DALAM kereta, mereka berdua diam sahaja.
Jeffrey yang kepenatan terpaksa lebih berhati-hati. Memandu pada waktu malam
memerlukan fokus yang lebih. Sebenarnya tidak kira siang atau malam, memang
tidak boleh lalai ketika memandu. Tambahan pula sudah ada orang yang tersayang
di sebelahnya!
Kali
ini, Jeffrey mengambil jalan lain pula. Dia mahu mengikut lebuh raya sahaja
kerana tidak mahu melalui jalan yang dia tidak biasa. Nanti tersesat entah ke
mana-mana pula. Petang tadi tidak mengapa kerana hari belum gelap lagi.
“Rumah
awak kat mana?” Jeffrey bertanya sebaik melalui tol pertama.
“La…
penyiasat persendirian awak tak beritahu ke?” sindir Juita pula.
“Saya
tak upah sesiapa pun siasat awak, semuanya saya buat sendiri. Cuma saya tak
sempat nak intip awak tinggal kat mana,” balas Jeffrey kemudian terus tertawa.
Terasa kelakar pula dengan pertanyaan Juita itu.
“Tak
lucu, okey?” tegur Juita dengan muka mencuka. Geram rasa hatinya apabila Jeffrey
bagai gelakkan dirinya.
“Sorry… tapi saya memang tak tahu awak
tinggal kat mana. Cepatlah beritahu supaya saya boleh terus ingat sampai
bila-bila.”
“Hantar
saya ke Sungai Chua,” sebut Juita kemudian memejamkan matanya.
“La…
Rumah awak kat Kajang ke? Apasal tak cakap awal-awal? Rumah saya pun tak berapa
jauh dari Sungai Chua tu,” sebut Jeffrey.
“Oh! Ya
ke?” Hendak tak hendak sahaja Juita bersuara. Dalam hati dia amat berharap yang
Jeffrey hanya bergurau. Susahlah kalau mereka sebenarnya duduk berdekatan.
“Setahu
saya ada banyak apartmen dekat situ. Awak tinggal di apartmen yang mana satu?”
Jeffrey bertanya lagi sambil menoleh ke arah Juita.
“Dah nak
sampai nanti, baru saya beritahu.” Juita menjawab malas. Ketika ini mereka
belum lagi sampai ke exitke arah
Kuala Lumpur. Boleh juga dia melelapkan mata walaupun tidak lama sangat.
“Baiklah
Cik Puan…” giat Jeffrey dengan senyuman.
Suasana
terus hening. Tiada lagi suara Juita, begitu juga dengan Jeffrey. Sekarang ini
Juita berasa amat penat. Balik rumah nanti dia mahu segera bersihkan diri.
Selepas itu dia mahu tidur sepuasnya. Dia mahu lupakan sebentar kejadian yang
menimpa dirinya.
Apa yang
dia tahu, selepas ini dia kena perah otak fikirkan sesuatu. Sekarang dia sudah
tidak boleh lari dari lelaki ini. Abang tongsan pasti lakukan macam-macam untuk
mendekatinya. Akhirnya, tidak lama selepas itu Juita sudah terlena.
Jeffrey
yang menyedarinya mengambil kesempatan itu merenung Juita. Setiap kali berpeluang,
dia pasti menatap wajah ayu gadis di sebelahnya. Kalau boleh, mahu menatapnya
selama mungkin agar dapat dibawa dalam mimpi. Agar sentiasa terlayar sebaik
hati teringatkan dirinya.
“AWAK
bangunlah, kita dah sampai Sungai Chua.” Jeffrey cuba mengejutkan Juita. Dia
telah berhentikan kereta di bahu jalan.
“Awak,”
panggil Jeffrey lagi. Kali ini dia terpaksa menyentuh bahu Juita kerana dia
masih tidak terjaga.
“Hah?”
Juita terus tersedar dan menggosok-gosok matanya. “Dah sampai ke?” sambungnya.
“Yap,
yang mana satu apartmen awak?” tanya Jeffrey.
Seketika
Juita memandang ke luar tingkap kemudian ke hadapan pula. “Awak berhenti kat
pondok pengawal depan tu. Saya tinggal kat situ,” beritahunya.
“Mana
boleh macam tu? Saya hantar awak sampai dalam ajelah.” Jeffrey menawarkan diri.
Risau pula membiarkan Juita berjalan jauh menuju ke pintu lif.
“Awak
ada kad ekses untuk masuk? Tak ada, kan?” soal Juita, geram.
“Dah
lewat malam ni, tak bahaya ke?” soal Jeffrey sedikit risau.
“Masa
awak bawa saya ke sana ke mari, tak fikir pulak semua tu?” perli Juita walau
mata masih mengantuk.
“Okey,
saya minta maaf sebab dah susahkan awak,” ucap Jeffrey.
“Lain
kali, awak jangan nak ulang lagi apa yang awak dah buat dengan saya tu.” Juita
mengingatkan.
“Ya,
saya takkan buat lagi,” janji Jeffrey sambil buat muka poyo.
Sampai
sahaja berhampiran pondok pengawal, Jeffrey menurunkan Juita. Juita pula terus
berlalu tanpa pamitan mahupun mengucapkan selamat jalan kepada Jeffrey.
‘Alahai,
Juita! Kerana kau, aku sanggup buat apa saja.’ Jeffrey berbicara sendiri. Malam
ini dia memang boleh tidur dengan mimpi indah.
SAMPAI
di muka pintu penthousenya, Juita
tercari-cari kunci pintu. Sebaik pintu dibuka, Syifa sudah terpacak di
hadapannya.
“Kau ke
mana sebenarnya? Dah tengah malam baru ingat nak balik?” tegur Syifa sebaik
Juita masuk.
Petang
tadi Syifa memang sudah berasa risau apabila Izuddin beritahu Juita tiada di
depan kedai buku. Apabila cuba menghubunginya, tidak berjawab pula. Akhirnya
Syifa berasa lega sebaik menerima panggilan daripada Juita. Peliknya suara
lelaki pula yang dia dengar.
“Kau tak
tidur lagi?” Walaupun terkejut, Juita berlagak biasa sahaja. Ingatkan
sahabatnya sudah masuk tidur dan lena dibuai mimpi.
“Kau
ingat aku boleh tidur?” Serius sahaja suara Syifa, bagai ibu tiri yang sedang
memarahi anak tirinya.
“Hari
ini aku kena culik dengan abang tongsan.” Terpaksa juga Juita beritahu hal
sebenar.
“Kena
culik? Tak payah kelentonglah. Ingat aku tak tahu kau berdating sakan sampai
tak ingat nak balik?” perli Syifa, tetapi dengan senyuman di bibir.
“Aku
malas nak cakap banyak. Sekarang ini aku nak mandi dan tidur. Apa-apa hal esok
aje kita cerita, okey?” beritahu Juita dan terus masuk ke biliknya.
“Mana
aci? Aku punyalah penat tunggu kau balik sampai sanggup tak tidur langsung,”
ujar Syifa menuruti Juita hingga ke biliknya.
“Aku
janji esok akan cerita dengan kau.” Juita sudah menolak Syifa agar keluar dari
biliknya. Tetapi si Syifa ini memang liat hendak berganjak.
“Tak
payahlah nak halau aku!” rungut Syifa.
“Kalau
aku kata esok, esok ajelah aku cerita,” ujar Juita yang sudah kepenatan. Tidak
pernah dia berasa bagai hilang seluruh tenaga seperti sekarang ini.
“Janji
kau akan cerita dengan aku dari A sampai Z. Tak terkecuali satu pun,” sebut
Syifa yang menghalang Juita dari menutup pintu.
“Ya… aku
akan cerita semuanya,” janji Juita. Dalam keadaan begini, dia berasa menyampah
pula dengan gelagat sahabatnya itu.
“Okey.
Esok aku tuntut janji kau!”
Juita
terus mengunci pintu sebaik Syifa mengalihkan tangannya. Kemudian terus
menghempaskan dirinya di atas katil. Sekarang dia mahu kosongkan fikirannya
terlebih dahulu. Dia mahu lepaskan semua yang bermain di mindanya. Selepas itu
baru mandi dan bersolat Isyak pula.
Mengingatkan abang tongsan memang buat Juita
sakit jiwa dan raga. Suka-suka hati melamar anak dara orang, selepas itu lesap
tanpa berita. Kemudian muncul semula siap meluahkan hati dan perasaan.
Apabila
rayuannya Juita tolak, lagi agresif pula tindakannya. Mujur tiada apa-apa yang
buruk berlaku pada diri Juita. Abang tongsan ini bisa sahaja berbuat sesuka
hatinya. Selepas ini, Juita memang kena berhati-hati dan bersiap sedia dengan
segala kemungkinan.