SEBAGAIMANA
yang dijanjikan, Pukul 5.30 petang Encik Azman datang menghantar kereta ke
apartmen Aira. Apabila dia tiba, Aira masih dalam perjalanan pulang. Selalunya
tidak sampai setengah jam Aira sudah sampai, namun hari ini ada kemalangan
pula.
Apabila
tiba jalan menuju ke apartmennya, Aira memperlahankan keretanya. Matanya
melilau mencari Encik Azman dan keretanya dalam deretan kereta yang diletakkan
di tepi jalan sebelah apartmen, namun tidak kelihatan pula.
Apabila
sudah menghampiri gate utama, Aira mencari ruang untuk meletakkan Mini
Cooper pula. Nasib baik kecil, ruang yang sempit pun tiada masalah andai diri
telah mahir.
Semasa
Aira meletakkan kereta, Encik Azman telah menyedari Aira telahpun sampai lalu
menuju ke arahnya.
“Hai! Encik Azman, senang cari
tempat ni?” tegur Aira.
“Mudah saja. Saya pun dah biasa dengan kawasan Kajang ni,” jawab Encik Azman.
“Sorry ya, kenapa suara Encik Azman lain? Dalam telefon macam lain aje?” tanya Aira kehairanan.
“Sama ajelah…kalau ada perbezaan pun mungkin sebab tekak kering kut,” terang Encik Azman.
“Ya ke? Mana kereta saya, tak nampak pun?” tanya Aira. Matanya masih melilau
mencari.
“Tak payah cari. Kereta Cik Aira memang tak ada,” ujar Encik Azman buat Aira terkejut.
“Encik Azman ni, janganlah main-main,” ujar Aira yang sudah mula berasa
gusar.
“Jom ikut saya,” arah Encik Azman pula.
Aira
mengikut Encik Azman dari belakang sehinggalah sampai berhampiran sebuah kereta
Honda Accord berwarna biru tua. Ini yang
buat Aira tertanya-tanya.
“Actually kereta Honda Accord ni bos saya hadiahkan kepada Cik Aira,” ujar Encik Azman sambil tersenyum.
Aira bagai tidak terkata. Biar betul?
“Astaghfirullahalazim…bos awak ni betul ke tidak?” tanya Aira terkejut.
“Tak baik Cik Aira cakap macam tu…dia ikhlas beri kereta ini kepada Cik
Aira,” ujar Encik Azman.
“Habis tu Iswara saya macam mana?” tanya Aira dengan dahi berkerut.
“Cik Aira ni…orang dah bagi Honda Accord lagi nak tanya kereta buruk tu.
Kereta Cik Aira ada tersadai dekat bengkel, tak boleh nak baiki pun sebab
banyak benda yang rosak,” ujar Encik Azman.
“Teruklah Encik Azman ni…mati-mati saya ingat kereta saya dah okey,” ujar Aira.
“Minta maaf banyak-banyak, kereta Cik Aira memang dah tak berbaloi untuk
dibaiki. Memandangkan bos saya bermurah hati membelikan kereta Honda ini untuk
Cik Aira, kenalah terima,” ujar Encik Azman sambil menghulurkan
kunci kepada Aira.
“Patutlah Encik Azman tanya saya suka kereta apa,” ujar Aira sambil menyambut kunci
yang diberi.
“Sorry Cik Aira, saya kena ambil balik kereta Mini Cooper tu kerana yang itu
memang kereta kesayangan bos saya. Hanya bos saya dan Cik Aira saja yang pernah
pandu kereta tu. Saya yang bekerja sebagai pemandu syarikat ni pun dia tak kasi
pandu,” beritahu Encik Azman.
“Habis tu, kenapa bos awak bagi saya pakai kereta tu?” tanya Aira kehairanan.
“Sebab terpikat dengan Cik Aira kut, sampai tak perasan kereta yang mana
dia bagi pada Cik Aira. Sedar-sedar, Cik Aira dah pergi. Tak dapatlah nak buat
apa-apa,” jawab Encik Azman sambil tersenyum.
Teringat
Encik Azman apabila bosnya bagai hilang akal ketika mendapati kereta
kesayangannya tiada. Apabila Encik Azman beritahu yang kereta Mini Cooper telah
dipinjamkan kepada Cik Aira baru dia tersedar. Hairannya dia tidak kisah pula,
padahal pantang sesiapa pun memandu kereta itu.
“Yalah tu…” ujar Aira namun turut tersipu malu dengan usikan Encik Azman.
“Betul Cik Aira, saya tak tipu,” tokok Encik Azman sambil tersenyum
simpul.
“Apa-apa sajalah. Rasa macam tak percaya pula dapat kereta free. Honda
Accord pulak tu!”
“Tuah ayam nampak di kaki, tuah Cik Aira bila kereta kena langgar!” Saja Encik Azman mengusik.
“Anyway, terima kasih banyak-banyak dan sampaikan salam saya pada bos Encik
Azman yang baik hati tu,” ujar Aira sambil menyerahkan kunci Mini Cooper kepada Encik
Azman.
“Barang-barang Cik Aira dah ambil?” tanya Encik Azman.
“Sebenarnya saya tak letak barang saya dalam kereta tu. Kad
petrol ada dalam kereta,” jawab Aira.
“Nak saya ajarkan apa-apa ke pasal kereta Honda tu?” tanya Encik Azman pula.
“It’s okay. Apa-apa nanti saya telefon Encik
Azman,” ujar Aira. Dengan hati yang berbunga-bunga, Aira terus masuk ke dalam
kereta barunya. Umpama dalam mimpi pula!
Setelah
melihat Aira berlalu masuk ke gate utama apartmen tempat dia tinggal,
Azman segera menuju ke kereta Mini Cooper kesayangan bosnya.
“Sorry… sit beside please.” Kedengaran suara bosnya. Azman baru
sahaja duduk dalam kereta, enjin pun belum dihidupkan lagi, bosnya sudah
mengetuk cermin.
“Bos ni teruklah. Saya baru aje nak pegang stereng, dah kena duduk
sebelah,” keluh Azman sambil menggelengkan kepala. Kempunan lagi hendak memandu
Mini Cooper bosnya. Tangkai jering betul bos aku ni, tak bagi peluang langsung
aku memandu kereta kesayangannya. Azman mengutuk bosnya dalam hati.
“Did she left behind something?” tanya bosnya sambil menghidupkan
enjin.
“Jangan risaulah bos. Aira tak tinggalkan barang, cuma satu saja dia
tinggalkan...” ujar Azman membuat bosnya tertanya-tanya pula.
“What it is?” tanya bosnya bagai tidak sabar-sabar pula.
“Bau...” jawab Azman sambil tertawa.
“Bau?” soal bosnya pula.
“Aduh! Wanginya… minyak wangi apa Cik Aira pakai ya? Tapi macam bau daun pandan aje…” ujar Azman.
“Daun pandan?” ulang bosnya.
“Daun pandan pun daun padanlah. Tetap bau Cik Aira, tetap boleh jadi kenangan untuk bos juga!” usik Azman. Bosnya hanya tersenyum
mendengarnya.