Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 29

KEPENATAN melayan tetamu membawa sampai ke malam. Begitu pun Zafri masih mampu tersenyum bahagia apabila memandang Aira. Apatah lagi hari ini secara rasminya mereka telah bergelar suami isteri. Walaupun sebenarnya telah bernikah tiga minggu yang lalu.

“Kita nak berbulan madu di mana, ya?” tanya Zafri yang kini telah merebahkan dirinya di atas katil. Terasa lega sangat apabila dapat berehat setelah seharian penat melayan tetamu. Sofea telah pun lena di atas katil mereka dek kepenatan pada siang hari. Siang tadi dia bermain dengan anak-anak abang long macam tidak pernah berkawan.

“Tak payahlah ke mana-mana. Buang duit dan masa saja,” jawab Aira selamba sambil menyidai tuala di ampaian.

“Kita kan dah berkahwin. Naklah juga bercuti dan berbulan madu seperti pasangan lain,” balas Zafri pula. Matanya tidak lekang dari memandang wajah isterinya.

“Abang sayang, kita sama-sama tak solat isyak lagi. Sekarang dah dekat pukul sebelas malam. Aira dah ambil wuduk, pergilah cepat ambil wuduk, boleh berjemaah sama. Lepas tu abang nak mimpi berbulan madu di awan biru ke, awan terpilu ke, suka hatilah.” Aira menyuruh Zafri tetapi suaminya itu masih berbaring di katil.

“Abang sayang…?” ulang Zafri kemudian baru berdiri.

“Pergilah cepat. Nanti batal pulak wuduk Aira!” marah Aira apabila Zafri masih tercegat.

Zafri segera menuju ke bilik air apabila Aira menjelingnya.

Siang tadi mereka solat asing-asing sebab tetamu tidak putus-putus datang. Bila Aira bersolat, Zafri terpaksa melayan tetamu yang datang. Kalau dua-dua sekali tidak tunjuk muka, orang tertanya-tanya pula mana pengantinnya.

Zafri berasa syahdu sangat apabila mengimamkan isteri bersolat buat kali kedua. Setelah selesai berdoa, Aira menyalam dan mencium tangannya. Secara spontan Zafri turut mengucup kening Aira. Ciuman penuh perasaan sebagai seorang lelaki yang bergelar suami. Terasa indah dan bahagia sangat.

“Tak payahlah lama-lama,” tegur Aira sambil menolak lembut bahu Zafri. Kemudian dia segera berdiri dan membuka telekungnya.

Zafri tersenyum sendiri mengingat diri yang terleka sebentar tadi. Aira berlagak selamba sahaja padahal punyalah rasa segan. Mat salih betullah dia ni!

Mata Zafri masih memerhati Aira.

Tanpa kata, Aira terus berbaring di atas katil. Dia tidak mahu fikir benda lain selain cepat-cepat tidur. Dia berasa penat seluruh badan dan mahu berehat sahaja. Memang idea dia juga yang mahu majlis pihak Zafri diadakan serentak di rumah pihak perempuan. Ada juga baiknya, hanya penat sehari tidak dua hari.

“Sebelum tidur Aira tak nak ucap apa-apa pada abang ke?” tanya Zafri.

“Assalamualaikum, abang. Maaf ya, isteri abang ni mengantuk dan penat sangat,” jawab Aira tanpa memandang Zafri. Dia memang sudah rasa tidak bermaya.

“Takkan macam tu saja?” tanya Zafri yang masih tidak puas hati.

“Habis tu, abang nak Aira cakap apa?” Terpaksalah Aira menoleh memandang Zafri.

“Cakap I love you  ke, apa ke…” ujar Zafri. Bibirnya telah mengukir senyuman manis.

“La… baru aje kahwin, mana ada rasa apa-apa lagi. Tidur sajalah. Nanti terlewat bangun pulak,” balas Aira ambil tangannya menarik selimut hingga menutupi dadanya.

“Boleh ke abang tidur sebelah Aira?”

“Abang nak tidur bawah ke? Aira okey aje kalau abang nak tidur depan pintu sekalipun,” jawab Aira dengan nada geram. Nanti ada juga yang kena lesing dengannya.

“Aira isteri abang, kan?” Tiba-tiba soalan yang tidak diduga pula yang Zafri tanya.

“Astaghfirullahalazim… kenapalah tanya soalan kurang bijak tu?” marah Aira sambil memeluk Sofea. ‘Bilalah nak tidur kalau macam ni gayanya,’ gumam Aira.

“Kalau abang nak tidur sambil peluk Aira, boleh tak?” tanya Zafri hendak mengusiknya.

“Suka hati abanglah nak buat apa, janji jangan ganggu Aira tidur sudah,” ujar Aira yang sudah malas hendak melayan Zafri. Sebetulnya dia main jawab sahaja dan tidak perasan pun apa sebenarnya yang Zafri tanya.

“Berdosa tau kalau isteri tidur membelakangi suami,” tegur Zafri sengaja hendak buat Aira berangin. Kalau suhu takat didih seratus darjah Celsius, rasanya suhu Aira lebih tinggi dari itu.

“Abang sayang… takut-takut esok Aira tak bangun-bangun, jadi Aira minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki,” ucap Aira selamba sambil pandang Zafri. Bulat saja mata si Aira.

Sudahnya Zafri senyap, tiada apa-apa ucapan balas dari mulutnya. Namun, matanyai masih memandang Aira. Tidak berkelip-kelip.

“Abang tunggu apa lagi? Tutuplah lampu tu,” arah Aira pula. Alahai laki aku ni…

Zafri segera bangun menutup lampu bilik. Sekejap sahaja, Aira telah terlena dek kepenatan yang amat sangat. Zafri masih terkebil-kebil sambil merenung Aira dalam cahaya yang samar-samar. Begitu pun dia masih dapat melihat wajah Aira yang manis, wajah Aira yang ayu.

Dia memang tidak salah membuat keputusan itu. Walaupun mereka tidak pernah berkenalan, tidak pernah bercinta malah terus sahaja bernikah, namun dia berasa gembira. Dia rasa bahagia sangat dapat mendirikan rumah tangga dengan gadis idaman.

“Aira…” panggil Zafri sambil mengejutkan Aira.

“Apa lagi?” Aira sedikit terjerit kerana bengang tidurnya diganggu.

“Abang tak boleh tidur la,”beritahu Zafri.

“Habis tu, takkan abang nak Aira tepuk-tepuk abang macam budak kecil?” marah Aira lagi.

“Kita cerita-ceritalah. Kita belum sempat berkenalan walaupun dah tiga minggu jadi suami isteri,” ujar Zafri sambil tersenyum.

“Nanti kalau asyik bercerita kemudian tertidur lagi susah,” ujar Aira. Dalam hati rasa hendak cekik-cekik sahaja suami bertuah ini. Nasib baiklah tahu dosa pahala.

“Kenapa pulak boleh susah?” tanya Zafri. Sengaja hendak buat Aira geram.

“Kalau dah bercerita, pasti lama. Nanti terlambat bangun, terlepas subuh, terlewat sarapan dan lambat macam-macamlah.” Aira membebel sambil pejamkan mata.

“Kalau tak sengaja terlepas subuh, tak berdosa…”

“Kalau dah tahu kemungkinannya, kita kenalah elakkan sejak awal-awal lagi,” tegur Aira sambil tunjuk muka masam.

Tetapi pada Zafri, muka isterinya tetap manis tetap lawa.

“Sekali lagi abang kacau, Aira tidur di ruang tamu aje nanti,” ugut Aira kemudian terus tidur semula.

Zafri hanya tersenyum.


BUNYI ayam berkokok yang bersahut-sahutan mengejutkan Zafri dari tidur. Dia menggosok matanya perlahan-lahan. Dia tidak pasti bilakah dia benar-benar terlena. Tetapi dia masih ingat, malam tadi dia memang bermimpi yang indah-indah. Tiba-tiba dadanya terasa berat sekali. Tatkala Zafri terpandang wajah Aira, hampir sahaja dia terjerit namun segera ditahan.

Zafri betul-betul berasa pelik. Bagaimana Aira tidur sampai boleh melintangi katil dan berbantalkan dadanya? Nasib baik isterinya seorang yang kecil molek. Kalau tidak, pasti kakinya terjuntai andai tidur melunjur. Zafri mengambil peluang ini untuk menatap wajah Aira yang ayu sepuas-puasnya.

Walaupun dalam keadaan tidur, wajah Aira masih kelihatan seperti tersenyum. Wajah isterinya bersih tanpa sebarang solekan. Aira memang amat cantik di matanya walau dia hanyalah seorang wanita yang serba sederhana.

Aduhai! Apabila sudah suka, semuanya nampak elok di pandangan padahal lampu tidak terpasang pun. Macam mana boleh nampak semua itu? Betapa hebatnya pandangan mata hati. Tiba-tiba alarm berbunyi mengejutkan Zafri dari lamunan. Sepantas kilat tangannya menekan butang off.

“Bunyi apa tu?”

Boleh pula Aira bersuara. Aira sudah sedar atau sedang mengigau? Zafri tertanya sendiri.“Bunyi kereta api,” jawabnya, saja hendak berlawak dan menduga isterinya.

“Bila pulak rumah kita dekat dengan stesen?” tanya Aira seakan terkejut kemudian segera membuka mata.

Seketika Zafri dan Aira berpandangan. Lama Zafri pandang Aira dan isterinya itu bagai masih berada dalam mimpi pula.

Apabila tersedar, Aira bingkas bangun dari pembaringan. Terasa malu yang amat sangat pada Zafri.

Zafri pula terus tertawa pada pagi-pagi buta, tetapi segera menekup mulutnya. Mujur cepat perasan, nanti ada pula yang terdengar. Pasti mereka berdua kena sindir pula.

‘Bagaimana boleh selesa saja tidur di atas dada Zafri? Tempoh hari, selepas bernikah elok aje tidur dengan sopan. Takkan sebab penat sangat sampai main letak sahaja kepala ini?’ Aira mengutuk dirinya sendiri.

Tiba-tiba baru Aira perasan sesuatu. Meliar matanya memandang sekeliling. Kemudian dia segera memasang lampu bilik.

“Aira cari apa?” tanya Zafri pelik.

“Rasanya malam tadi Sofea tidur dengan kita, kan? Anak abang jatuh katil ni..” ujar Aira kemudian segera menjenguk ke ruang berhampiran dinding. Ternyata Sofea tergolek di situ. Mujur ada permaidani tebal. Zafri turut mengesut dan menoleh.

“Alahai anak ayah…” ucap Zafri sambil mengangkat Sofea yang masih lena.

‘Kesiannya Sofea.’ Aira berkata dalam hati. Dia turut membelek badan Sofea kut-kut ada lebam di mana-mana. Sebaik menyedari Zafri merenungnya sambil tersenyum meleret, segera dia mencapai tuala dan menuju ke bilik air. Nanti entah apa pula Zafri hendak usik dia.

Dalam bilik air Aira memandang cermin yang tergantung di dinding. Sofea jatuh sendiri dari katil atau aku yang tolak dia? Aduh! Macam mana boleh jadi macam ni? Aira tertanya sendiri.

Tiba-tiba kedengaran pintu bilik air diketuk dari luar. ‘Nak apa pulak laki aku ni,’ gumam Aira.“Kenapa?” tanyanya.

“Aira boleh cepat sikit tak? Abang rasa sakit perut,” jawab Zafri.

Mendengar jawapan Zafri, segera Aira membuka pintu bilik air. “Abang masuklah dulu,” ujarnya.

“Tadi Aira buat apa?” tanya Zafri. Rasa pelik pula apabila Aira masih seperti dia masuk tadi.

“Masuk ajelah, jangan banyak tanya,” balas Aira pula kemudian menuju ke pintu bilik. Dia hendak gunakan bilik air di dapur sahaja.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.