Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
406,920
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 19

JUITA semakin resah. Dia perlu berkongsi masalahnya dengan orang lain. Selagi dia simpan, semakin tidak tenteram hidupnya. Ini bukan perkara kecil dan boleh dibuat main. Ini tentang masa hadapannya. Sekali telah membuat keputusan, bukan mudah untuk berundur. Apatah lagi ia melibatkan soal hati dan perasaan.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk berterus terang sahaja dengan Syifa. Sekurang-kurangnya sahabatnya itu boleh memberi cadangan apa yang patut dilakukan. Sekarang ini otaknya telah beku dan tidak tahu tindakan apa yang harus diambil.

“Wei, aku ada masalah besar. Kau kena tolong,” Juita terus sahaja terjah ke bilik Syifa tanpa mengetuk pintu biliknya terlebih dahulu.

“Kau ni… jangan buat aku sakit jantung, boleh tak? Apa hal sebenarnya?” Syifa yang sedang mengemas pakaiannya bertanya. Dia baharu sahaja balik dari bercuti, mandi pun tidak sempat lagi.

“Aku dah buat kerja gila,” adu Juita dengan muka serebeh. Dia sudah tidak boleh tanggung masalah ini sorang-sorang. Hanya Syifa satu-satu sahabatnya yang diharapkan untuk membantu.

“Apa hal pulak ni?” tanya Syifa sambil duduk di birai katil. Beg pakaiannya telah disimpan di dalam almari. Begitupun, beberapa cendera hati dan hadiah yang dibeli masih di atas katil.

“Aku dah terima lamaran lelaki tu.” Terus sahaja Juita beritahu Syifa tanpa mukadimah.

“Lamaran? Lamaran lelaki yang mana pulak ni?” pantas Syifa bertanya. Kalau tadi dia bagai tidak berminat, kini hendak tahu sangat. Matanya tidak berkelip memandang Juita. Tidak menyangka dalam beberapa hari berpisah, kini sudah ada cerita baru pula.

“Siapa lagi? Abang tongsanlah!” sebut Juita.

“Serius dia melamar kau?” Mata Syifa sudah terbeliak. Tidak percaya dengan penjelasan sahabatnya. Ianya lamaran, bukan amaran!

“Aku tak ada masa nak main-mainlah Syifa,” tegas Juita sedikit geram.

“Okeylah kalau macam tu! Dah sebelum ni kau asyik mengintai-intai dia, last-last abang tongsan terus lamar kau. Memang sudah jodoh kau dengan dialah tu,” balas Syifa dengan ceria sekali.

Syifa memang berasa gembira sangat. Akhirnya Juita bertemu juga dengan calon suaminya. Dua-duanya memang sepadan dan sesuai. Semoga memang lelaki itulah yang akan menjadi pasangan hidupnya. Doa Syifa dalam hati.

“Tapi aku peliklah,” keluh Juita sambil jari-jemarinya bermain dengan bucu kusyen kecil yang ada di atas katil Syifa.

“Kenapa pulak?”

“Yalah, tiba-tiba aje dia melamar aku. Mesti ada apa-apa, kan?” ujar Juita. Itulah persoalan yang sering bermain di fikirannya.

“Eh, minah ni! Sebab nak buat binilah, takkan nak buat perkasam kut,” gurau Syifa pula.

“Maksud aku, kenal aku pun tak lagi, alih-alih nak ajak kahwin pulak. Itu yang buat aku musykil.” Juita meluahkan rasa hatinya. Apa yang lelaki itu lakukan memang tidak pernah dibuat orang.

“Pelik ke? Aku rasa ada perkara lain yang lebih pelik daripada itu,” balas Syifa pula.

“Yalah, kalau nak ajak kahwin sekalipun, kenalah berkawan dulu. Bukan terus melamar.” Juita memberikan pendapatnya.

“Yang kau main terima aje, boleh pulak?” sindir Syifa. Bagi dirinya, tindakan Juita lagi seribu kali lebih pelik. Orang yang tengah tidak betul sahaja akan buat begitu! Syifa sudah tersenyum sendiri.

“Sebenarnya aku tak sengaja tercakap ‘ya’,” beritahu Juita sejujurnya.

“La… Macam tu pulak? Habis tu, kau nak buat apa sekarang ni?” soal Syifa. Ini memang kes parah.

“Entahlah! Kena tunggu dia telefon aku atau terserempak dengan dia lagilah.”

“Kenapa pulak kena tunggu dia telefon? Kau tak ada nombor dia ke?” Syifa bertambah bingung dengan sahabatnya yang seorang ini.

“Aku tengah kelam-kabut sampai terlupa minta nombor dia. Tapi aku ada beri nombor telefon aku kat dia,” beritahu Juita sedikit kesal dengan kecuaian diri. Memang silap besarlah sampai tidak teringat pasal hal itu.

“Nampaknya kena selalu makan di restoran itulah.” Syifa sudah terbayang rutin harian Juita. Kenalah buat begitu kalau abang tongsan masih tidak menelefonnya.

“Kau rasalah, kenapa dengan tiba-tiba dia nak kahwin dengan aku, ya?” tanya Juita lagi. Masih tidak puas hati selagi tiada jawapan.

“Manusia ni, bila dia dah buat suatu keputusan, mesti lebih daripada satu sebab mengapa dia nak buat macam tu,” sebut Syifa.

“Maksud kau, dia lamar aku bukan semata-mata nak kahwin? Ada agenda lain, macam tu?” soal Juita. Boleh terima akal juga pendapat sahabatnya itu.

“Contohnya, lembu kalau makan memang sah-sah sebab dia lapar. Kita pulak ada banyak sebab untuk makan. Makan kerana makanan itu sedap atau nak temankan suami makan. Suami pulak makan bukan sebab dia lapar, tapi nak ambil hati isteri yang sudah penat memasak. Nampak tak maksud aku?” Panjang lebar pula penerangan Syifa.

“Kelakarlah cara kau buat perumpamaan tu! Ya aku faham, manusia ada banyak sebab ketika buat sesuatu. Lembu pulak, dia makan hanya kerana satu sebab iaitu lapar. Bukan sebab rumput itu sedap atau nak temankan bini ragut rumput tu!” Juita sudah tergelak. Dalam keadaan tertekan dengan masalah sendiri, boleh juga terhibur sebentar.

“Tahu pun!” balas Syifa.

“Tapi, semua itu tak menjawab soalan aku tadi,” keluh Juita pula.

“Kalau kau serius nak tahu, kau kenalah tanya dia. Tanya aku, manalah aku ada jawapannya?” balas Syifa.

“Kena tunggu jugalah jawabnya,” keluh Juita.

“Kalau dah macam tu, dipersilakan masuk bilik sendiri. Aku nak mandi dan berehat,” pinta Syifa. Dia memang sudah berasa tidak selesa dan berlengas.

“Ada beli cendera hati untuk aku tak? Takkan pergi Sabah tak beli apa-apa untuk aku?” Sengaja Juita mahu berlengah di bilik Syifa.

“Kau ni kan, mengalahkan budak kecik! Kau tu tak payah tunggu orang lain belikan. Sendiri beli lagi puas hati.”

“Kalau dah cakap macam tu, maknanya tak ada hadiah untuk akulah?” Juita sudah memuncung.

“Ada… nantilah aku bagi kat kau.”

“Yalah,” balas Juita dan melangkah keluar dari bilik sahabatnya.

Previous: Bab 16
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.