam penampilan ringkasnya hujung minggu itu. Menyerlahkan kewibawaannya selaku ketua pengawas sekolah Seri Putri.

“Insya-ALLAH Marya, aku rasa aku dah bersedia sepenuhnya untuk pertandingan tu. Kau jangan bimbang, aku akan buat yang terbaik untuk pertandingan tu nanti,” sahut Farah sungguh-sungguh dan bersemangat.

“Bagus. Aku nak kau juarainya seperti tahun-tahun sudah. Aku nak piala tu tetap di sekolah kita untuk tahun ni dan paling penting, nama sekolah kita kekal harum di kalangan sekolah-sekolah lain,” ujar Marya, mula membayangkan impiannya.

“Ala Marya. Tak payahlah kau bimbang. Bukan kau tak kenal Cik Farah kita ni. Pemidato terbaik antara sekolah empat tahun berturut-turut. Jangan kata nak berpidato, nak berleter sepanjang hari pun tak ada masalah bagi dia,” celah Laila.

Dia turut membantu kedua-duanya mengemas bilik mesyuarat sekolah pagi itu.

“Ewah, sedap mulut kau mengata aku ya.”

Farah mencubit terus lengan Laila.

“Kau ni Farah, aku gurau ajelah. Tu pun kau nak marah. Tapi memang betul pun apa yang aku cakap tu kan?” balas Laila sambil tersengih.

Segera dia mengelak apabila satu lagi cubitan Farah hampir hinggap di lengannya.

“Hei kau orang berdua, dahlah tu,” larang Marya sambil bercekak pinggang.

Lali sudah dia melihat tingkah laku kedua-dua teman yang sejak dulu gemar bergurau tidak mengira tempat dan masa itu.

“Farah, ada kau ajak Balkis ikut serta ke pertandingan tu nanti?” soal Marya.

“Ada tapi dia cakap tak boleh ikut. Tahu ajelah Balkis tu. Mana boleh dia keluar sesuka hati macam orang lain. Nak belajar kat sekolah ni pun puas dia pujuk atuknya baru dapat, inikan pulak nak ikut kita pergi pertandingan tu,” jawab Farah.

Dia agak terkilan dengan nasib Balkis yang ternyata tidak serupa orang lain.

“Habis tu, hujung minggu ni dia balik lagilah ke rumah?”

“Macam biasalah Marya. Dia kata ada hal yang perlu diselesaikan.”

“Hal apa?” sampuk Laila, turut mahu tahu.

“Hal apa lagi kalau bukan hal dengan ayah dia tulah.”

“Kenapa? Ayah dia masih cuba pujuk dia ke?”

Farah mengangguk.

“Tapi aku rasa Balkis tu tak makan pujuklah. Kalau aku kat tempat dia pun aku tak mahu. Kasihan Balkis. Ada mak, dah meninggal. Ada ayah, tak boleh diharap. Duduk dengan atuk pulak, kena kongkong sampai nak keluar dengan kawan-kawan pun tak boleh. Kalau akulah, dah lama aku lari dari rumah. Buat apa jadi anak orang kaya kalau hidup macam dalam sangkar aje,” bebel Laila.

“Tu kalau kau Ila. Aku rasalah, kalau Balkis ikut cara kau tu dah lama dia tak dapat tengok dunia ni tahu,” tempelak Farah.

“Sebab apa pulak?”

“Dah tentulah atuk dia kurung dia terus dalam rumah. Dari elok-elok dapat tengok dunia luar walaupun tak seluas mana, terus tak boleh tengok apa-apa langsung.”

“Hei kau orang berdua ni, kalau bercakap tu sampai lupa dunia. Bila nak siap kerja kau orang ni hah kalau asyik bercakap aje?” sergah Marya.

Laila dan Farah tersengih.

Marya pula menggeleng semula. Pening melihat gelagat kedua-duanya.

“Oh ya Farah, ada kau beritahu Faizam pasal pertandingan pidato tu?” soal Laila lagi.

Dia telah lama mengenali Faizam. Kedua-dua atuk dan nenek mereka berasal dari kampung yang sama di Melaka.

“Ada aku beritahu tapi macam tahun-tahun lepas jugaklah, dia tak dapat pergi sebab dia ada kerja yang nak dibuat di Alor Setar nanti.”

“Rajin Faizam tu kan? Muda-muda lagi dah pandai cari duit sendiri,” puji Marya.

“Apa nak kata Marya. Memang tu perangai Faizam. Suka cari duit poket sendiri padahal bukannya mak dan ayah dia tak mampu nak tanggung,” ujar Farah.

“Faizam tu memang rajin Marya. Atuk aku selalu puji dia. Perangainya tu sama aje macam adik-beradiknya yang lain. Kalau aku nak cari suami esok-esok, aku nak cari suami macam Faizamlah, senang sikit hidup aku,” ujar Laila, memasang angan-angan.

“Hei Ila, daripada kau nak cari suami macam Faizam, baik kau ambil aje Faizam jadi suami kau. Tak payah pening-pening kepala nak cari lagi. Bukan hidup kau sorang aje yang senang nanti, tujuh keturunan kau tu pun boleh senang lenang tau.”

“Huh, daripada aku kahwin dengan Faizam, baik aku kahwin dengan datuk dia. Walaupun dah berumur tapi orang tua tu tetap maintain handsome wei. Tambah-tambah bila dia tersenyum. Hai, jatuh cinta aku dibuatnya.”

“Hei kau ni Ila, taste tak best langsung. Ada ke patut orang tua yang jadi pilihan kau. Punyalah ramai lelaki yang ada dalam negara kita ni, datuk Faizam yang dah tua bangka tu jugak yang kau pilih. Apa mata kau dah buta ke atau otak kau tu yang dah mereng Ila?” sergah Marya sambil tergelak.

“Kenapa? Salah ke kalau aku berangan-angan nak kahwin dengan orang tua? Bukannya berdosa kalau aku kahwin dengan dia pun,” sanggah Laila cepat-cepat.

“Salah tu taklah Laila Azwaniza oii tapi ada kau fikir apa pulak kata Faizam kalau dia tahu kau ada hati kat datuk dia? Kalau nenek dia tu dah meninggal lainlah ceritanya. Ni masih sihat sejahtera lagi orang tua tu. Apa kau agak Faizam adik-beradik senang-senang aje nak terima kau jadi nenek muda dia orang?” tempelak Farah.

“Entah kau ni Laila. Aku rasa jangan katakan Faizam, datuk dia tu pun belum tentu nak jadikan kau tu isteri dia. Mesti dia fikir. Daripada dia kahwin dengan kau, baik dia kahwinkan kau dengan Faizam tu. Lebih afdal lagi,” sampuk Marya.

Laila terdiam seketika. Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Alah, apa-apa ajelah. Tapi bagi akulah, kalau diberi pilihan antara Faizam dengan datuk dia, confirm aku rembat datuk dia. Dahlah handsome, kuat agama, baik pun ya. Senang cakap tak ada kuranglah orang tua tu,” balas Laila sambil tersengih.

“Kau cakap macamlah Faizam tu tak berilmu orangnya. Dari bab agama sampai ke bab bahasa, semua dia boleh ajarkan. Kalau tak tak adalah orang kampung atuk aku gelar dia ustaz muda,” ujar Farah.

“Tu kata kau tapi aku lebih suka kalau dapat kahwin dengan datuk dia. Walaupun dah tua tapi aku tak peduli bab tu. Hati yang tengah marah pun boleh cair kalau tengok muka handsome dia tu tau,” balas Laila sambil tersenyum.

Farah pula terus menggeleng-geleng. Dia menepuk dahi sendiri.

“Laila, Laila. Betullah kau dah mereng. Faizam yang muda belia lagi handsome tu kau tak nak mengorat tapi datuknya yang tunggu masa nak tinggalkan dunia ni pulak yang kau gilakan. Sah ada mana-mana wayar kat dalam otak kau tu dah terputus,” usik Farah.

Dia segera melarikan diri apabila Laila cuba mencubitnya.

“Hah tu dah mulalah balik perangai gila kau orang tu. Dah, dah. Siapkan kerja kau orang cepat. Kejap lagi kita kena tolong Haiza dan lain-lain tu bersihkan taman pertanian sekolah pulak,” sergah Marya.

Terhenti Laila dan Farah dari terus berkejaran sesama sendiri. Tanpa sepatah kata laju kedua-duanya menyambung kerja masing-masing.

MATAHARI baru sepenggalah tinggi tatkala Faizam tiba di bandar raya Alor Setar. Sengaja dia keluar lebih awal dari asrama memandangkan sekolah ditutup sempena cuti umum bagi Pulau Pinang hari itu.

Sebuku hajat turut dibawa Faizam. Hajat mencari seseorang yang telah mengucar-ngacirkan hidupnya akhir-akhir ini. Seseorang yang telah menjadikan dirinya tidak lagi setenang dan seceria dulu. Dia mahu menyelesaikan segalanya secepat mungkin. Paling penting dia tidak mahu lagi hidup dalam keadaan begitu.

Keadaan lengang memudahkan Faizam menjalankan pencarian. Hampir semua tempat di bandar raya itu dijelajah. Dari lorong-lorong sempit hingga ke kawasan-kawasan semak dan berbukit telah habis diredah. Namun kelibat orang yang dicari tidak kelihatan. Dia tetap tidak berputus asa. Dia mencari lagi buat sekian kali.

Akhirnya Faizam mengalah setelah hampir seluruh pagi dia membuang masa di jalanan. Apatah lagi perut yang sejak pagi tidak berisi walaupun secubit makanan semakin kuat berkeroncong. Menjadikan kelajuan motosikalnya semakin perlahan sebelum terhenti sepenuhnya di depan sebuah restoran makanan segera. Dia mematikan enjin sebelum melangkah ke dalam.

Selesai berurusan, Faizam menatang dulang makanan ke satu sudut. Sambil mengunyah, dia mencuci mata. Mindanya pula masih rancak mencerna setiap persoalan yang berputar.

Faizam baru mahu berpaling tatkala terpandang seseorang tidak jauh dari situ. Hampir saja makanan di tangan terlepas andai dia tidak segera meletak ke pinggan semula. Rasa terkejut dan girang muncul serentak di hati. Terkejut gerangan orang dicari berada di depan mata. Girang dengan pertemuan tidak disangka itu. Biar tubuh terpaku di tempatnya, namun mata lelakinya rakus menatap wajah menunduk itu.

Namun bagai tidak peduli pada sekeliling, wajah cantik itu suram. Riak-riak duka bergaul resah jelas terpancar daripada raut wajah itu. Seperti ada sesuatu sedang menghantuinya ketika ini. Sesekali mata basahnya dibuang ke luar. Beberapa keluhan berat turut terluah. Tidak perasan Faizam tidak berkerdip mata memandang wajahnya.

Faizam meneliti sepenuhnya ciptaan ALLAH yang dirasakan terlalu indah. Terasa ruang perut yang masih belum terisi sepenuhnya kenyang serta-merta. Apatah lagi kedudukan mereka setentang dan hanya berselang beberapa meja. Terusik hati lelaki Faizam tatkala setitis air mata jatuh di pipi gadis itu.

Lama gadis itu berkeadaan begitu sebelum pandangan dialih. Mahu dibawa ke tengah restoran namun tersangkut pada Faizam yang masih seperti tadi. Leka menatap wajahnya tanpa sebarang rasa bersalah. Sedikit kaget dia dengan tatapan anak muda yang tidak dikenali. Jauh sekali diketahui gerangannya.

Begitu asyik anak muda itu memandang wajahnya hingga mata tidak berkerdip walaupun sesaat. Seperti terpukau melihat dirinya yang langsung tidak selesa dengan keadaan itu. Pantas satu jelingan tajam diberi bersama rengusan kasar. Tanda tidak senang dengan pandangan itu.

Namun Faizam seperti tidak mengerti dengan maksud tingkah lakunya. Seakan-akan jelingan dan rengusan itu gagal menyampaikan sebarang isyarat buatnya. Marah dengan keadaan itu, dia membalas tajam pandangan itu. Penuh geram dan benci. Lama mereka beradu pandangan sebelum gadis itu kembali memalingkan wajah. Tanda menyerah. Hatinya yang sedia resah bertambah gundah. Tidak berfikir panjang, dia mencapai beg sandang di riba sebelum dihempas kuat ke meja.

Tersentak seisi restoran dengan perlakuan kasar gadis itu. Faizam apatah lagi. Perlahan-lahan ucapan istighfar terluah daripada mulut Faizam. Dia menunduk sedikit. Rasa segan menyelinap ke hati. Segan kerana terlalu menurut kata hati. Menatap gadis bukan muhrim seperti itu. Hingga membangkitkan kemarahan gadis itu. Namun apakan daya. Dia sendiri tidak mampu mengawal penglihatannya daripada menatap wajah yang telah mengambil tempat istimewa di hatinya itu.

Perlahan-lahan Faizam menghembus nafas. Mencari kekuatan untuk menyampaikan niat hati. Lalu dengan tekad bulat dia memanggung. Mahu menyuarakan salam perkenalan buat gadis yang masih belum diketahui gerangannya. Seulas senyuman manis turut diukir indah di bibir. Khas buat tatapan gadis istimewa.

Namun senyuman Faizam serta-merta mati. Hati pula tersentak kuat tatkala mata sudah terarah ke tempat sama. Dikerdip mata beberapa kali sebelum digenyeh pula kelopak mata kemudian. Memastikan pandangannya tidak salah jauh sekali silap. Namun keadaannya tetap serupa. Tiada sesiapa yang kelihatan di meja kosong itu ketika ini. Gadis itu telah berlalu sebelum Faizam sempat bersuara walaupun sepatah kata!

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-5-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh