BAB
15FARAH melepaskan
pandangan ke bawah bukit. Sayup-sayup kelihatan pepohon jagung di ladang
terbentang luas di depannya. Semuanya kelihatan kerdil di matanya yang duduk
berjuntai kaki di batu besar di puncak bukit.
Agak
lama dia memerhati ke bawah sebelum matanya dililau ke sekitar. Tiada seorang
manusia di kawasan lapang itu melainkan dia sendiri. Sesekali kedengaran
desiran dedaun pepohon renek tumbuh subur di sekeliling. Dihembus angin bertiup
sedikit kencang petang itu. Diselit bunyi kicauan burung-burung dan serangga
yang sekian lama menjadi penghuni persekitaran hijau itu. Menghasilkan
ketenangan buat Farah yang sejak tadi diselubungi resah dan serba salah.
Tidak
semena-mena peristiwa pagi tadi kembali menerjah minda. Peristiwa yang
mengheret resah dan serba salah ke hatinya ketika ini.
“JADI macam
mana sekarang? Kamu terima tak permintaan kami ni?”
Haji
Fakhrulrazi memandang Farah yang tertunduk di depannya. Sesekali dia mengerling
Hajah Naemah di sebelah gadis itu.
“Mungkin
susah untuk kamu buat keputusan tapi kami nak kamu tahu. Apa yang kami lakukan
ni adalah untuk kebaikan kamu dan Faizam sendiri. Sekurang-kurangnya bila ada
keputusannya sekarang, bolehlah kami lakukan persediaan dengan lebih awal,”
sampuk Hajah Naemah sambil mengusap lembut belakang tubuh gadis itu.
“Buat
masa sekarang kami hanya nak kata putus sama ada kamu setuju atau tak dengan
permintaan kami. Tu aje,” sambung Hajah Naemah apabila Farah tidak menyahut.
“Betul
kata nenda kamu tu Farah. Kamu berdua pun dah lama kenal satu sama lain. Jadi
lebih elok kalau kami eratkan lagi hubungan kamu berdua tu dengan ikatan
perkahwinan. Rasanya, tak ada perkara yang lebih membahagiakan kami selain
perkara ni Farah,” terang Haji Fakhrulrazi.
Tenang
matanya memandang wajah Hajah Naemah yang mengangguk setuju.
Farah
pula masih mengunci mulut. Sesekali matanya dihalakan pada Haji Rahman dan
Hajah Aminah yang turut berada di serambi rumah. Seperti Farah, kedua-duanya
hanya menutup mulut tanpa sepatah kata. Memberi peluang pada suami dan isteri
itu untuk bertanya sendiri pada cucu mereka.
Beberapa
lama membiarkan suasana sepi, akhirnya Haji Fakhrulrazi kembali membuka suara
setelah nafasnya dihela panjang.
“Macam
nilah Farah. Nenda berdua takkan paksa kamu buat keputusan terburu-buru
berkenaan perkara ni. Kamu ambillah masa sebanyak mana yang kamu inginkan. Tapi
kami berharap sangat kamu dapat penuhi permintaan kami ni.”
SAMPAI ke
saat ini setiap patah kata Haji Fakhrulrazi dan Hajah Naemah terngiang-ngiang
di pendengaran Farah. Kata-kata yang meresahkannya ketika ini. Resah
dengan permintaan yang tidak pernah terlintas di minda jauh sekali melaluinya.
Kahwin
dengan Faizam? Farah termangu-mangu apabila soalan itu menerpa minda. Sepanjang
mengenali Faizam, tidak pernah sebesar hama pun perkara seperti itu muncul
dalam benaknya. Perkataan kahwin itu sendiri memberi rasa gerun pada dia yang
masih mentah dalam mengenal kehidupan. Apatah lagi melaluinya bersama seseorang
yang sejak kecil dianggap saudara kandung dunia dan akhirat.
Tengku
Faizam Fakhruddin Tengku Faizial. Sebaris nama itu memenuhi ruang minda
seketika. Lalu satu keluhan panjang terkeluar dari celah bibir. Sejak dulu
hubungan dia dan anak muda seusianya itu sering disalah erti semua terutama
penduduk kampung. Rasanya tiada kata-kata bisa lagi pedih yang tidak pernah
dilemparkan padanya dan Faizam. Ada saja tingkah laku mereka yang dilihat
canggung di mata semua walaupun hakikatnya Farah dan Faizam begitu menjaga
batas pergaulan mereka.
Segalanya
semakin kedengaran apabila Faizam menetap di rumah Haji Rahman apabila
datuknya, Haji Fakhrulrazi bersara ketika mereka berusia sepuluh tahun. Anak
muda itu berada di situ hanya ketika musim cuti sekolah bertandang. Sesudah itu
Faizam akan dihantar pulang ke rumah orang tuanya di Petaling Jaya.
Namun
kata-kata pedas tetap tempias ke telinga mereka. Malah bertambah-tambah setelah
mereka menginjak ke usia remaja. Umpama peluru ditembak keluar daripada
senapang bertalu-talu. Tidak henti-henti. Hingga baik Farah mahupun Faizam
sendiri telah lali dengan keadaan itu.
“Jauh
kau pergi. Fikir apa?”
Pertanyaan
itu mengejutkan Farah daripada lamunan. Dia menoleh. Sedikit terkesima melihat
Faizam melabuhkan punggung di sisi.
“Tak
ada apa-apa,” jawab Farah lemah.
“Kau
datang seorang aje ke?” soal Farah semula.
Ada
rasa bimbang dalam nada suaranya. Bimbang andai wujud permasalahan lain dek
pandangan tidak senang mana-mana mata yang melihat keadaan dia dan lelaki itu
ketika ini.
“Taklah.
Aku datang dengan abang kau,” jawab Faizam.
“Mana
dia?”
“Tu
apa?” rungut Faizam sambil memuncung bibir ke satu arah.
Farah
berpaling. Terpandang Irwan Putra duduk bersandar di bawah sepohon paku lima
merimbun lebat. Sebuah buku terselit di tangannya. Lalu membuatkan senyuman
terukir di bibir Farah. Mengerti sikap abangnya. Gemar membaca tidak mengira
tempat.
Farah
berpaling semula. Membuang pandangan ke hamparan alam di bawah bukit.
“Kau
kenapa Farah? Dari pagi tadi aku tengok kau moody semacam aje. Makan
nasi pun tak bertambah seperti selalu,” ujar Faizam sambil memandang ke bawah.
“Aku
tak ada selera nak makanlah Zam. Mungkin penat kut.”
“Penat
apanya. Kau tu bukannya kerja kat ladang macam aku dengan abang-abang kau.
Jangan kata nak angkat guni, nak cabut rumput pun ayah Man tak kasi kau buat.
Penat ke bendanya,” tempelak Faizam sambil tersenyum manis.
“Aku
bukannya penat tulah. Aku penat sebab lain. Kau mana tahu aku punya susah,”
rengus Farah sambil menjeling.
“Kau
penat sebab lain ke atau sebab kau fikir perkara yang nenda cakap tu?”
Soalan
itu mengalih mata Farah ke wajah tenang Faizam.
“Mana
kau tahu pasal tu? Kau bukannya ada kat rumah pun pagi tadi,” soal Farah,
hairan.
Bertambah
pelik melihat senyuman anak muda itu semakin melebar.
“Kau
ni Farah, dia orang tu kan nenda aku. Mestilah aku tahu sebab apa dia orang ke
sini,” jawab Faizam tenang.
Dia
kembali membuka mulut apabila perasan mata Farah masih tertancap di wajahnya.
Seakan-akan tidak puas hati.
“Okeylah
aku beritahu. Sebenarnya sebelum dia orang ke sini, dia orang ada call beritahu
aku pasal hal ni. Waktu tu kita kat Pulau Pinang. Aku fikir dia orang main-main
aje. Tak sangka pulak dia orang betul-betul datang tanya kau.”
Lalu
wajah putih bersih Farah kembali diarak muram.
“Aku
tak tahulah nak cakap apa pasal hal ni. Nak terima, aku tak pernah fikir pun
nak kahwin dengan kau, jauh sekalilah dalam masa terdekat ni. Nak tolak, tak
sampai hati pulak aku nak lukakan hati dia orang. Yalah, dia orang harap sangat
aku terima. Aku peninglah Zam. Pening sangat-sangat tau,” rungut Farah.
Marah
pada diri sendiri yang tidak pandai membuat keputusan dalam menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Digaru kepalanya yang berbalut tudung kuning air.
Sejak
kecil, dia begitu menjaga penampilan dan tingkah lakunya di hadapan anak muda
itu. Walaupun mereka sangat rapat dan mesra namun itu bukan halangan untuk dia
menjaga batas aurat dan pergaulan sesama mereka.
“Nak
pening ke bendanya. Kau cakap ajelah yang kita hanya kawan baik, sangat baik
tapi tak adalah sampai nak berumah tangga pulak,” balas Faizam cepat-cepat.
“Kau
cakap senanglah. Aku ni yang tak sampai hati nak beritahu dia orang macam tu.
Kau tak rasa bersalah ke tengok dia orang sedih disebabkan kita? Berdosa tahu
lukakan hati orang tua,” sanggah Farah sambil menjeling lagi.
“Habis
tu, kau nak buat macam mana? Kau sanggup nak kahwin dengan aku lepas kita habis
belajar nanti? Hisy, tak naklah aku kahwin awal. Dahlah tu, dengan kau. Macam
tak ada orang lagi dah yang boleh jadi isteri aku.”
Kata-kata
selamba Faizam membuatkan mata Farah terbeliak.
“Ewah,
apa kau ingat aku teringin sangat nak jadi isteri kau tu hah? Daripada aku
kahwin dengan kau, baik aku kahwin aje dengan abang Senin yang duduk kat tepi
kampung kita tu. Baik pun ya, beragama lagi,” marah Farah.
Faizam
tertawa besar.
“Kau
ni Farah. Patutlah orang kampung gelar kau cik Ros bunga berduri. Nampak cantik
kat luar tapi pantang diusik, melenting terus. Kalau macam ni kau punya
perangai, jangan kata abang Senin, Haji Dollah duda tua bangka tu pun belum
tentu berani nak masuk minta kau. Punyalah garang. Perangai sebiji macam abang
Ngah kau,” usik Faizam lalu tertawa lagi.
Tidak
peduli akan Farah yang sudah memuncung bibir.
“Farah,
kau sayang tak pada nenda aku?” soal Faizam setelah seketika.
“Mestilah
aku sayang. Dia orang tu dah macam datuk dan nenek aku sendiri,” jawab Farah
lemah walaupun sedikit pelik dengan pertanyaan itu.
“Kalau
macam tu, kau berterus terang ajelah pada dia orang. Habis cerita.”
“Maksud
kau?” soal Farah, tidak faham.
Faizam
menarik nafas panjang sebelum menghembus semula.
“Farah,
baik kau mahupun aku, kita sama-sama tahu hakikatnya. Hakikat yang kita berdua
saling sayang satu sama lain. Tapi kasih sayang kita tu tak lebih dari kasih
sayang seorang sahabat kepada sahabatnya. Itu aje. Jadi kalau betullah kau
sayangkan kedua-dua nenda aku, baik kau berterus terang aje. Kau tak mahu
lukakan hati mereka tapi kau kena sedar. Dia orang akan lebih terluka kalau
tahu kita menipu semata-mata nak bahagiakan hati dia orang sedangkan kita
sendiri sengsara dengan keadaan tu. Bagi aku, daripada kita lihat dia orang
terluka di masa depan, lebih baik kalau dia orang terluka sekarang.
Sekurang-kurangnya kita takkan rasa bersalah nanti,” terang Faizam.
Farah
terdiam sejenak. Laju mindanya memikirkan kebenaran kata-kata itu.
“Lagipun,
kau rasa kau layak ke jadi isteri aku?” gurau Faizam sambil mengangkat kening
beberapa kali.
Mengusik
Farah yang segera menjuih bibir.
“Huh,
kau fikir kau tu handsome sangat ke hah sampai aku hadap sangat nak
tengok muka kau seumur hidup aku? Muka mamak Maidin yang jual roti canai tu pun
seribu kali lagi handsome dari kau tau. Daripada aku kahwin dengan
kau, baik aku kahwin dengan dia. Perut aku pun kenyang aje sebab selalu dapat
makan roti canai percuma hari-hari,” marah Farah sambil menjeling semula Faizam
yang tertawa mengekek.
“Ya
tak ya kan. Elok jugaklah kau kahwin dengan dia. Mana tahu badan papan kau tu
boleh bertukar jadi sebesar tong dram nanti. Anak-anak kau pulak esok-esok dah
tentulah nampak gigi aje. Maklumlah, semuanya ikut kulit ayahnya yang gelap
gelita tu.”
Faizam
terjerit lalu tertawa apabila lengannya terus dicubit Farah.
Farah
sendiri akhirnya turut ketawa hingga gamat seketika kawasan sekitar bukit itu
dengan gelak tawa mereka berdua.
“Kau
tahu siapa sebenarnya gadis impian aku selama ni?”
Faizam
kembali melontar suara tidak lama kemudian. Serius.
“Siapa?
Puteri kayangan ke puteri bunian?” usik Farah sambil tersenyum lagi.
Pantas
Faizam menggeleng. Dia turut mengukirkan senyuman.
“Bukan.
Aku sebenarnya selalu berdoa bertemu jodoh dengan seorang puteri yang mampu
tunaikan segala impian yang aku mahu dalam hidup,” luah Faizam.
“Puteri?
Puteri yang mana satu? Anak raja negeri mana pulak yang kau berkenan ni Zam? Ke
anak sultan?” soal Farah, hairan.
Melebar
senyuman Faizam jadinya.
“Kau
ni Farah, bendul betullah. Puteri tu tak semestinya benar-benar seorang puteri
raja atau anak mana-mana sultan. Boleh jadi dia seorang gadis biasa yang
hidupnya lebih kurang macam hidup aku. Sunyi, sepi, keseorangan...”
“Dan
kaulah putera yang akan datang menyelamatkan dia dari semua tu?” pintas Farah
tanpa sempat Faizam menghabiskan ayat.
Dijeling
semula Faizam yang telah mengekek ketawa lagi.
“Dahlah
Zam. Buang aje angan-angan karut kau tu. Mana ada lagi dalam zaman sekarang
gadis yang hidupnya ala-ala macam kisah dongeng Rapunzel tu. Kalau ada
sekalipun, kau fikir dia mahu ke kahwin dengan kau?” balas Farah.
Dia
sengaja mengusik anak muda itu yang serta-merta membeliakkan mata.
“Apa?
Kau fikir aku ni tak handsome ke? Helo Cik Fatin Farahana. Aku ni
tersenarai dalam carta lelaki rebutan ramai gadis tau,” balas Faizam sambil
tersenyum.
“Huh,
nak termuntah aku dengar,” balas Farah, pura-pura berasa mual.
Dia
memandang sekilas Faizam yang menghambur tawa semula.
“Eh
Zam. Agak-agak kaulah, aku ni sesuai untuk lelaki yang macam mana ya? Kau rasa
ada ke lelaki yang nakkan aku?” soal Farah tiba-tiba.
“Kau?”
Faizam
mengangkat kening sambil tersenyum nakal.
“Kalau
untuk kau Farah, ada aje. Tak payah cari jauh-jauh, jodoh kau tu dah ada pun
depan mata. Cuma tunggu masa yang sesuai aje nak kahwinkan kau orang berdua,”
ujar Faizam.
Senyumannya
melebar apabila terpandang mata Farah sudah membulat. Sedikit terkejut
bercampur teruja dengan kata-katanya.
“Iya
ke Zam? Betul jodoh aku dah ada depan mata aku? Siapa dia?”
Terburu-buru
Farah menyoal. Lurus bendul.
“Ala,
siapa lagi kalau bukan cucu lelaki kesayangan atuk dan nenek kau tulah.”
Faizam
tersengih lebar. Keningnya dijongket lagi.
“Maksud
kau?”
Melihat
sengihan itu Farah telah dapat mengagak gerangan orang yang dimaksudkan kerana
sejak kecil dia telah sering diusik dengan nama itu.
“Kau
ni Farah, tak tahu ke atau buat-buat tak tahu? Nanti kalau aku sebut kau marah
pulak. Yalah, kau kan cepat cemburu dengan dia,” ujar Faizam lalu tertawa
kecil.
“Apasal
pula aku nak cemburu?” marah Farah lalu terus menjegil mata.
“Bila
aku sebut kau marah. Nak kau jugak yang sebut namanya dulu. Nanti kalau aku
salah sebut pasal dia, kau jugak yang beria-ia nak backing dia.
Mentang-mentanglah dia tu sepupu kau.”
Faizam
masih tersengih lebar.
“Kau
ni kan Zam, kalau aku tumbuk muka kau jadi belacan baru kau tahu kut dunia ni
bulat ke empat segi!” marah Farah sambil mengepal penumbuk.
“Baik
kau cakap terus-terang. Siapa yang kau maksudkan tu hah?” soal Farah lagi.
Biarpun
telah dapat menjangka gerangan manusia yang dikatakan Faizam namun dia tetap
mahukan kepastian.
Faizam
pula semakin galak menghamburkan tawanya.
“Okey,
okey aku beritahu kau,” ujar Faizam lalu mengangkat kedua-dua tangan.
Tanda
menyerah apabila dilihat Farah benar-benar mahu melayangkan penumbuk. Dia
sedar. Tidak sepatutnya mereka bersentuhan kulit biarpun tanpa sengaja. Satu
keadaan yang begitu dijaganya sebaik melangkah ke alam remaja. Sekaligus
menjauhi fitnah yang sejak dulu telah melingkari kedua-duanya.
“Kau
betul-betul tak tahu ke siapa calon suami kau tu?” soal Faizam lagi.
Geli
hatinya melihat sikap Farah yang sesekali masih keanak-anakan dan tidak matang.
Dia sendiri hakikatnya masih bersikap serupa walaupun jarang-jarang dipamerkan.
Wajah serius Farah yang tidak lagi mengacukan penumbuk kembali ditatap.
“Siapa?”
soal Farah garang.
“Ala,
anak Pak Ngah kau, si Johan tulah. Siapa lagi,” ujar Faizam lalu tertawa semula.
Serentak
itu Farah kembali mencubit lengan Faizam. Anak muda itu terjerit sakit namun
dia masih mahu mengusik gadis itu.
“Tulah,
aku dah kata. Aku sebut aje nama dia, pasti kau marah. Apalah kau ni Farah.
Sikit-sikit marah. Cengeng betullah kau ni.”
“Mahu
aku tak marah. Kau tu, selalu sangat padankan aku dengan orang yang aku tak
suka. Punya banyak manusia dalam dunia ni, dia jugak yang kau sebut. Buat aku
berangin aje.”
Buat
sekian kali wajah ceria Faizam menjadi mangsa jelingannya.
“Apa
boleh buat Farah. Hanya dia aje yang aku rasa layak jadi suami kau.
Dahlah handsome, bersopan santun dan paling penting, sepupu kau tu
penyabar orangnya tahu. Padanlah dengan kau yang cepat melenting tu.”
“Huh,
tak sukalah aku dengan dia. Walau apa sekalipun aku tak nak kahwin dengan dia.
Berlambak lagi lelaki yang boleh aku pilih jadi suami aku.”
Panjang
saja muncung Farah dijuih saat menyuarakan kata-kata itu. Dia merengus lagi.
“Eleh,
sekarang ni memanglah kau tak nak kat dia. Esok-esok lepas kahwin, naklah kau.
Lebih-lebih lagi bila dah ada anak. Silap hari bulan dia ke toilet pun
kau ikut masuk sekali,” usik Faizam lalu tertawa lagi.
Lantas
mengundang kemarahan Farah yang sejak tadi mendidih tinggi.
“Eii...
kau ni Zam, memang dah puas hidup dalam dunia ni agaknya. Mari sini aku bunuh
kau. Biar kau tidur dalam kubur tu awal-awal. Tak payah hidup dalam dunia ni
lagi kalau tahu nak sakitkan hati aku aje. Sini kau Zam!” jerit Farah.
Dia
segera bangkit mengejar Faizam yang terlebih dulu bangun. Lelaki itu
berlari-lari di tanah lapang di permukaan bukit itu. Mengelak daripada Farah
yang sudah seperti orang gila. Terus-terusan mengejar sambil menjerit nyaring.
Memarahi anak muda itu berulang-ulang kali. Sedang Faizam tidak sudah-sudah
ketawa mengekek.
Mereka
tidak mempedulikan Irwan Putra yang menepuk dahi perlahan sambil
menggeleng-geleng kecil. Ada senyuman terlukis di bibirnya melihat tingkah laku
keanak-anakan Farah dan Faizam yang sejak kecil telah sering dilihat. Sama-sama
tercuit hati dengan keadaan itu.
http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-15-ketika-hati-bercinta.html