SUBUHNYA Zafri dan Aira berjemaah bersama. Air
matanya hampir sahaja menitis ketika terkenangkan saat mengimamkan solat
bersama arwah ibunya. Kini dia terasa syahdu sekali apabila mengimamkan isteri
buat pertama kalinya.
Setelah selesai berdoa, Aira bersalam dan mencium
tangan Zafri. Zafri menyalam erat tangan Aira kemudian mengucup keningnya.
Seketika pandangan bertautan.
“Terima kasih kerana sudi menjadi isteri abang,”
ucap Zafri yang kemudiannya turut mengucup tangan Aira.
Aira terpaku seketika. Entah kerana terharu
dengan kata-kata Zafri, entah kerana Zafri mengucup tangannya. Bukankah dia
yang sepatutnya berterima kasih kepadanya? Namun mulutnya seakan terkunci
dari mengeluarkan kata. Ikhlaskah dia menjadi isteri Zafri sebagaimana lelaki itu ikhlas menerimanya?
Aira sendiri tiba-tiba berasa sebak pula, namun
segera dibuang jauh sebelum mata berkaca. Dia tidak mahu Zafri menyedarinya.
Dengan perlahan Aira menarik tangannya apabila Zafri masih tidak melepaskannya.
Sewaktu sarapan
pagi, Aira dan Zafri sama-sama pergi ke dapur.
“Zafri dan Aira balik hari ini ke esok?” tanya Azwan kemudian menyambung
suapan. Berselera sungguh dia menjamah nasi lemak yang Puan Ainun masak.
Zafri
terus memandang Aira yang duduk berhadapan dengannya.
Aira
memberi isyarat balik hari ini melalui mimik muka dan mulut yang
terkumat-kamit. Moga-moga Zafri faham bahasa tanpa suara isterinya.
“Macam mana Zafri?” tanya Azwan sambil pandang Zafri.
“Balik hari ini abang long. Datang pun sehelai sepinggang,
mujur dalam kereta memang ada T shirtdan kain pelekat,” jawab Zafri.
Aira
menahan tawa mendengar jawapan Zafri. ‘Kain pelekat lalalala…’
Aira sempat lagi menyanyi di dalam hati.
“Yang Aira asyik tersenyum ni kenapa pulak?” sergah Azwan.
Tersedak
Aira dibuat abangnya. Segera dia minum air kemudian mengurut dadanya.“Tak ada apa-apalah, tiba-tiba saja
teringatkan lagu Anuar Zain. Hmm…Aira pun balik hari ini jugak,” jawab Aira.
“Awak tu memanglah kena balik ikut suami,” ujar Azwan selamba.
‘Apalah
abang long ni… Zafri balik rumah dialah. Aira balik ke apartmen Airalah. Tak
adanya nak balik ikut Zafri.’ Aira berkata di dalam hati.
Zafri
tersenyum memandang Aira yang tiba-tiba sahaja senyap dengan wajah yang turut
mencuka.
“Ibu mana ya?” tanya Aira.
“Dah nak habis makan baru nak tanya?” perli Azwan.
Panas
hati Aira mendengarnya. Sudahlah panas hati bernikah di pejabat agama masih
belum reda lagi. Azwan memang
betul-betul mahu cari pasal dengannya.
“Abang long ni, ke situ pulak.” Aira rasa geram pula dengan abangnya yang sengaja hendak sakitkan
hatinya di hadapan Zafri.
“Dah kahwin pun nak merajuk jugak ke? Ibu pergi pasar dengan Kak
Faridahlah,” jawab Azwan kemudian tertawa.
Apa
yang lucu Aira pun tidak faham. Zafri turut tersenyum melihat gelagat dua beradik
ini.
SELEPAS
makan tengah hari dan bersolat zuhur, Aira dan Zafri bersiap-siap untuk pulang
ke Kuala Lumpur. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa sebak sangat. Ibunya
beria-ia memberi nasihat dan memeluk erat sewaktu dia hendak bertolak. Ada sahaja
yang Puan Ainun pesan. Dia cuba menahan air matanya daripada gugur, tetapi
tidak berjaya.
Buat pertama kalinya Azwan juga turut memeluk
Aira. Padahal, sebelum ini abangnya tidak pernah pun hendak memeluk adik bertuah
ini. Dia sendiri terkejut dengan tindakan abang long.
“Abang
harap bila dah jadi isteri orang ni, perangai tu biarlah elok sikit.” Azwan
memberi nasihat kepada adik bertuahnya.
“Aira
tau. Abang long tak payah risaulah.”
“Jangan
asyik nak lawan cakap suami pulak. Ingat tu,” pesan Azwan lagi.
“Ya…
Aira ingat!” Aira rasa rimas pula apabila abangnya macam tidak percayakan
dirinya.
“Ya…
ya, nanti itu jugak yang dibuat,” perli Azwan.
“Abang
ni… pandailah Aira nanti,” balas Aira. ‘Hisy, macamlah aku ni teruk sangat,’
detik hati Aira.
Pada
Zafri, abangnya turut mengatakan sesuatu. Zafri mengangguk-angguk kemudian
memeluk abang long. Apa yang abang long pesan, tidak tahulah. Aira pun malas
hendak fikir. Pastinya kata-kata nasihat dari seorang abang ipar.
Aira
hampir sahaja hendak bersalam dengan Zafri. Mujur dia cepat tersedar. Kalau
tidak, pasti ibunya dan abang long terasa pelik.
Semasa
menuju ke kereta, Zafri terlebih dahulu membukakan pintu untuk Aira. Walaupun
sedikit terkejut, namun Aira berlagak selamba dan masuk ke dalam keretanya.
Zafri
memandang tepat ke wajah Aira seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan.
Seketika bagai mata yang berbicara. Tiba-tiba hati Aira jadi tidak keruan pula.
Dia tidak pasti apa yang dirasa dari renungan mata Zafri, namun tetap
melemparkan senyuman. Aira cuba untuk ikhlas, tetapi entahlah.
BEBERAPA hari ini Aira
memang tidak berselera hendak makan. Semalam dia tidak keluar makan tengah
hari, begitu juga dengan hari ini.
Mujurlah
nasi lemak kegemarannya tidak pernah ditinggalkan. Walaupun sebenarnya tiada
selera, Aira jamah juga. Dia tidak mahu perutnya kosong nanti kepala dia juga
yang sakit kerana masuk angin.
Waktu
rehat begini, Aira terasa bosan sekali. Dia hanya duduk termenung di mejanya
tanpa membuat sebarang kerja. Padahal ada banyak kerja yang perlu dibereskan.
‘Aduhai
hati, apakah yang dirasa? Apakah yang dimahu?’ Aira tertanya sendiri. Dia sendiri bingung dan tidak faham dengan perasaan di kalbu.
Keputusan
telah diambil, ijab dan kabul telah diakad, tetapi hati entah di mana.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Segera dia mencapainya.
“Assalamualaikum,” ucap Aira. Suaranya kedengaran lemah sahaja.
“Waalaikumussalam. Isteri abang sihat?” tanya Zafri. Rindu pula apabila
beberapa hari tidak mendengar suara Aira.
“Isteri? Er… Abang ke? Aira okey,” jawab Aira bagai terkejut pula
dengan pertanyaan Zafri.“Hmm…ada apa abang telefon Aira?” sambungnya setelah diam seketika.
“Takkanlah abang nak tanya khabar
isteri sendiri pun tak boleh?” keluh Zafri.
“Bukan macam tu. Aira agak sibuk, ada banyak kerja nak dibuat.” Saja Aira memberi alasan.
“Sian abang. Dahlah Aira tak nak pindah ke rumah abang lagi, nak berbual
dengan suami sendiri pun macam nak tak nak saja,” ujar Zafri seakan merajuk pula.
Jangankan Zafri, orang lain pun pasti akan terasa hati apabila seakan
dipedulikan.
“Aira minta maaf. Abang nak cakap apa sebenarnya?” ucap Aira sebaik menyedari kesilapan
diri.
“Khamis ni abang nak ajak Aira lunch sama,” beritahu Zafri.
“Hmm…okey,” jawab Aira, pendek. Tiada langsung nada gembira apabila suami mengajak
makan bersama.
“Aira ni sihat ke? Suara macam orang sakit saja?” tanya Zafri kerisauan.
“Tak ada apa-apalah,” jawabnya. Kalau sakit pun sebolehnya dia tidak akan beritahu
Zafri.
“Kalau tak sihat beritahu abang nanti boleh abang temankan ke klinik,” pesan Zafri. Andai Aira sudah
tinggal bersama dengannya, bukankah mudah? Boleh dia tengok-tengokkan Aira jika tidak sihat. Ini, asyik ikut rasa
marah di hati.
“Aira okey. Abang, pukul dua nanti Aira ada mesyuarat. Ni nak sediakan apa
yang patut.”
“Baiklah abang tak kacau, take careAira,” ujar Zafri kemudian memutuskan
talian tanpa sempat Aira hendak ucap apa-apa.
‘Zafri
merajukkah? Bernikah baru lima hari, tetapi cara dia bercakap macam sudah lima
bulan. Agaknya sebab itu dia cepat rasa rindu pada isterinya. Lagipun tidak
tinggal sekali. Eh! Terlupa pulak, akulah isteri dia. Kenapa aku macam orang
sasau pula?’ desis Aira. Pening kepala dia memikirkan apa yang terjadi pada
dirinya.
Tiba-tiba
wajah Zafri memenuhi ruangan matanya. Apa sudah jadi pada dirinya? Dia langsung
tidak mengenali lelaki itu, namun kini kerap pula dihantui wajahnya. Dia cuba
mengimbau pertama kali bertemu dengannya. Kenapa Zafri beria-ia hendak memiliki
diri ini? Aira tertanya sendiri.
Dia
termenung lagi dan melayan hati yang rawan. Sudah bernikah, namun hampir
terlupa pula kini telah bergelar isteri orang. Mujurlah tiada rakan pejabat
yang tahu. Bukan Aira hendak menolak ketentuan ALLAH, cuma dia masih terkejut.
Terkejut dengan tindakan abang long yang membuat keputusan sendiri.
Ibunya
pun tidak cakap apa-apa. Sebagai wali, memanglah abang long berhak membuat
keputusan, namun Aira juga berhak bersuara. Tetapi entah kenapa mulutnya bagai
terkunci pula.
Rasa
bengang dengan Zafri masih bersisa kerana menurut sahaja kehendak abang long.
Walau jauh di sudut hati dia tahu berdosa andai membuat suami berkecil hati
atau terluka, namun keegoan mengatasi rasa bersalah.
Tetapi
bagaimana lagi? Apabila difikirkan, seperti diri menjerat diri sendiri.
Mampukah dia melayari perkahwinan ini? Semoga Zafri memaafkannya.
HAJAT di hati Zafri
hendak bertanya khabar Aira, tidak sangka pula isterinya bagai tidak sudi
melayannya berbual. ‘Aira…Aira, apakah yang perlu abang lakukan untuk merebut hatimu?’
keluhnya.
Dia masih boleh bersabar lagi apabila Aira masih tidak mahu berpindah ke rumahnya.
Namun hati tercalar juga apabila dia seakan tidak mahu bercakap dengannya.
Hendak ajak makan bersama pun seperti tidak sudi. Padahal bukan dengan orang
lain pun.
‘Aduhai
Aira! Tiada tempatkah di ruang hatimu untuk abang bertakhta? Keresahan di hati
abang tidak Aira pedulikan. Kalau terus-terusan begini, mana mungkin kita dapat
kecapi bahagia. Apa sebenarnya di hati Aira?’ Zafri tertanya sendiri.
Begini
rupanya apabila menagih kasih pada orang yang tidak sudi. Berkahwin setuju,
tetapi bagai endah tak endah sahaja dengan suami sendiri. Apa sebenarnya yang
dimahu? Apa pun terjadi dia tidak akan pernah kesal berkasih dengan Aira walau
dirinya tiada di hati Aira.
Berapa
lama pun dia sanggup menanti dan setia menunggu. Semua halangan dan cabaran
tetap akan diharungi demi seorang wanita bernama Aira Latisha!
Biarlah
Aira seksa hati nuraninya. Biarlah Aira masih protes dan bersikap dingin
dengannya, dia akan tetap tempuhi walau pedih rasa di hati. Di sebalik apa yang
telah berlaku, dia akan tetap meneruskan penitian mendekati hati Aira. Biarlah
selama mana pun.