JUITA
sudah lama tiba di Seri Pasific Hotel, namun bayang Syifa masih tidak nampak.
Klien yang beria-ia mengajak mereka berdua dinner
di sini juga masih tidak kelihatan. Ini yang Juita cukup pantang dan menyampah.
Ketika
dia tiba di sini, jam sudah menunjukkan pukul 8.20 malam. Kononnya klien mengajak
dinner di sini pukul 8.30 malam.
Sekarang ini jamnya sudah menunjukkan 8.50 malam! Dia cuba menghubungi Syifa,
tetapi tidak dapat pula. Memang hendak kena sekeh orang yang tidak menepati
janji ini. Juita terpaksa menahan rasa geram di hati.
Akhirnya
Juita memerhati dan menikmati suasana sekeliling yang dirasakan begitu tenang
sekali. Dia berada di satu sudut hotel yang agak istimewa. Hiasan dalaman hotel
ini memang mempesonakan. Meja dan kerusi yang dia duduki sekarang pun lain
daripada yang lain. Terasa diri dilayan istimewa pula.
Penat
menunggu, sekali lagi Juita menghubungi Syifa. Tidak boleh jadi andai
dia terus duduk di sini tanpa berbuat apa-apa. Kalau klien tidak jadi datang,
baik dia pulang sahaja.
“Helo,
kau kat mana?” Juita terus bertanya sebaik Syifa menjawab panggilannya.
“Kau
tunggu aje kat situ. Aku dah sampai. Ni tengah cari parking.”
“Cepatlah
sikit, dah lama aku menunggu kat sini,” ujar Juita dengan perasaan geram.
“Ya,
sabar…” ucap Syifa dan terus memutuskan talian sebab tidak mahu mendengar
bebelan Juita.
Juita
melepas keluhan. Ini yang dia tidak suka. Menunggu dan terus menunggu. Klien
ini pun satu, entah janji apa yang dia pakai!
Tiba-tiba
kedengaran piano dimainkan. Juita terus membetulkan duduknya agar dapat
memandang pemuzik yang sedang memainkan lagu klasik itu. Memang begitu indah
dan mengasyikkan. Seketika Juita bagai terleka pula dengan alunan muzik itu.
“Amboi,
khusyuk nampak!” tegur Syifa sambil duduk di kerusi sebelah Juita. Dia juga
termengah-mengah kerana berjalan laju menuju ke sini.
“Apasal
lambat? Eh, Norman pun ada sekali?” Terkejut Juita sebaik menyedari tunang
Syifa juga ada bersama. Hendak membebel pun langsung tidak jadi.
“Maaflah.
Boleh kan, Encik Abang aku ikut sekali?” Syifa mengangkat kening memandang
Juita.
“Dah
sampai, takkan aku nak halau pulak!” Juita faham sendiri walaupun Syifa tidak
beritahu sebab tunangnya mahu tumpang sekaki.
“Nice song,” puji Norman yang turut
menyukai lagu yang dimainkan.
“Tulah…
kalau kat rumah, boleh tertidur juga sebab mendayu sangat,” balas Juita.
Walaupun dia langsung tidak pandai bermain piano, dia memang peminat setia
Yanni dan Richard Clayderman. Dalam simpanannya ada berpuluh CD kedua-dua
pemuzik hebat itu.
Syifa
juga turut terbuai dengan alunan muzik itu walau baharu sahaja mendengarnya.
“Eh, itu bukan Anuar Zain ke?” Tiba-tiba Syifa bertanya sebaik terpandang ada
seorang lelaki berdiri di sebelah pemain piano itu.
Juita
yang sedang terleka terus tersedar. “Mana?” Dia segera mencari kelibat orang
yang Syifa maksudkan. “Yalah, itu memang Anuar Zain. Penyanyi pujaanku!”
sambungnya dengan ceria sekali.
“Tidak
sia-sia kita datang ke sini.” Syifa juga sudah teruja seperti Juita.
“Hmm…
hmm…” Norman memberi isyarat.
“Alahai,
Encik Abang ni! Handsome macam
manapun jejaka pujaan Malaya tu, kau tetap di hatiku.” Syifa segera bersuara.
Nanti tidak pasal-pasal ada pula yang merajuk sakan. Sudahlah mahu berjumpa
bukan main susah. Dalam setahun, dua atau tiga kali sahaja baharu mereka ada
peluang untuk berdating!
“Kali
ini berapa lama you bercuti, Norman?” Sengaja Juita ingin tahu, tetapi matanya
tidak lepas dari memandang penyanyi pujaan hati.
“Sebulan
jugaklah,” beritahu Norman.
“Amboi!
lamanya. Nak terus kahwin ke? Syifa tak cerita pun,” usik Juita sambil
menjeling sahabatnya.
Nampaknya
dia kena susun semula jadual kerjanya. Syifa tentu sahaja mahu meluangkan lebih
banyak masa untuk bersama tunang tersayang. Kenalah dia ambil alih tugas Syifa
buat sementara waktu.
“Kau ni…
ke situ pulak!” rungut Syifa. Tidak senang dengan usikan Juita.
“Lama
lagi ke, kerja Norman dekat Sudan tu?” Juita bertanya lagi. Setahunya, sejak
tahun lepas lagi lelaki itu bertugas di sana.
“Balik
nanti kena kerja lagi enam bulan, lepas tu saya dah merdeka!” Norman sudah
tertawa dengan bicara sendiri.
“Hujung
tahun boleh terus kahwinlah kalau dah macam tu. Tak adalah awek sorang tu angau
memanjang.” Juita sengaja mengusik Syifa.
“Insya-ALLAH...
you tolonglah doakan kita orang,” ucap Norman dengan gembira sekali.
“Wei,
kau tak nak ambil gambar dengan Anuar Zain ke?” tanya Syifa pula, mengubah
topik perbualan.
“Kau ni…
kita bukan budak-budaklah!” sebut Juita.
“Kata minat
bangat!” perli Syifa pula.
“Aku
minat suara dan lagu dia aje,” sangkal Juita pula. Memang dia minat sangat
dengan Anuar Zain, tetapi tidaklah sampai obsess dengan penyanyi itu.
“Oo… dah
minat dengan orang lain, ya? Ingat nak rekomen kau kat dia,” usik Syifa sekadar
bergurau menceriakan suasana.
“Hish
kau ni!” marah Juita sambil menampar lengan Syifa. “Eh, klien kita ni jadi ke
tidak dinner kat sini?” Tiba-tiba
baru Juita teringat tujuan asal mereka ke sini.
“Ya tak
ya jugak. Kejap aku telefon dia.” Syifa terus mengeluarkan telefonnya yang
disimpan dalam beg tangan yang cantik dan comel.
Seketika
Juita membelek beg tangan sahabatnya itu. Rasanya dia tidak pernah nampak. Hmm…
hadiah daripada Norman agaknya. Dia menduga sendiri. Tengok pada reka bentuknya
memang gaya terkini.
“Dapat?”
soal Juita.
“Dia
kata, sekejap lagi dia sampai.”
“Nasiblah
projek juta-juta. Kalau tak, tak kuasa aku nak ke sini.” Juita sudah tunjuk
muka bosan.
“Amboi!
Boleh tahan jugak projek yang korang dapat, ya?” sampuk Norman pula. Tidak
sangka dia rupanya bisnes Juita dan Syifa kencang juga.
“Ingat
kita orang ni bisnes kerepek? Jangan pandang rendah dengan tunang awak ni tau,”
balas Syifa sengaja tunjuk lagak pada tunang sendiri.
Juita
dan Norman tertawa mendengar bebelan Syifa. Tidak mahu kalah!
Tiba-tiba
lampu dimalapkan. Kedengaran intro sebuah lagu sedang dimainkan.
“Wei,
lagu aku!” Juita sudah begitu teruja. Seronok sungguh dia apabila dapat
mendengar secara langsung persembahan Anuar Zain. Ketulusan Hati memang lagu
berhantu yang paling disukainya. Pasang berulang kali pun dia tidak pernah jemu mendengarnya.
Saat
ini, mata mereka bertiga tidak berkelip menonton persembahan memukau Anuar Zain
di sebelah pemain piano. Tidak pasti pula kenapa Anuar Zain berada di hotel
ini. Mungkin juga ada persembahan di sini atau sekarang ini dia sedang berlatih
untuk acara pada malam ini.
Andai
masih budak sekolah, sudah lama Juita dan Syifa terjerit-jerit. Mengingatkan
diri yang sudah besar panjang, Juita terus sedar diuntung. Nanti tidak kahwin
pula sampai ke tua!
Cintaku tak berdusta
tak mengenal ingkar
tak kenal nestapa…
Cintaku hanya indah
hanya bahagia untuk selamanya…
Aduhai…
memang Juita cair mendengar lirik lagu yang menyentuh hati ini. Seketika baharu
dia perasan sesuatu. Dia segera menoleh sekeliling, kenapa hanya mereka bertiga
sahaja dan tiada orang lain? Orang lain yang dia nampak hanyalah beberapa orang
petugas hotel yang sibuk dengan tugas masing-masing.
Juita
bertambah berdebar sebaik menyedari penyanyi pujaannya mengatur langkah
menghampiri meja mereka. Dia segera menyiku Syifa yang sudah berteleku
menghayati lagu yang dinyanyikan.
Syifa
terus mengangkat bahu tanda tidak mengerti.
Semakin
hampir Anuar Zain ke meja mereka, lampu yang sebelum ini agak malap, menjadi
semakin terang. Kejutan apakah ini? Juita tertanya sendiri apabila menyedari
Anuar Zain mendendangkan lagu itu bagai ditujukan khas untuk dirinya. Itu yang membuat
Juita berasa semacam.
Sekali
lagi Juita menoleh ke arah Syifa. Tiba-tiba, rasa mahu gugur jantung sebaik
menyedari bukan Syifa di sebelahnya. Tidak semena-mena dia berasa sesak nafas
dan terpaksa menghela nafas dalam-dalam.
Namun dia semput kembali kerana tidak mampu menahan getaran di jiwa. ‘Huwa… Nak
oksigen!’ jerit hatinya.