Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,948
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 10

SELEPAS makan tengah hari, waktu kerja Jeffrey dihabiskan dengan meneliti dokumen di atas mejanya. Dia hanya pergi ke tapak pembinaan dan memantau projek pada sebelah pagi sahaja. Sebelah petang pula dia akan memberi lebih tumpuan pada tugasan di pejabat.

Dia perlu menentukan siapa yang patut mengambil tindakan apabila menerima surat, sama ada komen daripada klien atau yang mahukan sebut harga untuk perkhidmatan yang diberikan. Tidak lupa memastikan semua invois telah dikeluarkan untuk projek yang telah disiapkan. Andai ada projek baru, lagi sibuklah dia.

Apabila mempunyai rakan kongsi, dalam menguruskan syarikat, masing-masing perlu memainkan peranan. Semua itu mengajar Jeffrey erti amanah dan tanggungjawab. Biar rakan kongsinya tidak selalu berada di pejabat, kerja perlu diselesaikan seperti biasa.

Tidak timbul siapa yang lebih banyak membuat kerja. Setiap mereka ada tugas dan kepakaran masing-masing dalam bidang tertentu. Andai terlalu berkira, lebih baik awal-awal lagi tidak payah berkongsi mahupun bekerjasama.

“Sibuk nampak?” tegur Azman yang terus sahaja masuk ke bilik Jeffrey.

Dia baharu sahaja balik dari menghadiri mesyuarat teknikal projek di Presint 11, Putrajaya. Hari ini tiada aktiviti penting di tapak pembinaan memandangkan hujan telah turun sejak pagi.

“Biasalah, petang-petang begini kena teliti dokumen yang masuk pulak,” balas Jeffrey. Walaupun penat, dia tetap memberikan senyuman.

“Buat apa kau nak kerja teruk-teruk sangat? Kita ada ramai staf yang boleh tolong tengokkan. Kalau semua benda kau kena ambil berat, kau jugak yang susah,” nasihat Azman yang masak benar dengan perangai sahabatnya ini. Sentiasa mahukan kesempurnaan sampai tidak kisah walaupun terpaksa buat sendiri.

Jeffrey tersenyum lagi. “Walaupun kita bos, tak bolehlah lepaskan semua kerja kat staf. Mereka pun ada tugas lain yang perlu diselesaikan. Aku cuma nak pastikan semua kerja berjalan dengan lancar dan klien tidak komen macam-macam.”

Prinsip Jeffrey mudah sahaja, tugasan pada hari ini wajib diselesaikan pada hari ini juga. Sebarang tindakan kena cepat dan tepat supaya syarikat tidak mengalami apa-apa kerugian dari segi masa mahupun kewangan. Setiap peluang yang datang perlu direbut tidak kira berapa profitnya.

Projek yang kecil juga dia tetap akan ambil. Walaupun ia tidak memberi keuntungan yang besar, sekurang-kurangnya stafnya dapat menimba pengalaman yang berguna. Dia melatih stafnya dengan terus melibatkan mereka dengan projek sebenar. Begitu lebih berkesan dari hanya belajar secara teori sahaja.

“Kerja-kerja jugak, tapi jangan lupa fikir diri sendiri. Aku dan Shahrul dah jumpa suri di hati. Kau bila lagi?” Tiba-tiba Azman mengubah topik peribadi pula. Adakalanya kena ingatkan Jeffrey pasal hal yang satu ini. Azman juga mahu melihat sahabatnya hidup berbahagia seperti orang lain juga. Berkeluarga dan mempunyai isteri yang akan menjaga makan dan pakainya.

“Kalau boleh aku memang nak ada keluarga sendiri. Balik rumah ada yang sambut aku, tapi nak buat macam mana, kan?” balas Jeffrey sambil menyusun dokumen yang sudah disemak dan diletak di atas tray.

“Kau tulah! Tak cukup di ofis, di rumah pun nak buat kerja jugak. Luangkanlah masa berjalan ke mana-mana. Awek kat Malaysia ni banyak, kau tu aje yang memilih sangat.” Azman memberikan cadangannya.

“Memanglah kena pilih, bukan boleh main taram aje.” Bagi diri Jeffrey, berkahwin hanya sekali seumur hidup. Kalau sudah tersalah pilih, memang meranalah jiwa. Isteri bukan boleh ditukar ikut suka hati.

“Aku tak fahamlah dengan kau ni. Muka handsome, kerja pun bagus. Kenapalah masih tak ada girlfriendjugak? Ke kau takut ada komitmen?” Azman sengaja menduga Jeffrey yang selalu sahaja ada jawapan apabila isu ini ditimbulkan.

“Kau ni, ke situ pulak! Aku sebenarnya tak nak membuang masa. Kalau dah jumpa yang aku berkenan, aku akan terus ajak kahwin. Malas nak keluar dating ni.” Jeffrey memberikan alasannya.

“Ya sangatlah nak bercinta selepas kahwin. Padahal hendak memulakan langkah pun kau tak berani, kan?” perli Azman.

“Aku bukan apa, kalau tiap-tiap hari keluar tapi akhirnya tak kahwin jugak, baik tak payah. Masa aku tak terbuang, duit pun tak habis.” Ada sahaja jawapan Jeffrey untuk mengelakkan diri.

“Kau ni… itu pun nak berkira. Harta dan duit yang mama kau tinggalkan pun tak luak,” balas Azman pula. Bukan dia tidak tahu Jeffrey mewarisi semua harta peninggalan mamanya. Bukan setakat saham, rumah sewa dan rumah kedai, pendek kata tidak payah kerja sangat pun tidak mengapa.

“Memanglah aku ada banyak harta, tapi ia tak sama dengan harta yang kita usahakan sendiri.” Jeffrey memberikan pandangannya. Bagi dirinya, kejayaan yang diperolehi hasil usaha dan titik peluh sendiri lagi memberi makna. Segala yang diperolehi akan lebih dihargai.

“Yalah, setiap orang berbeza pandangan. Suka hati kaulah, tapi jangan nanti jadi bujang terlajak. Terlajak laris tak apa!” Azman sudah ketawa.

“Hish kau ni! Tak mainlah terlajak-lajak. Kau dah kahwin, senanglah cakap macam tu. Walaupun ramai awek di luar sana, bukan semuanya memenuhi kriteria. Aku bukan semata-mata mencari seorang isteri, aku mencari pendamping dan ibu kepada anak-anak aku,” ujar Jeffrey menyatakan pendiriannya.

“Bukan main lagi kau punya angan-angan!” Azman seakan memerli pula.

“Aku percaya, tiba masanya gadis idaman aku pasti akan muncul di depan aku,” ujar Jeffrey dengan yakin sekali. Dia juga sudah mengukir senyuman.

“Okeylah, aku pun dah nak balik. Hari ni tak dapatlah nak temankan kau minum petang. Aku nak keluar dengan isteri kesayangan aku.” Azman bangun meninggalkan Jeffrey. Duduk lama-lama berdebat dengan Jeffrey pun bukannya mengguntungkan.

Jeffrey hanya mengangguk kemudian menyandar sambil memejamkan matanya. ‘Sampai bila aku mahu begini?’ detiknya.Kini hanya sepi yang menemani dan dia tidak mahu selamanya begini.


JAM sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Jeffrey masih berada di pejabat. Selama ini, entah apa sebenarnya yang dicari dalam hidup. Ada banyak duit pun tidak membahagiakan dirinya.

Apabila ditimpa masalah, lagilah buat dirinya berserabut. Ketika itu, tiada apa yang dapat menenangkan dirinya. Apa yang dia miliki tidak mampu memenuhi apa yang dia inginkan dalam hidup ini. Akhirnya dia bagai kehilangan segala-galanya.

Seketika dia menatap gambar keluarga yang terselit di dalam diarinya. Terasa begitu pantas masa berlalu. Tiba-tiba rasa rindu terdetik di hati. Tidak semua memori mampu dirakam melalui gambar. Begitupun, Jeffrey bersyukur kerana diberi nikmat untuk merakam sebahagian besar kenangan terindah dalam hidupnya. Kemampuan dirinya untuk mengingat semua itu satu anugerah yang tidak ternilai.

Pita memori bisa sahaja diputar, dikenang dan disusuri. Namun, kenangan yang menggembirakan atau meruntun jiwa pasti tidak mampu mengembalikan apa yang telah pergi dari hidup. Harapannya semoga TUHAN makbulkan doanya dan permudahkan urusannya. Semoga perancangannya seiring dengan takdir yang direncanakan-NYA.

Akhirnya Jeffrey segera mengemas barangnya. Lebih baik dia balik ke rumah. Sebelum itu pasti sahaja singgah di restoran yang tidak berapa jauh dari rumahnya. Kini restoran itu menjadi satu kemestian untuk dikunjungi. Setiap hari dia akan cuba singgah di sana.

Entah kenapa dia bagai ditarik-tarik untuk terus mengunjungi restoran itu. Kalau tidak sempat bersarapan di situ, dia akan datang pada waktu tengah hari pula. Ketika minum petang memang tidak di restoran lain melainkan kalau dia berkerja hingga lewat petang.

Paling dia gemari, restoran itu sentiasa menghidangkan menu harian yang sentiasa bertukar dan menepati seleranya. Lagipun ia tidak berhadapan dengan jalan besar, jadi suasananya lebih tenang.

Tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Di situ juga ada sesuatu yang sering membuat dia tertunggu. Rakan-rakan sering bertanya, namun dia tidak pernah menyatakannya. Biarlah ia menjadi rahsia dan tidak perlu dihebohkan. Sampai masanya, mereka akan tahu sendiri!

Previous: Bab 9
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.