Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,931
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 30

PAGI minggu yang cerah, Jeffrey tidak ke mana-mana. Dia mengambil kesempatan itu untuk memotong rumput philippine di halaman rumahnya. Dia memang memilih spesies rumput karpet yang mudah dijaga dan tidak perlu kerap memotongnya.

Dia juga memilih konsep landskap yang ringkas dan praktikal untuk kediamannya yang sederhana besar. Begitupun ia tetap cantik dan menyejukkan pandangan. Di penjuru kanan rumahnya pula terdapat sebuah kolam mini. Dia turut memelihara ikan koi tetapi tidaklah banyak. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menghiburkan hati saat memberi makanan kepada ikan-ikan itu.

Setelah siap memotong rumput dengan lawn mower, dia duduk berehat di beranda. Lama dia termenung sendiri sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon daripada kakaknya, Janny.

“Akak sihat?” Jeffrey terus bertanya khabar dalam bahasa Mandarin. Gembira sekali menerima panggilan daripada kakaknya yang telah berhijrah ke New Zealand.

“Akak sihat selalu. Sekarang ni ada kat rumah mak mertua.” Janny juga turut gembira dapat berbual dengan adiknya.

“Akak dah ada kat sini? Bila akak sampai?” Jeffrey begitu teruja sekali. Maklumlah sudah setahun lebih dia tidak berjumpa dengan kakaknya.

“Akak sampai semalam dan terus ke Bangsar,” beritahu Janny. Dia tahu Jeffrey turut rindukan dirinya juga.

“La… Kenapa tak beritahu awal-awal? Kalau tak, boleh Jeff jemput di airport,” keluh Jeffrey, sedikit hampa.

“Tak apalah, saja tak nak susahkan Jeff. Jom keluar dengan akak, Abang Raymond ada hal pasal bisnes dia, ” ajak Janny.

“Okey, Jeff terus bersiap dan ambil akak kat Bangsar,” putusnya tanpa berfikir panjang.

“Tapi jangan bersiap macam perempuan pulak! Cepat-cepat datang, akak dah rindu sangat dengan Jeff,” pesan Janny.

“Akak punya pasal, Jeff mandi kerbau aje!” balas Jeffrey kemudian tertawa pula.

“Suka hatilah, janji cepat sampai.” Janny juga ketawa mendengar bicara adiknya yang melucukan.

“Jumpa nanti,” ucap Jeffrey.

“Okey,” balas Janny dengan gembira sekali.

Tanpa membuang masa, Jeffrey terus masuk ke dalam rumah. Dia tidak sabar mahu berjumpa dengan kakaknya. Janny merupakan anak sulung mamanya tetapi berlainan bapa. Jodoh mamanya dengan papa Janny tidak panjang dan dia dibesarkan oleh papanya.

Begitupun, semasa kecil mereka agak rapat kerana bersekolah di sekolah yang sama. Walaupun tinggal berasingan, Janny selalu juga datang dan bermalam di rumah mamanya. Memandangkan wajah Janny awet muda dan kecil molek orangnya, kebanyakan orang menyangka Janny adalah adik Jeffrey pula. Padahal, Janny tua tiga tahun daripadanya.

PUKUL 10.30 pagi, Jeffrey sudah terpacak di hadapan rumah mak mertua Janny. Sebaik bertemu kakaknya, mereka berdua saling berpelukan.

I miss you so much,” bisik Janny dengan gembira sekali. Tubuh adiknya dipeluk erat.

Me too,” balas Jeffrey. Dia juga mengambil kesempatan itu melepaskan rindu.

“Adik akak nampak segak sekarang ni. Mesti ramai teman wanita.” Janny memuji selepas merenggangkan pelukan. Kini, mereka berdua menyambung perbualan dalam bahasa Mandarin pula.

“Tak adalah. Adik akak ni, kan pemalu?” balas Jeffrey sambil buat muka poyo.

“Sudahlah! Nak termuntah akak mendengarnya,” ujar Janny, namun tetap tersenyum.

“Kita nak ke mana, ya?” soal Jeffrey pula. Dia memang tiada rancangan lagi hendak berjalan ke mana bersama kakaknya.

“Kat KL ni akak dah biasa, jomlah bawa akak ke Putrajaya. Naik cruise ke dan belanja akak makan sedap-sedap,” pinta Janny. Saat ini dia juga rindukan masakan tempatan yang sudah lama tidak dijamah.

“Tak ada masalah,” jawab Jeffrey sambil membuka pintu kereta untuk kakaknya.

“Wow! Hebat kereta Jeff,” puji Janny. Tidak menyangka adiknya sudah bertukar kereta baru lagi.

“Dah penat bekerja, naklah beli hadiah untuk diri sendiri. Kali ni lama ke akak bercuti di sini?”

“Tak jugak, hari Rabu dah nak balik. Abang Raymond memang sibuk sekarang ni. Datang sini pun semata-mata ada mesyuarat penting pada hari Isnin nanti,” jawab Janny perlahan.

Dia sudah berangan hendak bercuti lama-lama di Malaysia, namun tidak kesampaian pula. Begitupun tidaklah kecewa sangat kerana masih sempat bertemu dan meluangkan masa dengan adik kesayangan yang amat dirinduinya.

“Alahai… tak dapatlah berlama dengan akak,” keluh Jeffrey dengan rasa hampa.

“Tulah, nanti Jeff pulaklah yang datang bercuti ke New Zealand,” pelawa Janny. Setakat ini, hanya dua kali sahaja adiknya itu berkunjung ke New Zealand.

“Tengoklah macam mana.”

“Hmm… macam tak sudi aje menjenguk akak kat sana,” duga Janny.

“Bukan macam tu, sekarang ni Jeff sibuk sikit. Kena kerja keras kalau mahu bersaing dengan syarikat maju yang lain,” beritahu Jeffrey agar kakaknya tidak berkecil hati.

“Okey tak bisnes Jeff sekarang ni?” Janny juga mahu tahu perkembangan adiknya dalam dunia perniagaan.

“Bolehlah, setakat dapat projek yang kecik-kecik aje,” beritahu Jeffrey. Dunia perniagaan memang ada pasang dan surutnya. Apa yang penting, kena pandai mencari peluang dan sentiasa menambah kemahiran.

“Tak apalah, asalkan ada projek. Lama-lama nanti adalah rezeki Jeff,” pujuk Janny.

“Harap-harap begitulah,” balas Jeffrey.

“Adik akak ni, bila lagi nak berkahwin? Takkan nak membujang sampai ke tua? Nanti tak ada siapa yang nak.” Janny bertanya sambil tersenyum.

“Janganlah cakap macam tu. Jeff pun nak kahwin jugak,” balas Jeffrey. Sambil memandu, sesekali dia menoleh memandang kakaknya. Perjalanan dari Bangsar ke Putrajaya lancar sahaja.

“Kalau dah macam tu, carilah cepat! Akak dah tak sabar nak ada adik ipar,” sebut Janny. Andai adiknya sudah berumah tangga, bertambahlah bilangan ahli keluarga mereka yang kecil ini.

“Tak bolehlah nak cepat-cepat. Kena ikut prosedur jugaklah,” ujar Jeffrey pula.

“Dah jumpa ke calonnya?” Janny sudah teruja mendengarnya.

“Memang dah jumpa, tapi banyak benda lagi Jeff kena fikir sebelum ambil langkah seterusnya,” beritahu Jeffrey.

“Alah, tak payah fikir lama-lama. Kalau dah berkenan, kahwin aje,” suruh Janny.

“Jeff memang dah lama berkenan, tapi tak tahulah gadis tu nakkan Jeff ke tidak.”

“Apa kata Jeff terus bawa akak jumpa dia? Boleh akak tolong cakapkan. Benda baik ni tak payah nak tangguh-tangguh,” cadang Janny.

“Tak naklah susahkan akak, nanti Jeff akan usaha sendiri.” Dia menolak.

“nanti jangan cepat berputus asa pulak. Awak tu dahlah pemalu dan penyegan, kena buang semua sifat tu. Nak rebut hati perempuan ni kena berani,” nasihat Janny beria-ia.

“Yalah kakakku…” balas Jeffrey dengan senyuman.


KESEMPATAN dapat keluar bersama memang mereka gunakan sepenuhnya. Tempat pertama yang mereka kunjungi pastinya Taman Botani. Jeffrey tahu kakaknya memang suka dengan keindahan alam dan tumbuh-tumbuhan. Mereka tidak lama di situ dan cuma melawat sebagian taman. Sambil itu masing-masing bertukar cerita tentang diri sendiri.

Waktu makan tengah hari, Jeffrey membawa kakaknya menjamu selera di Kelab Tasik Putrajaya di Presint 8. Memang seronok menikmati hidangan sambil melihat keindahan Tasik Putrajaya. Pemandangan berbagai bentuk rekaan bangunan di sepanjang boulevard memang cantik. Tambahan pula landskap lembut yang indah turut memukau pemandangan. Andai datang pada waktu malam, lagi cantik dan mengasyikkan.

Jeffrey juga tidak lupa membawa kakaknya membeli belah di Alamanda. Walaupun pusat membeli belah itu tidaklah sebesar atau standing pusat beli belah yang terkenal di ibu kota, ia tetap menggembirakan Janny. Mereka berdua memang gembira dapat menghabiskan masa bersama.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.