SEBELAH
petang, Aira segera mengemas kini laporan kecacatan landskap di boulevard. Dia malas hendak keluar membuat lawatan tapak lagipun cuaca begitu
panas. Boleh pitam dibuatnya andai diri tidak berapa sihat. Sedang Aira leka
membuat kerja, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi telefon bimbit yang minta
diangkat.
“Assalamualaikum…” Aira menjawab panggilan yang masuk. Entah siapalah telefon
petang-petang begini, kacau saja. Dia membebel.
“Waalaikumussalam Cik Aira, saya Azman.” Orang itu memperkenalkan dirinya, namun Aira masih tertanya-tanya siapa pulak dia ini, tidak kenal pun.
“Ya, ada apa boleh saya bantu?” Seperti biasa Aira bertanya soalan
yang sama kepada sesiapa jua yang tidak dikenalinya.
“Ni pasal kereta Cik Aira tu…” ujarnya.
“Oh! Ya?” ujar Aira terkejut kemudian tersenyum sendiri. Seronok sangat memandu
Mini Cooper sampai terlupa pula kereta sendiri.
“So
macam mana kereta saya?” tanya Aira.
Dua
tiga hari ini Aira melaram sakan dengan kereta milik mat salih itu. Apabila ada
yang bertanya mana perginya kereta Iswara Aerobacknya, pandai sahaja dia kelentong. Walaupun mereka bagai tidak puas hati dengan jawapan yang
diberi, Aira buat tidak reti saja.
“Ini yang nak beritahu. Apa kata tukar kereta baru saja?” Pertanyaan Encik Azman benar-benar
mengejutkan Aira.
“No way. Itulah satu-satunya pakwe saya yang paling setia. Tak pernah nak
meragam pun tapi tulah, masuk ni dah tiga kali kena langgar,” ujar Aira.
“Amboi, sayangnya dengan kereta tu!” komen Encik Azman pula.
“Mestilah, walau kereta biasa tapi ia tetap ada nilai sentimental,” jawab Aira. Bukan mudah dia mengumpul duit untuk sediakan wang muka bagi kereta itu. Sanggup tidak keluar
ke mana-mana, tidak beli apa-apa.
“Actually Cik Aira suka kereta apa sebenarnya?” tanya Encik Azman pula.
“Tentulah Honda Accord yang baru tu,” jawab Aira. Terbayang kereta idaman
yang sampai kini hanya tinggal angan-angan saja.
“Boleh tahan juga pilihan Cik Aira.”
“Apa cerita kereta saya?” tanya Aira pula.
“Ni yang susah nak terangkan,” ujar Encik Azman bagai berteka-teki
pula.
“Bos you kan kaya? Apa yang tak boleh pakai, tukar aje janji
kereta saya nampak sporty,” ujar Aira.
Sudah
alang-alang hendak membaiki keretanya, baiki sekalilah bahagian lain walau
bukan rosak akibat dari kemalangan tempoh hari.
“Sporty pun ia tetap Iswara Aeroback…bukan boleh jadi sport car,” jawab Encik Azman pula sambil
tertawa.
“Tak apalah asalkan semuanya in good condition, itu dah cukup baik
bagi saya,” jawab Aira pula.
“Tengoklah macam mana. Nanti saya beritahu bos saya,” janji Encik Azman.
“La…ingatkan dah nak siap. Apa pasal ambil masa lama sangat, dah tiga hari
takkan tak siap lagi?” tanya Aira kehairanan.
“Jangan risau, lusa saya hantar,” janji Encik Azman, tidak mahu
mengecewakan Aira.
“Anyway saya nak minta maaf banyak-banyak pasal hari tu. Tak pasal-pasal Encik
Azman yang saya marah,” ujar Aira walau sebenarnya rasa segan juga pada Encik Azman bila mengingatkan detik
itu.
“Tak apa,” ujar Encik Azman mengakhiri perbualan.
Aira tersenyum. Seronok
sangat melaram dengan kereta pinjam, inilah padahnya sampai lupa terus kereta
sendiri. Rakan-rakan sememangnya ada yang mengutuk Aira kerana masih pakai
kereta Iswara buruk itu. Padahal Aira seorang arkitek landskap, bukannya tidak
berduit.
ESOKNYA sedang Aira
membuat lawatan tapak di boulevard, Encik Azman menelefonnya lagi.
“Cik Aira, esok saya nak hantar kereta,” beritahu Encik Azman.
“Alhamdulillah…cepatnya?” tanya Aira, terkejut.
“Tengoklah siapa yang uruskan,” ujar Encik Azman memuji dirinya
sendiri.
“Masuk bakul angkat sendiri nampak?” gurau Aira sambil tertawa.
“Yalah, nak tunggu Cik Aira yang puji dalam mimpi sajalah,” ujar Encik Azman yang turut sama
tertawa.
“Encik Azman ni asyik nak mengusik saya. Hmm…bos Encik Azman yang handsome
tu apa khabar?” Saja Aira bertanya. Dia memang tidak boleh lupa senyuman bos Encik Azman ini. Dalam marah-marah sempat
juga mata dia memandang.
“Aik, mimpi apa malam tadi?” tanya Encik Azman.
“Encik Azman ni, masakan nak tunggu mimpi baru nak tanya khabar?” soal Aira pula.
“Yalah, ini kali pertama Cik Aira tanya khabar bos saya tu. Kalau dia
tahu, mahu tak lena tidur malam ni,” seloroh Encik Azman kemudian
tertawa.
“Encik Azman ni… ada-ada sajalah,” jawab Aira. Walau tidak berdepan tetap terasa segan.
“Gurau-gurau juga, nanti kereta tu nak hantar ke pejabat
atau rumah?” tanya Encik Azman pula. Itu sebenarnya tujuan dia menelefon Aira, tetapi
melalut sampai ke hal lain pula.
“Pukul berapa Encik Azman nak hantar?” Aira bertanya balik.
“Pukul lima setengah petang, boleh Cik Aira?” tanya Encik Azman pula.
“Kalau macam tu, hantar ke apartmen saya saja. Nanti saya SMS alamatnya,” sambung Aira.
“Okeylah kalau Cik Aira dah macam tu. Assalamualaikum…” ucap Encik Azman.
“Waalaikumussalam,” balas Aira mengakhiri perbualan.
Nampaknya
sampai petang esok sajalah Aira boleh melaram dengan Mini Cooper mat salih itu.
Sejak memandu kereta pinjam ini, Aira bukan main rajin ke sana ke mari.
Agaknya
apabila dipulangkan kereta ini semula, mahu terkejut mat salih itu. Apa
tidaknya, sudah beratus kilometer kereta dia bergerak walhal baru saja beberapa
hari Aira memandunya. Mentang-mentanglah dia sudah bagi pinjam, Aira pula ambil
kesempatan lanyak cukup-cukup.