RYAN
AZ ZAFRI, sehebat namanya begitu jugalah orangnya. Sekali pandang pasti ramai
menyangka dia adalah mat salih tulen. Namun begitu, tiada siapa menduga jejaka
yang miliki karisma tersendiri ini adalah anak kacukan Melayu dan Inggeris.
Di pejabat,
Zafri sememangnya dikenali sebagai seorang bos yang tegas namun dia tetap mudah
didekati. Dia tidak kedekut berkongsi ilmu dengan staf-stafnya. Kalau boleh
segala ilmu dan pengalamannya akan dicurah agar boleh dijadikan panduan dan
dorongan untuk orang lain maju ke hadapan.
Walaupun
baru sahaja beberapa bulan mengambil alih firma arkitek milik arwah abangnya,
Zafri tidak menghadapi masalah untuk menguruskannya. Sebelum ini dia juga
telah banyak kali berulang-alik antara Canada dan Kuala Lumpur apabila
ada projek yang memerlukan sentuhannya. Sesekali dia balik juga apabila
datang rindunya pada si kecil, anak buahnya.
Setelah
arwah abangnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, akhirnya Zafri
mengambil keputusan untuk kembali menetap di Malaysia.
Berbeza
dengan abangnya, Zafri sedikit pendiam dan tidak banyak cakap. Mungkin juga
sebab baru sahaja berubah angin setelah agak lama meninggalkan tanah
kelahirannya. Walaupun begitu, dia seorang pemerhati dan pendengar yang baik. Zafri juga tidak segan bertanya tentang sesuatu yang dia tidak faham.
“Ya Kak Sha, ada orang nak jumpa saya ke?” tanya Zafri yang baru perasan
setiausahanya sudah berdiri di hadapannya.
“Bos ni kenapa? Sejak tadi macam orang sasau saja,” tegur Kak Sha sambil meletakkan dokumen
di atas mejanya.
“Tak ada apa-apalah Kak Sha,” jawab Zafri sambil tersenyum. Senyum yang dibuat-buat
sebenarnya.
Diai berasa segan sebenarnya apabila
mendengar teguran setiausahanya malah diri turut tersipu malu. Mujur sempat
menutup gambar yang baru ditatap dengan
diarinya. Walaupun tidak benar-benar faham maksud Kak Sha, tetapi Zafri
dapat meneka maknanya.
Setelah
setiausahanya berlalu, Zafri menarik nafas lega. Kemudian tersenyum sendiri
sambil menggeleng kepala. Apa sudah jadi dengan diri ini? Hendak buat kerja pun
seakan tiada semangat. Melihat dokumen yang banyak di atas mejanya buat Zafri
pening kepala.
Kak
Sha kembali menuju ke mejanya sambil tersenyum simpul. 'Bos aku ini tengah
bercinta ke? Tetapi tidak pernah pula dia keluar dengan mana-mana wanita. Tidak
pernah tersasul pun nama-nama gadis di
bibirnya. Tadi bukan main lagi suruh hantarkan dokumen dengan segera. Peliknya,
selepas itu tanya benda lain pula. Entah apa-apalah bos aku ini,' desisnya.
Kadang-kadang
perangai Zafri memang pelik. Biasanya orang perempuan sahaja yang rajin window
shopping namun tidak sangka pula si
Zafri ini pun suka juga. Setiap hujung minggu, dia pasti akan keluar ke pusat
beli belah yang berlainan.
Bila
datang rajinnya, Zafri sanggup memandu hingga ke Seremban malah pernah ke
Melaka semata-mata untuk pergi ke pusat beli belah. Dia tidak kisah dan tidak
jemu-jemu melakukannya saban minggu. Apa yang dicarinya, Kak Sha pun tidak
tahu. Hendak kata Zafri mempunyai hobi mengumpul barangan antik yang kecil-kecil,
tidak juga. Satu apa pun tidak ada di atas mejanya. Lapang, selapang-lapangnya.
Kak
Sha sudah lama maklum perangai Zafri yang satu itu, tetapi tidak berani pula
hendak bertanya. Walaupun Zafri tidak mahu batasan bos dan staf menjadi
penghalang untuk berkomunikasi, namun Kak Sha tetap menjaga tatasusila budaya
Melayu. Kalau melibatkan sesuatu yang peribadi dan di luar waktu kerja,
sebolehnya dia tidak mahu ikut campur.
“Kak Sha, macam mana nak eja perkatan angau?” Sudahnya
Zafri tanya pada Kak Sha juga.
Terbang melayang lamunan Kak Kha. Dia mengangkat kening sambil memandang tepat ke wajah Zafri. Biar betul bos aku
ini? Kak Sha rasa bagai tidak pecaya pula.
Puan
Kamariah yang baru sahaja tiba di pejabat Zafri turut terpempan.
Zafri yang
baru perasan kehadiran Puan Kamariah terus tergamam. Kamus dwi bahasa di
tangannya hampir sahaja terjatuh ke lantai dek terkejut. Zafri betul-betul
malu, bukan pura-pura malu lagi.
“Tak sangka pula mat salih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan
begitu fasih sekali,” puji Puan Kamariah sambil tersenyum.
“Mat salih celup,” ucap Zafri menyelamatkan keadaan.
“Sila Puan Kamariah,” pelawanya. Dalam
hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tidak pernah Zafri rasa semalu ini lebih-lebih
lagi di depan wanita pula.
Puan Kamariah sendiri tidak menyangka pengarah
urusan yang akan ditemuinya merupakan anak muda keturunan mat salih. Ada tahi
lalat lagi, mujur diri sudah berkahwin. Kalau tidak, mahu cair dek senyuman
menawan si Zafri.
“Ryan Az Zafri dah lama ke menetap di Malaysia?” tanya Puan Kamariah memulakan
bicara.
“Panggil Zafri saja puan. Sebenarnya saya baru saja beberapa bulan balik
ke Malaysia,” jawabnya.
“Oh… begitu,” balas Puan Kamariah.
“Semasa kecil dahulu saya memang dibesarkan di sini, tapi kemudiannya
berhijrah ke Vancouver, Kanada selepas ayah meninggal dunia,” terang Zafri tanpa ditanya.
Tidak
lama selepas itu Kak Sha mengetuk pintu dan masuk sambil menatang dua cawan
kopi untuk dihidangkan.
“Maaf Puan Kamariah, air bujang saja,” ucap Kak Sha sambil menghidangkannya
di atas meja.
“Dah bosnya pun bujang, nak buat macam mana?” gurau Puan Kamariah sambil ketawa
kecil.
Zafri turut tersenyum. Bagaimana Puan Kamariah tahu? Ada cop bujang di
dahi ke? Dia tertanya sendiri.
Hari
ini Zafri memang terlupa sungguh pasal Puan Kamariah yang hendak singgah di
pejabatnya. Padahal baru semalam Puan Kamariah menelefonnya, memberitahu akan
kedatangannya. Biasanya Encik Azhar yang pergi berjumpa Puan Kamariah di
pejabatnya yang terletak di Cyberjaya.