MESYUARAT
di Perbadanan Putrajaya berakhir lebih awal daripada biasa. Jeffrey dan rakan
kongsinya Azman serta Shahrul berasa amat lega. Semuanya mengikut perancangan
dan syarikatnya boleh memulakan projek seperti yang telah dijadualkan.
Seperti
biasa, andai ada mesyuarat di Putrajaya, mereka memang suka singgah makan
tengah hari di kafetaria Kementerian Belia dan Sukan. Di sini, mereka tidak
akan melepaskan peluang makan gulai kawah dan ikan bakar.
Semuanya
atas saranan seorang kenalan yang pernah belanja mereka makan di sini. Memang
cukup menyelerakan andai datang dengan perut kosong. Selepas itu boleh pekena
ABC atau air cedol bersama pulut pula. Memang lama jugalah mereka akan melepak
di sini sambil berborak.
Sewaktu
mereka masuk ke dalam kafetaria, memang masih tidak ramai pelanggan lagi.
Maklumlah baru pukul 12.30 tengah hari. Begitupun semua lauk-pauk memang sudah
siap sedia dihidang di tempat biasa.
Aroma masakan
memang tidak boleh hendak digambarkan. Mereka bertiga mengambil kesempatan itu
meninjau semua lauk yang ada. Kalau perut sebesar tempayan, memang semua
masakan mahu dicuba. Mujurlah masih sedar diri dan tidak buruk lantak!
“Nak
duduk kat mana ni?” soal Jeffrey yang telah mengambil makanan kegemarannya. Sup
tulang dan ulam-ulaman memang sudah menjadi menu kemestian andai makan di sini.
Berlainan dengan Shahrul dan Azman yang lebih menggemari gulai kawah dan ikan
bakar.
“Kau
ni…. kat tempat biasalah! Sambil makan boleh cuci mata,” jawab Azman.
Walaupun
sudah dua tahun mendirikan rumah tangga, tabiat Azman yang satu itu memang
sukar dibuang. Tetapi tidaklah sampai berlebih pula. Sekadar suka-suka sahaja
bagi menghilangkan tension setelah
penat bekerja. Adatlah kalau sudah namanya lelaki! Sudah terpampang di hadapan
mata, takkan pura-pura tidak nampak pula?
Tanpa
membuang masa, Jeffrey bergerak pantas ke meja makan yang Azman maksudkan.
Ingatkan kali ini mahu makan di bahagian dalam kafeteria kerana lebih selesa
sebab ada penghawa dingin. Ketika ini cuaca agak panas. Tambahan pula sudah
beberapa hari juga tiada hujan. Mujur di sini tiada masalah jerebu.
Mereka
bertiga memang makan dengan berseleranya. Andai mak mertua lalu memang tidak
perasanlah. Nasib mesyuarat di sini tidak kerap. Kalau tidak, mahu naik
mendadak berat badan Jeffrey. Sudahlah masa untuk bersenam sudah tiada dalam
jadual harian. Masa mengisi perut pula tidak pernah terlepas.
Setelah
selesai menjamah makanan di pinggan, Jeffrey segera membasuh tangan dan kembali
duduk. Seketika gadis yang sedang makan di sudut tepi menarik perhatiannya.
Perlahan
sahaja dia menyuap nasi. Makan pun seperti memaksa diri dan nampak tidak
berselera pula. Lauk yang dia ambil pun cuma telur dan sayur sahaja. Punyalah
berlambak menu yang menyelerakan, itu pula pilihan dirinya. Memang Jeffrey
berasa hairan sungguh.
Serasanya,
itu gadis sama yang dia nampak pada minggu lalu. Ketika itu, dia makan di sini
bersama dengan seorang lagi kawannya. Terasa pelik apabila hari ini dia
bersendirian. Ke mana pula rakannya? Jeffrey tertanya sendiri.
Melihat
raut wajahnya, bagai menghadapi masalah pula. Tempoh hari, bukan main ceria
bergelak ketawa bersama rakannya. Saat
ini, memang jelas sekali wajahnya murung seperti memikirkan sesuatu yang berat.
Lama juga Jeffrey memerhatinya.
“Wei,
apasal kau asyik tengok kat awek tu?” tegur Shahrul yang sudah perasan dengan
gelagat Jeffrey.
Selalunya
lelaki ini bukannya berani memerhati orang lama-lama, terutamanya wanita. Tidak
hairan sampai sekarang dia masih belum ada teman istimewa. Hendak kata tidak
segak, wajahnya memang tampan. Ditambah dengan kerjaya sebagai jurutera yang
memiliki syarikat sendiri, memang menjadi jejaka terhangat dan rebutanlah.
Malangnya itu tidak berlaku kepada dirinya.
“Takkan
nak tengok pun tak boleh?” soal Jeffrey pula sambil melepaskan sebuah keluhan.
Dia turut menyelak rambutnya dan berlagak selamba.
“Ke… kau
dah berkenan?” sampuk Azman pula kemudian menyisip air minumannya. Dia juga
turut memandang gadis yang dimaksudkan Shahrul. Cantik dan manis orangnya.
Kalaulah dia masih belum beristeri, sudah lama dia pikat gadis itu.
“Tak
adalah.” Jeffrey segera menafikan sambil membetulkan duduk agar lebih selesa.
Tidak mahu rakannya bersangka yang bukan-bukan.
Azman
dan Shahrul sama-sama tergelak. Dalam keadaan begini pun si Jeffrey masih mahu
berpura-pura. Macamlah mereka tidak pandai membaca apa yang tersirat di
hatinya. Sekilas wajah dipandang, sudah tahu apa di fikirannya!
“Kalau
dah suka, cakap ajelah,” ujar Shahrul pula, masih mahu mengusik.
“Apa
kata kau mengurat dia,” cadang Azman. Tiba-tiba datang pula idea di kepalanya.
Sekali-sekala mengenakan rakan yang seorang ini memang seronok. Bukan selalu
ada peluang keemasan begini.
“Ah! Tak
naklah aku.” Jeffrey pantas menolak walaupun sesuatu memang telah mengetuk
pintu hatinya. Benarkah? Dia tertanya sendiri.
“Mulut
cakap tak nak, tapi hati…” Shahrul sengaja menyakat tanpa menghabiskan ayatnya.
Jeffrey pasti faham sendiri maksudnya.
“Hmm…
apa kata kau mulakan langkah? Kau sorang aje kawan kami yang masih bujang. Bila
lagi nak ada awek?” cadang Azman.
“Aku,
kalau boleh nak bercinta selepas kahwin.” Sengaja Jeffrey beralasan. Mujur ada
jawapan di minda agar tidak didesak rakan-rakannya. Payah dia nanti kalau mereka
sudah mula mencucuk jarum.
Shahrul
tertawa mendengarnya. “Kalau dah macam tu, kenapa tak suruh ayah angkat kau
tolong carikan?” soal Shahrul sedikit jengkel dengan jawapan yang Jeffrey
berikan. Memang jawapan orang yang mahu selamatkan dirinya.
“Sebolehnya
aku nak cari sendiri. Takkanlah benda penting dalam hidup pun, aku masih
mengharapkan orang lain yang tolong?” Jeffrey masih mahu mempertahankan ego dan
prinsip diri.
“Yalah,
dah tulang rusuk kau, kan? Tentulah kau sorang aje tahu yang mana satu ngam
dengan kau.” Azman pula seakan memerli walau dalam tawa.
“Bukan
macam tu…” sangkal Jeffrey. Bagi dirinya, dia tidak mahu menyusahkan ayah
angkat dan keluarganya. Apatah lagi sebelum ini merekalah yang paling banyak
membantunya.
“Kau
jangan nak berdolak-dalih! Kalau betul kau anak jantan, aku cabar kau terus
pinang dia. Macam mana? Ada berani?” cabar Shahrul dengan wajah serius.
Alang-alang menyeluk poket, biarlah sampai berjumpa duitnya. Alang-alang mahu
mengusik kawan, biarlah sampai ada hasilnya!
Jeffrey
hanya tersenyum sambil cuba mententeramkan diri sendiri yang semakin sesak.
“Takut
ke?” sakat Shahrul lagi. Sengaja mahu provok lelaki yang sedang control macho ini.
“Okeylah.
Kau ingat aku tak berani? Ini Jefflah!” balas Jeffrey. Tiba-tiba dia berasa
tercabar pula walaupun turut terasa gusar.
Di
hadapan kawan-kawan, masakan mahu mengalah pula? Jatuhlah saham dia sebagai
lelaki terhangat di pasaran andai takut memikat perempuan! ‘Benarkah? Atau aku
yang panas punggung kerana cabaran itu?’ Hatinya berbicara sendiri.
“Dipersilakan
Encik Jeffrey. Kalau hari ini jugak dia terima lamaran kau, aku dan Shahrul
akan sponser bulan madu kau orang.
Cakap aje ke mana kau nak bercuti, tapi dalam Malaysia ajelah,” janji Azman
pula.
Jeffrey
ketawa mendengarnya. Tidak sangka sampai ke situ rakan-rakannya mahu menduga.
“Tapi
kalau kau gagal, kita orang nak kau belanja lunch
selama seminggu,” sampuk Shahrul pula.
“Betul
ni?” soal Jeffrey. Tiba-tiba dia berasa bersemangat pula apabila dicabar
rakan-rakan.
“Kita
orang serius ni. Buktikan kejantanan kau tu.” Semakin beria-ia pula Shahrul
mahu mencabar Jeffrey.
“Okey,
aku sahut cabaran kau orang,” balas Jeffrey dan terus bangun. Seketika dia
membetulkan kolar baju kemejanya.
Shahrul
mengangkat kening sambil memandang Azman. “Nampak macam yakin sangat aje,”
tutur Shahrul.
“Kita
tunggu dan lihat…” balas Azman sambil memerhati tingkah Jeffrey.
Perlahan-lahan,
dengan langkah penuh yakin, Jeffrey menuju ke meja di hujung. Baru separuh jalan, dia berpatah balik dan
duduk kembali.
Azman
dan Shahrul sudah ketawa besar melihat gelagat Jeffrey.
“Wei
janganlah ketawa kuat-kuat!” tegur Jeffrey yang sudah berasa segan.
“Apasal
kau tak teruskan?” soal Azman sebaik ketawanya reda.
“Tunggulah
kejap, aku rasa dia tengah ada masalah. Tengok tu, dia tengok telefon seseorang.”
Jeffrey memberikan alasannya.
“Auta
budak tadika!” kutuk Shahrul.
“Betullah
apa aku cakap. Kejap lagi bila dia dah tenang sikit, aku pergilah.”
“Tak
apa, kita orang tunggu,” ujar Azman sambil menyimpan tawanya. Geli hatinya
melihat Jeffrey yang sudah gabra semacam. Tadi bukan main berlagak.
Mata
Jeffrey masih memandang gadis itu. Kali pertama terpandangnya, dia memang tidak
berasa apa-apa pun. Kini bagai ada sesuatu yang mengusik hatinya. Lebih-lebih
lagi setelah kena cabar.
Apa pun
terjadi, dia kena juga teruskan cabaran ini. Tak macholah kalau dia mengaku
kalah sebelum mencuba. Berjaya atau tidak bukanlah menjadi isu sangat. Setakat hendakk
belanja kawan-kawan makan, apalah sangat. Selama ini pun biasanya dia juga yang
belanja mereka.
“Wei,
tunggu apa lagi? Karang dia dah pergi, kena tunggu hari lain pulak,” tegur
Shahrul.
“Nak
pergilah ni…” balas Jeffrey dan terus melangkah menghampiri gadis itu.
Shahrul
dan Azman sudah tertawa. Mereka perasan yang Jeffrey memang sudah berpeluh.
Pasti sahaja cabaran itu bukan mudah untuk ditunaikan.