HARI
ini, jadual kerja Zafri memang sibuk sungguh. Seawal jam 9 pagi, dia menghadiri mesyuarat penting di Perbadanan Putrajaya. Selepas itu dia terpaksa berkejar pula ke Cyberjaya kerana ada lawatan tapak bersama klien dan
kontraktor. Tadi sahaja Zafri terpaksa menolak pelawaan kontraktor untuk makan
tengah hari memandangkan dia kena segera pulang ke pejabatnya.
Masuk
sahaja ke biliknya, lagi buat Zafri serabut apabila melihat dokumen yang banyak
di atas mejanya. Semuanya kena dibaca dan diteliti. Ada beberapa kertas kerja
yang perlu disemak dan dikomen dengan segera sebelum dihantar kepada klien.
Sudahnya dia mengambil keputusan untuk membaca surat-surat dari klien terlebih dahulu
sebelum menyemak kertas kerja dan laporan yang lain. Zafri membaca dan meneliti
surat-surat tersebut satu persatu. Kemudian dia menulis nota siapa yang kena ambil tindakan susulan mengenai isu
yang dibangkitkan.
“Kak Sha, tolong masuk ke bilik saya,” pinta Zafri melalui interkom kemudian
meneliti semula surat dari Putrajaya Holdings. Dari tadi jantungnya
berdebar-debar. 'Adakah dia orang yang sama? Kalau benar kenapa diri ini
langsung tidak tahu,' detiknya dalam hati.
Zafri
mengamati pula gambar yang dilekatkan di sudut atas bahagian kanan data
peribadinya. Sebentar tadi tanpa membuang masa dia terus meminta Aida
menghantar fail peribadi Aira kepadanya dengan segera. Akhirnya dia menggelengkan kepala berkali-kali kemudian tersenyum sendiri.
“Ya, Encik Zafri. Anything?” tanya Kak Sha sambil duduk di
hadapan bosnya.
“Saya baru terima surat dari Putrajaya Holdings berkenaan kontrak Aira
Latisha yang disambung enam bulan lagi. Ini Aira yang sama dengan Aira yang
dalam gambar di rumah Kak Sha ke?” tanya Zafri sambil menghulurkan surat tersebut kepada Kak
Sha.
“Yes, she is the one,” ujar Kak Sha. Terasa pelik pula
apabila Zafri bertanya.
“Kak Sha…Kak Sha, kenapa tak beritahu saya awal-awal?” tanya Zafri.
“Masa tu Aira tak bekerja dengan syarikat kita lagi,” terang Kak Sha.
“Macam mana saya boleh tak tahu yang Aira adalah site
staf kita di Putrajaya? Tak pernah pun dia datang pejabat?” tanya Zafri inginkan kepastian.
Sebagai bos dia tidak sepatutnya terlepas pandang pasal hal ini lebih-lebih
lagi melibatkan gadis itu. Memang silap besar.
“Ingatkan Encik Zafri tahu. Yalah, Encik Azhar dah sepenuh
masa bekerja di ibu pejabat dan selalu keluar makan dengan Encik Zafri. Mana
tahu dia ada cerita pasal Aira dengan Encik Zafri,” jawab Kak Sha pula.
“Kak Sha… kalau dia beritahu saya tak
adalah saya tanya Kak Sha,” ujar Zafri dengan nada kesal. Aduhai Kak Sha… tau tak betapa
susahnya saya menjejaki gadis ini, gumam Zafri.
“Sorry. Sebelum ni semua projek di Putrajaya adalah di bawah kendalian Encik
Azhar agaknya sebab itu Encik Zafri tak begitu tahu pasal Aira,” ujar Kak Sha.
“Hmm… bila Aira bekerja dengan kita Kak Sha?” tanya Zafri ingin tahu.
“Kalau tak silap awal tahun ni. Asalnya Aira adalah staf dari konsultan
landskap lembut. Memandangkan skop kerja Aira yang baru ditambah dengan
landskap kejur, jadi Aira dilantik semula tetapi di bawah syarikat
kita selaku konsultan utama. Malah Aira ditempatkan di dalam pejabat klien dan
bekerja di bawah Puan Aishah,” jawab Kak Sha panjang lebar.
“Tapi kenapa semasa majlis makan malam syarikat bulan lepas, saya tak
nampak pun kelibat Aira atau site staf yang lain? Kita tak jemput
mereka?” tanya Zafri walaupun sebenarnya dia tidaklah begitu mengenali semua site
staf yang lain.
“Kita jemput semua site staf tapi biasalah bukan
semuanya teruja nak datang lebih-lebih lagi Aira. Dia paling tak suka meredah
kesesakan untuk masuk Kuala Lumpur semata-mata nak makan,” ujar Kak Sha.
Kak
Sha memang masak sangat dengan perangai Aira. Kalau sudah balik rumah dia
memang liat hendak keluar semula. Kalau ada barang yang perlu dibeli, awal-awal
lagi dia akan ke kedai sebelum pulang ke rumah. Setakat hendak makan malam dan
kena masuk KL dengan jalan sesak sana sini, lebih baiklah makan nasi bungkus
sahaja.
Bagi
Aira, hujung minggu pula adalah waktu rehat setelah sepanjang minggu sibuk
dengan kerja. Kalau keluar setakat window shopping lebih baik
membungkang di bilik tidur. Duit tidak habis, otak pun tidak sakit. Sebab
itulah sampai sekarang Aira masih tidak kahwin-kahwin. Ramai jejaka yang tidak
tahu kewujudan Aira.
“Hmm…by the way Kak
Sha ada kirim salam saya pada Aira?” tanya Zafri sambil tersenyum.
“Saya tidak salah dengar ke bos?” soal Kak Sha yang tidak sangka
dengan pertanyaan Zafri. Memanglah dia ada berjumpa Aira dan sampaikan
salam Zafri tapi masakan bosnya
benar-benar serius?
“Saya tanya Kak Sha, ada ke tidak?” ulang Zafri pula.
“Ada, ada… dia pun kirim salam juga tapi
tulah sekadar berbahasa saja,” jawab Kak Sha.
“Kak Sha, boleh tolong
saya?” tanya Zafri sambil memandang tepat ke wajah Kak Sha.
“Sure...” jawab Kak Sha, sepatah.
“Saya nak berterus terang dengan Kak Sha. Sebenarnya sebelum ni saya
memang pernah bertemu Aira cuma Aira yang mungkin tak perasan.” Kak Sha semakin pelik dengan
penerangan Zafri.
“Sebetulnya saya sendiri pun tak tahu entah bila dan bagaimana saya boleh jatuh hati pada Aira.”
Kini Kak Sha semakin tertanya-tanya
pula. Ini betul-betul open minded.
“Terang-terang cakap, saya tak mahu kehilangan Aira. Boleh Kak Sha boleh
tolong saya?” pinta Zafri. Kali ini Zafri tidak mahu membuang masa lagi.
Aduh,
parah kalau macam ini! Kak Sha berkira-kira sendiri. Dahulu dia saja-saja
hendak padankan Zafri dengan Aira, tidak sangka pula jadi begini. Ingatkan
apabila Zafri senyap sahaja dia sudah lupa, rupanya tidak pula.
“Kak Sha boleh tolong ke tak ni?” tanya Zafri.
“Boleh Encik Zafri cuma beri saya masa kerana hati Aira ni memang susah
nak diduga,” janji Kak Sha.
“Kalau boleh saya nak Kak Sha aturkan pertemuan saya dengan Aira seberapa
segera,” pinta Zafri bagai tidak sabar-sabar pula.
“Insya-ALLAH Kak Sha akan usahakan tapi dalam masa terdekat ni payah juga.
Aira ni bukan senang hendak diajak keluar,” ujar Kak Sha pula. Kak Sha pun tidak
mahu Zafri terlalu mengharap sangat.
Hairan sungguh, Zafri benar-benar tidak
sangka. Apabila dicari tidak jumpa-jumpa. Ketika sudah hampir tidak dipedulikan
lagi, terpampang pula di depan mata. Semasa berkunjung ke rumah Kak Sha dahulu, dia masih ragu-ragu adakah dia orang yang dicari.
Zafri
tersenyum lagi sambil memegang surat lanjutan kontrak Aira Latisha. Penat
sahaja dia ke sana ke mari rupa-rupanya orang yang dicari ada di dalam laman
sendiri. Itulah, asyik sangat mencantikkan laman orang, laman sendiri yang
sudah sedia cantik tidak disedari.
Kak
Sha melangkah berat menuju ke mejanya. Andai Zafri sudah berkata begitu kepadanya, hendak tak hendak dia kena memulakan perancangan. Bukan sesuatu
yang mudah untuk mendekatkan dua orang yang berlainan perangai dan fikiran ini.
Seorang sering ke hulu, seorang lagi pula asyik ke hilir, memang kena cari
jalan untuk temukan.
Beberapa
bulan yang lalu Kak Sha dan cuba rekomen Zafri kepada Aira tetapi Aira langsung
tidak tunjuk tanda-tanda berminat. Setiap kali ada peluang Kak Sha akan
mengirim salam Zafri pada Aira di hujung perbualan namun hanya ketawa Aira yang
menjawab salam yang diberi.
Pening
juga kepala Kak Sha hendak menangani perangai adik angkat yang seorang ini. Kak
Sha serius dengan apa yang diucap dan diperkatakan, Aira memperlekehkannya
pula. Kasihan juga dengan Zafri yang masih menanti dan menunggu peluang
berjumpa Aira.
Nampaknya
Kak Sha kena fikir rancangan yang lebih canggih untuk satukan mereka berdua.
Kalau setakat cakap-cakap mulut memang tidak bawa ke mana. Kalau dirancang
awal-awal hendak berjumpa di sesuatu tempat tidak akan menjadi. Pasti ada saja
alasan Aira dan akhirnya tidak muncul-muncul juga.
Andai
tidak berjaya juga maaflah Zafri, semuanya bergantung kepada ketentuan ALLAH
jua. Kita hanya mampu berusaha namun Tuhan jua yang menentukan siapakah yang
terbaik untuk kita, detik Kak Sha.