MP 29

TUBUH tegap milik si jejaka Itali ini, aku imbas lama dari belakang sofa. Syukur keadaannya semakin membaik. Luka dan lebam semakin lama semakin pulih. Itu pun, boleh cari gaduh dengan dia setiap kali nak tukar balutan dengan sapu krim. Dia sibuk cakap tak perlu. Nanti baiklah tu. Banyaklah dia punya baik. Dia fikir badan dia tu macam Hulk agaknya. Boleh sembuh terus macam tu. Banyak cekadak dia!

"Jangan skan lama-lama. Nanti kau angau tengok aku, Ju. Kau ingat aku tak nampak daripada cermin ke, yang kau tenung aku?" 

GulpUish! Tiba-tiba terasa kelat pula nak telan air liur aku ni. Macam manalah boleh kantoi dengan mamat ni. Tajam sungguh penglihatan dia. Kalah helang!

"Eh, perasannya. Mana ada! Ju... Ju tengah termenung." 

Aku nampak yang Rery sedang tersenyum senget ke arah aku. Pergh! Dia smirk dekat aku, weh! Kau rasa apa yang aku rasa sekarang ni? Wah, wah! Bukan main berlagak dia sekarang sejak dah baik ni. Kuasa berlagak dia lain macam.

"Dahlah. Tak payah nak smirk sangat. Fikir handsome ke?" 

"Aku memang handsome pun. Kalau tak, tak adanya kau suka usap pipi aku waktu aku tengah tidur."

Okey. Aku kalah dengan mamat Itali ni. Dia sajalah yang menang. Aku jawab. Ada saja jawapan dia yang memang tersedia ada dalam kepala otak. Memang semua mamat Itali otak dia cerdik pandai, ya?

"Poyo." Ambil kau! Setepek aku bagi. Haa... aku tengah geram ni.

"Yoyo?" 

"Pfft..." Aku menahan tawa. Aku cakap poyo. Dia cakap yoyo. Apa masalah lah mamat ni? Kalau Eusoff dengan Noah dengar pun, ketawa dua orang budak tu.

"Poyolah!" 

Rery menganggukkan kepalanya. "Poyo tu apa?" 

"Hahaha!" Aku tertawa besar. Opss! Terlepas pula. Maafkan seorang gadis bernama Juliana Adra.

"Ju, kenapa gelakkan aku?" 

"Tak adalah. Ju ingatkan abang tahu maksud poyo. Rasanya dulu Ju ada cakap yang abang ni poyo. Mungkin abang lupa. Al maklumlah dah berusia."

Rery memusingkan tubuhnya menghadap aku dengan riak wajahnya yang dingin seperti biasa. Aku tak takut pun. Memang dah biasa hadap muka dia macam tu. Dah memang semula jadi. Nak buat macam mana?

"Apa?" soal aku sambil kening kanan ternaik sebelah.

"Bukan main kutuk aku ya, Ju. Suka dia kenakan aku, mentang-mentang aku ni lagi tua daripada dia. Fikir dia tu sentiasa muda." 

"Eh, eh... betullah. Dahlah abang ni. Pagi-pagi dah nak cari pasal. Ni Ju nak tanya, bila nak bawa Ju pergi jumpa datuk?" 

Rery terdiam seketika. Mungkin sedang berfikir. Aku baru perasan yang Eusoff dengan Noah belum bangun lagi jam sebegini. Biasanya dah bangun. Ni mesti penangan bermain dengan Rery sampai tak ingat jam dah pukul berapa. Tidur lambatlah ni. Haish!

"Hari ini pun boleh. Bawa dua orang budak tu sekali. Dia orang pun pewaris harta Princeslon. Tapi, aku takut datuk tak boleh terima salah seorang di antara mereka. Sebab..."

Aku terdiam. Rery pun tak sambung ayat dia. Dia biarkan tergantung macam tu saja. Kenapa pula datuk nak pilih-pilih kasih? Budak-budak tu tak salah apa-apa pun.

"Apa pun yang terjadi, dia orang berdua tetap anak Ju. Ju akan pertahankan walau macam mana sekalipun. Lagipun, Noah dengan Eusoff anak buah abang. Abang sanggup ke biarkan dia orang diapa-apakan?"

Laju saja Rery menggelengkan kepalanya. Perlahan dia mendongak ke arah aku. Kami saling bertatapan buat beberapa saat. Dia guna aura apa pun aku tak tahu. Bila dia pandang aku, secara spontan aku akan balas pandangan dia. Haih...

"Aku akan lindungi kau dengan dia orang walau apa pun yang berlaku. Jangan risau. Kalau datuk apa-apakan mereka, aku akan jadi perisai kau, Ju. Tu janji aku sejak 20 tahun yang lalu. Dan aku akan tunggu kau untuk bagi aku jawapan untuk soalan aku hari tu." Rery mengangkat punggungnya lalu melangkah masuk ke dalam bilik. Selamba saja meninggalkan aku seorang diri di kerusi meja makan ini.

Soalan dia hari tu? Yang aku kena bertanggungjawab atas perasaan dia? Maksudnya aku kena kahwin dengan dia? Kalau aku setuju pun, status aku masih belum berubah lagi. Aku ni masih lagi isteri kepada Ivander. Harap kau dapat bersabarlah, Encik Abang.

AKU merenung ke arah sebuah rumah agam yang bagaikan istana. Luasnya lebih kurang seperti stadium bola. Siapalah yang bersihkan rumah ni? Jaga rumah ni? Fuh! Menguji fizikal dan mental. Aku tengok dari jauh tadi, fikirkan muzium lama Itali. Rupanya rumah keturunan keluarga Handerville sejak abad ke berapa pun aku tak tahu! Rasa macam mimpi pula.

"Mama... dekat sini ada mainan tak?" tanya Eusoff yang berada di dukungan Rery. 

"Mama... c'e un gioco qui? (Mama, di sini ada permainan?)" soal Noah dengan sedikit pelat.

"Niete giochi. Non essere cattivo. (Tak ada permainan. Jangan nakal.)" Serius sungguh Rery menjawab soalan anak-anak aku. Sampai terkedu dua orang budak tu. Kasihan pula nak main. Biasalah budak-budak, kan?

"Tak apa. Nanti mama bawa pergi taman, okey? Sekarang ni teman mama selesaikan masalah mama sekejap. Boleh?" 

Kedua-duanya serentak menganggukkan kepala. Nasib baiklah, dia orang berdua ni jenis mendengar kata. Tak pernah lagi meragam sampai meraung-raung. Fuh...

Ding! Dong!

Aku tersentak. Bunyi loceng dia sebiji bunyi loceng zaman lama. Memang tak nak tukar gaya moden sekarang ke macam mana ni? Ya Allah, seram. 

"Ikut aku. Jangan mengada nak merayau sana sini." Rery mengenggam tangan aku. Aku hanya akur. Betul juga cakap dia. Kalau aku merayau, sah ni aku sesat tujuh hari tujuh malam. Berlaparlah aku gamaknya nanti. Perlahan aku membetulkan dukungan Noah.

"Oh, Rery a quanto pare! (Oh, Rery rupanya!)" sapa seorang pak cik yang rambutnya sudah beruban putih sepenuhnya sebaik saja pintu dibuka olehnya. 

Aku mengerling ke arah Rery. Dia hanya tersenyum segaris kepada pak cik itu sekali gus kepalanya dijatuhkan sekali. Serius sangat!

"Voglio incontrate mio nonno. (Saya nak berjumpa dengan datuk)," ujar Rery sambil anak matanya meliar melihat suasana dalam rumah. 

Pak cik itu sekadar menganggukkan kepalanya. Dia berganjak sedikit ke tepi untuk memberi ruang kepada kami masuk ke dalam rumah. Fuh! Terpanggung kepala aku melihat suasana dalam rumah. Sangat klasik dan unik. Eusoff dan Noah pun dah ikut macam aku. Kepala tak duduk diam melihat hiasan dalaman rumah.

"Prima siediti. Ho chiamato il signor Benjamin per un momento. (Duduklah dulu. Saya panggilkan Tuan Benjamin sekejap.)"

Rery sekadar menganggukkan kepala sebelum dia melabuhkan punggung di atas sofa yang begitu antik sekali reka bentuknya. Aku pun teragak-agak mahu duduk atas sofa tu. Tapi, tak akan aku nak jadi tunggul berdiri macam tu. Letih kaki aku. Nak tak nak, kenalah duduk. Noah pula, aku dudukkan di atas riba. Eusoff perlahan beralih duduk di sebelah aku. Tidak mahu lama-lama duduk bersama Rery. Tak selesalah tu. Dah biasa dengan aku.

"Rery?" 

"Nekma." Rery mengangkat punggungnya lalu bersalaman dengan seorang wanita yang sudah berusia. Rambutnya sudah beruban sepenuhnya dan kulit wajahnya sudah berkedut.

"Siapa?" 

Rery menoleh ke arah aku sebelum kembali memandang ke arah wanita tua itu. 

"Juliana Adra Handerville, nekma. Dialah yang Rery cari selama 20 tahun ni." 

Wanita itu kelihatan terkejut. Sangat terkejut. Lama dia merenung aku sambil kakinya teragak-agak mahu melangkah ke arah aku. Kerana masih ada perasan hormat, aku meletakkan Noah di sebelah Eusoff kemudian bangkit berdiri, menghampiri wanita tua itu.

"Adra! Finally, Adra you're home! Nekma tahu yang Adra masih lagi hidup. Firasat nekma dengan tokpa memang kuat." Tubuh aku dipeluk erat. Sangat erat. Teragak-agak aku mahu membalas pelukannya. Aku terharu. Hati aku tersentuh.

"Adra? Juliana Adra Handerville? Our granddaughter?" Satu suara garau membuatkan aku mendongak ke atas. Dia sedang berdiri di tengah-tengah anak tangga sambil merenung aku lama. 

"Abang! Turunlah. Apa yang awak tercegat dekat situ? Cucu awak dah balik!" marah nekma membuatkan aku terasa geli hati.

Terkocoh-kocoh tokpa menuruni anak tangga sehingga anak tangga yang terakhir. Terus dia mendakap tubuh aku dan nekma sekali gus.

"Cucu aku dah balik!" sorak tokpa dengan nada sebak.

Aku mengerling ke arah Rery dengan air mata sudah bergenangan. Rery tersenyum kecil sambil menganggukkan kepalanya sekali.

"Nekma, tokpa maafkan Adra sebab lambat datang. Buat nekma dengan tokpa susah hati." Serius. Aku terkejut yang dia orang ni fasih dalam Bahasa Melayu. Ni mesti arwah mama ajar semua ahli keluarga papa. Ya Allah, besar jasa mama.

"Dulu Rery banyak bagi kami info tentang seorang gadis bernama Aara Malika sebelum dua tahun dia menghilang macam tu aje. Penat tokpa cari dia. Siap kau nanti, Rery." 

Aku tertawa kecil. Nekma juga tertawa. Rery hanya beriak biasa. Mungkin dah biasa kena lanyak dengan tokpa.

"Ni siapa dua orang yang comel ni?" ramah tokpa sambil menuding jari ke arah Eusoff dan Noah.

"Inilah antara sebabnya Rery datang ke sini. Ada banyak cerita yang Rery nak ceritakan kepada nekma dan tokpa. Rery harap nekma dengan tokpa dah bersedialah." 

Nekma dan tokpa saling berpandangan antara satu sama lain sebelum mereka melabuhkan duduk di atas sofa bertentangan dengan kami. Aku menyuruh Eusoff dan Noah duduk bersama dengan moyang mereka. Aku pula yang gementar bila tengok riak wajah Rery yang agak serius. Double serious. Sepanjang perbincangan, aku hanya selit sikit-sikit saja. Selebihnya semua Rery yang cerita. 

"Berat. Sangat berat. Adamo pun masih tak berputus asa untuk hapuskan tokpa dengan nekma. Kami dah banyak kali kena serang dengan anak-anak buah dia." 

Aku terdiam. Begitu sekali sikap Adamo yang tamak. Dasar manusia tak guna! Tak cukup kau dah porak-perandakan hidup aku. Bunuh ahli keluarga kau. Nekma dengan tokpa pun kau nak bunuh? Langkah mayat aku dululah! Aku tak akan senang-senang mengalah dan biarkan saja orang yang aku sayang mati di tangannya lagi. Cukuplah arwah papa dengan mama. Aku tak nak dia orang mati disebabkan aku. Kau nak harta sangat, kan? Datang dan jumpa aku secara berdepan Adamo. Aku nak sangat tengok muka kau yang gilakan harta tu merayu dekat aku untuk bolot semua harta atas nama aku!


Previous: MP 28
Next: MP 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.