PAGI
Sabtu, selepas solat subuh, Juita terus bertolak ke Ipoh. Perjalanan memang
lancar kerana pada awal pagi tidak banyak kenderaan di jalan raya. Sepanjang
perjalanan, dia hanya ditemani lagu-lagu instrumental persembahan Yanni.
Apabila
kebosanan melanda, dia pasang CD Anuar Zain pula. Walaupun bukan lagu terbaru,
Juita cukup suka dengan lagu Ketulusan Hati. Putar berkali-kali pun tidak jemu
didengar. Melodi dan liriknya yang indah memang membuai perasaan. Adakalanya
terlebih perasan seolah-olah diri sendirilah yang jadi pujaan penyanyi
tersebut!
Pukul
sepuluh pagi, dia sudah sampai di Kampung Sg. Rapat Tambahan. Namun tidak terus
ke rumah, sebaliknya dia singgah di kedai Mak Cik Sara. Dia bagai tidak sabar
mahu menikmati laksa kegemarannya. Tadi, sepanjang perjalanan perutnya memang
berkeroncong kerana dia cuma menjamah biskut kering sahaja sebagai alas perut.
Setiap
kali balik kampung, kedai makan hujung kampung itu menjadi tempat pertama yang
dituju. Semuanya gara-gara laksa istimewa Mak Cik Sara. Laksanya lembut dengan
kuah yang pekat dan cukup segala rencah. Ditambah dengan cili potong, dua
mangkuk pun boleh dia habiskan.
Setelah
memarkir keretanya di bawah pohon mangga, Juita segera menuju ke kedai Mak Cik
Sara. “Pak cik sihat?” tegur Juita sebaik terpandang Pak Cik Ahmad yang turut
minum di situ.
“Alhamdulillah…
Bila balik sini?” tanya Pak Cik Ahmad sebaik menyedari Juita yang menegurnya.
“Baru
aje sampai, terus datang ke sini sebab teringan nak makan laksa Mak Cik Sara,”
beritahu Juita dengan ceria sekali.
Juita
mengambil tempat di meja bersebelahan pak cik yang dikenali sejak kecil lagi.
Kemudian dia terus memesan laksanya. Agak ramai juga pelanggan pada pagi ini,
namun tidak pula Juita kenali. Mungkin pekerja swasta yang bekerja di pejabat
yang berhampiran.
Pak Cik
Ahmad mengangguk-angguk sambil tersenyum. Pergilah ke mana jua pun, memang
tidak akan jumpa laksa sesedap laksa masakan Mak Cik Sara. Dari dahulu hingga
kini, pelanggan tidak jemu-jemu makan di sini. Begitu juga dengan Juita. Pagi
petang makan laksa sahaja pun tidak mengapa.
Sekejap
sahaja menunggu, hidangan laksa untuk Juita sudah sampai. Tanpa membuang masa
dia terus menikmatinya.
Pak Cik
Ahmad memandang Juita yang begitu asyik menikmati makanan kegemarannya. Sekejap
sahaja sudah besar anak gadis sahabatnya ini. Kalau zaman 80an, memang sudah
berumah tangga dan punya berderet. Di kampung ini, siapa yang tidak kenal
Juita, anak bongsu Haji Hussein?
Semua
orang kenal dan suka dengannya berbanding dengan adik-beradiknya yang lain.
Juita mudah mesra dengan orang kampung dan selalu menegur pak cik dan mak cik
yang dia temui. Dia tidak sombong malah seorang yang ringan tulang dan suka
membantu.
Andai
berkesempatan bersarapan di kedai ini, dia tidak lupa tolong bayar sekali
makanan dan minuman pak cik atau mak cik yang menjamu selera. Biasanya tentu
sahaja mereka tidak tahu ada yang belanja sehinggalah mereka mahu membuat
pembayaran. Seperti biasa, tauke kedai akan beritahu ada yang baik hati sudah
tolong bayarkan.
Apabila
pandang sekeliling, tiada pula muka-muka yang bermurah hati berbuat demikian.
Lama-kelamaan, semua orang tahu sendiri siapa yang belanja walaupun tauke kedai
tidak pernah menyebut namanya.
Bagi
diri Juita, itulah amalan yang sering dilakukan setiap kali makan di mana-mana
kedai kampung sekalipun. Dapat belanja orang lain memang memberi sesuatu
kegembiraan walaupun mereka tidak tahu. Menolong orang yang tidak dikenali
dirasakan lebih ikhlas kerana kita akan terlupa dan tidak mengungkitnya
langsung.
Ianya
jauh berbeza dengan membantu orang yang cukup dikenali. Seandainya sesuatu
berlaku pada kemudian hari, ada sahaja yang akan menyucuk dan akhirnya terdetik
rasa menyesal membantunya sebelum ini.
Meskipun
keikhlasan amat mahal harganya, namun tidak mustahil untuk menjadi seorang yang
ikhlas dan sentiasa redha. Asalkan hati bersih, semua perkara yang terjadi akan
dapat diterima dengan mudah tanpa mempertikaikannya. Itulah yang selalu Juita
cuba tanam dalam dirinya walau ada kalanya agak sukar menyemainya. Bertambah
sukar apabila berhadapan dengan ahli keluarga sendiri.
PUKUL
10.30 pagi Juita tiba di halaman rumahnya. Tiada sesiapa yang membuka pintu
mahupun menjenguk. Pastinya tidak mendengar bunyi keretanya apatah lagi Juita
tidak beritahu umi mahupun abah tentang kepulangannya.
Dia
mengeluh berat sebaik terpandang kereta abangnya di sisi rumah. Nampaknya dia
tidak boleh mengelak dari berjumpa dengan abang bertuahnya. Ingatkan apabila
cuti begini Abang Ridwan akan membawa keluarganya makan angin, rupanya bawa
anak-beranaknya makan di rumah umi pula. Alahai… tangkai jering punya abang!
Perlahan-lahan
dia melangkah keluar dari kereta Wajanya. Kereta yang selalu dipandu ketika
balik kampung kerana tidak mahu lawan abangnya yang seorang itu. Dia memang
buat tidak reti sahaja apabila Abang Ridwan asyik menyindirnya. Pada abangnya,
hanya itulah kereta yang selayaknya untuk Juita.
Sebagai
adik, dia sudah malas hendak berkecil hati mahupun bertekak dengan abang
sulungnya itu. Sebelum ini, bekerja sebagai clerk
of workspun Juita tidak kisah.Walaupun
abangnya sering memperlekehkan jawatannya, dia okey sahaja. Bagi yang
memahaminya tentu sekali kagum kerana seorang wanita sanggup memeriksa dan
memantau kerja-kerja pembinaan.
Setiap
hari, panas terik mentari yang membahang terpaksa ditahan. Juga bertekak dengan
kontraktor dan pekerja asing yang tidak faham-faham sudah jadi kebiasaan. Semuanya
kerana mahu menjaga kualiti kerja.
“Assalamualaikum…”
Juita memberi salam dan menunggu pintu dibuka.
Tidak
lama menunggu, seseorang telah membuka pintu. “Waalaikumussalam. Hmm… kamu ke?
Ingat siapa tadi.” ucap Abang Ridwan acuh tak acuh. Langsung tidak menunjukkan
riak gembira pada wajahnya.
Juita
terpaksa melemparkan senyuman walaupun abangnya cuma sebentar sahaja
memandangnya. Sekilas dia memandang ke ruang tamu, namun tiada sesiapa di situ.
Begitupun dia dapat mendengar
riuh-rendah di dapur.
“La…
Kenapa balik tak beritahu?” tanya umi sebaik Juita menonjolkan diri. Isteri dan
anak-anak Abang Ridwan sedang melepak di meja makan.
“Dah
alang-alang cuti, tu yang balik,” balas Juita sambil bersalaman dengan umi dan
Kak Yati, kakak iparnya.
“Umi tak
tahu Jue nak balik. Sebenarnya umi ada masak soto, tapi ayamnya dah habis
pulak,” beritahu Puan Salmah serba salah. Andai dia tahu, pasti dia simpan
untuk anak bongsunya ini. Nampaknya memang tiada rezeki Juita.
“Tak
apalah umi, Jue dah makan,” balas Juita sambil mengambil tempat di kerusi yang
kosong. Kerusi yang tadinya Abang Ridwan duduk.
Kini Abang
Ridwan dan kakak iparnya telah berehat di ruang tamu pula. Tiada langsung
keinginan untuk bertanya khabar Juita mahupun beramah mesra. Bagi diri Juita,
dia tidak kisah dengan sikap abang sulungnya itu. Dia tiada di sisi lagi bagus
dari asyik buat dia tidak tenteram jiwa dan raga.
“Lama ke
anak umi bercuti?” tanya Puan Salmah sambil merenung wajah anaknya. Memang
sudah agak lama juga Juita tidak balik walau sering menelefonnya.
“Sampai
hari Isnin aje.” Juita turut melemparkan senyuman pada uminya. “Abah mana,
umi?” sambungnya.
“Katanya
nak ke TESCO beli barang,” beritahu Puan Salmah.
“Apasal
abah tak pergi dengan abang?”
“Kamu
ni… takkan tak faham-faham lagi perangai abang kamu tu?”
Juita
sekadar mengangguk. Faham maksud uminya. Abang Ridwan memang begitu! Tahunya
makan dan minum di rumah, tetapi liat mahu membeli barangan keperluan umi dan
abahnya. Nama sahaja berjawatan tinggi dan bergaji besar, tetapi kedekut bukan
main. Memang buat Juita sakit hati dengan perangai abangnya.
“Anak
umi sihat?” tanya Puan Salmah sambil menuangkan air teh untuk Juita.
“Bertambah
berisi sekarang ni. Senang hati dan gembira selalu,” jawab Juita kemudian
tertawa.
Puan
Salmah turut tersenyum melihat keceriaan anak gadisnya.
Juita
memang berasa gembira sekarang ini. Sebab itu juga dia tidak keberatan untuk
balik kampung. Padahal, sebelum ini dia memang malas mahu balik kampung kerana
tidak sanggup berhadapan Abang Ridwan yang asyik memperkecilkan dirinya. Ada
sahaja yang tidak kena di mata abangnya sehingga membuat Juita menyampah dengan
bebelan dan kutukannya.