MP 36

"TAK akan kita nak tinggalkan Rery macam tu je. Adra tak nak. Kita tunggu dalam beberapa hari lagi, ya. Adra mohon sangat dekat abang...," ujar aku sambil melutut di hadapan Julian. Kakinya aku peluk rapat ke dada. Aku tak nak balik Malaysia tanpa Rery bersama kami semua.

"Adra, kita dah janjikan yang kita akan balik Malaysia bersama. Benda ni berlaku secara tak dijangka. Abang dah tempah semuanya siap dan ini juga perancangan daripada Rery sendiri. Rery pesan apa dekat Adra? Dia suruh Adra balik dulu ke Malaysia. Adra tak selamat dekat sini. Musuh kita ramai, Adra. Dia orang tak akan cari kita sampai ke Malaysia. Please, jangan macam ni. Abang perlukan kekuatan Adra..." Julian menarik aku ke dalam dakapannya. Erat sekali pelukannya. Aku menghamburkan tangisanku teresak-esak tanpa peduli orang di sekeliling aku.

"Chen... Chen awak boleh tolong saya, kan? Cari Rery. Kalau awak jumpa dia, beritahu saya. Saya merayu sangat dengan awak." Aku meleraikan pelukan Julian lalu mendekati Chen yang sedang berdiri di belakang Julian.

"Adra, jangan macam ni. Abang dah suruh Chen cari. Nanti apa-apa dia akan maklumkan pada abang. Sekarang ni, Adra pergi naik atas kemas barang dan pakaian Adra. Kita kena balik Malaysia malam ni. Jangan sedih-sedih lagi. Abang ada. Adra tak keseorangan. Melina ada. Rae ada. Noah dengan Eusoff pun ada. Noah perlukan Adra. Jangan lemah semangat macam ni. Jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah dekat arwah nekma dengan tokpa, ya?" 

Aku menganggukkan kepala dengan lemahnya. Aku tiba-tiba rasa tak kuat. Balik saja dari perkuburan, badan aku menjadi sakit-sakit. Tak bermaya. Fikiran aku menerewang memikirkan Rery. Di mana dia sekarang? Sudah tiga hari berlalu selepas kejadian itu. Rery masih lagi belum pulang ke pangkuan aku. Abang dekat mana...

"Mama...," panggil Noah sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam bilik. 

"Ya, sayang. Sayang mama buat apa ni dengan abang?" 

"Mayen puzzle. Mama shini..." Noah menepuk-nepuk tilam di sebelahnya.

Aku menganggukkan kepala lalu meniarap di sebelah Noah sambil memerhatikan mereka berdua bermain puzzle. "Sayang-sayang, mama..." Rambut mereka yang terjuntai ke depan, aku selakkan ke belakang seraya tersenyum kecil.

"Noah dengan Eusoff jangan tinggalkan mama, ya? Can you promise me?" ujar aku sambil mengusap lembut belakang Noah.

Serentak Noah dan Eusoff menganggukkan kepala mereka. Bersungguh-sungguh. Tak lama itu, Noah memeluk tubuh aku diikuti dengan Eusoff. 

"I love you, mama..." 

"Amo la mama... (Saya sayang mama)," ucap Eusoff.

"I love you both of you very much." Aku membalas pelukan mereka erat. Dada aku terasa ketat. Perasaan sebak kembali menguasai diri aku. Aku rindukan Abang Ayif aku. Dia dah janji yang dia akan balik semula. Tapi... bila?

"Ju..." 

Aku terus menoleh ke arah pintu bilik. Aku sangkakan Rery sudah balik, rupanya bukan. Rae yang memanggil aku. Suara dia memang sebiji macam Rery. Cumanya Rery lebih garau dan besar. 

"Ya?" 

"Kau dah siap kemas ke?" 

Perlahan aku menggelengkan kepala. Aku langsung tak ada mood nak mengemas semua ni. Sudahlah malam ni juga nak bergerak. 

"Kalau belum, aku tolong kemaskan...," ujar Rae sambil menolak pintu almari aku secara menggelongsor. 

"Hmm...," jawab aku endah tak endah. Baru saja hendak merebahkan kepala di atas bantal. Tiba-tiba saja aku teringatkan sesuatu. 

"Stop!" jerit aku sambil melompat dari katil lalu berlari mendapatkan Rae yang sudah membelek-belek pakaian aku. Bahaya kalau dia nampak pakaian kecil aku yang comel-comel tu. Tak tenang hidup aku, tujuh hari tujuh malam. Malu!

"Huh?" 

Saat Rae memusingkan tubuhnya ke belakang, ketika itu juga aku tak dapat nak seimbangkan tubuh aku lalu aku jatuh menghempap dirinya ke atas lantai. Aku menahan kedua-dua telapak tanganku pada lantai supaya tubuhku tidak melekat pada tubuhnya. Fuh!

"Kau okey tak?" soal Rae dengan nada bersahaja. Reaksi dia tenang saja sewaktu aku tertindih tubuhnya. Macam tak ada perasaan saja. 

"Err... ya...," jawab aku dengan nada perlahan. Cepat-cepat aku mengangkat tubuhku lalu menyelitkan rambutku yang terjuntai ke belakang telinga. Nak tutup malu punya pasal, laju saja tindakan aku mengeluarkan semua pakaian aku yang berada di dalam almari lalu diletakkan di atas katil. Noah dan Eusoff hanya memerhatikan aku sahaja. Nasib baiklah dia orang tak banyak tanya. Jenuh aku nak menjawabnya nanti.

"Kau malu ke?" soal Rae sebaik saja dia berdiri lalu bersandar pada pintu almari aku.

"Mana ada. Dah sanalah. Tak payah nak baik sangat tolong saya. Buat kerja awak. Barang awak tu dah siap kemas belum?"

"Aku dah lama siap kemas. Kau tu je. Tak siap-siap. Tu aku nak tolong. Kau tahukan malam ni nak terbang?" 

Aku sekadar menganggukkan kepala sambil tangan ligat melipat pakaian aku lalu dimasukkan ke dalam bagasi. Memang taklah aku nak tunjuk muka aku yang berkemungkinan besar tengah merah padam disebabkan kejadian tadi. Jantung aku pula daripada tadi tak berhenti berdegup kencang. Aksi tadi memang memalukan!

"Awak keluarlah. Tak selesalah saya nak kemas. Dok tenung saya macam tu. Macam saya ada hutang je. Apa awak nak?" soal aku. Daripada tadi dok merenung aku aje sambil menyandar macam tu. Fikir dia Rery ke? Nak menggoda aku dengan gaya macam tu. Sorry la. Langsung tak mencuit hati aku.

"Aku nak perhatikan kau. Tak boleh ke? Abang aku suruh aku jaga kau. Jadinya, aku kenalah pantau kau. Kut-kut apa-apa yang terjadi. Aku ada di samping kau."

Aku mencebik. Dah terlambatlah. Ayat tu langsung tak buat aku terharu. Dulu dialah yang terlalu pandang serong dekat aku. Hina aku. Jatuhkan semangat aku. Sekarang dia dah kenal siapa sebenarnya aku, barulah nak rapat dengan aku. Sorry to say.

"Saya rasa awak betulkan niat awak tulah. Dulu bukan awak tak suka saya? Benci saya. Disebabkan saya ni kan lemah. Lembik. Kalau awak nak jaga disebabkan awak dah kenal siapa saya ni. Baik batalkan saja niat awak tu. Saya boleh jaga diri saya sendiri. Walaupun awak dengan Rery adik-beradik kandung. Awak tak sama macam abang awak. Saya minta maaf. Silalah keluar..." Aku langsung tak berniat nak menghalau dia. Tapi, setiap kali aku tengok muka dia. Aku mesti teringat kejadian di mana dia menghina aku habis-habisan.

"Aku faham. Aku tak paksa untuk kau maafkan aku. Tapi, aku hanya ikut arahan abang aku. Sekali gus, aku nak tebus kesalahan aku dekat kau. Aku akan jaga kau walaupun kau tak suka. Aku jaga kau ikhlas. Selagi nyawa dikandung badan, aku akan melindungi kau. Itu janji aku," ujar Rae dengan nada bersahaja sebelum dia membawa langkahnya keluar dari bilik aku.

Langkah Rae aku pandang sepi. Aku terduduk di atas katil sambil menggenggam dress arwah mama rapat ke dada. Arwah nekma sempat memberikan aku beberapa helai dress kesukaan arwah mama kepada aku. Walaupun tak pernah berjumpa, hati aku kuat mengatakan yang aku rindukan kedua-dua orang tuaku yang sebenar. Kenapa aku tak dapat nak berjumpa dengan mereka walaupun hanya sekali? Aku rindu. Sangat rindu...

"Mama...," panggil Noah sambil merangkak ke arah aku.

"Ya, sayang?" Aku tersenyum sambil mendudukkan Noah di atas ribaku. Eusoff sudah pun terlena tanpa aku sedar. 

"I am sleepy, mama." Noah menggosok-gosok wajahnya. 

"Kesian anak mama. Mengantuk, ya. Noah tidur, ya. Mama nak kena kemas pakaian dengan barang. Malam ni, kita balik Malaysia. Negara kelahiran Noah sendiri. Do you like it?" 

Noah mengangguk-anggukkan kepalanya. "Nanti mama bawa main dekat sana?" soalnya.

Aku menganggukkan kepala sambil tersenyum. "Semestinya mama akan bawa Noah dengan Abang Eusoff pergi main. Okey?" 

Noah tersenyum lalu memejamkan matanya. Perlahan aku meletakkan tubuhnya bersebelahan dengan Eusoff. Punggungnya aku tepuk-tepuk lembut sambil mengusap rambutnya. Aku merenung lama wajah Noah yang sudah lena dibuai mimpi.

Mama akan lindungi Noah dengan Eusoff walau apa pun yang terjadi. Tak ada siapa yang boleh sentuh anak-anak mama tanpa keizinan mama.

Di Malaysia.

KINI, kami semua sudah berada di negara Malaysia. Seperti biasa, penginapan milik Julian akan menjadi tempat kami untuk berteduh. Kali ni, Julian bawa kami ke sebuah rumah penthouse dua tingkat yang lebih besar dan luas. Betul-betul terletak di hadapan menara KLCC. Kalau pemandangan waktu malam, semestinya cantik. 

"Jauhnya termenung...," tegur Melina sambil memaut bahuku dari sisi.

Aku hanya tersenyum kecil. Bebola mata tetap aku pakukan pada bangunan yang tinggi lagikan megah itu. Dengan lampunya yang lip-lap pada seluruh badan bangunan itu menyerlahkan suasana. Terpegun aku melihatnya.

"Biasalah, Mel. Saya fikirkan Rery. Mana dia? Dah beberapa hari, dia menghilang tanpa berita." Aku melepaskan keluhan panjang. Sudah lama aku memendam isi hati aku sejak Rery tiada bersama dengan kami.

"Awak cintakan dia?" soal Melina kepada aku.

Entah kenapa. Aku langsung tak terkejut dengan soalan Melina. Kalau aku tipu sekalipun, semestinya dia dah dapat agak melalui air muka aku. Jujur aku akui, sejak Rery meluahkan perasaannya dekat aku. Dia menceritakan, yang sudah 20 tahun dia setia menunggu aku. Hati aku terusik dengan satu perasaan. Perasaan ini kali terakhir, aku rasakan sewaktu aku bersama dengan Arif dulu. Cakap pasal Arif, aku tak tahu apa-apa pasal dia selepas dua tahun aku di Itali. Mungkin dah berbahagia dengan keluarga dia sendiri. 

"Saya cintakan dia, Mel. Saya tak boleh tipu diri saya lagi. Dah lama saya tak rasakan perasaan ini. Dah lama sangat. Saya rindukan dia. Terlalu rindu..." 

Melina tersenyum kecil sambil menganggukkan kepala. "Ya, awak jangan risau. Diakan dah janji yang dia akan kembali dekat awak. Dia sendiri beritahu pada Abang Ian. Yang dia akan mengahwini awak sebaik saja semua urusannya selesai." Melina mengusap belakang tubuhku perlahan. 

Aku memeluk tubuh Melina erat. Perlahan air mataku jatuh ke pipi. Setitik demi setitik sebelum ia mengalir deras.

"Jangan menangis. Awak kena kuat. Kan Abang Rery dah pesan pada awak. Awak kena kuat untuk Noah. He needs you." 

Perlahan aku menganggukkan kepala. Ya, aku kena kuat. Dan, aku yakin yang Rery akan balik ke pangkuan aku semula. Dia dah janji. Berani dia nak mungkir janji dengan aku. Kalau dia mungkir janji, aku tak akan maafkan dia. Dia suruh aku bertanggungjawab atas perasaan dia. Nanti aku nak kenakan dia balik. Sebab dia dah seksa perasaan aku. 

"Ya, Mel. Terima kasih sebab bagi saya semangat. Saya sayang awak, Mel." Aku meletakkan daguku pada bahunya. Erat aku memeluk tubuhnya itu. Melina saja yang sudi ada dengan aku sehingga kini. Dialah sahabat baik aku selamanya.

"Sama-sama, Adra. Kan kita dah janji dulu untuk sentiasa bersama," ujar Melina.

Aku hanya tersenyum. Anak mataku beralih ke arah dapur. Kelihatan Rae sedang bersandar pada kabinet sambil menyedut air minuman kotaknya itu. Dia sedang leka merenung ke arah aku dengan wajah kosongnya itu. Aku mengangkat kening kananku. Rae segera berdiri tegak lalu membuang kotak minuman tadi ke dalam tong sampah. Dia mengorak langkah meninggalkan dapur. Mungkin masuk ke dalam biliknya.

Sibuk saja nak perhatikan aku. Ingat dia bodyguard aku ke? Rasanya Rery suruh pantau aku saja. Tak usahlah nak bersungguh-sungguh jaga aku. Menunjuk sangat. Fikir aku touching ke? Tak adanya...

Sekali orang dah hina aku, susah aku nak percaya orang tu lagi walaupun beribu kemaafan yang dipinta.


Previous: MP 35
Next: MP 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.