KINI,
Juita pula yang tertunggu-tunggu dengan berbagai perasaan di kalbu. Apa yang
dia lihat sebentar tadi mengundang berbagai persoalan pada dirinya.
‘Inspektor
aku salah siasat orang ke? Atau dia tersalah beri maklumat?’ Juita tertanya
sendiri.
“Maaflah…
tadi terjumpa pulak ustaz yang saya kenal dekat Jakim,” beritahu Jeffrey dengan
kupiah masih di kepalanya.
Juita
tidak berkata apa-apa. Padahal macam-macam yang hendak dia tanya dengan lelaki
ini. Begitupun dia biarkan sahaja. Tiba masanya mungkin lelaki itu sendiri yang
akan bercerita. Nanti nampak seperti dia mahu mengenali Jeffrey dan hendak tahu
asal-usulnya pula.
“Balik
dulu Jeff. Nanti jangan lupa jemput saya masa majlis kamu berdua
dilangsungkan,” pesan seorang lelaki dan terus masuk ke dalam keretanya.
Jeffrey
menganggguk sambil mengangkat tangan.
Juita
telan air liur. Aduhai… maknanya lelaki yang dia asyik panggil abang tongsan
ini memang keturunan Laksamana Cheng Ho. “Siapa tu? Apa maksud dia?" Juita
segera bertanya. Tidak senang dengan apa yang lelaki itu ucapkan kepada
Jeffrey.
Jeffrey
memandang Juita yang menanti jawapan dengan kening terangkat. “Masuklah dalam
kereta, nanti saya cerita kat awak.”
Juita
terus melangkah masuk ke dalam kereta sebaik Jeffrey membuka pintu untuknya.
Setelah menghidupkan enjin, kereta terus meluncur meninggalkan perkarangan
masjid. Namun, hati Juita masih teringatkan apa yang terjadi sebentar tadi.
Masih menunggu Jeffrey membuka mulut.
“Awak?”
tegur Juita apabila Jeffrey diam sahaja dan bagai terlupa janjinya. Dia masih
tidak tenang selagi tidak tahu cerita sebenarnya.
“Ya?”
Jeffrey menyahut malas.
“Awak
tak jawab lagi soalan saya!” ujar Juita.
“Sorry, terlupa pulak. Dia tu ustaz yang
saya kenal dekat Jakim. Tak sangka pulak dia tinggal tak jauh dari masjid
tadi,” terangnya.
“Saya
bukan nak tahu pasal tu. Maksud saya, kenapa dia cakap pasal jemputan kenduri?”
soal Juita.
“Ooo…
pasal tu. Awak kan dah setuju nak kahwin dengan saya? Bila dia tanya pasal
awak, saya cakaplah awak tu bakal isteri saya.” Selamba sahaja Jeffrey
menuturkannya.
“Yang
awak pandai-pandai cakap macam tu, kenapa? Bila masa saya setuju nak kahwin
dengan awak?” marah Juita. Ini yang buat dia angin semacam.
“Salah
ke apa yang saya cakap tu?” Jeffrey pura-pura buat bodoh.
“Awak ni
memang tau! Saja nak sakitkan hati saya,” marah Juita lagi.
“Saya
betul-betul nak kahwin dengan awak. Awak tak nampak ke kesungguhan saya? soal
Jeffrey. Sedikit keras suaranya kerana agak kecewa dengan layanan Juita
terhadapnya.
Juita
membulatkan mata memandang Jeffrey, tetapi tidak pula membalas apa-apa.
“Kenapa
awak diam pulak? Selalunya ada aje benda yang awak nak argue,” soal Jeffrey. Dia hampir sahaja berputus asa dengan gadis
ini. Saat dia benar-benar mahu mengambil Juita sebagai isteri, Juita masih
berprasangka terhadapnya. Masih ingat dia main-main.
“Kita
nak ke mana ni?” tanya Juita sebaik menyedari jalan yang mereka lalui bukan
menuju ke pejabatnya mahupun ke kediamannya.
“Tak
payah banyak tanya dan duduk diam-diam! Kalau awak banyak tanya, saya terus
telefon ayah awak dan suruh datang ke pejabat kadi,” ugut Jeffrey dengan wajah
serius. Tetapi dalam hati mahu ketawa juga. Entah bagaimana idea spontan itu
boleh muncul.
“Awak
jangan nak mengada-ada! Tolong jangan nak buat sesuka hati awak. Nanti saya
terjun dari kereta ni.” Giliran Juita
pula buat ugutan. Abang tongsan memang sudah lebih apabila menyebut pajabat
kadi pula.
“Kereta
ni bukan tinggi sangat pun untuk awak terjun atau melompat,” ujar Jeffrey dan
tidak risau langsung dengan apa yang Juita sebutkan. Dia yakin gadis itu tidak
akan buat kerja bodoh macam tu.
“Awak
jangan nak cabar saya. Nanti saya buat betul-betul, baru padan muka awak,”
balas Juita pula, tidak mahu mengalah. Sebenarnya dia tidak mahu lakukan pun.
Nanti dia juga yang sakit segalanya. Sakit badan, sakit hati dan sakit jiwa!
“Kenapa
awak ni degil sangat? Saya nak kahwin dengan awak dan bukannya nak larikan awak
ke sempadan atau ke mana-mana. Saya cuma nak minta izin dengan ayah awak untuk
ambil awak jadi isteri saya,” tegas Jeffrey kemudian menarik nafas panjang.
Terasa lelah pula memujuk gadis di sebelahnya ini.
Sebaik
mendengar penjelasan Jeffrey, baru Juita perasan mereka sudah berada di Jalan
Duta dan sedang menghala ke tol. “Awak nak bawa saya ke mana pulak ni?” Kalut
Juita bertanya.
“Ke
kampung awaklah! Dalam boot memang
sudah ada beg pakaian saya. Baju Melayu, kain samping dan songkok semuanya dah
siap. Di kampung mesti dah ada baju awak, kan?” jawab Jeffrey dengan muka
selamba.
“Awak ni
biar betul? Awak tak kenal lagi abah dan abang saya macam mana. Nanti tak
pasal-pasal kena kejar dengan parang!” Juita sudah terbayang apa akan terjadi
andai lelaki ini teruskan kerja gila dia.
“Tak
apalah. Saya akan berdiri aje dan tak payah buat apa-apa,” jawab Jeffrey dengan
yakinnya seolah-olah tidak gentar langsung.
“Okey…
okey! Nanti saya beritahu keluarga saya pasal hajat awak. Sekarang tolonglah
patah balik. Nanti Syifa juga akan risau pasal saya,” rayu Juita
bersungguh-sungguh. Dalam hati dia tertanya juga. Takkanlah si Jeffrey ini tahu
keluarganya tinggal di mana?
“Syifa?
Hmm… dia okey aje. Saya dah telefon dia guna telefon awak tadi,” beritahu
Jeffrey lagi. Sebelum bersolat tadi, dia sempat menghubungi Syifa dan beritahu
Juita ada bersama dengannya. Dia tahu Syifa adalah rakan serumah Juita apabila
dia melihat senarai kenalan Juita.
Juita
sudah kehabisan bicara dengan lelaki ini. Apa sahaja yang dia fikirkan langsung
tidak dapat menghalang lelaki ini. Tetapi, takkan mahu menurut sahaja
kehendaknya? Dia kena fikirkan sesuatu.
Sebaik
kereta menghampiri tol, tiba-tiba sahaja Jeffrey melakukan pusingan U. Hampir
sahaja badan Juita melayang ke arahnya. Begitupun, Juita berasa lega kerana
mereka tidak jadi menuju ke Ipoh. Selesai satu masalah!
“Memandangkan
awak dah setuju, saya mahu raikan dengan belanja awak makan,” beritahu Jeffrey
sambil melemparkan senyuman manis buat Juita.
“Awak
ni… tolonglah hantar saya balik sekarang jugak. Saya dah tak selesa, tahu tak?
Tak lama lagi waktu maghrib dah nak masuk.” Juita masih lagi memberi alasan
untuk tidak terus bersama lelaki ini.
“Lupa
apa yang saya cakap kat awak tadi? Saya boleh aje aturkan perkahwinan kita pada
bila-bila masa. Sekarang ni majlis akad nikah bukan pada waktu siang aje. Waktu
malam atau waktu bersahur pun saya boleh aturkan!” Sengaja Jeffrey menduga
Juita yang sudah keresahan.
Juita
merengus geram. Ada sahaja jawapan lelaki ini buat dia mati akal hendak
menjawab balik. Rasa geram di dadanya memang bagai gunung berapi. Bila-bila
masa sahaja boleh meletup.
“Dah
habis modal awak untuk memberi seribu alasan?” Jeffrey sengaja hendak provok
gadis di sebelahnya. Walaupun sedar gadis itu sedang geram dengannya, tetapi
dia berasa seronok pula dapat menyakatnya.
“Suka
hati awaklah nak cakap apa pun. Malas saya nak layan,” balas Juita dengan rasa
marah yang kian membara. Hari ini memang hari paling malang dalam hidupnya.
JEFFREY
tersenyum puas. Bagus juga dia memilih restoran paling hujung dan tepi muara.
Suasananya memang best. Rasa begitu
nyaman sekali sebaik terkena angin laut. Apabila berpeluang, wajah Juita juga
yang ditatap. Walaupun asyik masam sahaja, ia tetap buat Jeffrey tersenyum dan
tidak jemu memandangnya.
Memang
hari ini dia berasa gembira sekali. Dapat keluar dengan gadis idaman dan dapat
menjamu selera bersama dengannya. Asalnya Jeffrey tidak merancang pun hendak
membawa Juita makan malam di restoran di Bagan Lalang ini. Sudah alang-alang
dapat menculiknya, biarlah pergi jauh sikit agar dapat berlama dengannya.
Ahirnya
senyuman terukir di wajah Juita ketika makanan untuk mereka sudah terhidang.
Abang tongsan ini macam tahu-tahu sahaja apa yang dia suka. Juita memang sudah
lapar tahap gaban. Melihat ikan siakap bakar, Juita segera menutup mulutnya. Dia terpaksa menyimpan
senyumnya.
“Kenapa?
Tak suka ke dengan makanan yang saya pesan?” Jeffrey bertanya kerana berasa
pelik.
“Taklah.
Ni apa pulak?” Juita berasa pelik sebab dia tidak pernah tengok.
“Oo… ini
pepahat, tapi ada jugak yang panggil siput buluh,” beritahu Jeffrey. Dia yang
menyebutnya pun sudah tersenyum-senyum.
“La…
siput ke? Ingat apa tadi.” Dalam hati rasa macam tidak boleh habis sahaja
makanan yang Jeffrey pesan. Kailan masak ikan masin memang sayur kegemaran
Juita. Namun, ketam memang dia tidak berkenan sangat sebab kena pandai hendak
memakan isinya.
“Sorry ya, kat sini tak ada ikan
tongsan!” Sengaja Jeffrey hendak memerli gadis di hadapannya, tetapi Juita buat
tidak tahu sahaja.
Dalam
geram dan bengang dengan Jeffrey, rupanya habis juga makanan yang dipesan.
Yalah, mereka berdua sama-sama
sudah
lapar dan kehilangan tenaga kerana asyik bertelingkah. Minum petang juga tidak
sempat. Jeffrey pula sengaja ikut jalan jauh untuk sampai ke restoran ikan
bakar yang popular di Bagan Lalang ini.
Mujur juga sebelum sampai ke sini mereka
terjumpa masjid dan sempat menunaikan solat maghrib. Hari ini Jeffrey berpusing
dan makan angin dalam kereta dengan Juita. Balik nanti memang sama-sama penat
satu badan. Dirinya lagilah terlajak penat! Penat memujuk rayu, juga penat
memandu seharian.
“Bila
awak nak hantar saya balik?” tanya Juita sebaik menghabiskan air minumannya.
“Awak
jangan risau, saya akan hantar awak balik dengan selamat.”
“Cepatlah,
saya tak nak lewat sampai ke rumah,” pinta Juita.
“Anyway, terima kasih kerana sudi makan
dengan saya. Maaflah kerana terpaksa buat macam ni kat awak,” ucap Jeffrey.
Juita
buat-buat tidak dengar sahaja. Apa yang ada di kepalanya sekarang ini hanyalah
mahu balik ke rumah, mandi dan tidur.
Lama
Jeffrey memandang wajah yang langsung tidak ceria sejak sampai tadi.
Sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling mencabar buat dirinya. Serasanya,
hendak masuk tender projek pun tidak perlu bersusah payah begini.
Memang
menguji kesabaran dan ketahanan mental juga. Alahai… semuanya Juita punya
pasal! Jeffrey tersenyum lagi. Dia sendiri memang berasa tidak percaya dengan
tindakan yang diambil. Andai diceritakan kepada kawan-kawannya, mahu mereka
terkejut beruk!
Mata
Jeffrey tenang menatap gadis di hadapannya. Hajatnya memang tinggi menggunung.
Andai gunung Everest itu sudah cukup tinggi,
tinggi lagi harapannya.
“Awak
ni… tunggu apa lagi? Jomlah balik.” Juita sudah tidak betah berlama di sini.
“Saya
yang kena memandu tau, bagilah makanan masuk betul-betul ke dalam perut,” balas
Jeffrey pula.
“Yalah,
tapi jangan lama sangat!” Juita sudah mencebik.
“Awak
tahu, saya sendiri tak menyangka bergini rupanya apabila hati sudah terpikat.
Sanggup buat apa saja asal saya dapat bersama awak,” ujar Jeffrey. Sekilas dia
memandang Juita yang bermuram durja.
Juita
diam sahaja. Saat ini pula abang tongsan hendak bermadah seloka bagai. Dirinya
pula masih mahu jual mahal padahal dia masih gagal mengotakan janji pada
abahnya. Dibuatnya tiba-tiba abang tongsan cabut terus, baru padan muka dia.
Memang gigit jarilah dia.
“Shall we?” ajak Jeffrey setelah membuat
pembayaran di kaunter.
Juita
bangun dan terus mengikut langkah Jeffrey menuju ke kereta.