Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 17

HARI Rabu Aira agak sibuk. Biasalah, setiap bulan kena buat laporan. Sedang dia membuat salinan beberapa dokumen, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Aira segera berlari ke mejanya kerana tidak mahu deringan telefon mengganggu rakan sekerja yang lain.

“Assalamualaikum,” ucap Aira kemudian menarik nafas panjang.

“Waalaikumussalam,” jawab orang di sebelah sana.

“Hmm…siapa ni?” tanya Aira ingin tahu.

“Masakan tak kenal?” tanya orang itu pula. 

'Ai mamat ni, aku dahlah tengah sibuk. Ada hati pula nak main teka teki,' gumam Aira geram.

“Saya betul-betul tak cam,” jawab Aira bagai orang yang tiada mood.

“Abanglah ni,” jawapan orang itu buat Aira bertambah bengang.

“Yalah, abang mana?” tanya Aira. Ikutkan hati yang sudah mula panas, mahu saja Aira putuskan talian. Tiada orang menghubunginya lagi baik.

“Aira ada banyak abang ke?” Sengaja orang itu hendak mengusik Aira lagi. 

Rasa macam berasap satu badan, namun Aira masih boleh tahan lagi. “Minta maaflah. Andai nak main-main macam ni, lebih baik tak payah telefon,” marah Aira tapi masih hendak tahu juga siapa yang menghubunginya.

“Aira ni…garangnya, ini Abang Lokmanlah.” 

Bagai hendak melompat Aira apabila mendengar nama itu. 'Apa pula mimpi orang tua ini telefon aku,' desis Aira.

“La…ingatkan siapa tadi,” balas Aira. Kalau dari awal dia tahu Abang Lokman yang menelefonnya, tak kuasa hendak melayannya.

“Sebenarnya abang nak ajak Aira makan tengah hari,” pelawa Abang Lokman.

Terbatuk Aira dibuatnya. Hendak cari penyakit? Cukuplah sekali itu terserempak dengan Abang Lokman. Biarlah berlapar dari terpaksa menghadap mukanya.

“Maaflah Abang Lokman, hari ni tak boleh sebab dah janji dengan kawan,” jawab Aira. Hendak termuntah pula rasanya apabila terpaksa sebut perkataan abang.

“Kalau hari lain boleh tak?” tanya Abang Lokman buat Aira sakit jiwa.

“Alamak! Maaflah Abang Lokman, bos Aira tengah panggil la.” Saja Aira memberi alasan, malas hendak berbual panjang.

“Hmm…tak apalah kalau macam tu,” ujar Abang Lokman.

Aira perasan ada nada orang merajuk pada suaranya. 'Ada aku kisah? Rasa lega adalah,' desis Aira sambil memutuskan talian.

“Ini dokumen Aira ke?” tanya Kak Leha sambil menghulurkannya kepada Aira.

“Terima kasih Kak Leha sayang. Kalau dokumen ini diterbangkan angin, kena cari sampai dapat.” Aira menyambutnya kemudian mengurut dada.

“Aira ni suka sangat buat kerja separuh jalan, lepas tu lupa,” marah Kak Leha.

Sorry, bukannya Aira sengaja. Tadi telefon berbunyi pula terpaksalah jawab dulu,” jawab Aira.

“Ini mesti pakwe yang telefon sampai penyakit pelupa datang balik.” Saja Kak Leha mengusik.

“Siapalah nakkan Aira yang tak berapa nak cantik ini. Dahlah tak lawa, berkarat pulak,” ujar Aira merendah diri. 'Hmm…sudahlah badan sememangnya rendah. Lagilah orang tak nampak,' Aira berkata di dalam hati.

“Karat itulah yang mahal. Ukuran ketulenan emas tu, jangan main-main,” sakat Kak Leha lagi.

“Kak Leha ni, tak habis-habis nak mengusik Aira.”

“Kalau tidak, masakan ada yang berhabis beli bunga untuk Aira,” usik Kak Leha lagi.

“Janganlah cakap kuat-kuat Kak Leha, malu Aira,” pinta Aira.

“Apa yang emas, apa yang karat? Dari jauh dah boleh dengar,” tegur Puan Aishah yang baru balik dari Menara Putrajaya.

Sorry puan, Kak Leha saja nak mengusik Aira. Asyik serius saja bila buat kerja,” ujar Kak Leha menyelamatkan keadaan. Aira sekadar tersenyum memandang Puan Aishah yang turut mengukir senyuman.


HABIS waktu kerja Aira singgah di Alamanda untuk membeli barang keperluan. Semasa melalui deretan kedai menuju ke Carrefour, tiba-tiba dia perasan seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan melilau-lilau seakan mencari sesuatu. Pantas Aira menghampiri kerana pasti dia telah terpisah dari ibu bapanya.

“Hai, adik cari ibu ya?” tanya Aira.

“Cari ayah. Tadi ayah pergi bilik air. Lama tunggu tapi tak datang-datang,” ujarnya.

“Kesiannya. Tak apa, auntie ada. Nanti kita cari ayah. Siapa nama adik?”

“Sofea,” jawabnya sambil tersenyum.

“Sedapnya nama adik. Nama auntie Aira Latisha, panggil auntie Aira aje. Sofea dah makan?” tanya Aira.

“Belum,” jawab si kecil sambil menggeleng.

“Okey, nanti kita pergi makan di KFC, tapi kita pergi ke kaunter penerangan dulu ya.”

Si kecil hanya mengikut. Nasib baik juga Aira yang jumpa dia, andai orang jahat atau sindiket culik budak, tidak tahulah apa hendak dikata.

Setelah memberi maklumat berkenaan kanak-kanak terbabit, Aira terus membawa Sofea menuju ke KFC. Dia akan menjaga Sofea sehingga ayahnya datang menjemput. Semoga ayahnya segera datang selepas mendengar pengumuman berkenaan Sofea. 

Dalam perjalanan menuju ke KFC, Aira terserempak pula dengan rakan sepejabat. Walau tidak lagi terlibat dengan projek yang sama, Aira agak rapat juga dengan Marlinda.

“Aira,” tegur Marlinda.

“Hai Marlinda, shopping ke?” tanya Aira pula.

“Taklah, menjahit…” jawab Marlinda bergurau.

“Anak Aira ke? Comelnya… tak sangka Aira ada anak.” Saja Marlinda hendak berseloroh.

“Aira lagi tak sangka,” jawab Aira acuh tak acuh.

“Suami Aira mana?” sakat Marlinda lagi.

“Tulah Aira tengah cari. Tadi ada, tiba-tiba lesap pulak. Entah di mana dia menyorok sampai sekarang tak jumpa-jumpa, hehe...” jawab Aira kemudiannya tertawa. 

Sofea terpinga-pinga melihat dua auntie yang tidak berapa betul berborak sakan.

“Kau ni Aira, kalau dilayan makin menjadi-jadi,” tegur Marlinda.

“Kau tu pun satu, dah tahu aku masih solo lagi mahu tanya,” balas Aira pula.

“Tapi tak apalah, janji aku ada anak. Kalau ikut hati, aku bawa lari aje budak ni,” sambung Aira.

“Hah? Siapa sebenarnya budak ni?” tanya Marlinda terkejut.

“Anak yang kehilangan ayahnya. Aku tolong jaga sekejap,” terang Aira.

“Begitu rupanya. Siapa nama?” tanya Marlinda sambil mencuit pipi si kecil.

“Sofea,” jawab si kecil.

“Okeylah Marlinda, Aira nak beli KFC untuk budak ni. Kita jumpa lain kali ya,” ujar Aira.

“Okey bye,” ucap Marlinda sambil berlalu.

Aira membawa Sofea makan di KFC. Aira sendiri terasa lapar. Baru Aira perasan yang hari ini dia juga tidak sempat hendak makan tengah hari. Beberapa hari ini dia memang kenyang dengan Honda Accord barunya. Tidak makan tengah hari pun tidak mengapa.

Rakan-rakan pejabat bagai tidak percaya yang Aira sudah tukar kereta baru. Apa tidaknya, sudahlah sebelum ini Aira pandu Mini Cooper sampai buat orang tertanya-tanya. Alih-alih kini sudah pakai Honda Accord pula, siapa pun akan terkejut dengan perubahan mendadak Aira. Namun, pandai saja Aira kelentong mereka. Andai beritahu cerita sebenar pun, siapa yang akan percaya?

Jam menunjukkan tepat pukul 6.00 petang. Tunggu punya tunggu ayah si Sofea tidak muncul-muncul juga. Sudahlah Aira tidak bersolat asar lagi malah dia juga belum membeli barang yang sepatutnya. Akhirnya Sofea terpaksa ditinggalkan di kaunter penerangan.

Aira turut meninggalkan nombor telefonnya pada Sofea apabila tiba-tiba si kecil memintanya. Pandai ke si Sofea ni menggunakan telefon? Dia tertanya sendiri.

Entah kenapa tiba-tiba Aira teringin memeluk si kecil dan mencium pipinya sebelum meninggalkannya. Terasa sayu pula apabila melihat wajah Sofea. Panjang umur pasti dapat berjumpa lagi di mana-mana. Malaysia bukannya sebesar mana pun, pusing-pusing bertemu semula.

Aira berjalan pantas menuju ke surau Alamanda untuk segera menunaikan solat Asar. Nanti tidaklah kelam-kabut apabila hendak membeli barang. Namun, Aira kena cepat juga, sebolehnya dia hendak solat maghrib di rumah kerana badan pun sudah mula rasa tidak selesa.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.