HUJUNG minggu,
Juita terpaksa juga balik kampung. Apabila umi sudah menelefonnya, kenalah dia
turutkan. Sebenarnya, dia memang malas hendak balik. Kali ini memang sah-sahlah
bukan kerana Abang Ridwan, sebaliknya abang tongsan punya pasal!
Dalam perjalanan, penat juga Juita
memerah otak untuk menjawab pertanyaan abahnya nanti. Uminya telah memberi hint
yang abahnya mahu tahu tentang calon pilihannya. Hendak beritahu bagaimana
kalau dia memang tidak tahu banyak perkara tentang Jeffrey?
Ketika tiba di halaman rumah,
tiba-tiba sahaja dada Juita berdebar-debar. Dia sengaja balik pada waktu petang
kerana abahnya pasti tiada di rumah ketika itu. Setahunya pada waktu petang,
abahnya pergi ke masjid bersolat asar, kemudian terus sambung aktiviti
bersembang bersama kawan-kawannya. Sebaik terpandang kereta abahnya di bawah
pohon rambutan, dia mengeluh berat.
Baru sahaja dia hendak melangkah
keluar dari kereta, kedengaran pintu rumah dibuka. Sesak nafasnya sebaik
terpandang wajah abahnya yang terpacak di muka pintu.
‘Aduhai… tak dapatlah aku nak
mengelak!’ getus hatinya.
Perlahan-lahan dia mengatur langkah
sambil menyandang beg pakaiannya. “Assalamualaikum, abah,” ucapnya lalu
bersalam dengan abahnya.
“Waalaikumussalam. Hmm… takkan kamu
balik sorang aje? Mana kawan kamu tu?” tanya Haji Hussein, sedikit hampa.
“Abah ni… mana ada Jue janji nak
bawak hari ni?”
“Hari tu berjanji bukan main lagi.
Suruh abah jangan risau, siap cakap nak bawak calon menantu,” perli abahnya.
“Memanglah, tapi umi cuma suruh Jue
balik hari ni. Tak cakap pun suruh bawak kawan sekali.” Juita beralasan sambil
buat muka penat.
“Ada aje jawapan!” Haji Hussein
menjeling anaknya.
“Umi mana, abah?” tanya Juita apabila
menyedari uminya masih tidak muncul-muncul. Dia terus duduk di sofa di ruang
tamu. Beg sandangnya dia letak di tepi almari kabinet.
“Dah Jue tak sampai-sampai jugak, umi
kamu keluarlah.” Haji Hussein juga turut duduk di sofa setelah memasang kipas
siling.
“Ya ke?” Juita menanggalkan
tudungnya.
“Apa nama kawan Jue tu?” Haji Hussein
terus bertanya pasal calon menantunya.
“Apa, abah?” Juita pura-pura tidak
dengar pertanyaan abahnya.
“Hisy, Jue ni… kawan kamu tulah! Apa
nama dia?”
“Oh! Nama dia Jeff…” jawab Juita.
“Jefridin penyanyi tu ke?” tanya Haji
Hussein, kemudian tersenyum pula. Sengaja dia mahu mengusik anak gadisnya.
“Abah ni… Jeffreylah.”
“Ooo… ni kawan masa kolej dulu ke?”
Haji Hussein menduga.
“Taklah! Kat kolej mana ada yang nak
berkawan dengan anak abah yang tak berapa pandai ni?" Dalam hati berdebar, Juita mahu bergurau juga dengan abah dia. Andai masa dahulu,
mana pernah dia berpeluang bergurau senda begini? Baru-baru ini sahaja abahnya
sudah mula berubah dan mahu berbual panjang dengannya.
“Jeffrey ni kerja macam kamu jugak
ke?” soal Haji Hussein. Hendak tahu juga pekerjaan Jeffrey.
“Ha’ah... tapi dia bagus sikit
daripada Jue.” Juita sudah mula mereka cerita.
“Abah tak kisah. Dah lama Jue kenal
si Jeff ni?” soal abahnya lagi.
“Lamalah jugak tapi sebelum ni kawan
biasa aje.”
“Macam tu pulak?”
“Yalah! Berkawan biasalah dulu. Lepas
tu baru kenal hati budi masing-masing.” Pandai sahaja Juita kelentong abah dia.
Tiba-tiba kedengaran suara umi
memberi salam.
“Hah, tu umi kamu dah balik.”
Juita segera menjawab salam uminya
lalu melangkah menuju ke pintu.
“Selalu balik pagi, kenapa hari ni
petang pulak baru Jue sampai?” tanya Puan Salmah.
“Pagi tadi Jue ada kerja sikit. Umi
dari mana sebenarnya?” tanya Juita pula.
“Pergi menengok cucu Tok Chik yang
baru lahir.”
Juita sekadar mengangguk. “Eh! Abah
nak ke mana?” tanyanya ketika Haji Hussein bangun dari sofa.
“Dah kawan kamu tak datang. Baik abah
berjumpa kawan abah,” jawab Haji Hussein sambil mengambil kunci kereta di atas
almari kabinet.
Juita menarik nafas lega. Malam ini
dia boleh masuk tidur awal konon-kononnya sebab penat. Waktu maghrib dan isyak
abahnya akan berada di masjid. Balik pulak entah pukul berapa. Selamat dia buat
sementara waktu.
“BILA
Jue nak bawa Jeffrey berjumpa abah?” tanya Haji Hussein sewaktu sarapan pagi.
Pertanyaan abahnya buat Juita
berdebar-debar. Ingatkan abahnya belum lagi mahu berjumpa bakal menantu entah
jadi entah tidak ini. Alasan apa dia hendak beri?
“Hish
Jue ni, dah berangan pulak pagi-pagi ni,” tegur Haji Hussein sebaik menyedari
anaknya mengelamun pula.
“Er… Abah
tanya apa?” soal Juita melindungi resah di kalbu. Otaknya masih ligat berputar
mencari alasan terbaik untuk diberikan.
“Bilanya
Jeffrey nak berjumpa dengan abah?” ulang Haji Hussein.
“Sebenarnya
dia masih outstation kat Johor. Kerja
dia dekat Sri Iskandar tak siap lagi,” beritahu Juita. Mujur dia teringkat
projek di Johor itu. Logik juga dia memberi alasan itu kerana semua orang
maklum pasal projek mega itu.
“Kalau
boleh cepat-cepatlah. Nanti mudah nak merancang perkahwinan kamu ni,” suruh
Haji Hussein lagi sambil menambah mihun di pinggan. Tiba-tiba dia berselera
pula.
“Yalah.
Nanti Jue tengok macam mana,” balas Juita sekadar berbahasa. Dia juga turut
menjamah mihunnya.
“Jangan
cakap aje. Kerja nikah kahwin ni kena buat betul-betul, bukan boleh main suka
hati aje,” tegas Haji Hussein. Apatah lagi memikirkan kenduri Juita adalah yang
terakhir akan dibuat di rumahnya. Selepas itu memang kenduri doa selamat atau
akikah sahajalah.
“Agak-agaknya,
bila Jeffrey nak datang sini?” tanya haji Hussein. Kalau boleh, Haji Hussein
memang mahu mempercepatkan pernikahan anak gadisnya. Sekarang ini macam-macam
berlaku di bandar sana. Semuanya buat dia tidak senang duduk. Bukanlah dia
tidak percayakan Juita. Dia yakin anak gadisnya itu pandai menjaga diri, namun
kena beringat juga.
Tugas
ibu bapa memang amat berat. Bukan setakat menjaga dan memberi pendidikan
sahaja. Mencari jodoh yang baik untuk anak-anak juga perlu dirancang demi
menyambung zuriat. Andai anak-anak sudah ada pilihan sendiri, kenalah selidik
dahulu latar belakangnya. Tidak boleh main terima sahaja.
“Susah nak cakaplah abah. Jue kena tunggu dia
balik dulu, baru boleh beritahu abah.”
“Abah
bukan apa, sebolehnya abah memang nak cepat-cepat uruskan perkahwinan Jue.”
Haji Hussein menyatakan hasratnya.
Juita
sudah tidak tahu hendak cakap apa. Dia merenung lembut wajah abah yang sudah
dimamah usia. Kasihan pula melihat abahnya yang beria-ia dan begitu mengambil
berat pasal masa hadapannya.
“Jue?”
Sekali lagi Haji Hussein menegur dan menyentuh tangan anaknya.
“Ya?”
Juita yang sudah teralit segera menyahut. Dia kembali memandang wajah abahnya.
“Terima
kasih…” ucap Haji Hussein buat Juita begitu tersentuh mendengarnya.
“Terima
kasih apa, abah?” soal Juita pula walaupun dia boleh agak kenapa abahnya
mengucapkannya.
“Sebab
tolong tambah duit untuk umi dan abah buat haji sekali lagi,” sambung Haji
Hussein.
Allahuakbar…
tiba-tiba Juita berasa sebak sangat. Nada suara abahnya buat dia berasa sayu
sekali. Serasanya bagai pertama kali mendengar ucapan yang paling indah.
“Sama-sama.
Nanti abah doakan Jue, ya?” pintanya dengan sebak. Tanpa sedar air mata sudah
membasahi pipi dan segera disapu.
“Insya-ALLAH…
sekarang pun abah doakan yang baik-baik untuk Jue,” balas Haji Hussein dengan
mata berkaca. Tempoh hari dia memang berasa terharu sangat sebaik isterinya
beritahu yang Juita telah berikan wang simpanannya untuk mereka berdua
menunaikan fardu haji.
“Okeylah
abah, Jue nak rehat kat bilik.” Juita meminta diri setelah menghabiskan air
minumannya.
Haji
Hussein sekadar mengangguk.
Juita
memang perlu bersendirian bagi meredakan sebak di dada. Reaksi abahnya membuat
dia berasa sedih pula. Sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk
membantu. Namun tadi, wajah abahnya menggambarkan betapa dia amat menghargai
pertolongan yang dihulurkan. Itu yang buat Juita tidak sanggup untuk terus
menatap wajah abahnya.
“Eh,
mana Juenya?” tanya Puan Salmah yang masuk ke dapur. Tadi dia ke rumah jiran
menghantar sepinggan mihun goreng. Dia memang sengaja masak lebih untuk disedekahkan
kepada jirannya.
“Jue ada
kat bilik. Nak rehat katanya,” beritahu Haji Hussein.
“Macam
mana? Bila Jue nak perkenalkan kawan dia tu?” Puan Salmah juga tidak sabar mahu
berjumpa dengan bakal menantu.
“Tak
tahu lagi. Kena tunggu Jeffrey balik dari outstation kat Johor.”
“La…
ingatkan dalam masa terdekat ni dah boleh berjumpa,” keluh Puan Salmah dengan
perasaan hampa.
“Nak
buat macam mana? Belum ada rezeki kita nak berjumpa,” balas Haji Hussein.
“Harap-harap
jadilah. Saya takkan tenang selagi Jue tak berumah tangga. Abang dan
kakak-kakak dia dah selamat,” tutur Puan Salmah dengan penuh harapan.
“Kita
doakan semuanya baik-baik aje. Abang memang berharap sangat semoga Jeffrey tu
dapat jaga Jue dengan baik. Tak bergaji besar pun abang tak kisah. Asal
bertanggungjawab dan baik agamanya,” sebut Haji Hussein sambil membuang pandang
ke luar tingkap.
Dia
tidak perlukan menantu yang kaya dengan kereta menjalar. Dia hanya mahu menantu
yang sanggup memikul tanggungjawab menjaga anak bongsunya. Kali ini memang dia
berasa agak lain dibandingkan ketika mahu menikahkan kakak-kakak Juita.