Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 28

"Happy birthday!"

Dania meletakkan kotak hadiah di hadapan Ayumi dengan senyuman penuh ceria.


"Thanks."


Ayumi merenung kotak hadiah tersebut sebelum mengambilnya.Wajah Dania langsung tidak dipandang.Kemudian dia memalingkan tubuhnya dari Dania.


"Tak nak bukak ke?"

Tanya Dania apabila menyedari tiada reaksi yang diberikan temannya itu.


"Nantilah.Aku banyak kerja."

Jawab Ayumi tanpa menoleh.


"Yumi, kau kenapa?"

Dania kini berdiri di hadapan Ayumi.Diperhatinya wajah gadis itu yang statik.


"Betul kau nak tau kenapa?"

Ayumi mendongak memandang Dania dengan mata kuyu.


"Yelah.Kalau aku ada buat salah, bagitau.Jangan buat aku ni macam tak wujud je!"

Dania hilang sabar dengan sikap Ayumi yang tidak mengacuhkannya.


"Sepatutnya aku yang marah.Sampai bila kau nak berpura-pura, Dania?"

Ayumi mula beremosi.


"Boleh tak terus terang je?Berpura-pura apa?Aku tak faham!"

Dania membesarkan mata memandang Ayumi.


"Kalau tak kerana Alvin, aku tak taulah sampai bila kau nak perbodohkan aku."

Ayumi senyum mengejek.Kedua-dua tangannya disilangkan ke dada.


"Alvin?Kenapa dengan Alvin?"

Cuak Dania mendengarkan nama itu.


"Kau tau Alvin dah lama sukakan kau, tapi kenapa kau masih nak aku dekat dengan dia?Kau sengajakan nak malukan aku?"

Akhirnya Ayumi melepaskan segala yang terpendam dari semalam lagi.


"Yumi, aku.."

Dania kehilangan kata-kata.Apa yang dikhuatirkan kini terjadi juga.


"Dahlah, Nia..kau tak perlu jelaskan apa-apa lagi.Kalau niat kau nak malukan aku, tahniah.Kau dah pun berjaya."

Potong Ayumi.


"Yumi, sumpah!Aku tak ada apa-apa pun dengan Alvin.Aku tak pernah sukakan dia.Percayalah, Yumi."

Dania mendekati Ayumi.Perlahan-lahan dia menyentuh tangan gadis itu.


"Kalau bertepuk sebelah tangan takkan berbunyilah, Dania.Kalau tak ada apa-apa takkan sampai Alvin nak melamar kau!"

Ayumi menepis tangan Dania.Kemarahannya kini semakin memuncak apabila teringatkan kata-kata Alvin semalam.


"Alvin cakap macamtu dengan kau?"

Tanya Dania dengan mulut terlopong.


Ayumi menjeling tajam ke arah Dania.Kemudian dia berlalu ke bilik belakang tanpa mempedulikan Dania lagi.


"Alvin, awak memang dah melampau!"


Dania menggenggam penumbuk.Perbuatan Alvin benar-benar menguji kesabarannya.Tanpa berlengah, Dania mencapai beg tangan di atas sofa lalu keluar dari butik.Pantas nombor Alvin didail sebaik saja memasuki kereta.


"Hello, Dania.Assalamualaikum!"

Ceria kedengaran suara Alvin menyambut panggilan Dania.


"Awak dekat mana?"

Langsung Dania bertanya tanpa basa basi.


"Saya dekat hospital."


"Okey, tunggu dekat lobi.Sekejap lagi saya sampai."

Selesai berkata, Dania mematikan telefon lalu menggerakkan kereta.


Alvin mundar mandir di lobi menanti kedatangan Dania.Resah dia memikirkan apa yang bakal gadis itu bicarakan sehinggakan sanggup datang berjumpanya di situ.


"Alvin!"

Dania menggamit Alvin yang tidak menyedari kehadirannya.


"Dania, jom kita duduk dekat situ."

Alvin membawa Dania ke taman.


"Duduklah."

Pelawa Alvin kepada Dania.Dipandangnya wajah gadis itu yang kelihatan marah.


Pangg!!


Satu tamparan hinggap di pipi Alvin.

Alvin memegang pipinya yang sakit dengan mulut sedikit terbuka.


"Dania, kenapa ni?"

Tanya Alvin dengan sebelah tangan masih memegang pipi.


"Puas?Puas hati awak sekarang, Alvin?!"

Dania menghamburkan kemarahan yang ditahannya sejak dari tadi.


"Saya tak faham.Apa salah saya?"

Alvin menatap Dania dengan muka tercengang.


"Kenapa awak cakap macamtu pada Ayumi?Awak sengaja kan nak buat saya dengan Ayumi bergaduh sebab awak?!"


Dania menggenggam penumbuk.Ikutkan hatinya yang marah, bukan setakat penampar, penumbuk pun boleh melayang ke muka jejaka itu.


"Saya mintak maaf kalau apa yang saya cakap pada Ayumi tu buat awak marah.Tapi saya cuma cakap benda yang betul.Dan saya tak tau kenapa semua tu buatkan awak dan Ayumi sampai bergaduh."

Terang Alvin dengan bersungguh-sungguh.


"Awak still tak faham lagi ke?Ayumi tu sukakan awak!Kenapa awak cakap awak nak melamar saya depan dia?!Kenapa awak cakap macamtu?!"


Dania menahan air mata yang bergenang di kelopak mata dari jatuh menimpa pipi.Dia tidak mahu menangis di depan Alvin.Dia tidak mahu Alvin menganggapnya perempuan lemah yang hanya tahu mengalirkan air mata.


"Ya Allah, sumpah Dania saya tak tau tentang perasaan Ayumi.Kalau saya tau saya takkan cakap semua tu pada dia."

Alvin semakin dihimpit rasa bersalah dengan kata-kata Dania.


"Saya benci awak, Alvin.Jangan pernah muncul depan mata saya lagi."

Kata Dania lalu melangkah pergi.


"Dania, tunggu!"


"Sebelum awak pergi, saya nak awak tau semua yang saya katakan pada Ayumi tu benar.Saya cintakan awak, Dania.Dan saya akan tunaikan janji saya!"

Kata Alvin pada Dania yang membelakanginya.


Dan tanpa menoleh lagi, Dania berlalu pergi dengan hati yang sebal.Setitis demi setitis air mata jatuh jua menemani langkahnya.


Alvin terduduk di bangku.Mukanya diraup berkali-kali lalu satu keluhan panjang dilepaskan.


"Ya Allah, apa sebenarnya rancanganMu?"

Alvin merintih sambil mendongak ke langit.Pancaran matahari yang menerjah ke wajah cerahnya tidak dihiraukan.


Tanpa diduga, ada sepasang mata yang asyik menyaksikan kejadian di taman itu.


    

                      *************



"Mai!Maisarah!Maisarah mana?!"

Shazana muncul di meja kaunter utama dengan nafas yang tercungap-cungap.


"Kau ni dah kenapa, Sha?Kena kejar hantu ke?"

Izzati yang sedang tekun menghadap komputer bertanya dengan wajah selamba.Matanya masih ditumpukan pada skrin di hadapan.


"Hantu mana pulak lah yang muncul siang-siang hari ni."

Sampuk Karmila, gadis berketurunan asli yang turut berada di situ.Sudahnya kata-kata Karmila disambut dengan hilai ketawa oleh Izzati.


"Betul-betul lah korang!"

Shazana hilang sabar apabila dipermainkan.


"Hah, tu..panjang umur!"

Izzati mendongak sedikit apabila ternampak kelibat Maisarah berjalan menghampiri mereka.


"Mai!Sini cepat!Ada berita tergempar!"

Shazana lantas menarik lengan Maisarah lalu dibawa gadis itu jauh sedikit dari meja kaunter.


Izzati dan Karmila saling berpandangan dengan wajah curiga.


"Mai, kau tau tak apa yang aku baru nampak tadi?"

Tanya Shazana sambil terhendap-hendap.Takut perbualan mereka didengari orang lain.


"Nampak apa?Manalah aku tau.Jangan kata kau nampak hantu sudahlah."

Maisarah membulatkan mata memandang Shazana.


"Kalau nampak hantu, aku pun tak berani nak cerita."

Shazana sudah bersandar di dinding, melepaskan lelah yang masih terasa.


"Dah tu, apa..?Cakaplah cepat.Aku ada kerja ni!"

Maisarah hilang sabar dengan Shazana yang masih saja berteka teki.


"Aku nampak Doktor Alvin dengan perempuan tu dekat taman.Diorang bergaduh!"

Jawab Shazana lalu menarik nafas.


"Perempuan mana?"


"Alah, fashion designer tu apa nama dia?Aduh, lupa pulak."

Shazana tepuk dahi.


"Dania Aulia?"

Laju saja nama itu meniti di bibir Maisarah.


"Hah, ya!Dania Aulia.Kau tau, perempuan tu tampar Doktor Alvin."

Shazana berkata separuh berbisik.


"Apa?Biar betul kau?!"

Maisarah terlalu terkejut sehingga tidak sedar dia meninggikan suara.


"Syhhhh...perlahanlah sikit!"

Shazana meletakkan jari telunjuk ke bibir lalu kepalanya dipusing-pusing memerhati sekeliling.


"Betul lah.Buat apa aku nak reka cerita.Aku pun terkejut tau!"

Bersungguh-sungguh Shazana meyakinkan Maisarah dengan apa yang telah disaksikan.


"Jadi betul lah apa yang kita duga selama ni?Doktor Alvin dengan perempuan tu memang ada hubungan."

Maisarah tertunduk kecewa.


"Mai, aku rasa dah sampai masanya untuk kau lupakan perasaan kau pada dia."

Shazana memegang lengan Maisarah cuba memujuk gadis itu.


"Takpe, Sha.Aku okey."

Maisarah senyum tawar lalu melepaskan pegangan tangan Shazana.Kemudian dia berlalu meninggalkan Shazana yang mula merasa bersalah.


"Kalau aku tak bagitau pun, lambat laun mesti kau tau jugak.Kesian kau Mai.Nasib baiklah aku tak terjebak sekali."


"Terjebak apa?"

Tegur Izzati yang sudah tercegat di belakang Shazana.


"Oii terjebak apa kau!Eh, kau ni Zati!Terkejut aku!"

Shazana melatah apabila ditegur secara tiba-tiba.


"Kau cakap dengan siapa?Maisarah kan dah tak ada.Cakap dengan hantu ke?"

Izzati ketawa mengusik.


"Haah..kau tak nampak ke hantu kat depan aku ni?Kesian kau."

Shazana cebik bibir lalu beredar meninggalkan Izzati yang menahan ketawa.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi