Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,942
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 9

JUITA ralit meneliti kertas cadangan projek yang baru diserahkan kepadanya. Dia perlu menyemaknya dengan teliti sebelum menurunkan tandatangan. Walaupun Syifa sudah menyemaknya, dia tetap kena pastikan tiada sebarang kesilapan.

Tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk.

“Masuklah,” suruhnya tanpa memandang siapa yang datang menjenguk.

“Bos, ikan tongsan masak stim. Panas-panas dari dapur!” beritahu Said dan terus meletakkan mangkuk tingkat di atas meja tamu di pejabat Juita.

“Alhamdulillah… ni tongsan mana awak kail?” soal Juita yang sudah kecur air liur mendengarnya. Dia juga turut bangun dari tempatnya dan terus menuju ke sofa. Makan punya pasal, kena lupakan sebentar tentang kerja.

“Samalam, kan cuti? Saya pergi cari lombonglah!” beritahu Said dengan ceria sekali.

Said merupakan staf Juita yang paling lama bekerja dengannya. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, dia antara orang kepercayaan Juita memantau kerja-kerja di tapak pembinaan. Said sangat berpengalaman dalam mengendalikan pekerja asing yang kadang-kadang memang memeningkan.

“Lombong mana pulak? Kat KL ni, semua lombong sudah kena kambus,” soal Juita, tetapi sebenarnya dia lebih teruja hendak makan ikan tongsan kegemarannya.

“Jangan risau, ini ikan tongsan dari baik punya lombong,” beritahu Said sambil menanggalkan pengetat mangkuk tingkat. Kemudian dengan berhati-hati mengeluarkannya dari tangkai dan menyusunnya di atas meja.

“Dah ajak kembar saya?” soal Juita pula.

“Dia on the way.” Said yang faham maksud bosnya terus tersenyum. Dia tahu sangat, Juita mana boleh makan sorang-sorang.

“Fullamak! Cili kicap istimewa pun ada. Tu yang buat saya sayang sangat dengan isteri awak.” Puji Juita sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan yang turut Said bawa.

Ini bukan kali pertama dia dapat makan hidangan istimewa. Hampir setiap hari Isnin Juita tidak perlu pergi ke restoran. Setiap kali pasti Said akan menghantar menu yang berbeza.

“Jangan cakap lebih-lebih bos, nanti bertambah kembang isteri saya,” gurau Said.

“Tak baik kutuk isteri sendiri. Dia kembang sebab awak beri cukup makan dan cukup kasih sayang,” balas Juita kemudian tersenyum pula. Ketika itu juga dia sudah terbayang isteri kesayangan Said. Manis orangnya walaupun berbadan gempal.

“Okeylah, bos makan kenyang-kenyang dengan Syifa. Saya nak makan dengan buah hati saya,” tutur Said yang sudah mahu beredar.

“Kat rumah pun lauk tongsan jugak ke?” tanya Juita.

“Tentulah tapi tongsan masak karilah. Kita orang tekak kari, tak boleh nak tukar.” Said sudah tersengih.

“Terima kasih Said. Jangan lupa kirim salam dengan isteri awak,” pesan Juita.

“Tak ada hallah,” balas Said dan terus melangkah menuju ke pintu.

“Eh! Dah nak balik ke?” tegur Syifa ketika bertembung dengan Said di muka pintu.

Said sekadar mengangguk.

“Amboi… dari luar dah terbau-bau ikan tongsan hang!” ujar Syifa sambil duduk di sebelah Juita.

“Dah rezeki tergolek, tibai ajelah.” Suapan pertama sudah masuk ke mulut. Juita menikmatinya dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan. Dahulu sewaktu kecil, memang selalu dia dapat makan ikan ini. Itu yang tidak boleh tolak kalau sudah terhidang.

“Abang tongsan, bila pulak kau nak pikat?” soal Syifa pula. Tiba-tiba teringat pula dengan lelaki pujaan Juita. Itu pun sesuatu yang tidak boleh Juita lepaskan juga!

“Hisy kau ni! Mamat tu punyalah segak, kau panggil abang tongsan? Tak patut, tak patut...” Juita sudah mengerut dahi, tetapi suapan ke mulut tetap laju.

Seketika Juita tersenyum sendiri. Wajah lelaki yang menarik perhatiannya sudah terlayar di ruangan mata. Akhirnya Syifa tidak kisah dengan mamat yang dia suka itu, malah beri sokongan pula.

“Bukan aku yang beri gelaran tu, dah si Izuddin memandai panggil dia abang tongsan, aku ikut ajelah.”

“Tapi kenapa?” soal Juita beria-ia.

“Inspektor kita tak beritahu kau lagi ke?” Syifa berasa pelik pula. Selalunya cepat sahaja si Izuddin beritahu Juita apabila tiba bab-bab begini.

“Hmm… dia terlupalah tu.”

“Iz ada beritahu aku. Nama dia Jeff…” sebut Syifa.

“Oo… Jeff ke nama dia? Tapi, kenapa panggil abang tongsan pulak?” Juita sedikit pelik. Suka-suka hati sahaja si Izuddin memberi gelaran begitu kepada orang.

“Sebab nama sebenar dia bukan Jefridin!” Walaupun mulut berisi, sempat juga Syifa buat lawak.

“Apa maksud kau?” Juita sudah menghentikan suapan dan menunggu jawapan Syifa.

“Sebenarnya nama dia ala-ala Jeffrey Ong atau Jeffrey Cheah gitu!” beritahu Syifa. Dia juga berselera sekali menikmati hidangan makan tengah hari mereka.

“La… macam tu ke?” keluh Juita sedikit hampa.

“Tak payahlah patah semangat! Mana tahu abang tongsan tu keturunan Laksamana Cheng Ho? Ikut sejarah, Laksamana Cheng Ho pun sempat tunaikan haji tau. Jangan main-main,” beritahu Syifa.

“Yalah tu. Kat mana kau baca?” Juita minta kepastian.

“Tanya pak cik googlelah. Kau tau, nama Islam Laksamana Cheng Ho adalah Haji Mahmud Shams,” terang Syifa. Dia tahu pun sebab terbaca di facebook, kemudian dia semak untuk kepastian.

“Oo…” Kini Juita lebih memberi tumpuan pada ikan tongsan yang sangat menyelerakan. Apa yang Syifa beritahu sedikit melegakannya. Dia amat berharap jejaka itu memang keturunan Laksamana Cheng Ho!

“Tapi kan, bila lama-lama aku perhatikan, rasanya abang tongsan pun ada hati kat kau la,” komen Syifa pula. Bukan sekali dia terperasan, sudah dua tiga kali jugalah.

“Pandailah kau! Jumpa pun baru beberapa kali, boleh pulak kau menilai hati orang?” soal Juita menyembunyikan rasa gembira yang terdetik. Kalau Syifa sudah berkata begitu, memang bukan dia seorang sahaja yang terlebih perasan.

“Yang penting kau suka dia, kan?” Syifa menduga.

“Setakat suka tengok wajah handsome dia ajelah. Tak lebih dari itu,” balas Juita bersahaja. Mana boleh beritahu rahsia hati.

“Kalau lebih pun, apa salahnya? Kau orang pun macam pinang dibelah dua. Sama cantik, kerja pun sama hebat,” komen Syifa lagi.

“Kau tahu ke dia kerja apa?” Pantas Juita menyoal.

“Tak tahu! Kena suruh inspektor kita siasatlah. Tapi macam yang pernah aku cakap, kalau bukan jurutera, mesti arkitek.” Seperti sebelum ini, Syifa masih dengan keyakinan yang sama.

“Kalau dia bekerja sebagai mandur aje, macam mana?” soal Juita pula.

“Kau ni… mamat tu punyalah bergaya, takkanlah kerja mandur aje? Jawatan tu pun dah tak ada orang pakai. Sekarang ni orang pakai supervisor, biar super dan tak mundur!” balas Syifa kemudian ketawa pula.

“Mana tahukan, dia pun sebiji macam Izuddin? Tak ada sesiapa pun nak percaya dia pemandu dan pengawal peribadi aku.” Juita juga turut geli hati dengan lawak sahabatnya.

“Nak aku tanyakan?” giat Syifa.

“Mestilah, nanti jangan lupa ingatkan inspektor kita tu, ya?” pesan Juita merujuk kepada Izuddin yang selalu melakukan kerja tambahan.

“Tak ada masalah. Lepas makan ni, aku akan tuliskan senarai semak untuk dia siasat,” janji Syifa.

“Mak ai! Kena buat senarai semak jugak ke? Aku cuma nak tahu dia kerja apa.” Juita sudah menjungkit kening.

“Aku, kalau buat kerja mesti beri lebih dari apa yang diminta!” ujar Syifa memuji diri sendiri.

“Itu yang buat aku sayang sangat dengan kau. Memang susah nak cari kawan yang sehati dan sejiwa ni.” Juita turut memuji sahabatnya.

“Apa lagi? Malam ni kau masak tau. Dah dua hari asyik aku aje yang masak. Ingat nak rehat seminggu. Boleh?” gurau Syifa.

“Aku tak kisah, tapi aku masak lauk kegemaran aku ajelah,” balas Juita.

“Tak ada hal. Janji aku aku tak payah sibuk nak fikir lauk apa nak masak!”

Sekejap sahaja, mereka berdua selesai menjamu selera. Kini Juita duduk menyandar pula. Ikan tongsan sudah selamat masuk ke dalam perut. Tiba-tiba wajah mamat handsome muncul kembali. ‘Abang tongsan pun abang tongsanlah. Tetap penyedap mata!’ detik Juita dengan hati berbunga.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.