Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 37

BAB 37

“BOLEH aku duduk?”

Faizam yang sejak tadi ralit menulis sesuatu di buku tersentak. Terkejut dengan kemunculan Julia yang entah bila berdiri tidak jauh darinya.

“Eh, du... duklah,” jawab Faizam tergagap-gagap.

Dihala tangan ke arah bangku batu di depannya.

Perlahan-lahan Julia melabuhkan punggung di situ.

“Maaflah kalau aku ganggu kau,” ujar Julia memulakan kata.

Terasa kekok untuk memulakan bicara setelah apa yang berlaku.

“Eh, mana ada kau ganggu. Aku pun bukannya buat apa, just salin semula nota yang diberi pensyarah kita dalam kelas tadi,” balas Faizam, kembali tenang.

“Julia, aku minta maaf. Aku betul-betul menyesal dengan apa yang aku dah buat malam tu. Aku sebenarnya tak berniat pun nak buat macam tu tapi tak tahu kenapa tiba-tiba aje aku naik angin. Aku betul-betul minta maaf Julia. Aku nak jumpa kau tapi aku rasa malu. Yalah, mana tahu kau masih marahkan aku. Maafkan aku ya Julia,” ucap Faizam sungguh-sungguh dan kesal.

Matanya tertancap sejenak di pipi gebu gadis itu. Masih berbekas tamparannya di situ walaupun lebamnya telah kurang. Menjadikan Faizam terus-terusan diburu rasa bersalah dan kesal.

“Bukan silap kau semua tu berlaku. Sepatutnya aku yang minta maaf. Aku kata macam-macam pada kau malam tu. Memang betul apa yang kau cakap. Aku memang kurang ajar, biadap sangat. Aku terlalu bangga dengan apa yang aku ada sampai aku jadi bongkak dan sombong pada orang lain. Tapi aku dah sedar sekarang. Aku memang layak dapat semua tu. Kalau aku kat tempat kau pun mungkin aku jugak akan buat tindakan sama. Hanya itu aje caranya untuk sedarkan orang bongkak macam aku ni. Aku harap kau sudi maafkan aku,” balas Julia terketar-ketar.

Kepalanya ditundukkan sedikit. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia merendahkan diri meminta maaf. Selama ini hanya orang lain saja yang sering memohon maaf walaupun dia yang bersalah. Kerana itu dia segan menatap wajah Faizam. Segan dengan tingkah laku buruk yang pernah ditunjukkannya sebelum ini.

Faizam menghela nafas. Rasa bimbang masih menyelubungi hatinya ketika ini. Bimbang andai Julia masih tidak dapat memaafkannya. Namun melihatkan riak suram Julia membuatkan dia tidak mahu lagi mengungkit tentang itu.

“Okey, kita sama-sama dah minta maaf. Jadi boleh aku anggap kita seri sekarang?” balas Faizam.

Dia memandang Julia yang kembali mengangkat kepala.

“Tak ada lagi pertengkaran antara kita mulai hari ni?” soal Faizam meminta kepastian.

Mahu memulakan hubungan baru dengan Julia.

“Kalau kau sudi maafkan aku,” balas Julia.

Dia mulai tenang tatkala melihat senyuman di bibir Faizam.

“Jadi, kawan?” Faizam bersuara lagi.

Senyumannya mekar tatkala Julia mengangguk pantas.

“JADI macam mana Farah? Jadi tak kau ikut aku balik ke California cuti semester nanti?” soal Balkis sambil memandang Farah yang berbaring di sisinya.

“Jadi tu jadilah tapi tak menyusahkan kau ke nanti?” soal Farah ragu-ragu.

“Kenapa pulak kau tanya macam tu?”

“Yalah, semua perbelanjaan aku ke sana kau yang tanggung. Tak ke tu menyusahkan kau aje,” ujar Farah, risau.

Tersenyum Balkis mendengar kata-kata itu.

“Kau ni Farah. Apa salahnya kalau aku tanggung semuanya pun. Lagipun aku bukannya guna duit sendiri tapi duit ayah aku. Dia yang beria-ia suruh aku balik ke California. Daripada aku balik seorang lebih baik kau ikut sekali. Ada jugak teman sepanjang aku kat sana nanti,” balas Balkis sambil turut merebahkan tubuh di sisi Farah.

“Balkis, kalau aku tanya kau sesuatu, kau marah tak?” soal Farah.

Dia memandang Balkis yang membalas tenang pandangannya.

“Kau nak tanya apa?”

Farah terdiam sekejap.

“Betul kau langsung tak ada hati pada Faizam?” soal Farah lambat-lambat.

Bimbang kiranya pertanyaan itu menyinggung perasaan sahabatnya itu.

“Kenapa kau tanya macam tu?” soal Balkis.

Farah menghela nafas.

“Aku sayangkan kau dan aku jugak sayangkan Faizam. Aku tak mahu apa-apa yang buruk berlaku antara kau orang berdua. Aku kasihankan Faizam. Dia betul-betul cintakan kau. Kalau betul pun kau tak ada hati kat dia, aku minta kau berilah dia peluang untuk berkawan dengan kau walaupun sekali,” ujar Farah sedikit merayu.

Balkis mengeluh berat.

“Aku bukan tak mahu berkawan dengan dia tapi entahlah. Dari kecil aku tak pernah berkawan dengan lelaki selain dari saudara-mara dan pekerja-pekerja atuk aku. Jadi bila tiba-tiba aje Faizam muncul, aku rasa lain sangat. Kena pulak dia jenis yang terlalu direct. Main terjah aje kalau nak buat apa-apa pun. Lagilah aku tak selesa,” luah Balkis buat pertama kali akan isi hati dan berterus terang.

“Jadi sebab tu kau tak boleh terima Faizam selama ni?”

Lambat-lambat Balkis mengangguk.

“Bukan sebab tu aje. Aku sebenarnya tak suka cara dia pandang aku. Tajam macam nak makan orang. Aku tahulah aku susah senyum. Bukan macam dia, tersengih aje dua puluh empat jam. Tapi janganlah pandang aku macam tu. Aku tak sukalah,” rungut Balkis.

“Kalau kau perasan Balkis, dengan kau aje dia bersikap macam tu tau. Dengan orang lain mana ada dia buat macam tu,” balas Farah sambil tersenyum.

“Kenapa pulak?” soal Balkis, hairan.

“Sebab Faizam kata dia suka tengok muka kau yang susah senyum tu. Lain dari orang lain. Dia kata muka kau akan bertambah cantik bila kau senyum tapi tulah. Susah benar dia dapat tengok kau senyum,” ujar Farah lagi.

Balkis hanya merengus halus. Sedikit sebanyak kata-kata itu berjaya menggembirakan hatinya. Gembira Faizam masih sudi menatap wajahnya walaupun dia sedar yang sejak mereka tiba di London beberapa bulan lalu lelaki itu seakan-akan mahu menjauhkan diri. Seolah-olah kewujudannya tidak lagi disenangi Faizam. Dia tertanya-tanya sendiri dengan keadaan itu.

Baru kini Balkis sedar. Ada sesuatu di hatinya buat Faizam.

Walaupun dia masih tidak pasti dengan maksud kewujudan sesuatu itu namun dia dapat merasainya sejak Faizam mula tidak mempedulikannya.

“Balkis, malam esok kau free tak?”

Soalan Farah menghilangkan lamunan Balkis.

“Kenapa?”

“Aku nak ajak kau tengok wayang.”

“Tengok wayang?”

Farah mengangguk kecil.

“Sebenarnya, Faizam ajak aku tengok wayang malam esok. Dia dah beli tiga keping tiket semalam. Jadi aku terfikir nak ajak kau sekali. Boleh ya Balkis?”

“Kenapa pulak tiba-tiba aje Faizam nak ajak kau tengok wayang?”

Ada nada cemburu yang terpalit dalam suara Balkis walaupun tidak terkesan melalui riak wajah.

“Alah, kau sendiri pun tahu kan? Sejak bulan lepas Faizam dah start buat kerjapart time kat restoran orang Pakistan kat tengah bandar raya tu. Semalam dia dapat gaji pertama. Jadi dia nak belanjalah aku tengok wayang. Yalah. Nak ajak orang dia sayang, orang tu jual mahal pulak. Nak tak nak terpaksalah dia bawa bestfriend dia ni aje.”

Farah terjerit kecil apabila Balkis terus mengetip lengannya. Dia tertawa suka.

“Jadi, kau ikut kita orang nanti ya? Boleh ya Balkis? Please,” rayu Farah.

“Faizam suruh kau ajak aku ke?” soal Balkis.

Farah menggeleng.

“Tapi aku beritahu dia yang aku nak bawa teman baik aku sekali. Apa pulak kata orang tersayang dia kalau tahu aku keluar berdua aje dengan dia nanti. Nanti tak pasal-pasal dia cemburu pulak.”

Farah tertawa semula tatkala satu lagi cubitan Balkis hinggap di lengannya.Malu Balkis apabila diusik begitu.

“Boleh ya Balkis? Aku betul-betul harap kau ikut kami sekali. Please, kalau bukan untuk Faizam, untuk aku. Itu pun kalau kau anggap aku sahabat baik kau dunia dan akhirat,” ujar Farah lagi sambil mengerdip mata beberapa kali pada sahabatnya itu.

“Wah, tu dah dikira mengugut.”

Farah tertawa semula.

“Boleh ya Balkis,” pinta Farah lagi apabila Balkis hanya mengunci mulut.

Dicuit beberapa kali lengan Balkis sambil tersengih-sengih. Dia bersorak girang apabila perlahan-lahan Balkis mengangguk. Gembira dengan penerimaan gadis itu.

“HAI Zam.”

Langkah Faizam terhenti. Dia berpusing tubuh lalu tersenyum.

“Assalamualaikum Julia,” ucap Faizam lembut.

“Waalaikumussalam,” balas Julia sambil tersenyum kelat.

Malu ditegur begitu. Diatur langkah beriringan Faizam.

“Lambat kau ke kelas hari ni,” ujar Faizam sambil mengerling wajah Julia.

“Biasalah aku. Bangun awal pun habiskan masa dengan bermekap dulu. Kalau tak, tak cantiklah nanti,” balas Julia.

Dibetulkan sedikit kedudukan kemeja yang dipadankan dengan skirt pendek di tubuhnya. Sempat dia menjeling Faizam.

Faizam hanya menyarung t-shirt berkolar dan berseluar slek hitam. Sebuah beg kulit disangkut silang di tubuhnya. Ringkas namun kelihatan kemas.

“Kalau tak mekap pun kau dah cukup cantik Julia,” balas Faizam lembut.

“Mana kau tahu aku dah cukup cantik kalau tak mekap? Memandai ajelah kau ni.”

Kening Julia terangkat sedikit mendengar kata-kata ikhlas itu.

“Dah memang kau cantik, nak kata apa lagi. Kalau kau tak mekap pun ramai lelaki yang gilakan kau. Mekap tu hanya menutup segala kecantikan asli yang kau ada. Dahlah buang masa, buang duit lagi,” balas Faizam selamba.

“Iya ke?” soal Julia.

Faizam mengangguk kecil.

“Zam!”

Panggilan seseorang mengalihkan wajah mereka ke belakang.

“Kau buat apa kat sini Farah?” soal Faizam sebaik Farah berdiri di depannya.

“Kenapa? Tak boleh ke aku masuk kawasan fakulti ni?” cebik Farah.

“Tak adalah macma tu. Kau tak ada kelas ke sekarang ni?”

“Aku ada kelas sejam lagi. Aku ke sini sebab nak jumpa kau dan abang Irwan,” ujar Farah sambil menarik keluar sesuatu dari celah buku di tangannya.

“Aku nak bagi ni,” ujar Farah sambil menghulurkan sekeping penanda buku.

“Untuk apa ni Farah?” soal Faizam.

Namun tetap disambut huluran itu.

“Happy Friendship Day my bestfriend!” ucap Farah sambil tersenyum lebar.

Faizam menepuk dahi.

“Ya ALLAH Farah. Aku terlupalah nak buat satu untuk kau. Sorry sangat-sangat.”

Faizam mengeluh halus. Kesal.

“Alah, tak apa. Kau bagi aje kat aku tahun depan tapi aku nak double tahu. Ganti untuk tahun ni punya,” gurau Farah.

“Dan ni yang untuk awak Julie. Happy Friendship Day ya,” ucap Farah sambil menghulurkan sekeping penanda buku pada Julia.

Terkejut Julia dengan pemberian itu.

“Untuk saya pun ada jugak? Thanks Farah,” ucap Julia.

Dia tidak sangka akan mendapat juga hadiah kecil itu.

“Mestilah Julie. Awakkan kawan saya jugak. Semua kawan-kawan saya akan dapat penanda buku ni setiap tahun sempena Friendship Day,” balas Farah sambil tersenyum lagi.

Dipaling tubuhnya pada Faizam yang sedikit ralit membelek pemberiannya.

“Oh ya Zam, jadi tak kau keluar dengan aku malam ni?” soal Farah.

Faizam mengangguk kecil.

“Apa pulak tak jadi. Kita berdua aje ke nanti?” soal Faizam semula.

Penanda buku pemberian Farah diselit ke dalam beg sandangnya.

“Tak, kita keluar bertiga nanti,” jawab Farah sambil tersenyum lebar.

“Siapa lagi seorang yang nak ikut tu?” soal Faizam sambil berkerut dahi.

“Adalah, kau akan tahu jugak nanti,” balas Farah, tidak mahu berterus terang.

“Hey guys, kau orang cakap pasal apa ni? Kau orang nak keluar ya malam ni? Aku ikut boleh?” sampuk Julia sambil memandang kedua-duanya silih berganti.

“Minta maaf Julie. Saya tak boleh ajak awak malam ni. Next time aje kita keluar ya. Malam ni just for me, Faizam and somebody,” balas Farah segera.

Terus Julia menarik muncung.

“Ala, kenapa tak boleh pulak?” tanya Julia sedikit merajuk.

“Adalah sebabnya Julie. Saya tak boleh beritahu sekarang tapi Insya-ALLAH kalau ada masa nanti saya beritahu awak ya,” pujuk Farah.

“Kalau macam tu, awak temankan saya pergi shopping petang ni ya Farah?”

Muncung Julia kembali memanjang apabila Farah mengeleng perlahan.

“Ya ALLAH Julie, saya minta maaf sangat-sangat. Petang esok bolehlah. Tak pun apa kata awak ajak aje Faizam temankan awak nanti? Dia pun bukannya ada apa nak dibuat. Kau tak kerja kan hari ni Zam?”

Farah mengalihkan pandangan pada Faizam semula.

“Kalau kau tak kisah, aku boleh temankan tapi jangan lama-lama ya. Aku tak suka buang masa begitu aje,” balas Faizam.

Sempat dia memberi peringatan.

“Okey. Kalau macam tu petang nanti kau temankan aku shopping ya,” ujar Julia.

Dia tersenyum girang apabila Faizam pantas mengangguk.

“Jadi kau orang, aku minta diri dulu. Aku nak pergi jumpa dia orang yang lain pulak. Zam, jangan lupa tau malam nanti,” pamit Farah.

Sempat dia mengingatkan Faizam tentang temu janji mereka pada malam nanti.

Faizam mengangguk. Dia kembali menapak bersama Julia.

“Kau orang nak pergi mana malam nanti Zam?” soal Julia.

“Tak ke mana pun. Just tengok wayang. Lepas tu pergi makan. Itu ajelah.”

“Siapa lagi seorang yang nak ikut tu?”

Faizam mengangkat bahu.

“Entah Farah tu, tak nak beritahu pulak. Tak tahulah siapa yang dia nak bawa nanti,” ujar Faizam, benar-benar tidak tahu.

Dalam diam Faizam berharap Balkis walaupun dia pasti gadis itu tidak sesekali akan mengikut mereka. Walaupun hatinya masih terluka dengan peristiwa di KOMTAR beberapa bulan lalu namun jauh di sudut hati rasa cintanyamasih menebal buat Balkis. Tidak pernah terluak walaupun seinci. Faizam mengeluh perlahan tanpa sedar.

“Kau dan Farah memang rapat sangat kan Zam?”

Pertanyaan Julia menghambat pergi lamunan Faizam. Dia mengangguk kecil.

“Memang kami rapat Julia. Sangat rapat hingga tak ada rahsia antara kami.”

“Habis tu kenapa kau orang tak bercinta aje? Bukan ke tu lebih baik? Kau orang kan dah saling memahami antara satu sama lain,” luah Julia akan kemusykilan yang telah lama bersarang di benaknya.

Faizam pula terus meletuskan tawa.

“Nak bercinta apanya Julia. Aku dengan Farah tu dah macam adik-beradik. Cuma tak sama mak dan ayah aje. Memanglah kami rapat sangat tapi aku tak pernah terfikir pun nak bercinta dengan dia. Jauh sekalilah nak kahwin dengan dia,” jelas Faizam.

“Kau tahu Julia. Kadang-kadang bersahabat tu lebih indah dari bercinta. Sebab dengan bersahabat kita boleh terima orang tu seadanya dia. Tak ada batasan antara kita dengan dia kecuali batasan adab dan agama. Lainlah pulak kalau bercinta. Semua aspek kita kena jaga sebab kita mudah terasa hati kalau orang yang kita cinta tu lukakan hati kita walaupun hanya untuk perkara remeh,” ujar Faizam lagi.

“Dahlah Julia. Malas aku nak cakap lagi pasal ni. Jomlah masuk kelas sekarang. Nanti tak ada tempat duduk pulak,” sambung Faizam.

Dia terus menapak sedikit pantas.

Julia hanya mengikut.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2014/05/bab-37-tak-sangka-aku.html

Previous: BAB 36
Next: BAB 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh