HARI
ini Aira mengedar kad jemputan di pejabat klien yang turut menjadi pejabatnya
juga. Dia sengaja datang awal ketika semua orang belum masuk pejabat lagi. Dia hendak mengelak dari usikan rakan-rakan sepejabat. Pasti mereka
terkejut bukan kepalang kerana akhirnya bunga boulevard disunting kumbang juga.
“Hmm… ada kad, pasti kad jemputan kahwin.” Kedengaran Kak Leha bersuara.
Aira
pura-pura tidak dengar.
“Aira!” jerit Kak Leha sambil berlari menuju ke mejanya.
“Tahniah Aira, akhirnya kahwin jugak adik Kak Leha. Tapi tulah, angin tak
ada ribut tak ada terus tsunami nampak.”
“Dah jodoh Aira Kak Leha…” jawab Aira sambil tersenyum.
“Ryan Az Zafri… biar betul Aira? Serius ke kau nak kahwin ni, Aira?” Encik Zarif pula bertanya inginkan
kepastian. Seingatnya Aira tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki.
“Korang
ni… bila Aira tak
kahwin, sibuk tanya. Bila Aira hantar jemputan tak puas hati juga.” Akhirnya Aira bersuara.
“Bukan macam tu, kita orang takut Aira tersalah pilih. Yalah, lelaki zaman
sekarang ni bukan boleh percaya sangat,” terang Encik Zarif.
“Berapa lama Aira kenal Ryan Az
Zafri ni? Tak pernah cerita pun,” tanya Encik Ismail pula.
Alamak!
Nak jawab apa ni? “Terima kasih banyak-banyak di atas keprihatinan kawan-kawan semua.
Sesetengah perkara itu memang perlu dihebahkan atau dikongsi bersama dengan
orang lain. Tapi, ada juga hal-hal yang peribadi macam lagu Siti Nurhaliza, Biarlah Rahsia…” Jawapan yang sungguh bernas daripada Aira. Rahsia yang satu itu kena dikunci rapat-rapat.
Dia
baru hantar kad kahwin, sudah kecoh satu pejabat. Kalau rakan-rakan sepejabat
tahu yang dia sebenarnya sudah bernikah di pejabat agama, mahu berhari-hari
mereka bergosip pasalnya. Silap hari bulan, runtuh site
office gate 1 ini.
Tidak
lama selepas itu Aira menerima panggilan telefon dari Amy pula. Pasti sahaja
sahabat baiknya itu turut terkejut.
“Assalamualaikum, Aira.”
Pantas sahaja Amy memulakan bicara. Patutnya Aira yang mengucapkannya terlebih
dahulu.
“Waalaikumussalam. Dah terima kad aku?”
tanya Aira pula. Dia tidak berkesempatan menemui Amy lalu mengepos kad jemputan
kepadanya. Padahal Amy hanya tinggal di Sri Gombak sahaja.
“Ni tak sabar nak tanya,”ujar Amy bersungguh-sungguh.
“Hmm… Apa dia?” Aira berlagak selamba.
“Kau ni biar betul? Tiba-tiba beri kad kahwin? tanya Amy.
“Dah jodoh… nak buat macam mana, bukan boleh ditolak-tolak.”
“Selama aku kenal kau, tak pernah sekalipun nama Ryan Az Zafri kau sebut,”
tanya Amy cuba mengorek rahsia Aira.
“Kau ni, aku tak kahwin salah, ni dah jumpa calon pun kau nak mengomel
pulak.”
“Macam mana aku tak hairan, kau ni
bukan spesies yang ada teman lelaki. Tiba-tiba aje dah hantar kad
jemputan, mahunya aku tak terkejut,” balas Amy pula.
“Itu kata kau. Dekat site tu berlambak boyfriend aku. Kau
aje yang tak tahu. Cakap aje orang apa, orang putih, orang gelap, semua ada
siap orang overseas lagi,”ujar Aira sambil tertawa.
“Aku serius ni Aira, kau main-main pulak,” marah Amy.
“Aku serius la ni. Kau jangan buat aku ubah fikiran, nanti aku tak kahwin
sampai bila-bila,” seloroh Aira pula, padahal dia sudah bernikah
pun malah dengan pemilik kereta Mini Cooper lagi. Kalaulah Amy tahu, tidak
dapat dibayangkan.
“Okey, aku nak kau jawab sejujurnya. Macam mana kau boleh terima si Zafri
tu sebagai calon suami?” Amy masih lagi hendak tahu cerita
sebenarnya.
“Senang cerita, itulah lamaran pertama yang datang dan aku tak ada alasan
untuk menolak pinangannya.” Itu sahaja jawapan yang terlintas di fikiran Aira.
“Betul ke sebab tu aje?”tanya
Amy kehairanan. Aira yang dia kenal bukan begitu orangnya. Dia tidak akan
terburu-buru buat keputusan.
“Ya…hanya sebab tu.Amy, aku ada
mesyuarat la, nanti aku telefon kau balik,” ujar Aira mengakhiri perbualan.
Kalau
cakap lama-lama nanti terpecah pula rahsia. Aira juga yang susah. ‘Maaf Amy,
tak payahkah kau tahu. Aku sendiri pun tak tahu bagaimana Zafri boleh
menyukaiku. Walhal kami tak pernah pun mengenali dengan lebih dekat antara satu
sama lain. Tapi takkan aku nak cerita dengan kau? Biarlah ia jadi rahsia aku
dengan Kak Sha.’ Aira berkata di dalam
hati.
AIRA mengemas mejanya yang berselerak. Dia berasa lega apabila
kerja-kerja yang perlu disiapkan pada hari ini telah beres. Tinggal
gambar-gambar yang diambil di tapak pembinaan sahaja yang masih belum
dimasukkan ke dalam komputer.
“Aira, ada orang nak jumpa
Aira di lobi,” jerit Kak Leha. Tadi dia terserempak dengan jejaka handsome
semasa menghantar surat yang perlu diposkan di kaunter depan. Terkejut juga Kak Leha dengan kehadirannya. Yalah, macam mana mat salih boleh tersesat di site
office gate 1 ini? Lagipun bukan
semua orang menyedari ada pejabat di kawasan yang agak terlindung ini.
“Siapa?” tanya Aira apabila Kak Leha datang menghampiri. Seingatnya hari ini dia
tidak ada janji temu dengan sesiapa. Dia segera mencapai telefon bimbitnya.
Alamak! Ada missed call daripada Zafri.
“Muka macam mat salih tapi cakap Melayu fasih la pulak. Penat saja Kak
Leha speaking London…” ujar Kak Leha sambil tersenyum.
Hendak tergeliat lidahnya bertanya dalam bahasa Inggeris, alih-alih mat salih
itu jawab dalam bahasa Melayu pula. Segan Kak Leha dibuatnya.
“Alamak! Dia ada cakap apa-apa tak?” Dada Aira bagai hendak pecah. ‘Bagaimana
Zafri tahu pejabatnya? Masakan Kak Sha yang beritahu? Tak mungkin juga kerana
Kak Sha tidak tahu lokasi sebenar pejabat Aira di Putrajaya dan dia tak pernah
sampai pun. Harap Zafri tidak cakap lebih-lebih dengan Kak Leha,’ doa Aira di
dalam hati.
“Tak adalah pulak, cuma dia kata nak jumpa Puan Aira. Itu yang buat Kak
Leha pelik sebab dia panggil Aira, puan…” terang Kak Leha buat Aira bertambah
tidak keruan.
“Dia silap sebut kut. Anyway thanks Kak Leha.” Harap-harap Kak Leha tidak
mengesyaki apa-apa.
Sebaik Aira sampai di
lobi, kelihatan Zafri sedang berbual dengan seseorang. ‘Aduhai, Puan Aishah!
Mati aku kali ni,’ detik Aira. Perlahan-lahan dia menghampiri. Hanya TUHAN
sahaja yang tahu perasaannya ketika ini.
“Hai, Aira! Bos you ajak makan tengah hari, tapi saya tak dapat
ikutlah sebab saya ada urgent meeting…” ujar Puan Aishah dan terus berlalu.
Aira
hanya tersenyum. Bos aku? Aira memandang Zafri dengan seribu pertanyaan. “Aira tak salah dengar ke?” tanya Aira sambil pandang Zafri.
“Abang pun baru tahu,” jawab Zafri masih berselindung.
“Baru tahu? Apa maksud abang?” tanya Aira pula.
“Tak apalah nanti kita cakap dalam kereta.”
Aira
mengikut Zafri ke kereta. Sampai di kereta, tidak sangka pula Zafri membukakan
pintu untuk Aira. Sempat juga Aira menjeling sekeliling dan berharap tiada
rakan sepejabat yang nampak.
Dalam
kereta dia hanya membisu, namun otaknya ligat berputar. ‘Hujung tahun lepas Kak
Sha beria-ia rekomen bos dia yang bernama Zafri kepadanya. Awal tahun pula dia joined
syarikat tempat Kak Sha bertugas, maknanya kini bos Kak Sha, bos aku jugaklah.
Kenapalah selama ini aku lembap sangat? Itulah asyik risau pasal kahwin,
langsung tidak fokus dengan apa yang Kak Sha cakap.’
Aira
memang sudah lebih lapan bulan ditukarkan ke konsultan utama, namun dia
langsung tidak pernah ke ibu pejabat. Apa-apa hal Encik Azhar akan datang ke
Putrajaya berjumpa dengannya. Lagipun tiada keperluan untuk dia ke sana kerana
skop kerjanya adalah di bawah arahan Putrajaya Holdings. Sebab itu dia tidak
pernah ambil tahu. Apa yang penting, setiap hujung bulan gajinya masuk tepat
pada masanya.
“Kita nak makan dekat mana ni?” tanya Aira walau pada asalnya
perkara lain yang dia hendak tanya.
“Ikut Airalah,” jawab Zafri pula.
“La… abang yang ajak, tanya Aira pulak?”
“Airakan lebih arif dengan restoran di Putrajaya.”
“Kita makan di Bandar Baru Bangilah. Tiba-tiba teringin pulak nak makan
ayam penyek,” cadang Aira. Padahal dia hendak lari dari rakan-rakan sepejabat. Kalau
makan di Putrajaya takut terserempak dengan mereka pula.
“Ayam penyek, apa tu? Pelik bunyinya,” tanya Zafri.
“Nanti abang tahulah. Restoran tu dekat fasa berapa tak ingat, tapi ia
terletak di baris belakang bangunan RHB Islamic Bank,” terang Aira.
“Okey, abang tau tempat tu.”
“Hmm…abang ada cakap apa-apa tak pada Puan Aishah?” tanya Aira inginkan kepastian. Risau
juga dia kalau-kalau Zafri tersalah cakap.
“Cakap apa?” tanya Zafri.
“Pasal kitalah…”
“Tak sempat nak cakap, kenapa nak risau?” tanya Zafri.
“Janji tau, jangan cakap dengan sesiapa selagi majlis belum diadakan. Aira
tak nak kawan-kawan Aira salah sangka terutamanya Puan Aishah,” ujar Aira.
“Kenapa nak risau? Kita bukan buat salah,” tingkah Zafri yang agak hairan
dengan sikap Aira yang risau tidak bertempat.
“Abang tau tak, Aira baru aje beri kad jemputan, dah kecoh satu pejabat.
Punyalah dia orang korek nak tahu siapa bakal suami Aira. Kalau dia orang tahu
yang sebenarnya Aira dah bernikah, lagi parah!” terang Aira panjang lebar.
“Ya ke…” Zafri hanya tersenyum.
“Lain kali abang janganlah datang ke pejabatAira. Telefon aje. Nanti
kita jumpa la di mana-mana,” sambung Aira lagi.
“Okey. Nak buat macam mana, dah orang tak sudi. Sian abang, macam suami
terpinggir saja,” keluh Zafri.
“What?” tanya Aira terkejut. ‘Suami terpinggir? Mana pulak pak cik salih ni
belajar,’ desis Aira.
“Yalah macam lagu mawar yang terpinggir nyanyian Francisca Peters tu…”
“Apa-apa ajelah janji abang jangan datang pejabat Aira lagi…please.”
‘Aira
ni merayu ke mengarah? Ayatnya merayu tapi suara Aira kedengaran macam
mengarah. Aira… Aira,’ keluh Zafri sambil sekilas memandang isteri yang baru
dikahwininya. Sudahlah tidak sempat hendak berkenalan dengan lebih dekat,
awal-awal lagi sudah hendak menjarakkan diri.