PINTU bilik diketuk
berkali-kali. Aira yang sudah terlena
tersentak. Dalam keadaan mamai dia bangun membuka pintu. Sebaik pintu dibuka,
rupanya abang long yang mengetuk pintu.
“Kenapa kunci pintu? Zafri nak masuk, kesian dia dah lama duduk kat ruang
tamu,” marah Azwan.
“Astaghfirullahalazim…sorry, Aira tak sengaja.” Macam mana aku boleh lupa ni? Aira
mengutuk diri sendiri sambil menggaru kepala. Seingatnya selepas mengemas di
dapur, dia masuk ke bilik hendak memunaikan solat isyak. Agaknya kepenatan
menyebabkan dia terlena. Lagipun telah menjadi kebiasaan, masuk sahaja dalam bilik,
tangannya secara automatik akan mengunci tombol pintu.
Zafri!
Tiba-tiba terpacul nama itu dari mulut Aira dan mengantuknya terus hilang entah
ke mana. Terlupa kini yang diri telah bernikah walau majlis kenduri belum
dilangsungkan lagi.
“Assalamualaikum…” Zafri masuk dengan memberi salam.
“Waalaikumussalam… sorry sangat-sangat
tadi Aira tak sengaja kunci pintu,” ucap Aira menjawab salam Zafri.
Namun dia masih menundukkan kepalanya, tidak berani hendak memandang Zafri.
“Saya belum solat isyak lagi. Aira dah solat?” tanya Zafri sambil mengeluarkan kain
pelekat dari beg kecil yang dibawanya.
“Dah. Nanti Aira bentangkan sejadah,” jawab Aira.
Apa
aku nak buat ni? Aira tertanya sendiri. Zafri telah masuk ke bilik air. Setelah
membentangkan sejadah, dia mengambil keputusan ke dapur untuk mengambil air
mineral. Malam nanti kalau terasa haus tidak perlu ke dapur lagi.
“La…kenapa tinggalkan Zafri sorang-sorang dalam bilik?” tanya Azwan ketika terserempak
dengan Aira di dapur.
“Zafri sedang solat. Aira saja nak ambil air.” Setelah mengambil air mineral dan
gelas di almari dapur Aira terus ke bilik. Hajat di hati hendak
berlengah-lengah di dapur tidak kesampaian pula. Nasib baik semasa masuk ke
bilik Zafri masih bersolat.
Aduhai,
nak buat apa ni? Hendak menyibukkan diri, tiada benda yang hendak dikemas. Akhirnya Aira mencapai majalah di tepi meja
dan pura-pura fokus dengan apa yang dibaca. Padahal bermacam-macam dalam
fikirannya.
Majlis
kenduri 3 minggu lagi. Aira berharap sangat agar Zafri tidak menyuruhnya
berpindah ke rumahnya. Biarlah tunggu selepas majlis kenduri kahwin nanti.
Walaupun majlis mereka memang Kak Sha yang akan tolong uruskan, itu tidak
bermakna Aira boleh lepas tangan. Ada juga perkara-perkara tertentu yang Aira
kena buat sendiri.
“Senyap saja isteri abang ni…” Zafri bersuara setelah menyidai sejadah di ampaian tepi
katil.
‘Aduh!
Dia sudah membahasakan dirinya abang, tadi tidak pula. Nak cakap apa ni? Boleh
mati kutu kalau macam ini,’ Aira berbicara sendiri.
“Boleh berkenalan?” Sengaja Zafri hendak bermesra sambil mengambil tempat di
sebelah Aira.
“Tak apalah, along the way nanti kita kenallah.” Hanya itu jawapan yang dapat
Aira fikirkan. Di dalam hati, hendak
tergelak juga.
“Abang tengok,Aira macam tak gembira ajeberkahwin dengan
abang,” ujar Zafri sambil memandang Aira.
“Patutnya kita nikah 3 minggu lagi, tapi macam ni pula jadinya,” rungut Aira.
“Nikah hari ini atau 3 minggu lagi tak ada banyak bezanya. Lagi cepat
masjid dibina kan lagi afdal,” ujar Zafri.
‘Pandai
pula mat salih ini menyusun kata-kata,’ detik Aira dalam hati.“Tapi Aira tak bersedia lagi,” jawabnya memberi alasan.
“Bukankah semua persediaan majlis kita, Kak Sha yang tolong uruskan?
Aira tak sedia apa lagi?” tanya Zafri.
Aira
terdiam.
“Abang tak kira, balik nanti terus pindah rumah abang,” sambung Zafri.
“Maaflah, Aira tak bersedia nak pindah ke rumah
abang. Banyak benda yang
hendak diuruskan. Aira pindah lepas kendurilah,” jawabnya.
“Lama lagi kalau macam tu,” keluh Zafri pula. Ingatkan apabila
sudah bernikah bolehlah tinggal bersama.
“Padanlah dengan muka abang.Siapa suruh setuju nikah gantung?” perli Aira.
“Nikah gantung? Kita kan sudah sah bernikah?” tanya
Zafri.
“Itulah istilahnya kalau berkahwin macam kita ni.Kalau tak faham juga, sila rujuk
dengan setiausaha abang yang bijak pandai tu,” sambung
Aira.
“Jadi Aira proteslah ni,sampai tak nak pindah ke rumah
abang?” tanya Zafri.
“Yalah…rancangnya lain, buatnya lain. Siapa suruh abang setuju dengan cadangan abang
long tu,” marah Aira dengan muka mencuka.
“Dah Aira diam aje ingatkan Aira setuju,” jawab Zafri
selamba.
“Nak buat macam mana, dah orang tak sudi…masih marah lagi ke?” sambung Zafri.
Aira
senyap sahaja. Walaupun mengantuk Aira sudah lama hilang, Aira mula berbaring
sambil menarik selimut di hujung katil.
Zafri tersenyum mengingat apa yang berlaku pada
dirinya kini. Memang tidak sangka sungguh. Dia teringat perbualannya dengan Kak
Sha sebelum dia dinikahkan.
“Tak payah bertunang ke Kak Sha?”
“Orang dah bagi peluang terus bernikah buat apa
fikir pasal bertunang?” soal Kak Sha pula.
“Oh, ya…?”
“Boleh saja kalau nak bertunang tapi dibuatnya
putus di tengah jalan, bos juga yang melepas. Aira ni bukan boleh percaya sangat.”
“Betul juga.” Zafri mengiakan kata-kata Kak Sha.
“Kata nak merisik, meminang, bertunang, bernikah
dalam satu masa. Sekarang dah skip merisik dan bertunang kira untung
jugalah tu,” ujar Kak Sha.
Aira memandang Zafri yang masih duduk menyandar
di kepala katil. Kenapa pula pak cik salih ni tersenyum tengah-tengah malam
buta ni? Aira tertanya sendiri.
Tiba-tiba Zafri juga turut menoleh. Seketika
mereka saling berpandangan.
“Yang abang senyum kambing ni kenapa?” tanya Aira
tetapi mata sudah pandang tempat lain.
“Senyuman abang macam kambing ke?” tanya Zafri
balik tetapi masih tersenyum.
‘Biul ke apa pak cik salih ni? Senyum kambing pun
tak tahu? Melampaulah tu. Hmm... kalau tak tahu faham pun bagus juga. Taklah
rasa bersalah kutuk dia sebab dia macam suka sahaja.’ Aira berkata di dalam
hati.
Sekilas Aira memandang Zafri yang kini memang
sedang merenungnya. Alamak, termalu Aira dibuatnya. “Dahlah, Aira nak tidur,”
kata Aira menutup rasa malu yang tiba-tiba datang.
“Okeylah, abang pun dah mengantuk dan tak larat rasanya,” ujar Zafri sambil menutup suiz lampu
di tepi katil.
Namun,
sebaik sahaja lampu dipadam, mata Aira tetap sukar dilelapkan. ‘Hai mata,
bilalah nak terpejam?’ keluh Aira dalam hati.