MP 40

AKU dan Rery menunggu di ruang tamu, rumah peguam keluarga kami. Boleh tahan mewah juga rumahnya. Tak jauh dari situ, aku ternampak anak-anak kecil sedang bermain di dalam indoor playground. Mungkin itu cucu-cucunya. Ramai juga. Semuanya comel-comel belaka. Teringat pula dekat Noah dengan Eusoff di rumah. Melina yang menjaga mereka sementara aku dan Rery mahu menyelesaikan wasiat harta keluarga kami.

"Maafkan saya, menunggu lama. Ini dia fail-fail yang ditinggalkan oleh arwah Tuan Jonathan." Fail-fail yang berada di tangan Encik Muhamed aku ambil lalu merapatkan tubuhku ke bahu Rery. 

"Jadinya, semua harta keturunan keluarga Handerville akan diberikan sepenuhnya kepada Juliana Adra. Manakala, untuk keturunan keluarga Princeslon akan diberikan sepenuhnya kepada Rery El-Sharif. Turunkan tanda tangan dekat sini." Encik Muhamed memberikan dua batang pen kepada kami berdua. 

Aku memandang Rery yang sedang menurunkan tanda tangannya. Tak lama lagi, giliran aku pula mahu menurunkan tanda tangan. Berdebar pula rasanya. Agak-agaknya lepas semua ini selesai, bolehkah aku dan Rery hidup bahagia seperti pasangan lain? Tiada lagi konflik dalam kehidupan kami...

"Alhamdullilah. Baiklah, tuan dengan puan dah turunkan tanda tangan untuk wasiat ini. Jadinya, serta-merta harta itu milik tuan dan puan. Tuan dan puan boleh bahagikanlah kepada sesiapa yang tuan dan puan rasa layak untuk menerima harta ini. Sediakan satu surat yang mempunyai nama-nama penerima harta tersebut kemudian boleh e-mel kepada saya. Saya akan uruskan bagi pihak tuan dan puan."

Rery menjatuhkan kepalanya beberapa kali diikuti oleh aku. 

"Kalau saya nak serahkan separuh harta saya ni kepada pusat kebajikan anak-anak yatim. Boleh, kan?" soal aku.

Encik Muhamed tersenyum lebar lalu menganggukkan kepalanya. "Alhamdullilah, puan. Sebenarnya, permintaan puan tadi sama seperti arwah Tuan Jonathan. Arwah pernah berharap agar satu hari nanti, puan akan menguruskan harta-harta ini ke jalan yang baik. Banyakkan amal jariah. Boleh saja, puan. Tak ada masalah. Saya ada banyak senarai pusat kebajikan yang pernah arwah dermakan suatu ketika dulu." 

"Arwah papa pernah derma dekat sini? Maksud saya, arwah papa memang selalu berhubung dengan negara Malaysia ke? Saya ingatkan arwah dekat sana saja. Banyak juga persoalan saya yang masih belum terjawab. Kenapa syarikat keturunan saya dengan suami saya, ada ditubuhkan di sini?" soal aku kepadanya. Memang aku perasan, keturunan keluarga aku dengan Rery banyak berhubung kait dengan Malaysia. 

Encik Muhamed menganggukkan kepalanya. "Princeville Holdings memang ada di Itali dan juga Malaysia. Cumanya, di Malaysia. Princeville Holdings baru saja ditubuhkan seminggu sebelum pemergiannya. Masa tu memang dalam pembinaan lagi. Dan, saya sendiri yang uruskan syarikat ini sebelum kedatangan Tuan Rery dan Tuan Rae. Begitu juga dengan Davinson Holdings. Arwah yang bukakan Davinson Holdings untuk anak tirinya, Julian dan juga arwah Jessica. Dua-dua bangunan itu masih dalam pembinaan tanpa sempat dia melihatnya." 

Aku menganggukkan kepala. Mulianya hati arwah papa. Walaupun abang dengan arwah kakak aku bukan anak kandungnya. Tiada langsung pertalian darah. Dia tetap melayani mereka seperti anak sendiri. Patut pun Julian sangat sayangkan keluarga aku. Cuma arwahJessica sajalah yang tak boleh nak terima hakikat.

"Encik tahu tak? Macam mana arwah papa saya boleh terfikir Malaysia untuk membuka cawangan Princeville yang seterusnya?" Manalah tahu dia boleh berikan aku jawapan untuk soalan aku yang ni. Walaupun aku rasa, soalan aku ni macam semuanya Encik Muhamed ni tahu.

"Satu saja sebabnya. Permintaan arwah mama puan sendiri. Puan tahukan arwah mama puan merupakan anak kelahiran jati Malaysia yang menuntut pengajian di Itali. Titik pertemuan arwah papa dan mama puan bermula di situ. Jadinya, arwah Tuan Jonathan mempelajari semuanya tentang arwah Puan Humairah. Sebab itulah, boleh dikatakan seluruh ahli keluarga puan fasih bercakap Melayu. Kerana mereka mempelajari semuanya daripada Puan Humairah sendiri. Boleh dikatakan juga, Puan Humairah lah yang banyak mengajar mereka tentang negara kelahirannya." Panjang lebar jawapan yang diberikan oleh Encik Muhamed. Sangat memuaskan hati aku. Aku tak sangka, arwah mama mampu mengajar mereka semua ni.

"Dan, ada sebab juga semua ini terjadi di sini. Arwah Puan Humairah pernah beritahu saya tanpa pengetahuan arwah Tuan Jonathan. Tak silap saya, masa tu sebulan sebelum mereka terlibat dalam kemalangan. Arwah ada beritahu saya yang dia rasa tak sedap sejak-sejak itu. Jadi, dia minta saya jaga-jaga sekiranya ada apa-apa terjadi kepada puan." 

Aku terdiam seketika. "Encik tahu... macam mana saya boleh tercampak ke sini sewaktu kemalangan tu?" Entah kenapa, hati aku dihurung dengan perasaan sebak sewaktu aku mengajukan soalan tersebut. Tanpa sedar, aku menggenggam tangan Rery. Cuba meminta kekuatan daripadanya. 

Encik Muhamed menganggukkan kepala. "Saya tahu, puan. Sebelum saya ceritakan kepada puan, saya minta maaf banyak-banyak. Dari hujung rambut sampai hujung kaki."

Aku hanya tersenyum kecil. "Tak apa, encik. Saya dah maafkan semua orang. Encik tak ada salah apa-apa pun. Encik dah banyak berjasa dengan keluarga kami." Aku memandang Rery dengan senyuman kecil masih kekal pada bibir. 

Rery membalas senyumanku sambil menganggukkan kepalanya sekali.

"Sebelum kemalangan itu berlaku pada waktu malam, pagi tu arwah Puan Humairah dan Tuan Jonathan ada membuat panggilan video dengan saya. Puan pun masa tu ada. Masih kecil. Ketawa suka sambil memeluk leher kedua-dua arwah." Permulaan cerita Encik Muhamed membuatkan dada aku semakin ketat. Sumpah, masa ni. Aku rasa... rasa rindu sangat dekat papa dengan mama.

"Arwah Tuan ada banyak berpesan pada saya untuk pantaukan kedua-dua syarikat yang sedang dalam pembinaan. Dan waktu tu, dia cakap. Dia akan berikan saya bonus awal. Saya masa tu pun agak terkejut juga. Mudah kata, kelakuan arwah tuan dan puan ketika itu agak berlainan pada saya. Mereka terlalu gembira. Sepertinya kegembiraan mereka itu adalah kali terakhir."

Kali ni, aku tak mampu nak menahan air mataku lagi. Sungguh menyesakkan dadaku. Rery memaut bahuku rapat ke tubuhnya. Perlahan dia mengusap bahuku seolah-olah mahu menenangkan aku.

"Sebelum mengakhiri perbualan kami, arwah puan ada pesan supaya saya tengok-tengokkan puan nanti. Masa tu saya dah semakin pelik, macam mana saya nak tengokkan puan yang jauh daripada saya. Tapi, demi menjaga hati mereka. Saya iyakan saya. Rupanya, malam tu mereka terlibat dalam kemalangan yang sangat tragis. Jantung saya masa tu memang nak gugur bila terima berita tentang mereka. Saya seperti cacing kepanasan masa tu. Fikirkan keadaan mereka. Terutamanya puan. Sebab masa tu, mereka maklumkan pada saya yang mereka tak menemui puan."

Aku menganggukkan kepala perlahan. Air mata aku menitis semakin lama semakin deras ke pipi. Sedih bila dengar cerita yang sebenar walaupun aku tak ingat waktu kejadian itu. 

"Saya suruh anak-anak buah saya yang bekerja dekat sana, turun ke tempat kejadian dan cari puan. Tapi, tak jumpa juga. Dalam dua hari selepas itu, saya menerima panggilan daripada anak sulung saya yang bekerja di lapangan terbangan, dia dapat kesan nama Adamo dan juga nama puan ketika itu hendak terbang ke Malaysia. Saya dengan isteri saya terus pecut ke KLIA untuk rampas puan daripada dia. Walaupun Adamo merupakan sahabat baik tuan, saya tetap tak berminat dengan dia. Hati saya kuat yang dia bukan daripada orang yang baik-baik."

"Jadi, lepas tu kenapa encik tak ambil saya?" soal aku ingin tahu. Tak sabar. Berdebar-debar. Semuanya bercampur-baur.

"Saya terlambat. Waktu tu kesesakan jalan raya. Saya sampai saja, saya nampak Adamo menyerahkan puan kepada seorang lelaki yang ketika itu mungkin seusia dengan saya. Saya tak mengalah. Saya siasat latar belakang lelaki itu sehingga dapat. Sampailah satu masa, saya diugut untuk tidak mencari puan dan tak boleh beritahu sesiapa pun tentang kewujudan puan di sini. Kalau tidak, dia akan suruh lelaki itu bunuh puan. Saya menjadi serba-salah. Jadinya, saya hanya pantau puan dari jauh. Dan, saya tak sangka yang puan bekerja di rumah agam milik arwah Puan Humairah yang dihadiahkan oleh arwah Tuan."

Aku terdiam seribu bahasa. Sungguh kejam Adamo. Disebabkan harta, dia bertindak agresif seperti ini. Akhirnya dia meninggal dunia, tanpa sempat berbuat apa-apa. Ya Allah...

"Terima kasih, encik. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa encik." Aku menyeka air mataku perlahan. Encik Muhamed sekeluarga sanggup bersusah-payah demi aku. Hampir saja nyawa mereka menjadi taruhan Adamo sekiranya mereka berani mencari aku. Atau, memberitahu kewujudan aku kepada sesiapa.

"Tak apa, puan. Saya bersyukur saya dapat juga laksanakan amanah arwah. Saya doakan puan dan tuan bahagia sehingga ke akhirnya. Dan, saya harap juga tuan tak marahkan saya disebabkan saya merahsiakan hal ini kepada tuan." 

Rery menggelengkan kepalanya. "Saya faham. Semua nak melindungi Juliana Adra, isteri saya. Dan sekarang ni, giliran saya melindungi dia sepenuh jiwa saya." 

Encik Muhamed tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. "Hati tuan memang sangat baik sejak dulu lagi. Memang patut pun, arwah tuan dan puan sangat menyayangi tuan." 

Aku memandang ke arah Rery. Kembanglah tu kena puji. "Arwah mama dengan papa saya, sayangkan dia?" Sengaja aku menyoal. Nampak tak yang aku dengki?

"Ya, puan. Sebelum puan lahir, arwah banyak bercakap pasal tuan dan juga Tuan Julian. Katanya, dia dah anggap mereka seperti anaknya sendiri." 

Aku menganggukkan kepalaku. 

"Oh ya, puan. Saya lupa yang ada lagi satu amanah yang saya nak sampaikan pada puan. Tapi, dalam bentuk video. Saya kirimkan video-video tu dekat Telegram puan boleh ke?" 

Laju aku menganggukkan kepala sambil tersenyum lebar. Video apalah yang Encik Muhamed nak bagi dekat aku? Tak sabar rasanya. Aku harap sangat video arwah mama dengan papa bersama dengan aku sewaktu kecil dulu. "Boleh sangat, encik. Tak ada masalah."

"Saya tunggu anak bongsu saya balik. Sebab video tu kena pindahkan ke satu fail yang membenarkan puan untuk menontonnya. Nanti dah siap dipindahkan, saya akan berikan video-video tu dekat Telegram puan."

"Terima kasih, encik."

"Sama-sama, puan." Encik Muhamed tersenyum.

Tak sabar rasanya nak tengok video tu nanti! Ya Allah, bolehlah aku lepaskan rindu dekat mereka. Terima kasih, Ya Allah. 


Previous: MP 39
Next: MP 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.