HARI
ini, Aira pergi ke pejabat agama untuk melengkapkan prosedur perkahwinan yang
masih belum disempurnakan. Dia ditemani Abang Long Azwan, ibunya dan
Kak Sha. Dia sebenarnya terhutang budi dengan Kak Sha yang selama ini banyak
membantu.
Petang
semalam, pukul 5.00 petang, dia terus bertolak ke kampung. Tak bawa apa-apa pun
sebab di kampung memang masih ada bajunya dan barangan peribadi yang lain.
Sebenarnya
sejak semalam lagi Aira bagai tidak senang duduk. Kerja banyak di pejabat, namun
terpaksa juga ambil cuti kecemasan balik kampung.
Padahal,
andai Aira tidak ikut sekalipun tidak mengapa. Cuma bahagian saksi yang masih
belum lengkap lagi. Selebihnya dia malas hendak bertekak dengan abang long yang masih marah dengannya kerana tidak balik sewaktu rombongan peminangan tempoh hari.
Aira
memang tidak berniat langsung hendak membuat abangnya marah. Sudah terpaksa
bekerja pada hari cuti umum dan tidak dibenarkan bercuti, dia hendak buat bagaimana? Sudahnya Aira hanya pekakkan telinga. Namun Aira turut terasa
pelik, Kak Sha pun abang long paksa datang sekali.
Menunggu
kehadiran Zafri dan rakannya di pejabat agama bagai menunggu buah yang tidak
gugur-gugur pula. Janji pukul 11 pagi, namun kini sudah lewat 10 minit. Aira
tetap keresahan walaupun berkali-kali dia cuba menenangkan dirinya malah kini
semakin berdebar-debar pula.
“Alah Aira, tak payahlah asyik-asyik tengok jam tu. Jangan risau, Zafri
dah nak sampai. Baru lewat 10 minit bukannya 10 jam.” Kak Sha bersuara memecah kesunyian.
Macam tahu-tahu sahaja apa yang bermain di fikiran Aira.
“Kak Sha ni, orang dahlah tengah risau,” balas Aira pula.
Aira
memang sudah tidak dapat menyimpan kerisauannya lagipun dia saspens hendak
berjumpa Zafri sebenarnya. Dia pun bagai tidak percaya diri boleh buat kerja
gila begini semata-mata hendak lari dari duda beranak tiga.
“Risau apanya?” tanya Kak Sha pula sedangkan sebelum ini Aira okey saja.
“Yalah… Aira dahlah tak berapa kenal dia, jumpa pun tak lagi. Sudahnya
terus jumpa di pejabat agama pulak,” rungut Aira. Nasib baik hanya Aira
dan Kak Sha saja di situ. Puan Ainun ke bilik air.
Sebelum
ini Kak Sha dan abang long yang banyak membantu menguruskan dokumentasi untuk
melengkapkan semua borang berkaitan
prosedur perkahwinan bagi pihak Aira dan Zafri. Mereka berdua sememangnya sibuk
dengan tugas masing-masing.
“Dah korang berdua asyik sibuk memanjang mengalahkan menteri, siapa suruh?
Penatnya saja Kak Sha aturkan dari satu pertemuan ke satu pertemuan, tapi
akhirnya asyik batal memanjang. Ada saja alasan!” Kak Sha mengomel pula tatkala Aira
bagai cacing kepanasan.
Tidak
dinafikan, Kak Sha sudah banyak kali mengatur pertemuan antara Zafri dan Aira, namun ada sahaja yang menghalang. Entahlah! Sebenarnya dalam keadaan begini,
Aira sudah malas hendak fikir. Dia hanya berharap agar cepatlah masa berlalu.
“Assalamualaikum…sorry lewat sikit.” Kedengaran suara seorang lelaki menyapa.
“Waalaikumussalam…Its okay boss, still on time.” Jawapan salam dari Kak Sha
mengejutkan Aira. Dia curi-curi pandang, hendak tahu juga gerangan yang
bersuara. Kelihatan tiga jejaka segak siap bersongkok, namun yang mana satu
adalah Zafri? Aira tertanya sendiri.
“Okey, semua dah ada, bolehlah kita jumpa pegawai.” Azwan yang tiba-tiba muncul
bersuara. Tadinya dia keluar sekejap kerana ada panggilan telefon dari
rakannya.
'Yang mana satu Zafri ni? Yang sorang tu macam pernah tengok saja,' detik hati Aira. Hendak tanya Kak Sha tidak sempat pula. Akhirnya Aira
mengekori mereka menuju ke pejabat.
Azwan menyerahkan semua dokumen yang dibawa kepada pegawai agama. Kemudian
pegawai agama tadi meneliti semua dokumen yang diberikan. Tidak lama selepas
itu barulah pegawai itu bersuara.
“Baiklah nampaknya semua dokumen dah lengkap, tinggal tandatangan saja
lagi,” ujar pegawai agama setelah berpuas hati dengan dokumen-dokumen yang
diberi.
“Encik, memandangkan semuanya ada di sini, saksi ada, dokumen pun sudah
lengkap. Kalau akad nikah sekarang boleh tak?” Tiba-tiba Azwan bersuara.
Bagai
hendak gugur jantung Aira apabila mendengarnya. Rasa macam hendak pitam di situ
juga.
“Apa salahnya, lagi baik,” jawab pegawai yang bertugas.
Ah,
sudah! Abang long ini memandai sahaja buat keputusan. Aira ingin membantah, namun mulutnya seakan terkunci pula.
“Bagaimana Zafri?” tanya Azwan.
Zafri terpinga-pinga. Sekejap memandang Azwan, sekejap memandang Aira dan berharap agardia berkata sesuatu. Nampaknya
Aira senyap dan hanya menundukkan kepalanya.
Dalam
kekalutan Zafri tersenyum. Seperti apa yang telah terucap, Zafri sudah tidak
terkata. Dia betul-betul tidak sangka malah rasa gembira sangat. Diam
tandanya setuju. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tawaran yang diberikan tidak
sesekali akan dilepaskan.
“Kalau semua orang dah setuju, saya okey saja.” Akhirnya Zafri memberi keputusan.
Di
saat itu Aira bagai tidak terkata apatah lagi setelah menyedari lelaki yang
mana satu adalah Zafri. Dia? Betul ke dia yang akan jadi suamiku? Aira bagai
tidak tentu arah. Patutlah Kak Sha kata Zafri pernah jumpa Aira.
Akad
nikah berjalan lancar dengan berwalikan Azwan. Puan Ainun terus memeluk
Aira sebaik akad nikah selesai. Air matanya mengalir kegembiraan.
Tiba-tiba
Aira juga jadi sebak. Entah kerana sedih, entah kerana terkejut dengan apa yang
terjadi. Lain yang dirancang, lain pula yang berlaku.
Fikirannya sudah bercelaru. Hari ini sepatutnya cuma pergi ke pejabat agama untuk
menghantar dokumen dan melengkapkan bahagian saksi yang perlu ditandatangani di
depan pegawai. Tidak sangka bertukar jadi hari pernikahan pula.
Sebenarnya dia tidak sedia apa-apa pun. Macam mana kalau Zafri bermalam di rumahnya?
Susah kalau macam ini. Sudahlah semua benda tidak sedia lagi, aduh macam mana
ni? Aira berkira-kira sendiri.
“Zafri, nanti terus ke rumah tau. Kawan-kawan Zafri jangan lupa jemput
datang sekali. Malam ni ada kenduri doa selamat.” Azwan bersuara ketika
bersalaman dengan Zafri dan dua orang rakannya.
'Ada
kenduri doa selamat? Di rumah tidak nampak apa-apa pun persediaan, alih-alih
malam ni ada kenduri doa selamat? Apakah awal-awal lagi abang long telah
merancang semua ini tanpa pengetahuan aku?' Aira tertanya sendiri.
“Tahniah Aira. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat,” ujar Kak Sha sambil memeluk Aira.
“Terima kasih Kak Sha, tapi macam mana boleh jadi macam ni? Kak Sha tahu
ke?” tanya Aira
berbisik.
Kak Sha menggeleng. “Tulah, nak sangat kahwin simple-simple…Tuhan beri sungguh! Siap kahwin di pejabat tok kadi
lagi. Haha…tak pernah dibuat orang,” perli Kak Sha sambil tersenyum.
“Sampai hati Kak Sha kenakan Aira,” ujar Aira pula. Aira cuba
menyejukkan hatinya yang hangat dengan keputusan Azwan sebentar tadi. 'Aku
ni kahwin apa sebenarnya? Ni mengalahkan
kahwin koboi!' Aira berbicara sendiri.
SEBELAH malamnya, kenduri doa selamat berjalan dengan lancar. Sekali dengan majlis
tahlil untuk arwah ayah Aira. Dia masih tidak percaya dirinya kini telah
bergelar isteri. Rasa bagai dalam mimpi pula. Memang dia tidak duga
langsung begini sudahnya.
Selama
ini Aira tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya
siapalah yang akan menjadi jodohnya. Alih-alih dalam sekelip mata dia
telah berkahwin dengan Zafri, lelaki yang tidak begitu dikenalinya walau memang
mereka pernah bertemu dan pernah bertentang mata. Paling tidak dia sangka, rupanya Zafri adalah anak Melayu kacukan. Nasib baiklah handsome. Kalau
tidak, memang Aira tembak sahaja Kak Sha itu.
Mengenang
bagaimana pertama kali berjumpa Zafri, boleh buat Aira tidak lena tidur.
Segan ada, malu pun ada. Bagaimana dia hendak
menghadap Zafri hari-hari?
Bagaimana
kalau Zafri tahu sebenarnya dia ada agenda tersembunyi? Bagaimana kalau Zafri
tahu sebenarnya dia tidak benar-benar ikhlas menjadi isterinya? Terlukakah lelaki itu? Namun yang sering menjadi persoalan Aira ialah kenapa Zafri beria-ia
hendak berkahwin dengannya? Apa sebenarnya?