KINI,
bulan telah bertukar tahun. Hari demi hari terus berlalu. Juita semakin mahir
selok belok dalam perniagaan. Dia semakin matang dalam menangani masalah atau
apa jua situasi yang melanda syarikat. Dia memang beruntung kerana ada sahabat
seperti Syifa dan staf yang sentiasa menyokongnya.
Masing-masing
tahu tanggungjawab tanpa perlu dipantau. Apatah lagi apabila Juita memberi
sepenuh kepercayaan kepada stafnya dalam menjalankan projek tertentu. Apabila
Juita sentiasa bersangka baik, semua kerja juga berjalan dengan lancar. Itulah
pentingnya memupuk kepercayaan kepada yang telah memberi sepenuh jiwa dengan
tugasan yang diberikan.
“Kenapa
orang kaya bertambah kaya dan orang miskin tak senang-senang jugak?” tanya Syifa
pada suatu hari. Entah kenapa dia ingin bertanyakan soalan itu kepada Juita. Ia
bukanlah isu yang menarik sangat, namun dia mahu tahu juga pandangan sahabatnya
ini.
“Apasal
tiba-tiba kau nak tahu pulak? Selama ini, bukan ke kau dah kaya-raya? Anak
orang kaya, duduk dan berkawan dengan orang kaya!” gurau Juita pula. Dia juga
turut tergelak dengan pertanyaan itu.
“Kau ni…
ke situ pulak? Aku serius nak tahu ni,” balas Syifa sambil menyiku lengan
Juita.
“Orang
kaya, takkan beritahu orang kaya yang lain bagaimana nak jadi lebih kaya. Tapi,
dia mungkin akan beritahu pada orang yang tak mungkin akan kaya,” beritahu
Juita sambil angkat kening.
“Pandai
ajelah kau ni.” Syifa sudah tertawa mendengarnya.
“Tengok,
bila aku cakap, kau gelak. Kau tak percaya ke, apa yang aku cakap tu?” Bagi
Juita, itulah jawapan yang dia ada walaupun tidak seratus peratus betul.
“Tak
fahamlah aku dengan kau ni!” komen Syifa. Sahabatnya ini kadang-kadang berlagak
seperti seorang yang naif. Namun, ada ketikanya otak Juita tersangatlah bijak
menyelesaikan masalah yang dia sendiri sukar mencari jalan penyelesaiannya.
“Kaya yang
sebenarnya bukan dengan memiliki harta berjuta. Kita dikategori sebagai kaya
andai apa sahaja yang kita nak buat, semuanya boleh dilakukan,” terang Juita.
Ia hanyalah pendapat peribadinya sahaja. Orang lain belum tentu bersetuju
dengan pandangannya.
“Apa
maksud kau?”
“Kalau
kau nak makan beriani kambing satu talam, cakap aje sudah terhidang. Itu
maknanya kau memang kaya. Kalau duit kau berkepuk tapi nak makan ayam tak
boleh, nak makan daging kena berpantang, itu miskin dalam kaya. Ada banyak duit
pun tak bahagia!” terang Juita.
“Kau ni
buat aku peninglah!”
“Itu pun
nak pening ke? Yang kau nak tahu sangat ni, kenapa?” soal Juita pula.
“Yalah,
kadang-kadang hidup ini bagai tak adil pada golongan tertentu. Ada yang
berusaha bagai nak rak, tetap hidup susah. Ada tu pulak, duduk goyang kaki tapi
duit masuk setiap bulan.”
“Kenapa
nak pertikaikan rezeki yang ALLAH bagi kat kita? Sebenarnya ALLAH tak pernah
berkira dalam memberi rezeki. Kau tak mintak pun, ALLAH tetap bagi,” tutur
Juita.
“Bukan
itu maksud aku. …”
“La… kau
ni macam tak tahu pulak. TUHAN beri pahala pada usaha yang kita lakukan dan
bukannya pada hasil yang kita perolehi. Takkan itu pun kau tak tahu?” sebut
Juita mengingatkan Syifa yang mungkin terlupa.
“Iya
ke?” Syifa cuba memikirkan kata-kata Juita dengan dahi berkerut. Macamlah
perkara itu susah sangat untuk difahami.
“Tak
payah fikir sangatlah pasal semua tu. Ni, macam mana temu duga hari ni?” Juita
mengingatkan temu duga jawatan arkitek yang telah diiklankan. Semalam sesi temu
duga sudah bermula, tetapi masih belum berjumpa calon yang berkelayakan.
“Pukul
2.30 nanti ada dua tiga orang lagi datang temu duga. Yang datang pagi tadi
memang hampehlah. Gaji nak banyak, tapi bila tanya benda senang pun tak reti
nak jawab,” beritahu Syifa.
“Aku nak
staf yang tahu buat kerja. Jenis yang tak kisah aku campak dia dekat projek
mana sekalipun, tetapi sanggup buat kerja. Kalau banyak songeh, tak payah
ambil,” tegas Juita.
“Aku
tahu kriteria pekerja yang kau nak. Kalau tak dapat jugak, kita terpaksa
iklankan lagi.”
“Petang
ni aku free, tengoklah macam mana.
Kalau sempat aku akan jumpa dia orang ni dulu. Kadang-kadang syok jugak kenakan
bebudak muda ni.” Juita sudah tersenyum-senyum.
“Kau ni…
tak baik tau!” tegur Syifa.
“Dah
syarikat aku, suka hati akulah nak buat apa. Temu duga cara formal ni
kadang-kadang banyak yang plastik!” komen Juita.
“Aku tak
boleh cakap banyaklah, kan? Yang penting semua projek okey dan aku dapat apa
aku nak,” balas Syifa. Petang ini sah-sah ada yang terkena dengan Juita. Nasib
koranglah! detiknya.
SELEPAS
makan tengah hari, Juita masuk semula ke pejabat, Sebaik ternampak dua orang
calon yang menanti untuk ditemu duga, dengan selambanya dia duduk di ruang
tengah antara mereka berdua.
Di
sebelah kanannya calon lelaki yang segak berkemeja dan siap pakai tali leher.
Sebelah kiri pula seorang yang agak biasa dan hanya berbaju T lengan pendek
dengan seluar jean. Masing-masing membawa fail yang dalamnya sudah tentu ada
sijil-sijil yang diharapkan dapat membantu mereka mendapatkan jawatan yang dipohon.
Juita
mencapai surat khabar dan terus membelek-belek berita utama. Kemudian ke
halaman belakang pula untuk mengetahui perkembangan sukan. Seketika dia menoleh
memandang kedua-dua pemuda yang setia menanti untuk ditemu duga.
“Ada
temu duga ke?” tegur Juita pada pemuda sebelah kanannya.
Pemuda
itu mengangguk. Tidak ada keinginan pun untuk melemparkan senyuman kepada
Juita.
“Masa
belajar dulu, adik ambil kursus seni bina peringkat diploma ke ijazah?” selidik
Juita sambil pura-pura membaca artikel di surat khabar.
“Kenapa
akak nak tahu sangat? Tak ada kena mengena dengan akak pun, kan?” balas pemuda
itu. Wajahnya memang menggambarkan betapa dia tidak suka dengan pertanyaan
Juita.
“Mana
tahu, akak boleh rekomen adik kat bos syarikat ni,” ujar Juita. ‘Hai, baru
datang temu duga sudah berlagak tak bertempat pulak!’ keluhnya.
“Saya
pelajar cemerlang di kolej, tak perlu sesiapa rekomen untuk dapat kerja,” balas
pemuda itu dengan berlagaknya. Dia turut memandang sinis ke arah Juita.
Mentang-mentang Juita berpakaian sempoi sahaja.
“Baguslah
kalau adik punya keyakinan yang tinggi. Ni kalau kena kerja dekat site, boleh handle kerenah klien dan pekerja asing ke?” Juita masih mahu
menduga.
“Jadi
arkitek kena turun site jugak ke?
Bukan duduk ofis buat kerja-kerja mereka bangunan?” soalnya.
“Kalau
kerja dengan syarikat bapak you, bolehlah duduk kat ofis aje! Goyang kaki pun
tak ada yang marah.” Selamba rock
Juita bercakap.
Pemuda
itu terdiam dan wajahnya telah berubah kerana terkejut dengan kata-kata Juita.
Juita
sendiri sudah mahu tergelak melihatnya. Belum pun masuk bilik temu duga, sudah
memberi gambaran negatif tentang diri sendiri. Kenapalah dia boleh berjumpa
dengan orang yang kerek dan berfikiran sempit begini? Patutnya ketika sesi temu
duga inilah masa untuk menjual kelebihan yang ada pada diri.
“Kamu
pulak, dah tahu nak datang temu duga, apa pasallah pakai macam ni?” tegur Juita
pada lelaki yang seorang lagi. Nasib baik tidak pakai kasut boot. Kalau tidak, siang-siang sudah
kena halau dengan Juita.
“Sebenarnya
hari ni saya bekerja. Baru dapat tahu di sini ada kerja kosong, tu yang
terpaksa ambil cuti setengah hari. Nak tukar baju memang tak sempatlah,”
beritahu pemuda itu.
“Dah
elok-elok ada kerja, kenapa nak kerja kat sini pulak?” soal Juita, menduganya.
“Kerja dan
gaji tempat kerja sekarang memang okey. Tapi, saya kurang selesa bila majikan
saya tetap mengambil PATI walaupun tahu risikonya. Saya pulak kena memantau
pekerja PATI ni, kalau apa-apa terjadi susahlah saya,” terang pemuda itu.
“Sekarang
ni memang susah ke nak dapat pekerja yang ada permit?” soal Juita lagi.
“Ada tu
memang ada. Tapi kalau melibatkan orang tengah dan kena bayar itu ni, memang
lecehlah.”
“Rasanya
dari dulu sampai sekarang, nak dapatkan orang tempatan buat kerja di tapak
pembinaan memang payah pun,” komen Juita pula.
“Nak
buat macam mana? Dah orang kita tahunya nak memilih kerja yang senang aje. Gaji
nak mahal, tapi suruh buat kerja berat sikit dah merungut.” Tenang sahaja
pemuda itu memberi pandangannya.
“Ni
kalau dapat kerja kat sini, berapa bulan notis kena beri kat syarikat
sekarang?”
“Kena
beri sebulan notis, tapi biasanya boleh aje berhenti awal,” jawabnya.
“Okey.
Kalau macam tu you terus masuk ke bilik depan tu. Kalau bos tu tanya, cakap Cik
Juita yang suruh jumpa dia. You boleh bincang pasal gaji dengan dia,” arah
Juita.
Pemuda
itu terkebil-kebil memandang Juita. Dia seakan tidak percaya dan serba salah
untuk mengikut arahan yang diberikan.
“Awak
tak nak kerja kat sini ke?” soal Juita apabila pemuda itu masih tidak
berganjak.
“Nak,
nak…” balasnya. Dalam ragu-ragu, dia bangun dan menuju ke bilik yang Juita
maksudkan.
Juita
tersenyum melihat pemuda itu, kemudian beralih memandang pemuda poyo yang turut
mendengar sesi temu duga versi Juita. “Maaf ya, saya dah dapat calon yang
sesuai untuk jawatan yang syarikat saya iklankan. So, awak boleh balik,” ujar Juita dan terus bangun meninggalkan
pemuda itu terpinga-pinga!