Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 23
BAB 23

JOHAN memanjang leher di celah kelibat orang ramai. Liar matanya mencari seseorang di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dia tersenyum lebar tatkala terpandang seseorang dari jauh telah melambai tangan ke arahnya.Laju kakinya mendapatkan orang yang sejak tadi dinanti ketibaannya.

“Johan!” jerit Julia ceria lalu tubuh tegap itu dipeluk erat.

Johan pantas merenggangkan pelukan mereka. Kurang selesa dengan tabiat gadis itu berbuat begitu setiap kali mereka bersua.

“Assalamualakum Julie,” sapa Johan penuh mesra lalu mencapai bagasi gadis itu.

“Waalaikumussalam,” sambut Julia sambil tersengih kecil.

“Dah lama kau tunggu?” soal Julia.

“Rasanya dah nak reput badan aku ni tunggu kau sampai,” seloroh Johan.

“Kau ni Han, ada-ada ajelah,” balas Julia lalu tertawa kecil.

“Dia orang yang lain mana? Tak datang jemput aku ke?” tanya Julia sambil matanya meliar ke sekeliling lapangan terbang yang sentiasa sibuk tanpa mengira waktu itu.

“Apa kau fikir kau tu artis antarabangsa ke nak dijemput ramai orang?” usik Johan.

Dia terjerit kecil tatkala cubitan gadis itu hinggap di lengannya. Dia tertawa.

“Kau ni, saja nak kenakan aku kan? Maksud aku mak, ayah dan adik-beradik kau yang lain tu tak datang jemput aku ke?” ujar Julia, pura-pura marah.

“Dia orang sibuklah Jue, mana ada masa nak jemput kau. Patutnya kau bersyukur aku datang jemput kau tau. Kalau tak, kau datanglah sendiri ke rumah aku tu,” balas Johan lalu mula menapak dari situ.

“Yalah, aku faham. Orang businesslah katakan, sibuk memanjang,” balas Julia.

Tangannya terus dilingkar ke lengan Johan lalu turut melangkah meninggalkan tempat itu.

Johan hanya membiarkan perlakuan Julia walaupun tidak senang dengan keadaan itu. Mengerti dengan sikap Julia yang begitu terbuka pergaulannya.

“Jomlah cepat kita balik. Tak sabar rasanya nak jumpa family kau,” ujar Julia lagi.

Dia segera mengheret Johan agar menapak lebih laju.

Johan hanya menggeleng lalu mengikut saja tingkah laku gadis itu.

“ZAM, minggu depan kau temankan aku ke Kuala Lumpur ya? Ada pesta buku kat PWTC nanti. Boleh ya Zam?” pinta Farah sambil memandang Faizam di sisi.

Kedua-duanya berada di bawah sepohon pokok di kawasan universiti pagi itu.

“Kenapa tak ajak aje Irwan pergi? Malaslah aku nak balik sana.”

“Ala, kan aku dah beritahu kau yang dia dan kakak aku nak balik kampung nanti. Ada hal yang dia orang perlu selesaikan. Kau temankan aku ya?”

“Kita berdua aje ke?” soal Faizam dari balik surat khabar.

“Habis tu, kau nak aku ajak siapa lagi? Dia orang yang lain mestilah tak nak pergi sebab nak study untuk peperiksaan pertengahan semester nanti,” balas Farah cepat-cepat.

“Ada jugak aku ajak Balkis pergi tapi awal-awal lagi dia dah tolak,” sambung Farah sambil mengerling sekilas sahabatnya.

Faizam pula hanya memberi reaksi selamba. Seakan-akan tidak terkutik dengan kata-kata itu.

“Nanti kita tidur kat rumah Kak Ngah. Dia selalu tanya aku bila nak ke rumah dia. Kau pun dah lama tak jumpa dia kan,” ujar Faizam setelah seketika diam sambil melipat semula surat khabar.

Farah mengangguk setuju. Teringat Fatin Fatanah, kakak kandung Faizam. Sejak dari kecil hubungan Farah dengan wanita itu rapat dan mesra. Begitu juga hubungannya dengan abang sulung Faizam, Firdaus Faiziman. Walaupun jarang bersua namun kedua-duanya sering menghubungi Farah ketika ada kelapangan waktu.

Hanya kedua-dua orang tua Faizam tidak pernah ditemuinya. Kesibukan mereka menjalani kehidupan membuatkan Farah dan kedua-duanya tidak pernah berpeluang bersua muka. Jika ada hanyalah ketika dia bergelar kanak-kanak iaitu di waktu Haji Fakhrulrazi dan Hajah Naemah masih menetap di Pahang beberapa puluh tahun lalu.

Hanya kisah mereka berada dalam pengetahuannya. Itu pun tidak sebanyak mana lantaran Faizam jarang membuka mulut tentang orang tuanya.

“Farah, boleh aku tanya sesuatu?”

Soalan Faizam membunuh khayalan Farah.

“Kau nak tanya apa?” soal Farah dengan matanya tertancap di wajah anak muda itu.

“Kenapa Balkis dingin sangat dengan aku? Dah lebih setahun aku cuba rapat dengan dia. Jangan kata nak berbual, bagi respon pun tak,” keluh Faizam sayu.

Farah pula sudah menghembus nafas perlahan.

“Kau kena faham Zam. Balkis bukannya seperti budak perempuan lain yang senang-senang aje kau dapat tackle. Dia tu lain sikit. Kau sendiri pun tahu kan macam mana keadaan hidup dia selama ni.”

“Tu aku tahulah tapi at least senyumlah sikit kalau terjumpa aku. Ini tak, dua puluh empat jam, masam aje muka dia tu. Apa dia tak rasa boring ke buat muka masam macam tu selalu?” rungut Faizam.

“Alah, masam-masam muka dia tu pun kau gilakan dia jugak.”

Faizam tersengih namun hanya seketika.

“Aku bukan apa Farah, aku nak berkawan dengan dia. Kalau ada jodoh, rezeki akulah dapat dia jadi isteri aku. Tapi tulah. Macam mana kami nak berkawan kalau dia buat perangai macam tu,” luah Faizam lemah bercampur kesal.

“Entahlah Zam, aku pun tak tahu nak cakap apa. Nak kata dia benci kau, tak ada rasanya. Kalau kita orang cakap pasal kau, ada jugak dia pasang telinga dengar. Tapi bila aku cakap aje yang kau suka kat dia, dia buat bodoh aje. Macam mana tu?”

Farah turut pelik dengan sikap Balkis. Sikap yang sehingga kini tidak dimengertikan sesiapa termasuklah dirinya, sahabat baik gadis itu.

“Entah-entah Balkis dah ada teman lelaki tak? Sebab tu dia buat tak tahu aje.”

Faizam membuat andaian. Sedikit sayu andai tekaannya mengena sasaran.

“Hisy, aku tak fikirlah Balkis ada teman lelaki. Jangan kata teman lelaki, kawan lelaki pun dia tak ada,” sangkal Farah cepat-cepat.

Lebih enam tahun mengenali gadis itu menyakinkan Farah dengan telahannya.

“Mana tahu dia tak beritahu kau pasal teman lelaki dia tu.”

Faizam masih cuba mengorek rahsia berkenaan gadis impian.

“Tak adalah. Aku tak fikir apa yang kau cakap tu betul. Aku dah lama kenal Balkis. Aku tahulah dia luar dalam,” ujar Farah, tidak setuju dengan andaian itu.

“Tu kata kau. Kita tak tahu pulak apa yang ada dalam hati dia,” sanggah Faizam.

“Kalau betullah Balkis dah ada teman lelaki, apa kau nak buat?” tanya Farah setelah diam beberapa ketika.

“Kalau betullah Balkis dah ada teman lelaki, rasanya aku takkan jatuh cinta lagi pada sesiapa pun Farah,” jawab Faizam lemah.

Seakan-akan telah menerima ketentuan itu bulat-bulat walaupun hanya andaian mereka semata-mata.

“Kenapa pulak kau cakap macam tu?” soal Farah sambil menatap wajah yang telah berubah air mukanya menjadi sugul.

“Macam mana aku nak jatuh cinta lagi Farah sedangkan ruang hati aku dah penuh dengan cinta untuk dia? Dulu pun aku pernah jatuh cinta dengan Surina tapi aku boleh terima bila dia tinggalkan aku tanpa aku sendiri tahu sebabnya. Tapi bukan Balkis, Farah. Aku tak boleh lupakan dia kalau betul dia bukan untuk aku.”

Faizam memejamkan matanya rapat-rapat. Cuba menghindar rasa sebak yang entah mengapa menyelubungi hati ketika ini.

“Mahu tak mahu, kau kena terima Zam. Kalau benarlah dia bukan untuk kau, kau tak boleh seksa hidup kau hanya semata-mata kerana dia. Kau perlu terima orang lain jugak dalam hidup kau nanti,” balas Farah lembut.

Mengerti dengan rasa hati Faizam ketika ini. Hakikatnya dia turut merasa kesakitannya. Sejak dia tahu Faizam mencintai Balkis, dia tidak pernah putus berdoa agar kedua-dua sahabat kesayangannya itu bertemu jodoh. Dia ingin melihat mereka bahagia bersama hingga ke akhir hayat. Namun andai takdir sebaliknya, dia perlu pasrah menerima kerana dia sedar setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

“Kalaulah aku boleh buat macam tu, dari dulu lagi aku dah buat. Malah sampai sekarang aku masih buka pintu hati aku untuk mana-mana perempuan. Tapi sayang hanya dia yang dapat menembusi hati aku ni. Jadi macam mana aku nak lupakan dia kalau sekarang ni pun aku dah tak berdaya terima orang lain?” balas Faizam sayu.

“Kau kena cuba Zam. Kau tak boleh terlalu ikut kata hati kau. Kalau betul Balkis untuk kau, Insya-ALLAH dia pasti akan jadi milik kau jugak nanti. Tapi kalau sebaliknya, aku yakin kau pasti akan dapat yang lebih baik dari dia. Percayalah,” pujuk Farah lembut.

Memberi perangsang buat sahabat yang begitu disayangi.

Faizam kembali membuka mata lalu tersenyum kecil.

“Kau yakin Balkis dan aku akan bertemu jodoh nanti?” soal Faizam.

Dia merenung sejenak wajah gadis itu. Memohon kepastian.

“Insya-ALLAH, kalau betul cinta kau cinta sejati,” jawab Farah sambil mengangguk penuh yakin.

Jawapan Farah membuahkan senyuman lebar di bibir Faizam. Lalu hatinya kembali tenang. Diam-diam dia turut berdoa agar kata-kata itu menjadi kenyataan suatu ketika nanti.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-23-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh