Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,925
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 27

PAGI Sabtu, setelah bersarapan di restoran mamak, Syifa menyertai Juita yang melepak di ruang tamu. Petang nanti dia bercadang mahu mengajak Juita keluar berjalan-jalan di ibu kota pula.

Seingatnya, sudah agak lama juga mereka berdua tidak memanjakan diri dengan membeli-belah. Lagipun apa gunanya duit berkepuk-kepuk, tetapi asyik disimpan dalam peti besi? Baik dibelanjakan dengan membeli barangan idaman hati.

Dahulu hanya mampu memandang sahaja kerana memang tidak berduit. Sekarang ini, dengan kedai-kedai sekali mereka boleh membelinya. Tetapi guna duit Juitalah, bukan duit dia. Syifa tukang belanja dan Juita tukang bayar! Seketika Syifa tersenyum sendiri.

“Kau ni okey ke?” tanya Syifa sambil mencapai surat khabar. Baru perasan Juita kelihatan resah dan bagai ada yang mengganggu fikirannya.

Kelmarin sahabatnya itu sudah menceritakan segalanya pasal abang tongsan yang ‘menculiknya.’ Memang Syifa tabik hormat dengan apa yang Jeffrey lakukan. Bukan calang-calang orang boleh nekad dan berani berbuat begitu.

Paling mengejutkan, apa yang Syifa harapkan betul pula. Mujur si Jeffrey ini memang sama keturunan dengan Laksamana Cheng Ho. Tidak payahlah Juita hendak sakit kepala fikir pasal isu yang pada awalnya dirasakan akan menjadi penghalang pada hubungan mereka.

“Entahlah!” jawab Juita kemudiannya. Terasa begitu berat mengucapkan perkataan itu. Sekejap dia merasakan patut beritahu Syifa, seketika berasa segan pula. Ini soal hati dan perasaan. Dia tidak pernah meluahkan secara terang-terangan kepada sesiapa pun.

“Nak cerita ke tidak ni?” umpan Syifa yang sudah mula merasakan sesuatu. Selalunya Juita jarang berkeadaan begini. Walau sebesar mana pun masalah yang dihadapi, dia masih boleh mengatasinya. Paling tidak, dia masih boleh berpura-pura tenang. Tidak pun, dia buat bodoh sahaja dan bagai tiada apa yang terjadi.

Sudahnya Juita memandang wajah Syifa yang menanti maklum balas daripadanya. “Can I trust you?” soalnya sambil merenung ke dalam mata Syifa. Cuba mencari sebuah pengertian.

“Soalan apa ni? Aku dah buat macam-macam dan kau masih ragu-ragu dengan aku?” Sedikit meninggi suara Syifa. Dia berasa tercabar pula apabila Juita bertanya begitu. Macamlah mereka baru kenal sebulan dua dan tidak pernah saling menyimpan rahsia.

“Janji kau takkan ketawakan aku,” pinta Juita dengan wajah serius. Sebenarnya dia mahu ketawa juga, tetapi segera disimpan.

“Kau jangan nak buat aku saspens, Jue.” Syifa sudah tidak senang duduk. Surat khabar di tangannya sudah tidak menarik minat. Bicara Juita membuat dirinya tidak sabar hendak tahu lebih lanjut. Apa pula yang melucukan sahabat baiknya ini?

“Aku rasa aku dah jatuh cinta,” beritahu Juita kemudian cepat-cepat memandang ke arah lain. Dia berasa segan untuk melihat reaksi Syifa.

“Apa? Kau dah jatuh cinta?” Syifa terus ketawa berdekah-dekah sebaik mendengarnya. Tanpa boleh dikawal, air matanya sudah mula keluar walaupun bukan kerana bersedih.

“Tengok tu, kan dah kata jangan ketawa!’ marah Juita yang geram melihat gelagat sahabatnya itu.

“Akhirnya kau mengaku kalah jugak dengan abang tongsan tu!” Syifa masih dengan tawanya tetapi tidak sekuat tadi. Seketika dia mengurut dadanya. Sungguh dia tidak menyangka rupa-rupanya pasal hal yang satu itu yang membuat Juita tidak menentu.

“Dahlah tu! Ini yang aku malas nak cerita dengan kau,” sungut Juita sambil menjeling Syifa.

“Bukan ke hari tu kau suruh dia balik tongsan dan jangan ganggu kau lagi?” tempelak Syifa mengingatkan cerita Juita semasa dia ‘diculik’ Jeffrey.

“Masa tu aku tengah marah. Semua perkataan yang entah apa-apa pun boleh keluar,” balas Juita dengan selamba.

Kini Syifa juga asyik tersenyum simpul. Akhirnya abang tongsan juga yang berjaya mencuri hati emas si Juita. Sebelum ini, lama jugalah sahabatnya ini menghindarkan perasaannya terhadap kaum adam. Andai orang lain, memang sudah beranak tiga!

“Yang kau asyik tersenyum ni, kenapa?” Juita yang perasan terus menegur.

“Sajalah! Aku sedang membayangkan betapa lebarnya senyuman abang tongsan ni. Hmm… mesti sampai ke telinga kalau dia tahu,” balas Syifa.

Juita tidak membalas apa-apa. Betullah apa yang Syifa katakan. Hatinya sendiri pun sudah mula berbunga-bunga sebaik nama lelaki itu teringat di minda. Aduhai, Jeffrey! Apabila kesabaran sudah hilang, ketika itu pula muncul perkataan ‘tongsan’. Kemudian perkataan itu bertukar kepada abang tongsan. Akhir sekali, tiba-tiba sahaja ada pula tambahan perkataan ‘sayang’ di hujungnya!

“Sekarang ni kau nak buat apa?” tanya Syifa pula. Mahu tahu juga perancangan Juita seterusnya.

“Tak ada nak buat apa-apa. Tunggu dan lihat aje apa abang tongsan ni nak buat. Lepas tu main tarik tali dengan dia. Tak pun main aci lut dengan dia.”

“Amboi kau ni! Sengaja nak main-mainkan dia, ya?” perli Syifa.

“Kalau tak buat macam tu, tak manislah hubungan kita orang. Aku kena balas balik apa yang dia buat kat aku,” balas Juita mempertahankan tindakannya.

“Suka hati kaulah, tapi jangan berlebih nanti tersilap langkah pulak. Karang ada yang menangis tak berlagu,” Syifa mengingatkan.

“Aku tahulah apa nak buat,” balas Juita sambil tersenyum-senyum.

“Satu aje, jangan kenakan abang tongsan ni teruk-teruk. Kesianlah dekat dia,” nasihat Syifa.

“Biarlah aku kenakan dia cukup-cukup, barulah adil dan saksama!” Juita sudah tertawa. Berbagai idea sudah ada dalam mindanya, sama ada sampai hati atau tidak sahaja hendak melakukannya.

“Jangan Juita, silap hari bulan kau pulak yang kecewa,” tegur Syifa pula. Juita ini kadang-kadang bertindak bagai budak belasan tahun apabila tiba bab begini.

“Yalah…” balas Juita kemudian tersenyum lagi.

Mengingatkan abang tongsan, walaupun geram dengannya tetap berasa suka juga. Kalau marah sekalipun, biasanya Juita hanya mampu menjeling sahaja. Itupun cuma sebentar kerana Jeffrey akan berbalas tenung pula dengannya. Kalau lagi lama Jeffrey tenung dia, memang luruhlah jantung Juita.

Mengingatkan saat itu, memang kelakar dan buat Juita hendak tergelak juga. Paling dia tidak boleh lupa adalah ungkapan balas abang tongsan yang menyebut ‘sama-sama bina masjid’ lagi buat dia tidak tenteram jiwa dan raga. ‘Aduhai… perasan sungguh aku ini!’ detiknya sendiri.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.