“KAU ni kenapa
macam ayam berak kapur saja?” tanya Nazli apabila melihat rakannya bagai orang susah hati
sahaja. Sedari tadi lagi Nazli tengok rakannya itu begitu.
“Wetland kena buat kerja desilting, Encik Rahman baru beritahu aku,” jawab Fazril sambil memandang Nazli.
Kemudian dia mengeluh bagai ada masalah yang berat pula.
“La… yang kau susah hati buat apa? Bukannya kau yang kena korek pasir tu.
Pandailah kontraktor nak buat apa yang patut,” ujar Nazli sambil menggelengkan
kepala. Betul ke tidak si Fazril ni?
“Aku bukan risau pasal tu. Aku risau pasal tumbuhan wetland yang
kena tanam semula. Dahlah nak menyebut namanya pun tergeliat lidah…” balas Fazril pula. Bukan dia tidak
pernah membuat kerja-kerja desilting tetapi kerja penanaman semula yang
merisaukannya.
“Kenapa nak susah-susah, bunga boulevard kan ada? Cakap saja
pokok apa kau tak tahu, dia mesti tolonglah,” jawab Nazli.
“Seganlah nak minta tolong dia,” ujar Fazril pula. Masakan hendak
minta tolong Aira. Bercakap dengannya pun jarang-jarang. Sebetulnya bertegur
sapa pun tidak pernah. Sekadar senyuman yang berbicara apabila terserempak.
“Oo… selama hari ini asyik terintai-intai, terhendap-hendap tak malu pulak?” tegur Nazli.
“Kau ni…” Fazril sudah tersipu malu, nasib baik tiada orang lain di pejabat. Kalau
tidak, berhari-hari Fazril kena usik dengan rakan-rakan sepejabat.
“Tahulah awak tu kumbang tanduk, asyik nak menanduk bola saja. Cuba
ringankan mulut tu sikit, beri salam dan tegur dia bila berselisih.” Nazli memberi nasihat pula kepada si
Fazril.
“Tangan tu kasi lembut sikit, awak tu nak menyunting bunga kena tahu cara
petiknya,” sambung Nazli lagi.
“Kau ni ke situ pulak,” balas Fazril perlahan. Bila tiba bab itu memang Fazril akui
dia payah sikit. Entahlah, dia sendiri tidak tahu kenapa lidahnya kelu untuk
berbicara bila berjumpa dengan Aira. Padahal gadis itu macam biasa sahaja.
“Kau tulah, hari-hari futsal. Sudahnya kau yang menyesal bila bunga boulevard
dikebas orang, baru padan muka kau!”
“Masakan tiba-tiba saja nak minta tolong dengan dia. Dia konsultan,
pulak tu bukannya team kita,” ujar Fazril pula.
“Kau tahu tak sebab apa si Aira tu duduk dalam pejabat kita ni dan
bukannya di pejabat konsultan dekat site tu?” tanya Nazli.
“Dia kan team Puan Aishah? Manalah aku tahu.”
Bila Nazli cakap baru Fazril perasan. Kebanyakan konsultan ditempatkan di site
officeyang terletak di Presint 2. Aira dan beberapa orang QS sahaja
yang ditempatkan di pejabat klien.
“Sebab dia tu tak berkira orangnya. Kau ada hati dengan dia tapi masih
lagi berkira-kira. Masih teragak-agak nak pikat dia, asyik pandang dari jauh
saja.”
“Kalau kau memang suka dekat bunga boulevard tu, baik cepat. Kak
Leha ada, Ani pun ada, mintalah pertolongan mereka ni. Itu pun nak
kena ajar ke?” perli Nazli.
“Mana tahu dia dah ada buah hati ke, tunangan orang ke?” ujar Fazril pula. Itu aje alasan
yang Fazril ada untuk menutup rasa segan yang datang.
“Kalau dia dah ada buah hati, dah lama dia kahwin tahu tak? Sebab tak
adalah kita orang usik kau dengan dia,” tegur Nazli.
“Ha… panjang umur si Aira. Aira dah makan?” Nazli menegur Aira yang baru masuk.
Fazril pura-pura buat ada kerja. Tiba-tiba sahaja jantungnya berirama tidak
menentu.
“Hmm… dah. Oh ya, Puan Aishah kata kerja-kerja desilting di wetland
akan dimulakan, kalau nak Aira tolong
pasal pokok wetland cakap sajalah. Sekarang Aira relaks sikit,” ujar Aira sambil tersenyum.
“Kan betul apa aku cakap,” ujar Nazli pada Fazril.
“Apa yang betul?” tanya Aira, tidak faham dengan apa yang Nazli maksudkan.
“Pasal tumbuhan wetland itulah. Kita orang memang tak kenal pokok
ni sangat. Bila tiba masanya kita orang minta Aira tolong tengokkan,” jawab Nazli sambil menjeling Fazril.
“Okey,” jawab Aira sepatah kemudian berlalu menuju ke tempat kerjanya.
“Payah betullah dengan mamat penyegan ni,” sungut Nazli sambil membaling
pemadam ke muka Fazril.
Fazril hanya tersenyum.